Ogs 05

KD TODAK DEKATI KOMUNITI MARITIM PULAU MENAMPILIK MENERUSI PROGRAM JIWA MURNI

SEMPORNA, 5 Ogos 2018 - Kapal Diraja TODAK (KD TODAK) hari ini telah melaksanakan Program Jiwa Murni bersama penduduk kampung di Pulau Menampilik. Selain meringankan beban, program sebegini juga bertujuan bagi mengeratkan silaturrahim serta interaksi di antara penduduk kampung dan TLDM. Pulau Menampilik terletak lebih kurang 10 batu nautika selatan Pekan Semporna. Keluasan pulau ini 5 kilometer persegi dan terletak di antara Pulau Nusa Tengah dan Tanjung Tutup. Terdapat kira-kira 200 orang penduduk kampung yang tinggal di pulau ini dan mata pencarian utama mereka ialah hasil laut. Pulau yang terletak di pantai timur Sabah ini terkenal dengan hasil laut eksotik yang sukar ditemui seperti abalon.

Gambar 1
Kru KD TODAK bersama komuniti maritim
Pulau Menampilik dan juga Pasukan 3 RAMD

Gambar 2
Pemandangan persekitaran surau ketika
permulaan aktiviti gotong-royong

Gambar 3
KD TODAK dan 3 RAMD bekerjasama
membersihkan persekitaran surau

Surau Pulau Menampilik telah dipilih sebagai lokasi bagi menjayakan Program Jiwa Murni KD TODAK pada kali ini. Program ini turut dibantu oleh Pasukan Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (3 RAMD) yang bertugas di Pos Pulau Menampilik, diketuai oleh Lt Muda Mohd Hafiz bin Zakaria. Program ini mendapat sambutan daripada penduduk kampung yang turut serta melaksanakan pembersihan surau. Cuaca yang baik, tidak panas dan sedikit mendung lebih membuatkan peserta program bersemangat.

Gambar 4
Kanak-kanak kampung turut terlibat dalam
program pada hari tersebut

Gambar 5
Sampah yang dikumpul dibakar

Kru kapal juga berkesempatan menunaikan solat fardu Asar berjemaah bersama penduduk kampung sejurus selesai program gotong-royong. Walau bagaimanapun, solat pada hari tersebut dalam keadaan bergelap memandangkan kampung tersebut menggunakan tenaga solar untuk menjana elektrik. Cuaca yang mendung sepanjang hari menyebabkan tenaga elektrik tidak dapat dicaskan semula. Pihak berwajib disaran memikirkan kaedah lain bagi mengatasi masalah penduduk kampung ini seperti sumbangan penjana kuasa petrol atau generator bersaiz kecil sekurang-kurangnya agar anak-anak penduduk kampung dapat mengimarahkan surau tersebut untuk menelaah buku dan mengulang kaji pelajaran sekiranya bekalan elektrik terputus.

Gambar 6
BERSIH…Persekitaran surau yang kembali
bersih setelah selesai program

Gambar 7
ESPRIT DE CORPS…Kru KD TODAK dan 3 RAMD turut meluangkan masa
berinteraksi, bertanya khabar dan bertukar maklumat

Selain itu, kru kapal juga berpeluang melaksanakan taklimat berkenaan penggunaan Aplikasi Kesedaran Keselamatan Komuniti Maritim (K3M) kepada Ketua Kampung iaitu Haji Luhmahan bin Tudjah. Taklimat ini dijalankan agar dapat memudahkan penduduk kampung dalam penyampaian maklumat sekiranya berlaku kecemasan di laut. Kehadiran TLDM khasnya KD TODAK bersama komuniti setempat telah meningkatkan lagi keyakinan mereka terhadap keselamatan perairan negara.

Gambar 8
IDOLA…Kanak-kanak Pulau Menampilik tidak melepaskan
peluang bergambar bersama kru KD TODAK

Gambar 9
BLACKOUT…Peserta program terpaksa bersolat dalam
keadaan gelap kerana ketiadaan bekalan elektrik pada hari tersebut

Menurut Pegawai Memerintah KD TODAK, Lt Kdr Ahmad Zaki bin Ismail TLDM, disamping mengeratkan hubungan TLDM dan komuniti maritim setempat, program sebegini dilihat mampu meningkatkan lagi rasa cinta terhadap alam sekitar dan kesedaran terhadap penjagaan kebersihan tempat tinggal khasnya di kalangan Navy People dan penduduk setempat. Setelah selesai program, kapal meneruskan rondaan di Kawasan Operasi Maritim (KOM) bagi menjaga keselamatan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah atau ESSZone.

Rujukan : 050818/02
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2 – KD TODAK
Artikel : TODAK Skippers
Jurufoto : Lt Dya Aiman Haziq Mohamed TLDM

Last modified on Ahad, 05 Ogos 2018 13:01

AUDIT KESIAPSIAGAAN MPPL

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 114

Semalam 491

Bulan ini 6858

Keseluruhan 433061

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM