Ogs 10

KD YU PROMOSI K3M DI SEAVENTURES DIVE RIG

SEMPORNA, 10 Ogos 2018 – Kapal Diraja YU (KD YU) telah mengambil kesempatan semasa penugasan operasi bagi membuat lawatan ke Resort Penyelam Seaventures Dive Rig, Pulau Mabul bagi melaksanakan Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM) dan penerangan Aplikasi Kesedaran Keselamatan Komuniti Maritim (K3M).

Gambar 1
Lt Abduh Jamaludin TLDM menyerahkan pamphlet penerangan
Aplikasi K3M kepada salah seorang pekerja Seaventures Dive Rig

Gambar 2
Kad Rakan Maritim (RAKAM) turut diberi bagi memudahkan para
pekerja resort menghubungi pasukan keselamatan sekiranya
terjadi kejadian yang tidak diingini

Inisiatif dan penerangan ini merupakan sebahagian daripada Program Rakan Maritim 2.0 (RAKAM 2.0) yang diilhamkan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Haji Ahmad Badaruddin. Program yang telah dilancarkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA 17) yang lalu adalah satu inisiatif dalam meluaskan rangkaian penerimaan maklumat berkaitan maritim dan mempertingkatkan masa tindakan membabitkan agensi keselamatan maritim negara khasnya TLDM.

Gambar 3
Penerangan aplikasi K3M kepada pemilik dan pekerja resort

Gambar 4
Ketua Tim Mendarat KD YU turut membantu proses
instalasi aplikasi dan tatacara penggunaan aplikasi K3M

Kehadiran Tim Mendarat KD YU diketuai oleh Pegawai Peperangan Atas Permukaan, Lt Mohamad Abduh Jamaludin TLDM telah disambut mesra oleh pekerja Resort Seaventures Dive Rig. Resort tersebut merupakan sebuah pelantar minyak yang telah diubah suai oleh Syarikat Seaventures Dive Rig untuk dijadikan salah satu tempat pelancongan di perairan Pulau Mabul. Seaventures Dive Rig mula dibuka pada tahun 1997 dan pekerjanya terdiri daripada rakyat tempatan. Resort ini menjadi salah satu tarikan utama pelancong dari seantero dunia kerana kedudukannya yang strategik dengan jarak hanya 700 meter dari Pulau Mabul di samping pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan seperti bermalam, aktiviti selam skuba, snorkeling dan juga merupakan salah satu tempat untuk mendapatkan lesen penyelam oleh Agensi Professional Association of Diving Instructor (PADI) iaitu sebuah pertubuhan khas yang mengeluarkan lesen penyelam antarabangsa. Antara fasiliti yang disediakan adalah 20 buah bilik penginapan, food court, sun deck dan lif pengangkutan. Resort ini dibuka kepada pelancong dari jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang dan juga bilik penginapan disediakan kepada pelancong yang ingin bermalam di sana di samping pakej-pakej menarik lain yang turut ditawarkan kepada pelancong.

Gambar 5
Suasana di food courtSeaventures Dive Rig

Gambar 6
Keadaan di sun deck resort tersebut

Dalam Program RAKAM 2.0 pada kali ini, penerangan Aplikasi K3M disasarkan kepada pekerja resort yang rata-ratanya telah memberi maklum balas positif serta teruja dengan kelebihan aplikasi tersebut. Tim Mendarat KD YU juga turut membantu proses muat turun Aplikasi K3M ke dalam telefon pintar mereka di samping memberi tunjuk ajar tatacara penggunaan aplikasi tersebut. Maklumat terkini keadaan di kawasan tersebut juga turut diperolehi merangkumi pola kedatangan pelancong dan kewujudan sebarang ancaman sekiranya ada. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play atau App Store dengan menaip K3M pada papan cariannya.

Gambar 7
Seaventures Dive Rig merupakan salah satu
tarikan pelancong ke Pulau Mabul

Gambar 8
Suasana sebelum matahari terbenam
sempat dirakamkan oleh KD YU

Secara keseluruhanya, objektif RAKAM 2.0 pada kali ini tercapai kerana pekerja resort tersebut memahami serta memandang positif akan usaha yang dilakukan oleh pihak TLDM dalam menjaga keselamatan komuniti maritim serta kedaulatan perairan negara dari sebarang anasir yang mampu mengancam keamanan negara.

Rujukan : 1108818/01
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2 – KD YU
Artikel : Lt Wan Mohd Saiful Adli Wan Ahmad TLDM
Jurufoto : LK II PAP Muhamad Nazreen bin Khalid

Last modified on Jumaat, 10 Ogos 2018 17:27

AUDIT KESIAPSIAGAAN MPPL

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 111

Semalam 491

Bulan ini 6855

Keseluruhan 433058

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM