Jun 08

INISIATIF TMP ERAT KERJASAMA DUA NEGARA

LAUT SULU, 8 Jun 2018 – Kapal Diraja (KD) SRI GAYA pada hari ini telah melaksanakan pertemuan bersama kapal Tentera Laut Filipina BRP ANASTACIO CACAYORIN. Pertemuan di bawah inisiatif Trilateral Maritime Patrol (TMP) ini merupakan pertama kali membabitkan kedua-dua buah kapal dan merupakan pertemuan yang ke-9 pada tahun ini. Pertemuan telah dilaksanakan di perairan berhampiran Pulau Mataking, Semporna. Untuk rekod, BRP ANASTACIO CACAYORIN pernah melaksanakan pertemuan bersama KD SRI JOHOR pada 27 April 2018 yang lalu.

Pertemuan seawal jam 9.00 pagi itu dimulai dengan KD SRI GAYA telah merapat di lambung kanan BRP ANASTACIO CACAYORIN. Warga kapal BRP ANASTACIO CACAYORIN di bawah pimpinan Pegawai Memerintah, Lieutenant Commander Edler Moncada PN dibawa melawat ke sekitar KD SRI GAYA oleh Pegawai Memerintah, Leftenan Komander Mazly bin Kamarolzaman TLDM.

Gambar 1Pegawai Memerintah BRP ANASTACIO CACAYORIN (berdiri kiri) memberi
penerangan kepada Pegawai Memerintah KD SRI GAYA (berdiri kanan)

Seterusnya, sesi perkongsian maklumat isu-isu semasa keselamatan perairan Laut Sulu telah dilaksanakan di Wisma Pegawai KD SRI GAYA. Warga KD SRI GAYA juga telah dijemput oleh Pegawai Memerintah BRP ANASTACIO CACAYORIN untuk melawat kapal dari jenis kapal ronda persisir (coastal patrol craft) kelas JOSÉ ANDRADA tersebut dengan beberapa sesi bergambar serta pemberian cenderahati telah dilaksanakan sebagai tanda kenangan.

Gambar 2Sesi perkongsian maklumat di Wisma Pegawai KD SRI GAYA

Bagi meningkatkan tahap kesiagaan dan kesepaduan kedua-dua buah kapal serta kru masing-masing, beberapa siri latihan telah dilaksanakan iaitu Personnel Exchange Program (PXP), Latihan Taktis Manuvra (MANTAK) dan Pemindahan Tali Balingan. Kesemua objektif siri latihan berjaya dicapai dengan baik hasil kerjasama dan kesefahaman yang jitu di antara kru kedua-dua buah kapal.

Gambar 3Latihan Pemindahan Tali Balingan
Gambar 4
BRP ANASTACIO CACAYORIN merapat di lambung kanan KD SRI GAYA

Selain memperkukuh dan memperkasa perkongsian maklumat, inisiatif TMP ini dilihat mampu memperkukuhkan hubungan baik antara agensi penguatkuasa maritim Malaysia dan Filipina. Dalam pertemuan tersebut juga, kedua-dua Pegawai Memerintah kapal telah berikrar akan memberikan komitmen penuh untuk terus memperketatkan kawalan keselamatan perairan di sempadan kedua-dua buah negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan. Selesai latihan, kedua-dua kapal meneruskan penugasan rondaan di perairan negara masing-masing.

Gambar 5Sesi bergambar di haluan kapal BRP ANASTACIO CACAYORIN

 

Rujukan: 080618/07
Sumber: Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2 – KD SRI GAYA
Artikel: Lt Dya Raja Kamal Zulhafifie bin Raja Ibrahim TLDM
Jurufoto: LK I JTP Mohd Qaiyum bin Zainalallam

Last modified on Jumaat, 08 Jun 2018 17:01

AUDIT KESIAPSIAGAAN MPPL

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 218

Semalam 422

Bulan ini 7512

Keseluruhan 440336

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM