KUALA LUMPUR, 24 Jun - Hari ini melakar sejarah di mana Lt Ts. Chan Jun Kwan TLDM dianugerahkan Chevening Scholarship oleh Kerajaan United Kingdom. Biasiswa penuh yang amat berprestij ini adalah bagi pengajian tahun 2021/2022. Beliau merupakan pegawai TLDM yang ke-8 berjaya menerima tawaran sedemikian setakat ini. Justeru TLDM masih melakar sejarah buat masa ini sebagai agensi Kerajaan yang mempunyai bilangan kakitangan paling ramai mendapat tajaan biasiswa berprestij luar negara. Maklumat tambahan adalah seperti di pautan berikut:

https://www.facebook.com/RoyalMalaysianNavy/posts/3555310174526965

Lt Ts. Chan Jun Kwan TLDM adalah mantan putera Maktab Tentera Diraja (MTD). Selesai pengajian di MTD, beliau telah terpilih menjalani latihan kadet di United States Naval Academy (USNA), Annapolis pada tahun 2012. Beliau telah menamatkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa dengan kepujian. Seterusnya pada tahun 2016, beliau memasuki perkhidmatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Kecemerlangan Lt Ts. Chan Jun Kwan TLDM bukan setakat bidang akademik. Dalam aspek sukan, beliau bergiat aktif dalam Bola Tampar, Marathon dan Triathlon. Semasa pengajian di Annapolis, beliau mewakili USNA dalam sukan Bola Tampar di mana diberi mandat sebagai Team Captain. Sepanjang perkhidmatan, beliau mewakili TLDM dan ATM dalam pertandingan bola tampar terbuka di pelbagai peringkat, di mana pada tahun 2017 dianugerahkan Best Libero di kejohanan Inter-Service Games (ISG).

Selaras dengan inisiatif memperkasa dan menghasilkan modal insan yang terbaik (crème de la crème), warga Navy People wajar merebut peluang tawaran lebih kurang 30 jenis biasiswa berprestij yang ditawarkan oleh Kerajaan luar negara kepada warga Malaysia. Diharap usaha ini membolehkan TLDM dan warganya terus gemilang, cemerlang dan terbilang.

Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Bahagian Sumber Manusia, Mk TL