Okt 30

Pengiktirafan

TLDM sentiasa menentukan kecemerlangan dalam setiap bidang yang diceburi. Kecemerlangan ini telah berjaya dibuktikan dengan beberapa pengiktirafan yang dicapai hasil pencapaian yang amat membanggakan. Pengiktirafan yang telah berjaya dicapai oleh TLDM antaranya seperti berikut:

THE MALAYSIA BOOK OF RECORD (MBR)

 

1. Sektor Awam Pertama Menerima Persijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan MS ISO 22000:2005 dan MS ISO 9001:2008 -KD MALAYA & KD PELANDOK.

KD MALAYA dan KD PELANDOK merupakan unit yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Lumut. Kedua-dua unit ini telah berjaya dipersijilkan dengan MS ISO 9001:2008 dan MS ISO 22000:2005 pada 3 Jan 11. Pelaksanaan persijilan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap pengurusan yang berkualti serta mewujudkan satu piawaian yang tinggi dalam aspek pengurusan keselamatan makanan demi kesejahteraan warga TLDM.

 

2. Sektor Awam Pertama Menerima Persijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat MS ISO 27001:2007 -Cawangan Teknologi Maklumat, Markas Tentera Laut. 

Cawangan Teknologi Maklumat, Mk TL merupakan cawangan pertama dalam sektor awam yang mendapat pengiktirafan MS ISO 27001:2007 pada 11 januari 2011. Persijilan ini bertujuan meningkatkan tahap pengurusan keselamatan maklumat dalam TLDM agar sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

 

3. Kapal Perang Pertama Menerima Sistem Pengurusan Berintegrasi MS ISO 9001:2008 dan OHSAS 18001:2007 - Skuadron Frigat ke-23 dan Skuadron Multi-Purpose Command And Support Ship (MPCSS) ke-31

Skuadron Frigat ke-23 (KD JEBAT dan KD LEKIU) dan Skuadron MPCSS ke-31 (KD SRI INDERA SAKTI dan KD MAHAWANGSA) merupakan kepal perang pertama yang menerima Persijilan Sistem Pengurusan Berintegrasi iaitu MS ISO 9001:2008 dan OHSAS 18001:2007 pada 23 Disember 2010. Pelaksanaan sistem ini secara berintegrasi membolehkan kedua-dua skuadron ini melaksanakan sistem pengurusan berkualiti serta meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan warga kapal.

 

4. Kapal Tentera Laut Pertama Menerima  Persijilan Earthcheck (Bronze Certificate) - KD LEKIU & KD SRI INDERA SAKTI

KD LEKIU dan KD SRI INDERA SAKTI merupakan penerima pertama persijilan Earthcheck. Kedua-dua kapal telah menerima persijilan pada 22 Disember 2010. Pelaksanaan persijilan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial bagi membolehkan TLDM menyumbang kepada penjagaan alam sekitar melalui pengawalan sisa buangan daripada kapal. Pelaksanaan Earthcheck ini membantu dalam penjimatan tenaga, air dan sisa buangan seperti minyak, gas dan lain-lain.

 

5. Kapal Tentera Laut Terbesar - KD SRI INDERAPURA

KD SRI INDERAPURA sepanjang 173 m dan seberat 8,500 tan adalah kapal TLDM yang terpanjang dan terbesar. Ia mempunyai 250 anak kapal dan boleh membawa 450 anggota tentera. Ia dibina di san Diego, California pada 7 Nov 1970 dan ditauliahkan kepada TLDM pada 31 Jan 1995 di Norfolk, Virginia.

 

6. Kapal Selam Pertama TLDM – KD TUNKU ABDUL RAHMAN

KD TUNKU ABDUL RAHMAN (KD TAR), kapal selam pertama negara yang diberi nama sempena Perdana Menteri Pertama, tiba di pelabuhan Klang, Selangor pada 3 Sep 2009 setelah melalui perjalanan sejauh 7109 batu nautika dari Toulon di Perancis selama 54 hari. Kapal selam elektrik-diesel sepanjang 65.7m ini, yang diperloehi pada 2002, dilengkapi dengan enam laluan torpedo yang boleh dilancarkan serentak, pelancar pemandu dasar anti-kapal dan torpedo anti-kapal selam. Kedalaman ialah 1550 tan dan kelajuannya ialah melebihi 20 not (atau 37km/jam). Kapal selam yang dikendali oleh 32 kakitangan ini, boleh menyelam sehingga 350 meter. 

 

7. Pertama Terima ‘Britannia Association Sword of Honour’ - Leftenen Muda Bakhri Shah Abdullah TLDM

Pegawai TLDM Leftenen Muda Bakhri Shah Abdullah, 27, menerima ‘Britannia Association Sword of Honour’ di Britannia Naval Training College, Dartmouth, England pada 14 Jun 2009, menjadikannya penerima bukan rakyat British yang pertama. Berkhidmat dengan KD SULTAN IDRIS 1, TLDM Lumut, Bakhri menamatkan kursus Pegawai Muda Tentera Laut Diraja di Dartmouth sebagai pelajar terbaik. Beliau dipilih daripada lebih 3,000 pegawai dari seluruh dunia (daripada enam pengambilan) untuk menerima pedang, berdasarkan kepada semangat dan prestasi cemerlang beliau. 

 

8. Penyelaman Terdalam

 

Penyelam TLDM Lt Kdr Muhammad Feekry Choo bin Abdullah TLDM dan Laskar Kanan Adnan Lemon menyelam hingga kedalaman 94.1 meter pada 23 Apr 2003 di perairan Pulau Sembilan sekitar 30 batu nautika dari Pangkalan TLDM Lumut. 

 

9. Kawat Pedang (Sword Bearer) Terpanjang 

Kawat Pedang ini telah dilaksanakan pada bulan Mac 2001 di Wisma Samudera bagi meraikan beberapa pasangan pengantin di kalangan Pegawai TLDM.

 

10. Rakyat Malaysia Pertama Menjejakkan Kaki di Antartika

Lt Zaharuddin Mohd Maideen TLDM telah diiktiraf sebagai rakyat Malaysia yang pertama menjejakkan kaki di Antartika pada tahun 1998.

 

11. Kapal Perang Terbesar TLDM

KD KASTURI dan KD LEKIR telah diiktiraf sebagai kapal perang terbesar di Malaysia pada tahun 1995.

 

12. Pangkalan TLDM Terbesar - Pangkalan TLDM Lumut

Pangkalan TLDM Lumut telah diiktiraf sebagai Pangkalan TLDM yang terbesar di Malaysia pada tahun 1985. Pangkalan ini dibina di atas tapak seluas 1,856 ekar kawasan tanah yang diperoleh daripada Kerajaan Negeri Perak.

 

INTERNATIONAL MARITIME ORGANIZATION (IMO)

 

TLDM telah menerima pengiktirafan daripada International Maritime Organization (IMO) dengan menerima Anugerah Exceptional Service Rendered to Shipping and Mankind pada 23 November 2009 di London sebagai menghargai usaha TLDM dalam menangani kegiatan pelanunan di Teluk Aden. 

 

 

 

STANDARDS OF TRAINING, CERTIFICATION AND WATCHKEEPING FOR SEAFARERS (STCW) 1995

 

KD PELANDOK dan KD SULTAN IDRIS 1 telah diiktiraf sebagai Institut Latihan maritim (ILM) oleh Jabatan Laut Malaysia pada tahun 2011. Pengiktirafan ini melayakkan mana-mana anggota yang memperoleh sijil  Basic Safety Training (BST) dan Tanker Familiarizaton (TFA) untuk memohon pekerjaan dalam industri maritim terutama sektor perkapalan, cari gali dan gas.

 

 

 

DUTA 5S NASIONAL

 

Sejarah telah terlakar apabila KD MAHAWANGSA dipilih sebagai Duta 5S peringkat Nasional. Pemilihan ini berdasarkan kecemerlangan KD MAHAWANGSA dalam mengurus serta mengaplikasikan Amalan 5S secara menyeluruh di ke semua lokasi kapal dan juga telah menjadi duta di setiap pelabuhan yang disinggahinya. Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan tersebut telah diadakan di Geladak Kereta Kebal KD MAHAWANGSA pada 1 Jun 12.

 

 

 

INTERNATIONAL QUALITY PRODUCTIVITY CONVENTION 2012

 

 

 

TLDM telah dijemput oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) untuk menyertai IQPC 2012 pada  27 hingga 30 Nov 12 di Mantaram, Indonesia. TLDM akan menghantar wakil daripada KD PELANDOK untuk menyertai konvensyen tersebut. Jemputan ini merupakan satu pengiktirafan kepada TLDM  yang telah berjaya melaksanakan program Amalan Persekitaran Berkualiti 5S dengan berkesan. Lihat Surat Jemputan IQPC 2012. 

 

 

 

WORLD CONFERENCE ON QUALITY AND IMPROVEMENT (WCQI) 2013

 

Malaysia Productivity Corporation (MPC) akan menganjurkan penyertaan delegasi Malaysia ke Program World Conference on Quality & Improvement (WCQI) 2013 pada 6 hingga 8 Mei 13. Program ini merupakan anjuran oleh American Society for Quality (ASQ) yang akan diadakan di Indianapolis, Indiana USA. Objektif program seperti berikut:

 

1. Mempelajari dan menanda aras program persidangan bertaraf antarabangsa.

 

2. Menanda aras pembentangan projek oleh kumpulan-kumpulan dari seluruh dunia yang telah terpilih ke peringkat akhir bagi Anugerah Team Excellence 2013.

 

3. Mengenal pasti isu-isu global berkaitan amalan baik dalam aktiviti peningkatan kualiti dan inovasi.  

 

KD PELANDOK telah dijemput atas pencapaian cemerlang unit menerima Anugerah Platinum semasa International Quality and Productivity Convention (IQPC) yang telah diadakan di Mantaram, Indonesia pada 27 - 30 Nov 12 yang lalu. 

 

 

 

PENGIKTIRAFAN OLEH JABATAN STANDARD MALAYSIA

 

TLDM telah membangunkan Standard Cat dan Zink Anod untuk dijadikan piawaian di Malaysia. Pembangunan Standard Cat melibatkan penetapan spesifikasi cat yang sesuai digunakan pada kapal TLDM.  Penetapan spesifikasi adalah merujuk kepada penetapan nama generik setiap cat di dalam sistem lapisan cat di setiap lokasi di dalam dan luar kapal. Selesainya standard ini, TLDM bertujuan melaksanakan perolehan cat berdasarkan nama generik dan bukannya menggunakan nama produk jenama cat seperti IP atau Jotun.  Ini secara langsung membolehkan TLDM menetapkan sendiri jenis cat yang ingin digunakan TLDM dan bukannya pembuat cat. Manakala, pembangunan Zink Anod melibatkan penetapan komposisi kimia zink anod yang paling sesuai digunakan di kapal TLDM di perairan Malaysia. Penetapan ini membolehkan TLDM menggunakan zink anod yang diperolehi daripada mana-mana pembekal zink anod tanpa khuatir akan keupayaan dan kebolehharapan zink anod.  Usaha ini telah mendapat pengiktirafan Jabatan Standard Malaysia (STANDARDS MALAYSIA). Lihat Surat Pengiktirafan Jabatan Standard Malaysia.

Read 16835 times Last modified on Rabu, 30 Januari 2019 08:13

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 718

Semalam 801

Bulan ini 8589

Keseluruhan 802249

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM