Majlis Anugerah Kreatif dan Berkualiti bagi Suku Tahun Keempat 2011 dan Suku Tahun Pertama 2012 menyaksikan BK TNL Mohd Maznan Said dari Cawangan Materiel mendahului senarai penerima anugerah. Beliau dipilih berdasarkan idea kreatif melalui cadangan penambahbaikan laporan aset on-line agar tidak berlaku sebarang ketidakpatuhan terhadap laporan. Beliau juga terlibat secara aktif serta berkebolehan sebagai penceramah dan fasilitator kepada pengurusan aset kerajaan selain terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Rumah Terbuka TLDM di samping aktif di dalam sukan futsal serta banyak melakukan kerja melewati jam 1900.
Manakala LK TNL Azhar Saidin juga dari Cawangan Materiel telah dipilih sebagai Laskar Kreatif dan Berkualiti bagi Suku Tahun Keempat 2011. Beliau dipilih menerima anugerah tersebut berdasarkan idea kreatif melakukan pembaharuan di dalam penyusunan fail kontrak agar mudah dicari. Beliau juga kerap melakukan kerja lebih masa dan aktif dalam sukan bola sepak, futsal dan sepak takraw selain terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan seperti menyertai ahli Rukun Tetangga, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan sering melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong kawasan perumahan beliau di pangsapuri kos rendah Bandar Tasik Selatan dan kawasan sekitarnya.
Anugerah Kreatif dan Berkualiti bagi Suku Tahun Pertama Tahun 2012 pula dianugerahkan kepada BK TMK Syed Faizal Abu Bakar dari Cawangan Pembangunan Projek. Beliau telah mencadang dan melaksanakan penyusunan fail melalui pengumpulan semua maklumat diasingkan di dalam satu fail agar maklumat tersebut mudah dicapai apabila diperlukan. Selain itu, Syed Faizal bergiat aktif dalam Persatuan Silat Gayung Makrifat Kementerian Pertahanan dan dilantik sebagai jurulatih persatuan itu. Selain itu, beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Sosial Wisma Bintara KEMENTAH dan aktif dalam sukan bola tampar. Menariknya, baru-baru ini beliau telah menerima sijil dari Malaysia Book of Records kerana menjadi jurulatih silat teramai semasa Himpunan Jutaan Belia yang berlangsung di Putrajaya pada 23 hingga 27 Mei lalu.
Manakala bagi kategori laskar, LK PNK Nizam Nooh dari Cawangan Materiel telah dipilih menerima anugerah ini berdasarkan penglibatan beliau secara aktif di dalam pelaksanaan Amalan Persekitaran 5S selain melakukan pembaharuan di dalam penyusunan folder kontrak agar mudah dicari serta membantu di dalam sistem pengurusan fail yang lebih efektif untuk edaran dan tindakan di Cawangan Materiel.
Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan ke atas usaha dan sumbangan yang telah diberikan oleh bintara dan laskar berdasarkan idea kreatif baru yang dicetuskan selain kerja lebih masa dan penglibatan aktif di dalam Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KKI) dan aktiviti sukan atau kemasyarakatan dalam mengharumkan nama TLDM.
Selain itu, penerima anugerah memperolehi ganjaran berupa Sijil Penghargaan, gambar dipamerkan di Pusat Sumber Kualiti Markas, dicalonkan sebagai Bintara dan Laskar Terbaik Tahunan di samping dicalonkan untuk menerima Anugerah Khidmat Cemerlang dan mendapat keistimewaan cuti tanpa rekod selama dua hari serta wang tunai berjumlah RM200.
Rujukan: 220612/03
Sumber: Perhubungan Awam Markas Tentera Laut
Artikel: BK PRL Normahaily Mohd Nor
Jurufoto: LK I TNL Hairiyanti Haidir
Last modified on Friday, 22 June 2012 15:41