PORTAL RASMI TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA (TLDM)

Register Login

PELAYAR TLDM UNGGULI 9TH BORNEO INTERNATIONAL YACHTING CHALLENGE 2012 (BIYC 2012)

 Ketua Staf Markas Wilayah Laut 2, Kepten Mohd Yusri bin Hj. Mohd Yunus TLDM Bersama Pelayar-Pelayar TLDM

Selama hampir sebulan menjalani latihan intensif di Perairan Pangkor di bawah pengawasan Lt Kdr Chin In TLDM, pelayar-pelayar TLDM telah membuat persediaan rapi bagi menyahut cabaran pucuk pimpinan TLDM untuk membawa pulang Piala Borneo International Yachting Challenge yang menjadi kebanggaan pelayar-pelayar di Borneo, Filipina dan Australia.

 

Krew Utarid dan Uranus Menjalani Latihan di Perairan Pangkor

Tanggal 13 Jul, bermulalah titik permulaan untuk mencipta sejarah apabila Pegawai Memerintah KD PELANDOK bersama-sama Ketua Staf Markas Pendidikan dan Latihan TLDM dan Pegawai Memerintah KD SULTAN IDRIS I telah melepaskan tali Bot Layar Utarid dan Uranus ke Miri.  Majlis simbolik yang ringkas itu diadakan di Lumut Internationl Yacht Club.

Utarid dan Uranus Berlepas ke Miri

Tanggal 19 Jul, selepas berhempas pulas selama enam hari merentasi Selat Melaka dan Laut China Selatan dari Lumut ke Miri, 21 pelayar TLDM bersama Bot Layar Utarid dan Uranus yang diiringi KD PERDANA selamat tiba di Miri Marina jam 2.30 pagi dan bergabung dengan 6 pelayar Navy Yacht Club Kota Kinabalu untuk melengkapkan pasukan TLDM yang bakal memberi saingan di BIYC 2012.

Utarid dan Uranus Bersaing Sama Sendiri dan Meninggalkan Lain-Lain Pencabar di Belakang

Berbekalkan amanat Panglima Tentera Laut dan harapan TLDM untuk mencipta kejayaan dalam penampilan sulung pada Kejohanan BIYC 2012, pelayar TLDM telah menyemat azam untuk membuktikan mereka setanding dengan pelayar-pelayar antarabangsa. Walaupun kejohanan pada tahun ini diadakan di dalam bulan Ramadhan, pelayar TLDM telah membuktikan bulan puasa bukan halangan untuk mencipta kejayaan walaupun terpaksa menahan lapar dan dahaga sepanjang pertandingan berlangsung. Utarid yang dikemudikan oleh PW I TLS Ishak bin Jab mengungguli BIYC 2012 dan muncul juara keseluruhan.  TLDM terus cemerlang apabila Uranus yang dikemudikan oleh PW I TMK Mohamad Razali bin Mansor memenangi tempat kedua mengetepikan penguasaan juara bertahan 4 tahun berturut-turut iaitu Selma Star dari Filipina yang hanya berpuashati di tempat ketiga.  Penampilan sulung TLDM juga mencipta sejarah membanggakan negara kerana merupakan pelayar tempatan pertama berjaya muncul johan BIYC yang selama ini dimonopoli oleh peserta Australia dan Filipina. Seperti laporan media-media tempatan, kemenangan TLDM ini telah membakar semangat pelayar-pelayar tempatan untuk bersama-sama pelayar TLDM bagi mempertahankan Piala BIYC ini supaya tidak akan terlepas ke tangan pelayar luar negara lagi.

 

Kejohanan BIYC telah bermula pada tahun 2004 merupakan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kesenian Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah. Kejohanan pada tahun ini merupakan edisi ke-9 yang melibatkan penyertaan sebanyak 47 buah bot layar dari Malaysia (6), Australia (23), Kanada (2), Hong Kong (1), New Zealand (5), Belanda (1), Filipina (1), United Kingdom (6) dan Amerika Syarikat (2). Manakala kelas bot yang dipertandingkan dibahagikan kepada empat kategori iaitu IRC 1 Class, Cruising Class A, Cruising Class B dan Multihull Class.

 

Dengan semangat juang yang kental, pelayar-pelayar TLDM bersama Bot Layar Utarid dan Uranus telah membuktikan penampilan sulung mereka di dalam BIYC 2012 tidak dapat ditandingi oleh pelayar-pelayar antarabangsa yang lain dengan tempat pertama dimenangi oleh Utarid dan tempat kedua oleh Uranus bagi perlumbaan keenam-enam perlumbaan dan hanya terlepas 1 perlumbaan kepada Selma Star iaitu perlumbaan Miri – Labuan.  Keputusan keseluruhan bagi kategori IRC Class 1, tempat pertama dimenangi oleh Utarid (TLDM/Malaysia), kedua oleh Uranus (TLDM/Malaysia), ketiga Selma Star (Filipina), keempat Ulu Mulu (Sarawak/Malaysia), kelima Miri Magic II (Malaysia), keenam Zaffaz (Malaysia) dan ketujuh Double Time (Australia).

           

Majlis penyampaian Piala BIYC (Borneo Cup) dilaksanakan di Sutera Harbour Marina, Kota Kinabalu telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Tengku Zainal Adlin, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah mewakili Datuk Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan Datuk Lee Kim Shin, Pembantu Menteri Komunikasi dan Pelancongan Sarawak. Ketua Staf Markas Wilayah Laut  2, Kepten Mohd Yusri bin Haji Mohd Yunus TLDM telah mewakili Panglima Tentera Laut sebagai tetamu kehormat bagi pihak TLDM.     

Ketua Staf Markas Wilayah Laut 2, Kepten Mohd Yusri bin Hj. Mohd Yunus TLDM Bersama Krew Utarid

 

Bersama Dato Seri Tengku Zainal Adlin,
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah dan Datuk Lee Kim Shin,
Pembantu Menteri Komunikasi dan Pelancongan Sarawak

Tidak dapat dinafikan sokongan serta dorongan yang tidak berbelah bahagi oleh Panglima Tentera Laut, warga TLDM serta pengorbanan kaum keluarga membolehkan pelayar TLDM mencipta kejayaan cemerlang di dalam kejohanan peringkat antarabangsa ini.

 

Sumber: Perhubungan Awam MPL.
Artikel: Lt Kdr Chin a/l In TLDM.
Foto: PW I KOM Samsuri bin Mamat

 

 

 

Last modified on Sunday, 29 July 2012 00:11
Rate this item
(3 votes)

Paparan terbaik: Google Chrome/Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1600x900.

Top Desktop version