|
Lembaga Kawalan Sukan TLDM (LEKAS) telah ditubuhkan pada tahun 1974. LEKAS bertanggungjawab mengawal dan menyelaraskan semua aktiviti sukan TLDM supaya mutu dan pencapaian sukan dapat dipertingkatkan ke peringkat tertinggi. Laksda (B) Tan Sri K Thanabalasingan, Panglima Tentera Laut pada ketika itu merupakan individu penting yang merealisasikan penubuhan LEKAS. Beliau merupakan Pengerusi LEKAS yang pertama dan telah memberikan sokongan padu terhadap perkembangan sukan di dalam TLDM secara menyeluruh.
LEKAS merupakan majlis tertinggi jawatankuasa sukan yang menetapkan semua dasar berkaitan sukan dalam TLDM, dan dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut. Pengerusi LEKAS bertanggungjawab kepada Panglima Tentera Laut yang merupakan Penaung kepada badan ini.
Bidang tugas utama LEKAS adalah seperti berikut:
:: Merancang dan menggubal dasar sukan TLDM sejajar dengan matlamat Majlis Sukan Angkatan Tentera (MSAT).
:: Menentukan sasaran sukan TLDM.
:: Meluluskan peruntukan kewangan untuk semua jenis sukan yang diiktiraf.
:: Melantik pengerusi persatuan sukan TLDM dan JES TLDM.
:: Meluluskan cadangan yang dikemukakan oleh JES TLDM.
:: Melantik penganjur Kejohanan Mini Olimpik TLDM.
Jawatankuasa Eksekutif Sukan (JES) yang dipengerusikan oleh Assisten Ketua Staf Sumber Manusia pula diwujudkan bagi memastikan pembangunan dan pengurusan sukan TLDM dilaksanakan dengan lebih sistematik. Pemantauan terhadap semua persatuan sukan yang bernaung di bawah LEKAS dilaksanakan oleh JES agar setiap perancangan dan aktiviti persatuan berada pada landasan yang betul.
Setiap usaha yang dilaksanakan LEKAS dalam membangunan sukan TLDM secara tidak langsung telah membantu pembangunan sukan Negara. Ini terbukti apabila TLDM berjaya melahirkan ramai atlit dalam pelbagai acara sukan yang mewakili ATM dan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
|