PORTAL RASMI TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA (TLDM)

Register Login

5 CALON BINTARA DAN LASKAR TERBAIK TLDM 2012 PERINGKAT LEMBAH KLANG JALANI TEMUDUGA

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Pemilihan awal calon Bintara dan Laskar Terbaik Tahun 2012 Peringkat Lembah Klang telah diadakan di Bilik Mesyuarat Cawangan Sekretariat, Wisma Pertahanan di sini petang tadi.

Seramai lima calon terdiri daripada tiga bintara dan dua Laskar telah terpilih menjalani sesi temuduga yang berlangsung selama lebih dua jam. Calon bintara yang terpilih ialah Pegawai Waren (PW) II PRL Mohd Al Junaidi Rizal Al Kushairi, Bintara Kanan TLR Nor Haizan Abu Naim dan Bintara Kanan TMK Syed Faizal Abu Bakar; manakala calon Laskar ialah Laskar Kanan PNK Nizam Nooh dan Laskar Kanan PRL Azza Hj Alwee. 


LK TNL Nizam Nooh(Kiri) dan LK PRL Azza binti Hj Alwee(kanan) turut terpilih menjadi calon Laskar Terbaik TLDM


Tiga Ahli Panel Pemilihan Awal diketuai Pegawai Staf 1 Tadbir, Komander Ismail Othman TLDM dan dibantu Pegawai Staf 2 Istiadat, Leftenan Komander Mazlan Abu Bakar TLDM serta Pegawai Waran TLDM, Pegawai Waran I KOM (I) Nor Hashim Jantan. 

Dalam sesi temuduga tersebut, semua calon diuji dengan soalan berbentuk pengetahuan am, isu semasa dan kepakaran masing-masing.


Ahli penilai yang diketuai oleh Kdr Ismail bin Othman TLDM (Tiga dari KIri)


Dalam masa yang sama, kesemua calon turut dinilai mengikut beberapa kriteria berdasarkan penglibatan dalam aktiviti kebajikan sama ada di dalam atau di luar perkhidmatan, kegiatan sosial dan kebudayaan, kecemerlangan umum, sumbangan buah fikiran, pencapaian dalam aktiviti sukan dan jasa bakti dalam perkhidmatan. Menariknya, pemenang anugerah anggota kreatif dan berkualiti bagi suku tahun pertama, kedua, ketiga dan keempat bagi tahun 2012 turut diberi keutamaan dalam pemilihan ini.

Keputusan temuduga bagi pemilihan awal ini akan diketahui dalam masa terdekat. Calon yang berjaya akan terpilih mewakili formasi Markas Tentera Laut ke peringkat TLDM dan pemenang bagi kedua-dua kategori akan diumumkan semasa upacara perbarisan istiadat sempena Hari TLDM ke-79 yang akan disambut pada 27 April ini.


BK TME (P) Haizan dari Cawangan Kejuruteraan


Anugerah Bintara dan Laskar Terbaik TLDM merupakan sebahagian insentif yang diberikan oleh perkhidmatan sebagai ganjaran serta inspirasi untuk mereka berkhidmat dengan lebih cemerlang. Anugerah tersebut juga diberikan bagi mengiktiraf kualiti dan kuantiti sumbangan mereka yang melebihi keperluan tanggungjawab rutin. Penghargaan ini sekaligus menjadikan mereka sebagai contoh dan daya penarik kepada lain-lain anggota untuk sama-sama meningkatkan lagi taraf perkhidmatan demi mencapai matlamat organisasi.

 

 

Rujukan: 070213/07
Sumber: Perhubungan Awam Markas Tentera Laut
Artikel: P/PW II PRL Normahaily binti Mohd Nor
Jurufoto: LK I TNL Mohammad Idris bin Suradi 

 
Last modified on Friday, 08 February 2013 23:17
Rate this item
(1 Vote)

Paparan terbaik: Google Chrome/Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1600x900.

Top Desktop version