PORTAL RASMI TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA (TLDM)

Register Login

PELUMBA TLDM BERAKSI DI LTDL 2013 BERSAMA PELUMBA TERBAIK DUNIA

LANGKAWI, 24 Feb – Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 yang masuk hari ke 4 hari ini menyaksikan tiga pelumba TLDM turut beraksi pada kejohanan edisi ke-18 ini.

 

 

Laskar Kelas I Mohd Zamri Saleh, Laskar Kelas I Mohd Nor Ridzuan Zainal dan Perajurit Muda (PtM) Mohd Adiq Husaini Othman tersenarai dalam 16 pelumba Malaysia yang mewakili enam pasukan berlainan untuk memberi saingan kepada pelumba daripada lima pasukan profesional seperti Garmin Sharp (GRS-Amerika Syarikat), Astana Pro Team (AST-Kazakhstan), Orica-GreenEDGE (OGE-Australia), Blanco Pro Cycling Team (BLA – Belanda) dan Omega Pharma-Quick-Step Cycling Team (OPQ-Belgium).

 

Mohd Nor Ridzuan (mengangkat tangan) turut beraksi Zamri Saleh (lima dari kiri) menggalas cabaran negara

Kehadiran lima pasukan profesional itu serta beberapa pelumba terbaik dunia menjadikan perlumbaan kali ini lebih pantas sekaligus menjanjikan cabaran yang sengit.  Rentak kayuhan dilihat mencapai tahap maksimum kerana para pelumba bersaing sesama sendiri bagi membuktikan kejaguhan masing-masing.  Malah saingan merebut jersi Raja Pecut, Bukit, Asia dan keseluruhan sukar diramal.  Ramai pelumba dilihat mampu melakukan kejutan dan layak menyarung jersi yang menjadi rebutan itu.

 

Adiq (lima dari kiri) menyasarkan jersi individu dan lima kedudukan
terbaik
Nekad beri saingan hebat

Ketiga-tiga pelumba TLDM sebelum ini telah banyak menyertai beberapa kejohanan tempatan, kebangsaan dan antarabangsa.  Pencapaian mereka sepanjang tahun 2012 amat membanggakan dan mendapat pengiktirafan dari Persekutuan Kejohanan Lumba Basikal Malaysia (PKLBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) malah Mohd Zamri dan Mohd Adiq Husaini terpilih menyertai Sukan Dunia Olimpik London pada 28 Jul – 25 Ogos 2012.

 Sementara itu, PtM Mohd Adiq yang baru pulang dari Jelajah Qatar baru-baru ini memberitahu, beliau menyasarkan untuk memenangi jersi bagi kategori individu serta berpasukan dan berharap dapat mengekalkan prestasi terbaik beliau pada perlumbaan kali ini.         

 

Perlumbaan yang bertemakan ‘Kehangatan Kembali’ menampilkan 22 pasukan profesional dan amatur dari luar dan dalam negara dengan menampilkan jaguh-jaguh bertaraf dunia yang bakal menggalas cabaran untuk merebut gelaran juara.  Kejohanan kali ini melibatkan 10 peringkat perlumbaan yang meliputi jarak sejauh 1,469.7 kilometer bagi merebut hadiah berjumlah lebih RM950,000.  Kejohanan yang berlangsung selama 10 hari itu telah bermula 21 Februari lalu dan akan berakhir 2 Mac depan.

Rujukan : 240213/02
Sumber : Perhubungan Awam Markas Tentera Laut 
Artikel : PW II PRL Normahaily Mohd Nor 
Jurufoto : LK TNL Adi Akram Abdul Rahman 

Last modified on Thursday, 28 February 2013 14:28
Rate this item
(3 votes)

Paparan terbaik: Google Chrome/Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1600x900.

Top Desktop version