Apr 27

PENUBUHAN PASUKAN STRAITS SETTLEMENT NAVAL VOLUNTEER RESERVE

KONSEP PASUKAN SUKARELA

Kerajaan British yang bertapak di Semenanjung berjaya mencengkam kuasa politik dan ekonomi Tanah Melayu yang dijajah, dan mengeksploit sumber asli negara ini untuk pembangunan negaranya. Usaha untuk menubuhkan satu pasukan pertahanan yang dianggotai oleh penduduk tempatan tidak dirancang, kerana ia ditanggap sebagai satu pembaziran dan boleh menjadi 'senjata makan tuan'. Walau bagaimanapun untuk menentukan kedudukan mereka di Tanah Melayu dan tanah jajahan lain lebih mantap, satu konsep untuk mempertahankan tanah jajahan telah dirumuskan. Kerajaan British sebenarnya tidak mampu mewujudkan satu pasukan tetap yang dianggotai oleh rakyat British khusus untuk mempertahankan tanah jajahan takluknya. Oleh yang demikian, pada penghujung abad ke-19 orang awam di Tanah Melayu telah mula diambil masuk berkhidmat dalam pasukan sukarela untuk pertahanan setempat. Markas-markas pasukan sukarela telah ditubuhkan di setiap negeri Tanah Melayu dan Singapura untuk mentadbir sukarelawan tersebut. Di awal abad ke 20, perjawatan untuk rakyat biasa bangsa Melayu di dalam perkhidmatan kerajaan adalah terhad. Oleh yang demikian, pemuda-pemuda Melayu telah mengambil kesempatan berkhidmat dalam pasukan sukarela. Di samping itu orang Melayu mempunyai perasaan nasionalisme yang tebal dan sanggup berjuang menyabung nyawa mempertahankan negaranya. Tambahan pula kebudayaan Melayu memberi penghargaan dan penilaian yang tinggi kepada mereka yang sedia berkorban demi keselamatan watan dan kesejahteraan rakyat, sebagai mencerminkan warisan semangat kepahlawanan Melayu. Dari peringkat awal lagi struktur pasukan sukarela memperlihatkan keanggotaan pegawai yang terdiri dari rakyat British, sementara peringkat lain-lain pangkat dianggotai oleh anak tempatan.


PENINGKATAN KEKUATAN PERTAHANAN

Setelah Perang Dunia Pertama tamat, keadaan politik dunia masih tidak stabil. Pergolakan di Benua Asia bertambah hangat apabila negara Jepun mula membangun kekuatan dan mempertingkatkan keupayaan bala tenteranya. Jepun juga mengambil langkah mengubah falsafah negaranya dan sekaligus merancang untuk menjadi satu kuasa besar di rantau Asia supaya setanding dengan kuasa-kuasa Eropah. Kejayaan tentera Jepun bertapak di tanah besar Asia, khususnya setelah berjaya mengalahkan armada Russia, telah mengubah tanggapan bahawa kuasa kulit putih tidak boleh dikalahkan oleh kuasa Asia. Bahkan kemenangan itu telah memberi rangsangan untuk tentera Jepun terus mara ke beberapa wilayah di Asia. Sementara itu kerajaan tentera di Jepun telah digesa oleh rakyatnya supaya bersikap lebih tegas terhadap Kerajaan British dan Amerika, terutamanya mengenai hasrat kedua-dua kuasa itu hendak menghalang Jepun dari meluaskan kuasanya ke negara-negara lain di Asia. Berdasarkan tafsiran pergolakan dalaman di Jepun, kuasa-kuasa barat yakin di atas hasrat negara itu hendak menguasai timur jauh dan Asia Tenggara.


PENUBUHAN PASUKAN STRAITS SETTLEMENT NAVAL VOLUNTEER RESERVE

Oleh kerana keadaan politik semasa yang bergolak, bermula dari tahun 1920 hingga 1931 beberapa cadangan telah disarankan oleh pihak Royal Navy dan pegawai-pegawai tempatan supaya ditubuhkan satu pasukan simpanan sukarela tentera laut demi menampung pertahanan perairan Tanah Melayu. Pada tahun 1926 satu skim dikemuka untuk menubuhkan Pasukan Royal Naval Volunteer Reserve (RNVR) bagi seluruh Tanah Melayu, yang menelan belanja sebanyak $260,000.00. Cadangan tersebut tidak dilaksanakan kerana kekurangan wang. Sebagai alternatif, pada bulan Februari 1932 Pemerintah Tertinggi Tentera di Tanah Melayu (GOC Malaya) dengan persetujuan Ketua Tentera Laut (Captain-in-Charge) di Singapura telah mencadangkan Skim Pasukan Royal Naval Volunteer Reserve untuk Negeri-Negeri Selat sahaja. Di antara butir-butir cadangan itu adalah seperti berikut:

1. Buat permulaan pasukan sukarela simpanan ditubuhkan untuk Singapura sahaja dan akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat. Pasukan tersebut dinamakan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve Singapura.

2. Bilangan anggotanya terhad kepada 18 pegawai British dan 54 anggota lain-lain pangkat berbangsa Melayu. Bilangan ini kemudian akan diperbesarkan kepada 50 pegawai dan 200 anggota lain-lain pangkat dalam tempoh 4 tahun.

3. Satu unit bagi Pulau Pinang akan ditubuhkan kemudian, iaitu selepas penubuhan unit di Singapura disempurnakan.

4. Kerajaan Negeri-Negeri Selat dikehendaki membeli dua buah kapal kecil untuk latihan, sementara Admiralty London dikehendaki memberikan pinjaman peralatan khas.

5. Admiralty London dikehendaki meminjamkan sebuah sekoci untuk latihan di pelabuhan dan senggaraannya akan ditanggung melalui Colonial Government Local Defence Vote.

6. Pentadbiran pasukan tersebut diletakkan di bawah GOC Malaya dan beliau dikehendaki mendapatkan peruntukan kewangan bagi mengurus, dari Colonial Government Local Defence Vote. Ketua Tentera Laut di Singapura dipertanggungjawabkan dalam pengurusan harian pasukan itu.

7. Jurulatih pasukan terdiri dari seorang Pegawai Royal Navy yang telah bersara dan dua orang Chief Petty Officer (CPO) dari Royal Navy. Dalam cadangan asal, pembangunan pasukan sukarela akan terlaksana dalam tempoh 4 tahun. Tetapi oleh kerana gesaan Ketua Tentera British di negeri China (China Fleet Commander), kesemua perjawatan pasukan Straus Settlement Naval Volunteer Reserve Singapura telah dipenuhkan menjelang tahun 1934. Di antara tahun 1937 dan 1938, Gabenor British telah mencadangkan supaya pasukan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve diperbesarkan umuk merangkumi pertahanan perairan Johor. Seterusnya beliau juga mencadangkan supaya satu pasukan ditempatkan di Pulau Pinang dan satu unit kecil pula ditempatkan di Port Swettenham bagi menjaga perairan Selangor dan Negeri Sembilan. Cadangan pembesaran itu telah mendapat persetujuan semua pihak termasuk kerajaan Negeri-Negeri Melayu yang membantu membiayai pasukan tersebut. Walau bagaimanapun, oleh kerana anomali di dalam Colonial Defence Act 1931, Pasukan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve hanya ditempatkan di Negeri-Negeri Selat sahaja, walaupun pada hakikatnya diberi kuasa bergerak di dalam perairan Negeri-negeri Melayu. Pasukan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve cawangan Pulau Pinang telah ditubuhkan pada bulan Oktober 1938. Ia dianggotai oleh 20 orang pegawai dan 100 orang anggota lain-lain pangkat, dan cawangan itu diletakkan di bawah pentadbiran Pegawai Memerintah Straits Sealement Naval Volunteer Reserve di Singapura.


PASUKAN STRAITS SETTLEMENT NAVAL VOLUNTEER RESERVE SINGAPURA

Pasukan Straits Setllemenr Naval Volunteer Reserve (SSNVR) Singapura telah ditubuhkan pada 27hb April 1934. 3 Pegawai Memerintahnya yang pertama ialah Commander L.A. W. Johnson MVO, RN. Beliau dibantu oleh dua orang jurulatih dari Royal Navy. Seorang jurulatih Melayu, Sergeant Major Adnan bin Raji dari Straits Settlement Volunzeer Corps (SSVC) telah dipinjamkan untuk menjadi jurulatih kawad, dengan menyandang pangkat Chief Petty Officer. Sebagaimana yang telah dinyatakan, penubuhan Pasukan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve telah dipercepatkan. Semasa anggota-anggota baru diambil, pasukan itu masih belum memiliki kapal sendiri. Justeru itu anggota-anggota baru seramai 25 orang pegawai dan 150 anggota lain-lain pangkat telah ditempatkan di Markas Straits Settlement Volunteer Corps di Beach Road, Singapura. Latihan amali telah dijalankan di atas kapal SS SEA BELLE Ir.


KAPAL-KAPAL STRAITS SETTLEMENT NAVAL VOLUNTEER RESERVE SINGAPURA

Pada 18hb Februari 1935 kerajaan British telah bersetuju memberi sebuah kapal yang sedang digunakan oleh Royal New Zealand Navy untuk kegunaan latihan anggota Straits Settlement Naval Volunteer Reserve. Kapal itu ialah dari kelas Flower Corvette seberat 2,000 ton dan ditauliahkan dengan nama HMS LABURNUM. la dilengkapi dengan berbagai peralatan yang perlu untuk latihan. Beberapa peralatan HMS LABURNUM telah ditanggal dan ditempatkan di Gudang Nombor 2 di Teluk Ayer Basin untuk kegunaan latihan amali. Di antara peralatan itu ialah penangkis ranjau, meriam three-pounder dan meriam 4.7 inci. HMS LABURNUM akhirnya telah dijadikan markas, pusat latihan, dan pejabat bagi pengurusan anggota-anggota Straits Settlement Naval Volunteer Reserve Yang dipindahkan dari Markas Straits Settlement Volunteer Corps.


TAMBAHAN KAPAL-KAPAL LATIHAN UNTUK PASUKAN STRAITS SETTLEMENT NAVAL VOLUNTEER RESERVE SINGAPURA

Selain dari HMS LABURNUM sebuah kapal kecil yang dinamakan PENYENGAT telah digunakan untuk melatib rekrut dalarn ilmu pelautan dan pelayaran. Pada tahun 1937, dua buah motor launch HMS PANGLIMA dan HMS PAHLA WAN yang berukuran 75 kaki panjang dan mampu bergerak lebih laju dari PENYENGAT telah dimasukkan ke dalam perkhidmatan untuk latihan anggota-anggota Straits Settlement Naval Volunteer Reserve, Singapura. Kapal-kapal tersebut telah dibina di Limbungan Thornycroft Singapura. Setelah ditauliahkan oleh Admiralty London, persenjataan kapal-kapal tersebut ditambah, termasuk pemasangan Lewis Gun, kerana ia kemudian digunakan sebagai kapal peronda pesisir pantai. Anak-anak kapalnya terdiri dari pegawai-pegawai dan anggota-anggota Straits Settlement Naval Volunteer Reserve, Singapura.


PERASMIAN HMS LABURNUM

Pada 27hb April 1934 acara perasmian HMS LABURNUM dan Pasukan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve Singapura telah dilancarkan. Dalam satu perbarisan besar-besaran pagi itu, pegawai, anggota dan jurulatih Straits Settlement Naval Volunteer Reserve, Singapura telah mengambil bahagian. Diantara para jemputan kenamaan dalam upacara itu ialah GOC Malaya General Lewin, Setiausaha Tanah Jajahan G.L. Ham, dan Captain M.R.J. Scott RN, berserta orang-orang kenamaan Singapura yang lain.


LATIHAN ASAS

Latihan seperti berikut dijalankan di HMS LABURNUM:

1. Cawangan Pelaut - Dijalankan sekali seminggu pada hari Jumaat. Perkara yang diajarkan ialah ilmu Pelautan, Navigasi, Persenjataan, Menangkis Ranjau, dan Berkawad.

2. Cawangan Komunikasi Bendera (Visual Signal). Dijalankan sekali seminggu pada setiap hari Jumaat. Perkara yang diajarkan ialab Manoeuvring Exercise, Flashing Semaphore dan kibaran bendera. Manakala Wireless Telegraphist dijalankan dua kali seminggu, iaitu pada hari Selasa dan Jumaat.

Di antara jurulatih yang memberi tunjuk ajar kepada anggota-anggota Straits Settlement Naval Volunteer Reserve, Singapura ialah Sub-Lieutenant Clarke RN, dalam mata pelajaran menembak dan menyenggara meriam; MCPO Hull dalam mara pelajaran Ilmu Pelautan dan Menangkis Ranjau; MCPO Marshall dalam mata pelajaran Isyarat Visual dan Hubungan Wireless; dan CPO Adnan Raji dalam mata pelajaran cara-cara menggunakan senjata kecil dan berkawad. Selain dari bertugas sebagai jurulatih, CPO Adnan Raji juga dilantik sebagai Master-at-Arms, dan penyimpan rekod perkhidmatan anggota Straits Settlement Naval Volunteer Reserve, Singapura. Sekali dalam sebulan beberapa anggota yang terpilih daripada tiap-tiap divisyen dikehendaki menjalani latihan menangkis ranjau di HMS FASTNET yang dipinjamkan oleh HMS TERROR. Latihan di laut selama seminggu dalam satu-satu masa bagi semua cawangan telah juga dijalankan di atas kapal-kapal Royal Navy. Di antara kapal-kapal yang terlibat ialah HMS ABBINGDON, HMS DUNCAN, HMS DRAGONFLY, HMS GRASSHOPPER dan HMS SCARAB. Anak-anak kapal IIMS PANGLIMA dan HMS PAHLAWAN pula telah mengambil kesempatan untuk menjalani latihan ilmu pelayaran dan pelautan semasa membuat rondaan di kawasan Mersing, Endau, Terengganu, Kuantan, Melaka dan Pulau Pinang. Apabila HMS PANGLIMA dan HMS PAHLAWAN berada di pangkalan pada tiap-tiap hari Selasa, alat perhubungan wireless kapal digunakan untuk latihan dengan pasukan Johor Military Force yang mempunyai stesen pemancar di Johor Bahru, Mersing dan Endau. 6 Tahap kemahiran dan kecekapan anggota-anggota semboyan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve, Singapura telah meningkat hasil dari latihan yang berterusan itu. Ramai diantara mereka telah meningkat hingga ke pangkat Chief Petty Officer, iaitu pangkat yang tertinggi dapat dicapai oleh anggota Straits Settlement Naval Volunteer Reserve Singapura pada ketika itu.


LATIHAN INTENSIF DI KAPAL

Menjelang tahun 1938 apabila berita akan tercetusnya perang semakin nyata, anggota-anggota Straits Selllement Naval Volunteer Reserve Singapura telah memulakan latihan tambahan dua kali seminggu pada sebelah malam di kapal-kapal milik Straits Settlement Naval Volunteer Reserve Singapura. Commander V.E. Ward, RNVR (pesara Royal Navy) telah dilantik menjadi Pegawai Memerintah pasukan yang baru dan Sub-Lieutenant K.R. Tohmie RN, dilantik menjadi Pegawai Bekalan.


PASUKAN STRAITS SETTLEMENT NAVAL VOLUNTEER RESERVE PULAU PINANG

Setelah Pasukan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve Singapura di HMS LABURNUM berjalan lancar, satu cawangan baru telah ditubuhkan di Pulau Pinang dalam bulan Oktober 1938.11 Cawangan itu berpangkalan di Sungai Gelugor, Pulau Pinang dan diletakkan di bawah pemerintahan Commander Alexander RN, dibantu oleh Sub-Lieutenant Hall RNVR, dan CPO Mohd Rais yang dipinjamkan dari cawangan Singapura. Pada mulanya cawangan tersebut dinamakan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve Pulau Pinang. Walau bagaimanapun tidak lama kemudian namanya ditukar kepada Pasukan Malayan Royal Naval Volunteer Reserve Pulau Pinang. Kapal HMS PANJI dan Singapura telah dibawa ke Pulau Pinang untuk kegunaan latihan amali anggota-anggota Malayan Royal Naval Volunteer Reserve di cawangan itu. Beberapa orang anggota, termasuk jurulatih dari HMS LABURNUM telah ditukarkan ke cawangan Pulau Pinang. Pada tahun 1940 dua buah kapal ronda dan lima buah kapal penyapu ranjau, termasuk HMS TRANG dan HMS JERAM telah ditempatkan di Pulau Pinang. Seorang anggota lain-lain pangkat di cawangan Pulau Pinang yang kemudiannya menjadi terkenal di dalam Pasukan Force 136 ialah Mohd Zain bin Hussain. Beliau ialah seorang anak watan yang pertama menerima tauliah sebagai pegawai Malayan Royal Naval Volunteer Reserve dalam Perang Dunia Kedua, tetapi tauliahnya hanya diterima pada tahun 1946 di Pulau Belakang Mati, Singapura.


KERAHAN TENAGA

Oleh kerana peperangan di Eropah telah meletus, Kerajaan British telah mengambil keputusan menggunakan seberapa ramai tenteranya untuk mempertahankan tanah air mereka. Rakyat tempatan yang telah diberi latihan melalui pasukan simpanan sukarela telah diberi kesempatan memainkan peranan untuk mempertahankan tanah air sendiri. Kapal-kapal dagang yang didaftarkan di United Kingdom atau tanah jajahan British telah diambil alih, diubahsuai dan dilengkapi dengan machine gun, atau alat penyapu ranjau untuk tugas rondaan dan pertahanan perairan Tanah Melayu. Nakhoda dan pegawai-pegawai kapal dagang juga dikerah tenaga. Nakhoda kapal kecil ditauliahkan dalam pangkat Lieutenant dan nakhoda kapal besar diberi pangkat sama ada Lieutenant Commander atau Commander mengikut saiz kapal. Pada 4hb September 1939, anggota Straits Settlement Naval Volunteer Reserve telah dikerah tenaga untuk bertugas sepenuh masa. Pada ketika itu kedua-dua cawangan pasukan, iaitu HMS LABURNUM dan Malayan Royal Naval Volunteer Reserve Pulau Pinang telah mempunyai keanggotaan seramai 650 orang pada bulan September 1940 dan 740 orang pada bulan Mac 1941.Kesemua anggota tersebut telah bertugas di beberapa buah kapal kecuali segelintir sahaja yang bertugas di pangkalan.

Read 1978 times Last modified on Sunday, 24 April 2016 17:14

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 212

Semalam 416

Bulan ini 14212

Keseluruhan 280661

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM