Apr 19

PENUBUHAN ROYAL NAVY MALAY SECTION

KEKURANGAN ANGGOTA TENTERA LAUT

Orang-orang Melayu biasa dengan kehidupan dan aktiviti yang berteraskan maritim kerana masyarakat asal memang tinggal di hulu atau hilir sungai, pesisiran pantai dan mencari rezeki di laut. Apabila Kerajaan British memberi peluang kepada anak-anak watan untuk mempertahankan perairan Tanah Melayu, sambutan yang diberikan oleh orang Melayu amat menggalakkan. Walaupun bayangan akan tercetusnya peperangan di rantau ini amat nyata, tetapi Kerajaan British lebih memberi keutamaan kepada pertahanan negaranya sendiri. Justeru itu tidak ada persiapan yang konkrit dibuat bagi menghadapi serangan tentera Jepun. Walau bagaimanapun usaha mengambilalih kapal-kapal dagang Syarikat Straits Steamship telah dilakukan, tetapi masalah kekurangan anggota untuk mengendali kapal-kapal tersebut tidak dapat diselesaikan.

Anggota pasukan Malayan Royal Naval Volunteer Reserve telah pun dikerah bertugas sepenuh masa, tetapi langkah itu masih tidak dapat menyelesaikan masalah kekurangan anggota. Oleh yang demikian Kerajaan British terpaksa membuat pengambilan anggota-anggota baru yang kesemuanya terdiri daripada belia Melayu. Pasukan itu ditubuhkan pada bulan September 1939 dan dikenali sebagai Royal Navy Malay Section atau nama ringkasnya Royal Malay Navy, atau lebih singkat lagi dikenali sebagai Malay Navy sahaja.


KEMAMPUAN BELlA MELAYU DI DALAM PERKHIDMATAN TENTERA LAUT

Kesediaan Kerajaan British menubuhkan Pasukan Royal Navy Malay Section yang keseluruhannya dianggotai oleh belia-belia Melayu ialah kerana telah terbukti kesanggupan dan kemampuan serta semangat kesukarelawan orang Melayu di dalam Pasukan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve. Pentadbiran dan dasar Pasukan Royal Malay Navy adalah berbeza dengan Pasukan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve. Pasukan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve ditadbir dan dibiayai oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat, sementara Pasukan Royal Malay Navy dibiayai oleh kerajaan British. Walau bagaimanapun anggota-anggota Pasukan Royal Malay Navy tidak bertugas di atas kapal-kapal perang British, kecuali untuk latihan dan situasi tertentu sahaja.


PEGAWAI-PEGAWAI PASUKAN MALAY NAVY

Lieutenant Commander H. Vickers RN, seorang pegawai Royal Navy Lelah dilantik sebagai Pegawai Memerintah Royal Navy Malay Section yang pertama, merangkap Pegawai Memerintah HMS PELANDOK, iaitu berek dan pusat latihan pasukan tersebut. Mengikut keterangan bekas anggota-anggota Pasukan Royal Malay Navy, Vickers telah berusaha dengan gigih untuk membangunkan pasukan tersebut walaupun dengan peruntukan kewangan yang terhad. Pegawai Laksana HMS PELANDOK yang pertama ialah Lieutenant Spilman, RN. Bagi mentadbir HMS PELANDOK, pegawai-pegawai ini telah dibantu oleh beberapa orang jurulatih yang dipinjamkan dari Pasukan Malayan Royal Naval Volunteer Reserve Dan Royal Navy.


LIEUTENANT COMMANDER H. VICKERS, RN

Lieutenant Commander H. Vickers RN. ialah seorang pegawai Royal Navy yang dilantik menjadi Pegawai Memerintah Royal Malay Navy yang pertama. Beliau telah dipertanggungjawab menubuhkan pasukan Royal Malay Navy di Singapura yang terdiri dari pemuda-pemuda Melayu. Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah menunjukkan sikap tanggungjawab yang cekal, tegas, rajin dan mudah bergaul mesra dengan semua peringkat. Kebolehan beliau bertutur bahasa Melayu dengan baik memudahkannya memberi galakan dan perangsang dengan lebih tepat kepada anggota-anggota Melayu di bawah jagaannya.

Ketika HMS PELANDOK diserang oleh Tentera Udara Jepun pada 11 Februari 1942, Lieutenant Commander Vickers telah memimpin anggota-anggota Pasukan Royal Malay Navy untuk bertahan walaupun dengan kemampuan senjata terhad. HMS PELANDOK telah musnah sama sekali dalam serangan tersebut dan beberapa orang anggota Pasukan Royal Malay Navy telah cedera dan terkorban. Lieutenant Commander Vickers telah belayar meninggalkan Singapura menaiki HMS SIANG WOH pada malam 14 Februari 1942 bersama beberapa orang anggota Pasukan Royal Malay Navy. Kapal itu telah dibom ketika berada berhampiran Pulau Bangka, Sumatra dan beliau dikatakan telah terbunuh semasa berada di pulau tersebut.


PENGAMBILAN REKRUT

Hampir kesemua pemuda Melayu yang masuk berkhidmat dalam Pasukan Royal Malay Navy berumur dalam lingkungan 16 ke 20 tahun. Mereka kebanyakannya mendapat pendidikan Sekolah Melayu hingga darjah lima, yang ketika itu boleh digunakan sebagai kelayakan menyertai kelas latihan guru. Ada juga di antaranya yang memiliki Sijil Junior Cambridge dan ada pula yang telah menduduki peperiksaan Senior Cambridge.

Rekrut kumpulan pertama kira-kira seramai 30 orang bekerja sebagai kelasi, serang dan penjaga jentera di bawah kelolaan Boom Defence Office (BDO) di Loyang, Singapura. Mereka mempunyai kemahiran di bidang masing-masing yang amat diperlukan ketika itu. Di antara anggota-anggota perintis itu termasuklah Nasron, Hashim dan Omar. Merekalah anak Melayu yang julung kali berjaya meningkat hingga ke pangkat Leading Seaman dan kemudian meniadi jurulatih Pasukan Royal Malay Navy. Menjelang hujung tahun 1939, kira-kira seramai 400 orang anak watan dari Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak berkhidmat di dalam Pasukan Royal Malay Navy.

Proses pengambilan rekrut sangatlah mudah. Bakal rekrut ditemuduga di Pejabat-Pejabat Daerah atau pejabat-pejabat kerajaan di tempat mereka rnasing- masing. Pemuda-pemuda yang lulus temuduga diberi waran keretapi ke Johor Bharu. Mereka kemudian dibawa ke HMS PELANDOK di Singapura dengan pengangkutan tentera. Dalam tahun pertama penubuhannya, kemudahan asas bagi Pasukan Royal Malay Navy amat terhad kerana Kerajaan British tidak mahu membebankan kedudukan kewangan yang telah sedia genting. Namun begitu, sebuah pangkalan berasingan telah dibina khas untuk menempatkan anggota-anggota Pasukan Royal Malay Navy. Pangkalan tersebut terletak di kawasan Naval Base berhampiran dengan King George V Dry Dock dan ditauliahkan dengan nama HMS PELANDOK. Ia terdiri dari beberapa bangunan yang berdinding dan bertiang tinggi. Kesemuanya ada lima buah bangunan asrama (diberi nama Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak), sebuah pejabat pentadbiran, sebuah asrama jurulatih dan sebuah padang kawad. Selain dari itu ia dilengkapi juga dengan bilik-bilik darjah, kantin dan stor. Setiap asrama boleh memuatkan kira-kira antara 60 hingga 80 orang pelatih.

Di dalam bangunan asrama terdapat katil-katil bertiang besi dan berlantaikan 3 keping kayu. Sementara di bawah bangunan asrama (kecuali asrama Kelantan dan Johor) dijadikan bilik kuliah untuk kegunaan pelatih. Di bawah asrama Kelantan dijadikan ruang kantin, dan di bawah asrama Johor dijadikan stor pakaian dan alat kelengkapan. Kelengkapan penginapan dan sajian tidaklah begitu sempurna. Pelatih-pelatih tidak dibekalkan dengan peralatan asas seperti tilam, bantal, kelambu atau kain selimut. Di awal penubuhan Royal Malay Navy, ramai bekas anggota-anggota Straits Settlenent Naval Volunteer Reserve yang turut masuk berkhidmat. Perkhidmatan mereka ialah secara kontrak tahun demi tahun (Non-Continuous Service NCS).


LATIHAN REKRUT

Biasanya tempoh latihan rekrut ialah selama 3 bulan. Tetapi oleh kerana beberapa faktor tertentu, tempoh latihan itu telah dikurangkan, terutama bagi kumpulan rekrut yang diambil sebelum perang meletus. Rekrut-rekrut dilatih oleh beberapa orang jurulatih Royal Navy dan Malayan Royal Naval Volunteer Reserve termasuk beberapa orang jurulatih Melayu. Latihannya ialah bidang kawad, ilmu pelautan, persenjataan, navigasi dan komunikasi.

Selepas menjalani latihan asas, rekrut Royal Malay Navy diberi latihan lanjut di kapal-kapal Armed Merchant Ship atau kapal-kapal perang Royal Navy. Ada juga yang ditugaskan di bawah kelolaan 8001 Defence Office, Extended Defence Office, Stesen Wireless Krunji dan di Chang Point.


GAJI BULANAN

Gaji bulanan anggota-anggota Pasukan Royal Malay Navy yang telah tamat latihan ialah mengikut pangkat. Anggota-anggota berpangkat Able Seaman menerima $32.00, Leading Seaman $36.00, Petty Officer Seaman $40.00, Chief Petty Officer Seaman $44.00, Able Telegraphist $36.00, Leading Telegraphist $40.00, dan Petty Officer Telegraphist $44.00.

Gaji yang diterima oleh anggota Royal Malay Navy adalah jauh lebih rendah dan gaji anggota-anggota Royal Navy dalam pangkat yang sama. Namun begitu jika dibandingkan dengan pekerja awam di Tanah Melayu dan Singapura ketika itu, gaji anggota Pasukan Royal Malay Navy adalah lebih tinggi. Malah gaji anggota Royal diterima oleh anggota Royal Malay Navy berpangkat setaraf.


TUGAS MEMASAK

Semasa berkhidmat di kapal (terutama di kapal kecil), anggota-anggota Pasukan Royal Malay Navy terpaksa berkongsi memasak sendiri. Memang terdapat banyak perbezaan di antara makanan anak Melayu dengan anggota-anggota bangsa British kerana makanan mereka disediakan oleh tukang masak bangsa Cina.

Sungguhpun terdapat beberapa masalah berhubung dengan sajian makanan kerana budaya yang berbeza, tetapi kebajikan anggota-anggota Pasukan Royal Malay Navy sentiasa diambil berat oleh pihak Admiralty London dan mereka digalak menjalankan amalan yang dituntut oleh agama Islam tanpa halangan dari pegawai-pegawai British. Pihak British pernah menugaskan seorang jurulatih Royal Navy berpangkat Pety Officer untuk mengiringi anggota-anggota Pasukan Royal Malay Navy ke masjid pada setiap hari Jumaat.


AKTIVITI SUKAN

Satu lagi perkara penting yang diawasi oleh Pegawai Memerintah dan jurulatih HMS PELANDOK ialah di bidang sukan dan rekreasi. Walaupun latihan di HMS PELANDOK adalah untuk menghadapi peperangan, namun aktiviti sukan juga dijalankan. Di antara kemudahan sukan yang disediakan ialah permainan hoki, bola sepak, sepak takraw dan renang. Pemain pasukan hoki dan bola sepak HMS PELANDOK terdiri dari jurulatih British dan anggota-anggota Pasukan Royal Malay Navy.


KEBOLEHAN BELlA MELAYU

Walaupun kerjaya di dalam tentera laut masih baru namun belia Melayu telah dapat menyesuaikan diri dalam bidang yang mereka terokai. Dari sikap gigih, tekad dan keazaman yang kuat, mereka dapat membuktikan kepada pihak British bahawa apa jua tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dapat disempurnakan. Kesetiaan dan disiplin belia-belia Melayu telah meyakinkan pihak British untuk terus melatih pasukan itu, seolah-olah ia sebahagian dari pasukan tentera lautnya sendiri.


KENAIKAN PANGKAT

Walaupun semua kuliah dan arahan disampaikan dalam bahasa Inggeris, tetapi belia-belia Melayu telah dapat mengikuti latihan dengan jayanya, kerana mereka dapat menguasai bahasa tersebut. Mereka juga berjaya menjalani latihan lanjutan selama tiga bulan di kapal-kapal perang Royal Navy. Satu lagi faktor penting yang telah diperagakan oleh anggota-anggota Pasukan Royal Malay Navy ialah keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan penuh mesra dan harmoni dengan kelasi-kelasi bangsa British sambil menggarapi cara hidup di laut. Kecekapan pernuda Melayu sebagai kelasi, lebih-lebih lagi sebagai telegrafis di kapal amat menggalakkan sekali. Ramai askar Melayu yang berjaya dinaikkan ke pangkat Leading Rare hanya setelah berkhidmat tiga bulan di kapal. Ada juga anggota-anggota yang terus dilantik menjadi jurulatih kepada anggota baru selepas tahun 1940. Di antara mereka ialah Leading Seaman Isa bin Zakaria, Leading Seaman Manaf bin Basir, Leading Seaman Lam sah, Leading Seaman Hashim bin Othman dan Leading Seaman Janian bin Wahid.

Mulai tahun 1941 pangkat Petty Officer diperkenalkan kepada Pasukan Royal Malay Navy dan ia dianugerahkan kepada mereka yang berjaya menamatkan kursus tarnbahan selama beberapa minggu di atas kapal Royal Navy. Di antara tahun 1941 hingga 1942 beberapa orang anggota dinaikkan ke pangkat Acting Petty Officer. Mereka termasuk Johari bin Md Amin, Nasron bin Asral, Jantan bin Wahid, Abdul Rahman bin Hj Yusof, Lamsah, Melan bin Suradi, Kamis bin Mohamed, Bakar, Syed Halim bin Syed Hasan, dan Hamzah.


PEMBESARAN PASUKAN MALAY NAVY

Pada pertengahan tahun 1940, pihak Admiralty London telah menambah bilangan anggota Pasukan Royal Malay Navy. Sehingga akhir tahun 1940 anggota Royal Malay Navy berjumlah seramai 800 orang. Penambahan anggota pasukan ialah sebagai persediaan untuk menghadapi Perang Dunia Kedua yang sedang melanda negara-negara Asia. Di samping itu Royal Navy juga sedang menghadapi kekurangan anggota di pangkalan tentera lautnya di Singapura.

Pengambilan rekrut baru pada akhir tahun 1941 telah meningkatkan kekuatan pasukan Royal Malay Navy kepada 1415 orang. Kebanyakan rekrut yang diambil hanya diberi latihan secara singkat sahaja. Malah ada di antara mereka terus ditugaskan berkhidmat di kapal Royal Navy dan Armed Merchant Ship tanpa menjalani latihan sama sekali kerana menghadapi suasana perang.

Semasa tentera Jepun mula menyerang negara-negara Asia Timur, pihak British telah mengalami kekurangan anggota pasukan tentera laut dan juga kapal perang untuk mempertahankan perairan Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Hanya ada kira-kira sebanyak 80 buah kapal sahaja yang sempat ditempatkan di Singapura. Kapal-kapal itu terdiri dari kapal dagang yang diubahsuai mengikut kehendak Royal Navy, diperlengkapi dengan meriam berkaliber 3 atau 4 inci, dan Lewis Gun. Kapal-kapal itu dikenali sebagai Armed Merchant Ship yang diambilalih oleh Royal Navy dari syarikat-syarikat perkapalan di Singapura, Sarawak dan Hong Kong. Di antara 18 hingga 20 orang anggota Pasukan Royal Malay Navy bersama anggota Royal Navy ditempatkan di setiap kapal. Walaupun bagaimanapun, hampir 400 orang anggota Royal Malay Navy pada ketika itu masih menetap di pangkalan HMS PELANDOK kerana ketiadaan kapal perang untuk mereka ditugaskan.

HMS PELANDOK telah dilengkapi dengan meriam 4 inci, Pom-Pom Gun dan juga Lewis Gun bagi tujuan menangkis serangan pesawat terbang musuh. Sungguhpun serangan yang akan dihadapi besar tetapi anggota-anggota Pasukan Royal Malay Navy tetap cekal untuk menghadapinya. Mereka menyedari bahawa senjata yang dibekalkan tidak dapat menghalang kemaraan musuh. Sebelum Perang Dunia Kedua melanda Tanah Melayu, jumlah anggota Royal Malay Navy yang berkhidmat sepenuh masa dianggarkan seramai 800 orang, kerana ada yang telah tamat kontrak perkhidmatan sebelum perang tiba.

Read 1829 times Last modified on Wednesday, 15 February 2017 13:03

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 212

Semalam 416

Bulan ini 14212

Keseluruhan 280661

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM