Apr 24

TENTERA LAUT DIRAJA MALAYA

Sejak Malayan Naval Force ditubuhkan pada 24hb Disember 1948 ia telah berkembang secara sederhana oleh kerana kekurangan wang. Namun begitu pertambahan anggotanya agak pesat. Royal Navy telah menghadiahkan beberapa buah kapal kepada pasukan itu untuk membolehkannya menjalankan tugas-tugas latihan dan operasi dalam keadaan terhad. Sebahagian besar dari pegawai-pegawai dan jurulatihnya dipinjam dari Royal Navy.


PENGURNIAAN TARAF DIRAJA

Setelah wujud kira-kira 3 tahun, Pasukan Malayan Naval Force mencatatkan satu sejarah pada 29hb Ogos 1952, apabila ia dianugerahkan taraf 'Diraja' oleh Kerajaan British. Anugerah telah dikurniakan sendiri oleh Ratu British, Queen Elizabeth II, berdasar kepada jasa-jasa serta pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh pasukan semenjak mula ditubuhkan dalam tahun 1939. Dengan penganugerahan taraf 'Diraja' itu maka semua pangkalan dan kapal-kapal Malayan Naval Force kemudiannya dikenali dengan panggilan Her Majesty Malayan Ship (HMMS). Pangkalan tunggal yang ada di Singapura dikenali sebagai HMMS MALAYA.

Serentak dengan penganugerahan taraf Diraja itu nama Malayan Naval Force telah ditukar kepada Royal Malayan Navy (RMN). Ia telah disiarkan dalam Singapore Government Gazette (Change of Name). Upacara penukaran sepenuhnya telah diadakan pada 29hb Ogos 1952 bendera putih lambang Royal Malayan Navy buat pertama kalinya dinaik untuk menggantikan bendera biru Royal Navy.

Walaupun namanya telah bertukar kepada Royal' Malayan Navy tetapi segala pentadbirannya tetap diuruskan oleh Kerajaan Singapura, Berikutan dengan perkembangan terbaharu itu, pada 16hb Oktober 1952 Flag Officer Malayan Area, Rear Admiral A.F. Pugsley CV DSO RN, telah melaporkan perkembangannya kepada Gabenor Singapura seperti berikut:

Though still in its infancy the Royal Malayan Navy making steady progress. If (there is) war tomorrow I am confident it would acquit itself well.


PEMBESARAN HMMS MALAYA

Dalam bulan julai 1953 beberapa buah bangunan tambahan di HMS MALAYA untuk kegunaan asrama dan latihan telah disiapkan, untuk menampung pengambilan rekrut baru. Sejumlah 3,000 permohonan telah diterima tetapi hanya seramai 500 orang sahaja yang dipanggil untuk temuduga untuk sepanjang tahun 1953.

Pada pertengahan bulan april 1953 lima orang anggota Royal Malayan Navy telah berangkat ke London untuk menyertai upacara pertabalan Ratu Elizabeth 11. Pertabalan itu berlansung pada 2hb Jun 1953. Kontigen itu telah diketuai oleh Lieutenant C.M.G Bankart RN. Anggota-anggota yang ikut serta ialah Chief Petty Officer Adnan bin Raji, Yeoman Mohamad Nor bin Ahmad, Petty Officer Osman bin Zakaria, Petty Officer bin Ismail bin Bujang, dan Stocker Mechanic Muk Chew Tong.


KERJAYA DALAM ROYAL MALAYAN NAVY DIPERLUASKAN

Sungguhpun Royal Malayan Navy sudah mempunyai kapal dan pangkalannya sendiri tetapi perkembangannya adalah amat terbatas. Kesemua pegawainya adalah dipinjam dari Royal Navy untuk menentukan perkembangan yang seimbang dan membimbing anak-anak tempatan dalam kerjaya mereka supaya mencapai tahap kemahiran yang diperlukan. Di samping itu belum ada dasar yang membolehkan anggota-anggota tempatan dlitauliahkan menjadi pegawai. Oleh yang demikian pihak Admiralty London telah mengubah peraturan baru bertujuan meningkatkan kerjaya anggota-anggota tempatan.

Beberapa peraturan yang berkaitan dengan Royal Malayan Navy telah diwartakan di dalam Singapore Government Gazette. Di antaranya ialah:

1. The Royal Malayan Navy (Promotion to Branch Rank) Regulation, 1953.

2. The Royal Malayan Navy (Entry of Naval Cadets) Regulation, 1953.

3. The Royal Malayan Navy (Officers Pay and Allowances) Regulation, 1954.

4. The Royal Malayan Navy (Retired Pay, Pensions, Gratuities and Other Grants) Regulation, 1955.

Pada tahun 1953 Kerajaan British telah memberikan tawaran kepada anak-anak tempatan untuk berkhidmat dengan Royal Malayan Navy sebagai pegawai dan menjalani latihan di England. Sambutan dari belia-belia tempatan amat menggalakan walaupun hanya ada enam kekosongan. Di peringkat terakhir ujian pemilihan, hanya seorang sahaja yang Berjaya terpilih, iaitu Chia Cheng Lock. Beliau mula masuk berkhidmat dengan Royal Malayan Navy pada bulan January 1954, dan dihantar ke Dartmouth, England untuk latihan lanjutan pada bulan April tahun yang sama.

Di samping pengambilan anggota-anggota kadet, Royal Malayan Navy juga mentauliahkan pegawai dari kalangan anggota-anggota bawahan melalui skim Royal Malayan Navy. Pilihan dibuat dari anggota-anggota berpangkat Chieff Petty Officer dan Petty Officer yang berkelayakan dan berkaliber. Dalam kumpulan pertama seramai lapan orang telah dipilih untuk menjalani latihan intensif selama tiga bulan sebelum dinaikkan ke pangkat Master Chief Petty Officer. Dari kumpulan ini hanya dua orang sahaja yang Berjaya ditauliahkan pada 1hb Disember 1953. Mereka ialah Ismail bin Hasan, dan Syed Halim bin Syed Abu Hasan.

Perkembangan Royal Malayan Navy dalam tahun 1953 amat ketara sekali dimana berbagai-bagai usaha telah di rancangkan untuk memajukan pasukan tersebut. Pada tahun itu terdapat sejumlah 150 rekrut, yang mana 50 dari mereka telah pun tamat menjalani latihan di akhir tahun tersebut. Di samping itu hamper 100 orang telah dianugerahkan pingat Naval General Service Medal.

Di sepanjang tahun 1954 sejumlah 5,000 surat permohonan telah diterima untuk masuk berkhidmat dalam Royal Malayan Navy sebagai rekrut. Dari jumlah tersebut seramai 71 orang telah diambil berkhidmat pada bulan Mac, sementara 95 orang lagi pada bulan Oktober. Pengambilan anggota rekrut terpaksa dihadkan oleh kerana kekurangan kemudahan asas di pengkalan. Pada tahun itu hanya seorang sahaja calon pegawai yang terpilih. Beliau ialah Charles Thong Yin Sin, yang masuk pada 1hb Jun 1954 dan mengikuti latihan di Dartmouth, England pada bulan September tahun yang sama.

Dari segi penambahan aset pula, pihak Royal Malayan Navy telah menghadiahkan sebuah kapal jenis Controlled Minelayer, yang dinamakan HMMS PENYU, dan kemudian ditukar kepada KD SRI JOHOR pada 31hb Ogos 1958. Kapal itu pernah mengambil bahagian di dalam upacara Pemeriksaan Armada Diraja oleh DYMM Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 7hb September 1958.

Read 4096 times Last modified on Ahad, 24 April 2016 14:56

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 514

Semalam 497

Bulan ini 9005

Keseluruhan 629004

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM