SANDAKAN, 25 November 2018 – Pelayar Navy Yacht Club Kota Kinabalu (NYCKK) telah menyertai Sandakan Yacht Regatta/Sandakan River Race/Sabah Close 2018 di Sandakan Yacht Club, Sandakan mulai 23 Nov hingga 25 Nov 18. Siri pertandingan ini juga merupakan sirkit terakhir dalam cabaran regatta dalam kalender Persatuan Pelayaran Sabah (SAILA) yang melibatkan semua kelab pelayaran di seluruh Sabah.

1
Para Pelayar bersiap sedia sebelum
memulakan perlumbaan

GAMBAR 2
Aksi-aksi ketika perlumbaan

Pertandingan yang bermula pada 23 Nov 18 ini telah menyaksikan Pelayar NYCKK telah menyertai Kategori Int. 470, Laser dan Optimist dengan 3 penyertaan bagi setiap kelas. Penyertaan pada siri ini juga dilihat medan yang terbaik bagi meningkatkan ilmu pelayar-pelayar muda serta dapat melahirkan pelayar yang mampu bersaing diperingkat yang lebih tinggi.

GAMBAR 3
Pasukan Penyelam MAWILLA 2 bertugas
sebagai Pasukan Keselamatan

GAMBAR 4
Antara Pemenang dari Pelayar TLDM

Dalam siri pertandingan kali ini menyaksikan pelayar-pelayar NYCKK menyapu bersih kemenangan bagi Johan, Naib Johan dan Ketiga bagi kategori Int. 470 serta Laser. Kemenangan yang dicatatkan ini mempamerkan bahawa pelayar-pelayar NYCKK berada di kelas yang tersendiri termasuklah pelayar-pelayar muda yang menyertai kategori optimist. Penyertaan pelayar-pelayar TLDM di dalam sirkit ini juga dilihat dapat membantu pembangunan sukan pelayaran di negeri Sabah khasnya dengan memberikan persaingan sihat di kalangan pelayar yang bertanding.

GAMBAR 5
Pemenang Kategori Int.470 daripada Pelayar NYCKK

6
Bergambar bersama selesai upacara penyampaian hadiah

Selain menyertai perlumbaan di dalam kejohanan ini, Pasukan Selam Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) juga berperanan sebagai Pasukan Penyelamat sepanjang kejohanan berlangsung. Peranan yang diberikan merupakan suatu kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh pihak penganjur terhadap kemampuan yang dimiliki TLDM dalam memastikan keselamatan pelayar-pelayar semasa berada di laut. Ia juga merupakan suatu sumbangan dan sokongan TLDM terhadap program-program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan negeri khususnya dalam pembangunan sukan.

Rujukan : 261118/01
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel : LK TLS Nik Amirruddin Nik Par
Jurufoto : LK TLS Nik Amirruddin Nik Par

SANDAKAN, 24 November 2018 – Warga Navy People Sandakan telah menyertai sambutan Maulidur Rasul Tahun 2018 Peringkat Daerah Sandakan yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pada hari ini.

Majlis sambutan yang dilaksanakan setiap tahun ini juga menyaksikan penyertaan daripada agensi-agensi kerajaan yang berada di Sandakan, persatuan-persatuan kemasyarakatan setempat serta beberapa Persatuan Bukan Kerajaan (NGO). Seawal jam 7.00 semua kontinjen yang mengambil bahagian serta para tetamu jemputan telah berkumpul di Padang Bandaran Sandakan. Sebelum perarakan dimulakan, penjurian bagi pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul dilaksanakan bagi menilai sepanduk-sepanduk yang telah dihasilkan oleh setiap kontinjen.

GAMBAR 1Kontinjen MAWILLA 2 yang diketuai oleh Timbalan Panglima Wilayah Laut 2

Acara perarakan telah dimulakan pada jam 7.30 pagi dengan kesemua kontinjen berjalan menyusuri bandar Sandakan sambil melaungkan selawat menuju ke Dewan Masyarakat Sandakan. Sepanjang sesi perarakan juga, para peserta Pertandingan Kompang juga mempamerkan aksi mereka dengan paluan mengikut alunan selawat yang dialunkan.

GAMBAR 2Kontinjen MAWILLA 2 berarak dengan penuh bersemangat
GAMBAR 3
Tetamu Kehormat dalam sesi perarakan

Yang Berhormat Tuan Arifin bin Asgali, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN Sekong telah merasmikan sambutan kali ini. Dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua kontinjen yang menyertai sambutan ini khususnya kepada kontinjen MAWILLA 2 dan kontinjen dari Tentera Darat Malaysia (TDM) iaitu dari Kem 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD), Sandakan. Sejurus ucapan perasmian oleh YB Tuan Arifin, para hadirin telah disajikan dengan santapan rohani melalui ceramah agama yang disampaikan oleh Penceramah Undangan yang dibawakan khas dari Palu, Indonesia. Acara sambutan pada tahun ini juga mencatakan keunikan tersendiri apabila Presiden MPS, Yang Berbahagia Datuk Peter Hii Chang Lik turut hadir memeriahkan majlis.

Dalam sambutan kali ini, Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Sandakan juga telah disampaikan. Bagi pertandingan-pertandingan yang telah dilaksanakan semasa acara perarakan, kontinjen MAWILLA 2 telah berjaya memenangi 2 kategori utama iaitu Anugerah Kontinjen Berdisiplin dan Kontinjen Peserta Paling Ramai. Di samping itu juga, sepanduk yang dihasilkan oleh MAWILLA 2 juga telah berjaya memenangi hadiah saguhati bagi kategori Sepanduk Terbaik.

GAMBAR 4Pegawai Memerintah KD SRI SANDAKAN menerima hadiah mewakili MAWILLA 2
GAMBAR 5
Sesi bergambar bersama anugerah yang dimenangi

 

Rujukan: 241118/01
Sumber: Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel: Lt Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Jurufoto: LK TLS Nik Amirruddin Nik Par

LANGKAWI 22 Nov 18 – Kapal Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) telah melaksanakan Lawatan Operasi di Pangkalan TLDM Langkawi, Markas Wilayah Laut 3 (MAWILLA 3) bermula 19 sehingga 22 Nov 18. 2 buah kapal TNI-AL yang telibat semasa lawatan iaitu KRI BUNG TOMO 357 (Corvette) dan KRI I GUSTI NGURAH RAI 332 (Frigate). Lawatan ini diketuai oleh Laksamana Pertama Irvansyah selaku Danguspurla Armada 1.

Kapal TNI-AL telah merapat di Tambatan Pangkalan Pulau Langkawi (TPPL) pada 19 Nov 18 dengan sambutan ketibaan oleh semua warga MAWILLA 3 sebagai meraikan kedatangan Tentera Laut Negara Jiran. Aktiviti lawatan diteruskan dengan acara riadah dan perlawatan persahabatan di antara TLDM dan TNI-AL dalam acara sukan Bola Tampar dan Futsal pada 20 Nov 18. Sebelum acara sukan bermula, pihak TNI-AL telah mempersembahkan tarian Ge Mu Fe Mi Re.

1KRI BUNG TOMO dan KRI GUSTI I NGURAH RAI merapat di TPPL
2
Acara sukan persahabatan di antara TLDM dan TNI-AL

Kunjungan Hormat oleh DANGUSPURLA ke atas Laksamana Pertama Mohamad Azuwan bin Harun, PANGWILLA 3 telah dilaksanakan selepas selesai acara sukan. Majlis Malam Mesra sempena Lawatan Operasi Kapal TNI-AL sebagai tanda meraikan tetamu turut diadakan di Dewan Wan Darus berkonsep barbeku dengan penglibatan pegawai-pegawai TLDM dan TNI-AL.

4DANGUSPURLA Armada 1 membuat Kunjungan Hormat ke atas PANGWILLA 3
3
Pegawai TLDM dan TNI-AL bergambar semasa Majlis Malam Mesra

Peluang tidak disia-siakan oleh warga MAWILLA 3 untuk melihat kecanggihan serta keupayaan yang terdapat di Kapal KRI BUNG TOMO dan KRI GUSTI I NGURAH RAI. Pada 21 Nov 18 beberapa orang warga MAWILLA 3 daripada setiap peringkat telah dipilih untuk membuat lawatan di kedua-dua kapal tersebut. Sesi Subject Matter Expert Exchange (SMEE) di antara pihak TLDM dan TNI-AL telah dilaksanakan dengan memfokuskan kepada Bahagian Selam yang mana aktiviti ini telah menjadi platform berguna kepada warga TLDM yang terlibat untuk berkongsi ilmu dan bertukar pendapat serta meningkatkan kemahiran bersama SME daripada TNI-AL.

Pihak TNI-AL telah menganjurkan satu Majlis Resepsi pada malam 21 Nov 18 di atas kapal KRI GUSTI I NGURAH RAI manakala pameran kebudayaan dipamerkan di atas KRI BUNG TOMO. Pengisian majlis dipenuhi dengan pelbagai persembahan kebuyaan adat resam tradisional Indonesia dan pengakhiran majlis disudahi dengan tarian Ge Mu Fe Mi Re oleh semua yang hadir. Turut hadir semasa majlis adalah Ketua-Ketua Jabatan agensi kerajaan di Langkawi.

5PANGWILLA 3 bergambar bersama Pengarah Maritim dan DANGUSPURLA
6
Persembahan kebudayaan oleh kru kapal TNI-AL

Kedua-dua kapal TNI-AL telah keluar belayar dari TPPL pada 22 Nov 18. Semua Warga MAWILLA 3 beratur di TPPL sebagai penghormatan dan tanda penghargaan ikhlas kepada pihak TNI-AL. Secara keseluruhan, Lawatan Operasi ini telah berjalan dengan lancar. Lawatan ini perlu diteruskan pada masa hadapan dalam mengekalkan hubungan kerjasama yang telah sedia terjalin antara pihak TLDM dan TNI-AL.

7Warga MAWILLA 3 beratur untuk memberi penghormatan kepada kapal TNI-AL

 

Rujukan: 231118/02
Sumber: Perhubungan Awam MAWILLA 3
Artikel: Lt Mohd Ruzuan bin Mohd Rukman TLDM
Jurufoto: LK I TLS Noor Azrul Amirullah bin Mat Zin

Lumut, 23 Nov – Perbarisan Istiadat Penghargaan Panglima Tentera Laut telah dilaksanakan di Padang Kawad KD PELANDOK, Pangkalan TLDM, Lumut. Perbarisan pada pagi ini terdiri daripada 8 Kontinjen melibatkan 25 Pegawai dan 475 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) termasuk Pengawal Medan. Ia turut disertai oleh enam Panji-panji TLDM iaitu KD PELANDOK, KD MALAYA, KD DUYONG, KD RAJAWALI, KD PANGLIMA HITAM dan SKUADRON ke-23. Perbarisan pagi ini turut disertai oleh beberapa aset TDM seperti 2 buah Helikopter FENNEC, 2 buah Helikopter SUPER LYNX, 2 buah Lori Low Loader Missile/Torpedo, 2 buah 3 Ton Digital dan 2 buah Bot RHIB PASKAL. Perbarisan penuh tradisi tentera laut ini telah dilaksanakan bertujuan memberi penghargaan kepada Panglima Tentera Laut, Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Haji Ahmad Badaruddin.

Kdr Lukman bin Hamzah TLDM yang merupakan Pegawai Staf 1 Flotila Bantuan di Cawangan Penguasa Kejuruteraan Armada (CPKA), Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut telah terpilih bagi memimpin kontinjen perbarisan pagi ini. Pegawai Waren Perbarisan pula PW 1 PNK Mohd Hishamuddin bin Kamaruddin daripada Markas Pangkalan Lumut.

Gambar 1Panglima Tentera Laut memeriksa perbarisan Navy People
Gambar 2.1

Gambar 2.2Lagenda! Ikon TLDM yang sangat dihormati dan disanjungi
Gambar 3
 Lintas Hormat oleh FENNEC dan SUPERLYNX
Gambar 4
Perbarisan Penghargaan penuh tertib oleh warga Navy People
Gambar 5
JLAKS bergambar kenangan bersama Panglima Tentera Laut
Gambar 6
Penghormatan kepada Panglima Tentera Laut
Gambar 7
Formasi 15to5 jadi simbolik gambar bagi warga Navy People di Lumut

Sedikit latar belakang Panglima Tentera Laut, beliau telah dilahirkan pada tanggal 31 Mac 1959. Beliau telah dilantik sebagai pemerintah tertinggi bagi TLDM iaitu Panglima Tentera Laut ke-16 pada tanggal 18 November 2015. Sepanjang perkhidmatan beliau selama 41 tahun, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting dalam TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia. Laksamana Tan Sri Ahmad Kamaruzaman merupakan seorang yang berwibawa, berdedikasi dan sentiasa proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab. Sepanjang berkhidmat bersama TLDM, beliau sentiasa menunjukkan kecemerlangan dan sentiasa meningkatkan potensi diri agar setiap tanggungjawab yang diberikan terlaksana dengan baik dan dapat memberi impak positif terhadap TLDM.

Dibawah pimpinannya, TLDM dan The Navy People bergerak dengan lebih profesional seiring permodenan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia. Beliau telah memperkenalkan Program Transformasi 15to5 yang menjadi titik fokus bagi TLDM untuk mengatasi isu keusangan aset serta memacu usaha dalam pemodenan TLDM. Beliau juga merupakan seorang yang peramah dan sentiasa berusaha menjalin hubungan baik dan mengekalkan diplomasi pertahanan dengan Negara serantau. Di bawah pemerintahan beliau, pelbagai aplikasi telah diwujudkan seperti Aplikasi Rasmi Royal Malaysian Navy, K3M , SEALERT dan pewujudan laporan berita Ahoy! Navy Update. Nama TLDM kian melonjak naik dengan kejayaan filem PASKAL The Movie yang diberikan perhatian khusus oleh Panglima Tentera laut ini.

Selesai perbarisan majlis diteruskan dengan majlis ramah mesra Panglima Tentera Laut bersama warga Navy People di Auditorium M. Sidek Shahbudin. Majlis ini dapat memberi peluang kepada warga Navy People untuk berinteraksi secara dekat bersama seorang pemimipin yang akan sentiasa diingati. Beliau akan kekal menjadi lagenda yang akan terpatri dalam sejarah TLDM dan kenangan.

Gambar 8.1

Gambar 8.2Ramah Mesra PTL bersama Navy People

 

Rujukan: 231118/01
Sumber: Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Artikel: Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Jurufoto: Pejabat Perhubungan Strategik MPAB

SANDAKAN, 22 November 2018 – Dalam memastikan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) dapat menilai kesiapsiagaan dan keupayaan tempur armadanya Pelayaran Sandakan Training and Readiness Exercise (STRES) yang melibatkan kapal-kapal di bawah pemerintahan Markas ini di perairan Sandakan. Latihan STRES adalah merupakan suatu pendekatan dinamik yang diilhamkan sendiri oleh Panglima Wilayah Laut 2 sebagai salah satu medium yang digunakan dalam melipatgandakan tahap kesiapsiagaan, kecekapan, dan profesionalisme warga dan aset-aset di bawah naungan MAWILLA 2.

Latihan STRES akan melibatkan kapal yang ditugaskan sebagai Kapal Bertugas Tempatan (Local Duty Ship) mengiringi kapal-kapal dari Tambatan Pangkalan Sandakan (TPS) yang akan keluar belayar melaksanakan operasi di laut. Sekurang-kurangnya 2 buah kapal akan terlibat di dalam setiap siri STRES yang akan dilaksanakan. Di dalam pelayaran latihan STRES, kapal-kapal yang terlibat akan belayar TPS ke kawasan latihan dalam keadaan bertindak mengikut masa keluar pelabuhan kapal yang akan mengikuti operasi di laut. Bagi fasa ini, kapal-kapal yang terlibat akan diuji dengan beberapa siri latihan seperti melalui kawasan periuk api, ilmu kelautan, persenjataan, komunikasi, taktik peperangan dan kecemasan. Latihan yang dilaksanakan ini adalah bertujuan bagi menguji tahap kewaspadaan dan kesiapsiagaan kru bagi menghadapi sebarang situasi ancaman dan kecemasan.

GAMBAR 1Suasana Tim Anjungan semasa Panduarah Terang dan Gelap
GAMBAR 2
Latihan Replenishment at Sea Approach (RASAP)
GAMBAR 3
Kapal di dalam formasi semasa keluar pelabuhan
GAMBAR 4
Pegawai Peperangan Atas Air memberikan arahan penembakan
GAMBAR 5
Latihan Menunda
GAMBAR 6
Simulasi penembakan Meriam
GAMBAR 7
Hot shot drill oleh Kru GPMG

Semasa latihan STRES dilaksanakan, Tim Penilai yang terdiri daripada Pegawai-Pegawai dan Bintara yang berkepakaran dari MAWILLA 2 akan ditempat di setiap kapal yang terlibat bagi menilai tahap kemahiran dan pencapaian yang dipamerkan oleh warga kapal. Setiap teguran yang dikeluarkan akan menjadi rujukan bagi kapal-kapal yang lain semasa menjalani latihan STRES yang berikutnya. Cadangan penambahbaikan terhadap teguran yang diberikan juga akan dapat dijadikan panduan oleh semua warga kapal yang terlibat bagi mempertingkatkan pengetahuan di dalam setiap evolusi yang dilaksanakan.

Latihan STRES ini juga dilihat sebagai salah satu ruang yang dapat digunakan sepenuhnya oleh Pegawai Muda dalam mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi mereka khususnya dari aspek pengendalian kapal. Latihan berulang kali yang dilaksanakan secara tidak langsung dapat membina keyakinan di kalangan pegawai-pegawai muda yang terlibat serta memberi ruang kepada mereka mempraktikkan apa yang telah dipelajari semasa berada di pusar latihan. Di samping itu, Laskar Dalam Latihan juga dapat menimba banyak pengetahuan dan pengalaman apabila mereka dilibatkan secara langsung di dalam setiap evolusi yang dilaksanakan sepanjang pelayaran STRES.

Inisiatif latihan STRES ini dilihat telah berjaya untuk menguji kesiapsiagaan operasi aset armada di MAWILLA 2 di samping mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi warga kapal dalam menangani situasi konflik di laut dan memperkasakan ilmu peperangan maritim. Ia juga membuktikan bahawa MAWILLA 2 sentiasa mementingkan kesiapsiagaan aset serta warganya dalam memberikan perlindungan keselamatan bagi menjamin kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Rujukan: 221118/01
Sumber: Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel: Lt Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Jurufoto: LK TLS Nik Amirruddin Nik Par
LK l PAP Muhammad Hazwan Hamimi bin Hamdan

Manjung, 21 Nov – Seramai 57 orang peserta dari 44 firma dari seluruh negara dan seorang wakil dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah menghadiri Mesyuarat KKM, MIDES Siri Khas 2018 yang diadakan di Hotel Ritz Garden, Manjung.

1Penyertaan Ahli KKM Teramai Untuk Siri Khas 2018

Mesyuarat dipengerusi oleh YBhg Panglima Tentera Laut, dimana Timbalan Pengerusi ialah YBhg Laksma Madya Tan Sri Ahmad Ramli bin Hj Mohd Noor (Bersara). Mesyuarat bertujuan berkongsi matlamat untuk mecapai self reliance terhadap industri pertahanan negara, berteraskan Transformasi TLDM 15to5. Sepanjang mesyuarat, PTL telah memberi strategic guidance dan juga amanat akhir YBhg Panglima Tentera Laut sebelum bersara.

2Penyampaian Strategic Guidance dan Amanat Oleh YBhg PTL
3Sesi Soal Jawab Oleh Ahli Mesyuarat

 

Rujukan: 211118/05
Sumber: Sel Industri Pertahanan Caw Pembagunan Bahagian Kejuruteraan
Artikel: Lt Kdr Muhamad Haslimin bin Mohd Nasushardin TLDM
Jurufoto: LK KOM Sayuti bin Hj Hamid

Lumut, 21 Okt – KD HANG TUAH dipilih sebagai Kapal Muzium TLDM sesuai dengan statusnya sebagai kapal tertua yang berkhidmat di dalam Armada TLDM. Majlis Pelancaran KD HANG TUAH sebagai Kapal Muzium TLDM ini telah berlangsung di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut Perak. Detik bersejarah ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Yang Berbahagia Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin dengan disaksikan oleh warga the Navy People dan tetamu jemputan daripada Boustead Naval Shipyard dan Badan Kesenian Kerajaan.

Gambar 1Ketibaan Panglima Tentera Laut di atas kapal bersejarah ini

Dalam majlis serba ringkas ini, Panglima Tentera Laut menyatakan bahawa Konsep Kapal Muzium ini bakal menjadi tarikan dengan rekabentuknya yang unik. Transformasi KD HANG TUAH sebagai sebuah Kapal Muzium TLDM yang akan mempamerkan seribu satu sejarah dan memori tentang pelayaran kapal ini bersama-sama warganya. Para pengunjung akan didedahkan dengan gambaran Nature of Operations dari segi navigasi, Operasi, Komunikasi dan Teknikal yang dilalui oleh warga kapal sewaktu beroperasi. Pada peringkat permulaan, Kapal Muzium ini akan kekal berhimpit di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) sehingga struktur penempatan kekal (permanent structural jetty) bagi Muzium TLDM siap sepenuhnya.

Gambar 2Panglima Tentera Laut berbangga dan berharap transformasi kapal ini lancar
Gambar 3
Lawatan kapal oleh Panglima Tentera Laut dan tetamu jemputan
Gambar 4
Patri kenangan. Panglima Tentera Laut bergambar bersama wakil BNS,
Pengerusi Veteran TLDM dan tetamu jemputan

Mengimbau kembali, KD HANG TUAH terkenal sebagai salah sebuah aset dalam Skuadron Frigat ke-21 yang diletakkan dalam Flotila Latihan TLDM. Kapal ini juga terlibat secara langsung dalam melaksanakan pelbagai aspek latihan di pelabuhan dan di laut khusunya untuk Pegawai Dalam Latihan (PDL) dan Laskar Dalam Latihan (LDL). Kapal ini telah berkhidmat bersama TLDM lebih dari 50 tahun dan telah belayar sejauh 500,000 batu nautika sepanjang tempoh pengoperasiannya. Dalam proses transformasi Kapal Muzium ini, KD HANG TUAH juga tidak akan dilucut tauliah demi mengekalkan kemegahan kapal ini selaku kapal tertua yang telah mencipta pelbagai kejayaan.

Dalam ucapan beliau, Panglima Tentera Laut menyatakan Transformasi KD HANG TUAH kepada Muzium TLDM akan dilaksanakan dengan kolaborasi TLDM bersama Boustead Naval Shipyard (BNS) dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan. Pembangunan Kompleks Muzium TLDM ini adalah bertepatan dengan status Bandar Lumut yang juga dikenali sebagai Bandar Tentera Laut. Kapal Muzium TLDM ini bakal mempamerkan khazanah dan warisan TLDM selain membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk mengenali dan memahami tugas TLDM secara dekat. Ia turut dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap fungsi dan tradisi yang dilaksanakan dalam TLDM sendiri.

Gambar 5Sidang Media di bahagian haluan kapal
Gambar 6
Perasmian KD HANG TUAH sebagai Kapal Muzium TLDM oleh
Panglima Tentera Laut

Majlis diakhiri dengan jamuan makan dan bacaan doa dan jamuan ringan bersama warga Navy People termasuk kru terawal KD HANG TUAH.

 

Rujukan: 211118/04
Sumber: Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Artikel: Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Jurufoto: Pejabat Perhubungan Strategik MPAB

Lumut, 21 Okt – Warga Navy People di Pangkalan TLDM Lumut hari ini menyaksikan Pelancaran Program UAS TLDM dan pelantikan rasmi Tim Nukleus yang akan mengkoordinasikan program ini. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Haji Ahmad Badaruddin disaksikan oleh Jawatankuasa Laksamana Lumut, Pegawai-pegawai Kanan dan warga Navy People yang berkhidmat di bawah naungan Markas Udara TLDM.

Selari Pelan Transformasi 15to5 yang diilhamkan oleh Yang Berbahagia Panglima Tentera Laut, TLDM bakal memiliki keupayaan Unmanned Aerial Systems (UAS) sebagai Maritime Force Multiplier bagi memperkasakan kesiagaan pertahanan maritim negara khususnya di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) dan kawasan berkepentingan negara. Berdasarkan rancangan program Maritime Security Initiative (MSI) tajaan kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi meningkatkan tahap keselamatan maritim dan interoperability negara serantau di perairan Laut China Selatan dan Lautan Sulu, TLDM telah ditawarkan 2 set sistem UAS yang dijangka dibekalkan pada suku kedua tahun 2019.

Panglima Tentera Laut berbesar hati melancarkan Program UAS TLDM ini disamping turut menyempurnakan penyerahan Sijil Pelantikan kepada Tim Nukleus yang dipertanggungjawabkan bagi menyelia dan menentukan pengoperasian UAS ini. Tim Nukleus terdiri daripada tiga orang dan diketuai oleh Lt Kdr Mohamad Nizam bin Mohamad Said TLDM yang berkepakaran Juruterbang TLDM. Tim Nukleus UAS ini akan melaksanakan segala aktiviti dan keperluan yang menjurus kepada penubuhan Skuadron UAS TLDM dan bertanggungjawab membangunkan konsep operasi UAS di bawah seliaan Bahagian Operasi dan Eksesais Markas Tentera Laut.

Gambar 1Gimik Pelancaran Program oleh Panglima Tentera Laut
Gambar 2
Replika UAS yang bakal digunakan dalam sistem kapal TLDM
Gambar 3
Tahniah Lt Kdr Nizam TLDM dilantik sebagai Ketua Tim Nukleus UAS
Gambar 4
Penerangan kepada Panglima Tentera Laut berkenaan Replika UAS
Gambar 5
Tim Nukleus UAS beroperasi secara rasmi hari ini

Dalam ucapan beliau, Panglima Tentera Laut berkata Perolehan UAS ke dalam sistem pertahanan TLDM mampu meningkatkan keupayaan pemantauan sedia ada dengan ketara. Beliau turut menjelaskan keyakinan terhadap sistem UAS ini dalam mempertingkat kemampuan TLDM dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan maritim negara. Dengan teknologi ini juga, pertahanan maritim negara adalah setaraf dan mampu berdiri seiring negara lain.

Mengambil kira faktor geopolitik dan geostrategik semasa, TLDM sentiasa optimis dalam mempertingkat pengukuhan kedaulatan maritim dan pemerkasaan Maritime Domain Awareness (MDA) secara optimum. Penggunaan UAS ini dilihat sebagai inisiatif dan pendekatan yang strategik bagi memenuhi keperluan semasa dalam menangani cabaran yang kian mencabar terutama di Laut China Selatan.

Majlis bersejarah ini diakhiri dengan bacaan doa dan jamuan ringan Panglima Tentera Laut bersama warga.

 

Rujukan: 211118/03
Sumber: Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Artikel: Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Jurufoto: Pejabat Perhubungan Strategik MPAB

KUANTAN 20 November 2018 - Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1440 Hijrah / 2018 Masihi anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Pahang telah diadakan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan. Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini bertemakan "Menyantuni Umat Membawa Rahmat". Program ini diadakan bagi memperingati hari keputeraan junjungan besar Rasulullah SAW dan menghayati perjuangan Baginda dalam menegakkan syiar Islam.

Selain itu, program ini juga diadakan bagi menggalakkan masyarakat masa kini supaya menghayati perjuangan Baginda dengan meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan, bersatupadu memupuk ukhuwwah Islamiyyah di samping mencipta kegemilangan dan ketamadunan masyarakat Islam mengikut arus perkembangan semasa secara seimbang.

Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli untuk berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat negeri Pahang.

Program ini turut melibatkan Kontinjen TLDM dari Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Pangkalan TLDM Tanjung Gelang Kuantan dengan penyertaan seramai 32 pegawai dan anggota yang di ketuai oleh Kdr Mohd Faizal bin Zulkifli TLDM. Turut hadir Ketua Staf dan pegawai-pegawai MAWILLA 1. Perarakan selawat ke atas Rasulullah SAW bermula pada jam 7.30 pagi di perkarangan masjid disertai kira-kira 1,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO). Majlis selesai pada jam 12.00 tengahari.

1Taklimat akhir sebelum bermulanya acara
2

3

4

5

6Perarakan selawat ke atas Rasulullah SAW
7
Pemangku Raja Pahang dan Tengku Puan Pahang serta orang ramai
membaca ayat-ayat suci Al-Quranul Karim
8
Titah Diraja oleh Kebawah DYMM Pemangku Raja Pahang sempena
Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur
9
Gambar kenang-kenangan

 

Rujukan: 211118/02
Sumber: Komunikasi Strategik MAWILLA 1
Artikel: Komunikasi Strategik MAWILLA 1
Jurufoto: LK I PAP Saiful Ahmad Nasir

SANDAKAN, 20 November 2018 – Seramai 28 orang anggota Pasukan Simpanan Sukarela (PSS) TLDM dari Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Sandakan dan PSTL Tawau telah melaksanakan Latihan Berterusan (LB) di Kapal Auxiliary TUN AZIZAN (KA TUN AZIZAN) bagi meneruskan inisiatif yang dilaksanakan oleh Bahagian Pasukan Simpanan TLDM dalam memastikan anggota PSS TLDM diberikan latihan serta pendedahan yang lebih menyeluruh.

LB di atas KA TUN AZIZAN ini bertujuan memberi pendedahan yang lebih menyeluruh dan berkesan berkaitan budaya kerja TLDM kepada pegawai dan anggota PSS TLDM di samping dapat melahirkan pegawai dan anggota PSSTLDM yang kompeten dan serta berkemampuan melaksanakan tugas bagi menyokong angkatan tetap TLDM.

Pegawai dan anggota PSSTLDM yang terlibat kali ini telah didedahkan dengan sesi pembelajaran teori dan praktikal yang meliputi aspek Ilmu Kelautan, Komunikasi, Persenjataan, dan perubatan. Antara latihan-latihan yang dilaksanakan termasuklah Latihan Menggeledah, Ceramah Senjata Kecil, Pengenalan Ilmu Kelautan, Evolusi Pemindahan Tali Balingan, Semaphore dan flashing.

GAMBAR 1Anggota PSSTLDM melaksanakan
Latihan Penggeledahan
GAMBAR 2
Ceramah senjata api kecil
GAMBAR 3
Ceramah ilmu kelautan
GAMBAR 4
Latihan praktikal diketuai oleh Jurulatih Persenjataan KA TAZ
GAMBAR 5
Latihan Semaphore
GAMBAR 6
Ceramah perubatan dan pertolongan cemas oleh staf perubatan

Warga KA TAZ yang ditugaskan sebagai tenaga pengajar telah memberikan komitmen yang tinggi demi memastikan setiap apa yang disampaikan difahami dengan jelas oleh semua anggota PSSTLDM yang menjalani LB di atas KA TAZ. Di samping itu juga, para peserta LB kali ini juga telah mempamerkan sikap ingin belajar dengan memberikan sepenuh tumpuan semasa sesi pembelajaran teori dan latihan praktikal dilaksanakan.

Selain memperoleh ilmu dan pengalaman, pegawai dan anggota PSSTLDM juga berpeluang merasai pengalaman baharu apabila merasai pengalaman bertugas di atas salah sebuah Pangkalan Hadapan TLDM yang melaksanakan operasi di tengah-tengah lautan. Selain memberi pendedahan dalam aspek latihan, para peserta juga dapat merasai pengalaman sebenar dan melihat sendiri anggota TLDM yang sentiasa siap siaga menjaga perairan dan sempadan negara dari sebarang ancaman musuh dan kegiatan jenayah.


Rujukan: 211118/01
Sumber: Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel: Pasukan Simpanan Tentera Laut Sandakan
Jurufoto: Pasukan Simpanan Tentera Laut Sandakan

SOCIAL MEDIA

VISITOR STATISTICS

Today 484

Yesterday 434

Month 13488

All 728001

Last Updated:

Statement

Subscribe to RMN

qrcode   Join us with exciting
   and latest news.
   Be part of 
   NAVY PEOPLE