JUTRA 150921

KUALA LUMPUR, 15 Sep 21 – Sesi Town Hall di antara pihak TLDM dengan limbungan tempatan telah dilaksanakan hari ini secara atas talian (webinar), dimana lebih daripada 150 peserta telah menyertainya. Town Hall dikendalikan oleh Ketua Jurutera TLDM, bertujuan menjelas dan bertukar pandangan terhadap pelaksanaan terkini rutin selenggaraan berjadual kapal TLDM yang menggunakan kaedah S.M.A.R.T Refit. Tujuan S.M.A.R.T Refit adalah memendekkan tempoh refit kapal TLDM di limbungan tempatan secara drastik. Kaedah ini hampir 180 darjah berbeza berbanding refit secara konventional yang telah diamalkan lebih kurang 30 tahun.

Town Hall telah memberi peluang kepada pihak limbungan untuk mendapatkan maklumat tambahan berkaitan S.M.A.R.T Refit, selain diberi peluang mengkisahkan cabaran serta kekangan yang dihadapi bagi melaksanakannya. Selain penjelasan terhadap metodologi S.M.A.R.T Refit, sesi turut merangkumi elemen pengurusan projek dalam perspektif Project Management Body of Knowledge (PMBOK). Ini bagi mengelakkan S.M.A.R.T Refit yang sedang dilaksanakan bertukar kepada pendekatan “atas kertas”.

Di akhir sesi Town Hall, pihak limbungan tempatan turut dimaklumkan iaitu TLDM akan melaksanakan kaedah S.M.A.R.T Refit Plus pada pertengahan tahun hadapan bagi memastikan program ini lebih dinamik, berdaya saing dan lebih singkat pada kos yang kompetitif.

Memandangkan Town Hall ini mendapat sambutan di luar jangkaan, sesi susulan akan dilaksanakan. Ini kerana ramai industry players tidak dapat menyertai webinar kali ini disebabkan kapasiti medium yang terhad.

Hasil Town Hall secara webinar ini diharap memberi inspirasi serta motivasi kepada warga Navy People agar terus menghasilkan inisiatif lain yang lebih berimpak tinggi demi kepentingan TLDM. Bagi pihak limbungan pula disaran agar mereka dapat melaksanakan S.M.A.R.T Refit dengan menghasilkan success story.

Sumber : Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : PW 1 TLS Hazemi bin Mamat

1. INS RANVIJAY INS KORA KD LEKIU DAN KD JEBAT MELAKSANAKAN MANUVRA TAKTIKAL CopyINS RANVIJAY, INS KORA, KD LEKIU dan KD JEBAT melaksanakan manuvra taktikal

LUMUT, 6 Sep – TLDM bersama Tentera Laut India (TLI) terus menyemarakkan hubungan kerjasama pertahanan yang sedia utuh terjalin melalui Passage Exercise (PASSEX) di perairan Selat Melaka hari ini.

Eksesais yang berlangsung melibatkan 3 buah aset oleh TLDM, iaitu KD LEKIU, KD JEBAT serta helikopter Super LYNX bersama 2 buah aset TLI iaitu INS RANVIJAY serta INS KORA. Terdahulu kedua-dua aset TLI ini sedang melaksanakan pelayaran pulang ke negara asal selesai misi penugasan keselamatan maritim di sekitar Laut China Selatan yang merupakan sebahagian daripada dasar ‘Act East’ TLI dalam usaha memperluaskan kerjasama pertahanan antara New Delhi dengan negara serantau.

Matlamat eksesais telah diterjemahkan melalui beberapa siri latihan yang direalisasikan meliputi manuvra taktikal, pengoperasian bot dan sail pass. Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut.

Selain komited terhadap keselamatan maritim dan kerjasama pertahanan negara rantau ini, TLDM akan terus memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut sahabat dalam memacu ketersediaan warga untuk melindungi serta mempertahankan kepentingan maritim negara pada sebilang masa.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

HMAS CANBERRA HMAS ANZAC KD LEKIU DAN KD JEBAT BELAYAR DALAM FORMASIHMAS CANBERRA, HMAS ANZAC, KD LEKIU dan KD JEBAT belayar dalam formasi

LUMUT, 5 Sep – Pandemik COVID-19 yang menyelubungi dunia tidak menghalang semangat kerjasama dan diplomasi pertahanan yang sedia utuh terjalin menerusi pelaksanaan Malaysia-Australia Sea Training Exercise (MASTEX) 2021 antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Laut Diraja Australia (TLDA) di sekitar perairan Selat Melaka baru-baru ini.

Eksesais bilateral tahunan berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) berlangsung selama 3 hari mulai 2 - 4 Sep 21 ini merupakan eksesais yang telah dilaksanakan sejak tahun 2002 melibatkan tentera laut kedua negara dalam memperkukuhkan interoperability serta kerjasama strategik meliputi konteks pertahanan maritim melalui kaedah perkongsian idea dan kepakaran lapangan secara profesional di peringkat antarabangsa.

Mendepani pandemik, TLDM terus mempamerkan komitmen menerusi penglibatan 3 buah aset iaitu KD LEKIU, KD JEBAT dan helikopter SUPER LYNX di ikuti ketumbukan TLDA diketuai 2 buah kapal iaitu HMAS CANBERRA, HMAS ANZAC bersama dua buah helikopter CH47 dan sebuah helikopter MH-60S dari Australian Maritime Task Group. Tidak ketinggalan adalah 2 buah pesawat F/A 18D dan 2 buah pesawat HAWK milik TUDM sebagai aset sokongan.

Beberapa siri latihan bersama telah direalisasikan meliputi latihan peperangan anti-serangan udara, anti-kapal selam, penembakan sasaran permukaan, manuvra taktikal dan pengoperasian bot sepanjang FTX. Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga yang amat membanggakan dalam aspek pengendalian aset pertahanan negara masing-masing. Latihan secara norma baru ini dilihat kekal menyemarakkan semangat kerjasama operasi maritim dan udara antara negara serantau selain turut menyediakan peluang bagi pemantapan latihan keselamatan dan pengawasan maritim secara bersama.

Secara keseluruhan eksesais pada kali ini memenuhi matlamat dan objektif yang telah ditetapkan selain mencerminkan kualiti kemampuan aset dan kredibiliti warga TLDM untuk beroperasi bersama aset-aset dari negara sahabat. Ini jelas membuktikan bahawa TLDM adalah sebuah angkatan laut kredibel dan sentiasa berkeupayaan untuk melindungi serta mempertahankan kepentingan maritim negara pada sebilang masa.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

PASKAL
LUMUT, 27 Ogos – Seramai 25 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dianugerahkan beret ungu yang merupakan kebanggaan Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam Majlis Penutup Kursus Asas PASKAL siri 70/21 di Pusat Latihan Kemahiran Air, Pangkalan TLDM Lumut.

Penuntut Kursus Asas PASKAL ini telah menjalani beberapa peringkat latihan yang menagih seluruh kekuatan mental dan fizikal setiap para peserta. Setiap penuntut perlu menyemat semangat juang dan keyakinan serta sikap profesionalisme yang tinggi bagi menghadapi setiap latihan mencabar agar dinilai benar-benar layak untuk memakai beret dan menjadi seorang anggota PASKAL.

Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, Panglima Tentera Laut telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan pemakaian beret ungu PASKAL kepada penuntut kursus yang berjaya menamatkan latihan tersebut. Penghormatan ini sejajar dengan usaha dan pahit getir yang dilalui 25 orang peserta dalam mengharungi segala ujian demi menjadi salah seorang anggota pasukan elit yang terbaik dan menjadi kebanggaan TLDM.

Kursus Asas PASKAL siri 70/21 telah dimulakan pada 12 April 21 merangkumi 5 peringkat iaitu pemanasan, kem, hutan, paya, dan laut dengan penyertaan seorang pegawai dan 96 anggota LLP dan hanya 25 orang anggota sahaja yang telah berjaya melepasi kursus ini. Senario ini membuktikan PASKAL adalah sebuah pasukan yang meletakkan kualiti berbanding kuantiti dalam memastikan warga baharu PASKAL adalah benar-benar layaku ntuk bergelar seorang anggota PASKAL sesuai dengan cogan kata, “Sentiasa Yang Terbaik”.

Antara ujian atau peringkat yang paling mencabar adalah merupakan Praktikal Tawanan Perang yang dapat memberi kesan dan pengalaman kepada setiap penuntut sekiranya ditawan atau ditangkap oleh musuh di lapangan. Latihan ini menyerapkan sifat berani dan kesetiaan terhadap setiap peserta untuk tidak sewenang-wenangnya menceritakan segala rahsia negara yang disimpan sebagai mana termaktub di dalam ikrar kesatria yang kelima iaitu 'menyimpan rahsia negara dengan seketat-ketatnya'. Selain itu, ujian ketahanan akhir mental dan fizikal tanpa henti yang dipanggil 'HELL WEEKS' selama 72 jam merupakan fasa ujian terakhir sebelum penuntut dinilai benar-benar layak memakai beret dan di iktiraf menjadi seorang anggota PASKAL.

Alah bisa tegal biasa buat LK II PRL Ismail Izhar bin Mohd Dapie berusia 22 tahun dari Ranau, Sabah telah dipilih sebagai penuntut terbaik dan fizikal terbaik kursus di atas penilaian terhadap anggota yang mempunyai tahap fizikal yang tinggi dan mampu menguasai diri dalam apa jua situasi serta cekap dalam mengendalikan senjata dan lulus dalam di setiap peringkat ujian dengan cemerlang.

Setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua peserta yang telah berjaya menamatkan latihan. Semoga dengan kehadiran ahli baharu dalam pasukan elit TLDM ini dapat meneruskan legasi kecemerlangan dan kejayaan serta terus melakar sejarah gemilang di masa hadapan.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

Diyakini ramai warga Navy People mengetahui dan menggunakan BR serta BRL apabila hendak melaksanakan rujukan terhadap sesuatu proses, panduan atau tatacara melaksanakan evolusi. Ini disebabkan BR (Book of Reference) telah lama wujud di dalam TLDM di mana ianya dihasilkan dan diwarisi dari Tentera Laut Diraja British. Namun dipercayai ramai warga Navy People tidak mengetahui asal usul BRL.

BRL pertama di dalam TLDM ialah BRL 1985 yang diterbitkan pada tahun 1985. BRL ini adalah berkaitan Sistem Selenggaraan Kapal (SSK) yang dibangunkan oleh Leftenan Komander Hj Salim bin Kasim TLDM (Bersara). Ini menyebabkan BRL pertama tersebut sinonim dengan jolokan “Sistem Salim Kasim” (SSK). Seterusnya pada tahun berikutnya, BRL 1 iaitu Senarai BR dan BRL yang digunakan oleh TLDM dan dinyatakan hak pegangan oleh setiap unit telah dihasilkan oleh beliau. Justeru jasa veteran ini amat dihargai di mana maklumat tambahan veteran adalah seperti di pautan berikut:

https://www.facebook.com/RoyalMalaysianNavy/posts/3964468033611175

Pada masa ini penguasa bagi BRL di dalam TLDM ialah Sea Power Center (SPC) @PUSMAS. Bagi penambahbaikan berterusan, inisiatif terkini SPC adalah menyelaraskan penomboran BRL agar bersistematik. Justeru sistem menggunakan 2 kaedah penomboran telah diperkenalkan. Penomboran pertama perlu mengikut N-Series dari siri 1 hingga 10. Penomboran kedua pula merujuk kepada bilangan digit di N-Series tersebut seperti berikut:
a. 1 atau 2 Digit. BRL yang merujuk kepada perkara Strategik seperti Dasar serta Doktrin.
b. 3 Digit. BRL berkaitan perkara di peringkat Operasi.
c. 4 Digit. BRL merujuk kepada dokumen di peringkat Taktikal.

Penghasilan dan penambahbaikan berterusan terhadap BRL ini wajar dijadikan inspirasi dan motivasi terhadap warga Navy People agar terus berusaha menjadikan TLDM organisasi yang cemerlang.

Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, MkTL
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts Mohd Shaiful Adli Chung

DC5Laksdya Dato' Abdul Rahman mendengar penerangan oleh peserta pameran

ISTANBUL, 17 Ogos - Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato' Abdul Rahman bin Ayob bersama Laksamana Pertama Azman bin Rabani dan Lt Kdr Mohd Mustaqim bin Yahaya TLDM telah menyertai pameran pertahanan IDEF'21 bertempat di Tuyap Fair and Congress Center. Pameran Pertahanan ke-4 terbesar di dunia ini berlangsung selama 4 hari dengan pematuhan kepada SOP pandemik COVID-19. Pameran kali ini telah melibatkan penyertaan 1,238 syarikat dan disertai oleh 169 delegasi daripada 83 buah negara dan telah dirasmikan oleh Presiden Republik Turki, Recep Tayyip Erdoğan pada 17 Ogos 21.

Selaku peneraju utama NATO, sumbangan Turki terhadap keamanan dan kesejahteraan serantau serta dunia semakin meningkat dengan pemerkasaan industri pertahanan negara tersebut. Pelbagai produk ketenteraan baharu yang dibangunkan oleh Turki dipersembahkan semasa pameran IDEF' 21 ini yang menggambarkan perkembangan pesat industri pertahanan Turki yang setaraf negara maju lain.

Delegasi TLDM juga berpeluang melawat, meninjau dan memberi perhatian khusus kepada inovasi-inovasi baru dalam teknologi ketenteraan serta meninjau peralatan-peralatan yang berpotensi kepada perolehan yang sedang dirancang TLDM.

Lawatan ke kapal TCG KINALIADA juga sempat dilaksanakan pada 20 Ogos 21. TCG KINALIADA merupakan Kelas Korvet ADA Anti-submarine Warfare (ASW) yang dibina oleh Istanbul Naval Shipyard melalui projek MILGEM pada tahun 2019. Delegasi telah berpeluang meninjau keupayaan serta spesifikasi kapal di mana hampir 75% sistem dan peralatan kapal adalah buatan Turki antaranya ialah ADVENT CMS, Anti-Guided Missile System, ATMACA SSM, Meriam 12.7mm STAMP, YAKAMOS 2000 Sonar, UniMACS 3000 IPMS dan ESM system ARES-2N.

Sumber : Bahagian Perancangan Pembangunan
Artikel   : Lt Kdr Mohd Mustaqim bin Yahaya TLDM
Foto      : PR IDEF'21

JUTRA 2308

Pemakaian POD dengan rapi adalah penting bagi memastikan warga TLDM dalam keadaan safe attire semasa operasi. Selain itu, ianya memastikan rupacara warga TLDM adalah kemas. Tip pada kali ini ialah berkaitan pemakaian seluar POD dengan kemas supaya dalam keadaan safe attire.

Pemakaian yang tidak rapi akan menyebabkan seluar dan boot kelihatan seperti di Gambar 1, iaitu kaki seluar berada dalam keadaan tergantung. Ini boleh menyebabkan objek kecil di persekitaran memasuki boot sekiranya berlaku letupan atau splinter kepada letupan atau dimasuki serangga kecil jika berada di kawasan operasi. Ini kerana bahagian kulit kaki adalah terdedah kepada persekitaran. Berdasarkan garis panduan pemakaian POD yang dikeluarkan, kaki seluar perlu digrip separas ikatan tali boot ke-2 dari atas.

Tip bagi memastikan kaki seluar berada di posisi yang betul dan rapi ialah dengan memanjangkan kaki seluar 2 ke 3 inci lebih panjang dari panjang standard seseorang. Justeru jika dipanjangkan, kedudukan kaki seluar tidak akan berubah apabila dalam keadaan “angkat paras” seperti ditunjukkan di Gambar 2.

Bagi tempoh jangka panjang, kaki seluar POD TLDM dirancang untuk dipasang dengan wrapping strip seperti di Gambar 3. Wrapping strip ini perlu diikat ke tali ikatan boot ke-2 dari atas agar tidak bergerak, selaras dengan garis panduan yang telah dikeluarkan.

Diharap Tip Siri 1 ini membantu warga Navy People dalam keadaan safe attire dan kelihatan terampil kemas apabila memakai POD. Tips seterusnya menyusul di siri akan datang.

Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksmana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Lt Dya Muhammad Fadzil bin Mashor TLDM

TAHUKAH ANDA?

Ramai warga Navy People mengetahui bahawa tulisan rasmi persuratan di dalam TLDM adalah menggunakan huruf Arial, berbeza sedikit dengan perkhidmatan lain serta sebahagian besar Agensi kerajaan. Namun dipercayai sebahagian besar pembaca tidak mengetahui rasional huruf Arial ini dipilih dan sejak bila digunakan di dalam TLDM.

Huruf Arial mula diperkenalkan di dalam TLDM pada tahun 1998 dimana dicetuskan oleh Laksamana Tan Sri Ramli Abu Bakar sewaktu beliau adalah Panglima Armada TLDM. Pada tahun 2002, ianya dikuatkuasa dengan dinyatakan di Buku Rujukan Laut (BRL) 70 (Manual Pengurusan Fail dan Persuratan TLDM).

Tulisan Arial dipilih memandangkan ianya lebih mudah dibaca dan jelas, disebabkan pada saiz yang setara dengan huruf lain, huruf Arial adalah agak besar sedikit dan lebih tebal. Setelah digunakan hampir 19 tahun, konsep menggunakan huruf Arial atau seumpama dengan sifatnya telah mula diguna pakai oleh Agensi kerajaan yang lain dan menjadi norma kebiasaaan di dalam persuratan.

Diharap maklumat yang dikongsi ini memberi inspirasi serta motivasi kepada warga Navy People agar terus menghasilkan inisiatif lain yang lebih berimpak tinggi demi kecemerlangan TLDM.


Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artike    : Laksamada Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung

SEACAT1Seminar 'Maritime Domain Awareness' yang diadakan secara atas talian

LUMUT,16 Ogos – Eksesais South East Asia Cooperation and Training (SEACAT) 21 merupakan eksesais melibatkan pihak Tentera Laut Amerika Syarikat melalui aset kapal USS TULSA (LCS-16) dan Kapal SILVER HANA (Tanker minyak/kimia) bersama pihak Information Fusion Centre (IFC), Singapura telah berlangsung mulai 10 hingga 15 Ogos 21 di sekitar Perairan Selat Melaka.

Eksesais pada kali ini telah dilaksanakan secara dua fasa. Pelaksanaan fasa pertama mulai 10 hingga 13 Ogos 21 telah dilaksanakan melalui ‘Seminar Maritime Domain Awareness’. Seminar ini dilaksanakan secara atas talian di dua lokasi iaitu Auditorium Zain, PUSTAKMAR dan Auditorium Dato’ Abdul Ghani, Markas Selam dan Peperangan Periuk Api.

Seminar ini melibatkan penglibatan tiga buah aset TLDM iaitu KD TERENGGANU, KD KASTURI, KD SRI INDERA SAKTI serta tiga unit naungan Markas Pemerintahan Armada Barat iaitu Markas Udara, KD PANGLIMA HITAM (PASKAL) dan KD DUYONG.

Latihan fasa kedua yang merupakan fasa laut telah dimulakan pada 14 hingga 20 Ogos 21 di mana KD LAKSAMANA TAN PUSMAH sebagai wakil TLDM bagi siri pelaksanaan latihan menggeledah.

Beberapa siri latihan lain juga telah dilaksanakan oleh KD LAKSAMANA TAN PUSMAH bersama Tentera Laut Amerika Syarikat meliputi operasi membanteras lanun, penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Senario latihan tersebut telah disimulasikan melalui penyaluran maklumat oleh IFC Singapura kepada KD LAKSAMANA TAN PUSMAH yang berada dilapangan dengan memaklumkan bahawa kapal SILVER HANA telah terputus hubungan komunikasi dan dipercayai telah ditawan oleh anasir lanun. Bertindak atas penerimaan maklumat, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH telah berjaya mengesan kedudukan kapal tersebut berpandukan Automatic Identification System (AIS).

Hasil pemerhatian mendapati kapal dinyatakan berada di sekitar Perairan Selat Melaka dan sedang menuju ke Laut China Selatan. Lantas KD LAKSAMANA TAN PUSMAH melaksanakan latihan Querry and Challenge dan seterusnya melancarkan bot bersama tim mengeledah serta seterusnya merapat ke kapal SILVER HANA untuk melaksanakan operasi menyelamat krew. Hasil siasatan dan penggeledahan telah berjaya membawa kepada penahanan 8 orang lanun beserta empat laras senjata api jenis raifal AK 47, dua pucuk pistol dan senjata tajam jenis parang berjumlah dua bilah.

Eksesais pada kali ini telah mensasarkan fokus terhadap aspek perkongsian maklumat antara Pusat Operasi (PUSOP) dengan menggunakan medium IFC Portal yang mana Pihak IFC di Singapura bertindak sebagai pengantara utama. Secara tidak langsung, eksesais ini telah berjaya mencapai objektif utama yang digariskan iaitu bagi memperkasakan kelancaran proses perkongsian maklumat dalam konteks keselamatan maritim di rantau ini khasnya.

Eksesais seperti ini diperamati telah secara langsung meningkatkan tahap interoperability antara negara dan agensi yang terlibat disamping mengukuhkan jalinan hubungan diplomatik bersama negara-negara sahabat. Kesiagaan aset pertahanan negara juga dapat diuji dan dalam masa yang sama tahap kemampuan aset pertahanan negara dalam ketersediaan mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta telah dibuktikan.

Eksesais sebegini ternyata mampu mempromosikan keselamatan maritim serantau serta dapat dijadikan medium untuk mempersiapkan wira-wira negara dalam mempertahankan perairan negara pada sebilang masa.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

JUTRA SMART

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Sesi perkongsian ilmu oleh Ketua Jurutera TLDM dengan warga Navy People yang masih berkhidmat telah dilaksanakan hari ini secara atas talian (webinar). Sesi ini telah mendedahkan warga TLDM terhadap metodologi serta pendekatan terkini rutin selenggaraan berjadual kapal di limbungan, yakni dikenali sebagai refit. Aktiviti perkongsian ilmu ini penting dan akan diteruskan kerana didapati hanya sebahagian kecil warga TLDM yang mengetahui sepenuhnya S.M.A.R.T Refit. Ini disebabkan metodologi serta pendekatan S.M.A.R.T Refit adalah hampir 180 darjah berbeza dengan conventional refit yang telah diamalkan oleh TLDM sejak lebih 30 tahun.

Webinar perkongsian ilmu ini adalah secara tertutup, hanya dibuka untuk warga TLDM sahaja di mana lebih 300 warga TLDM telah menyertai sesi ini.

S.M.A.R.T Refit adalah inisiatif terkini TLDM dalam usaha memendekkan lagi tempoh refit kapal TLDM di limbungan tempatan. Sungguh pun inisiatif Inovasi Refit Baharu yang dilaksanakan sejak tahun 2017 telah membuahkan hasil atau success story, namun usaha penambahbaikan berterusan (KAIZEN) telah membolehkan S.M.A.R.T Refit direalisasikan mulai pertengahan tahun 2021. Dalam tempoh terdekat, S.M.A.R.T Refit Plus pula akan dilaksana bagi memastikan program ini lebih dinamik, berdaya saing dan lebih singkat pada kos yang kompetitif, dimana tidak menggunakan lagi sepenuhnya pendekatan konventional yang telah jumud (outdated, tedious with red-tapes, not able to mitigate current scenario and challenges).

Selain pendedahan terhadap S.M.A.R.T Refit, sesi perkongsian ilmu juga memberi peluang kepada warga TLDM mendapatkan perkembangan terkini dasar serta inisiatif hasil berfikir di luar kotak yang sedang dilaksanakan di dalam TLDM, selain cabaran serta langkah berbentuk gigantic-steps termasuk timeline yang sedang dirangka.

Bagi memastikan S.M.A.R.T Refit ini turut difahami oleh stakeholder terlibat dan diselaras dengan limbungan berkaitan secara holistik dan berkesan, sesi “townhall” akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. “Townhall” bertujuan memperincikan metodologi ini dengan lebih jelas dalam perspektif Project Management Body of Knowledge (PMBOK) serta aspek komersial.

Hasil webinar ini diharap memberi inspirasi serta motivasi kepada warga Navy People agar terus menghasilkan inisiatif lain yang lebih berimpak tinggi demi kepentingan TLDM.

Sumber : Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Oleh      : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Hj Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Lt Kdr Jeffery Daneil Ng TLDM

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 772

Semalam 759

Bulan ini 17517

Keseluruhan 1219877

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM