Sep 27

KEJOHANAN SUKAN RAKYAT ANTARA BAHAGIAN/CAWANGAN MK TL 2017

KD SRI GOMBAK, 27 Sep 17 - Kejohanan Sukan Antara Bahagian/Cawangan Markas Tentera Laut (Mk TL) bagi tahun 2017 telah bermula pada 16 Ogos 17 yang lalu. Kejohanan ini diteruskan lagi dengan penganjuran Sukan Rakyat yang merupakan salah satu dari tujuh sukan yang dipertandingkan bagi merebut Piala Pusingan Sukan Antara Bahagian/Cawangan Mk TL. Sukan ini juga merupakan sukan ketiga yang dianjurkan oleh KDSG selepas takraw yang dianjurkan pada 6 Sep 17 yang lalu dan merupakan julung kalinya dipertandingkan dalam Sukan Antara Bahagian/Cawangan Mk TL sejak Kejohanan ini diperkenalkan pada tahun 2011.

20170927 163359
Perlawanan Tuju Selipar Sedang Berlangsung

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum sangat terkenal dengan kepelbagaian budaya dan adat resamnya, baik dari segi pemakaian, makanan dan bahasa. Lantaran kewujudan pelbagai adat resam, maka wujudlah juga pelbagai jenis permainan tradisional yang sering dimainkan sejak zaman dahulu lagi bagi merapatkan hubungan silaturrahim antara rakyat yang majmuk. Setiap permainan mempunyai daya tarikan yang tersendiri bagi membolehkannya menjadi kegemaran rakyat. Salah satu permainan tradisional yang amat menarik adalah permainan tuju selipar dan boling kelapa. Permainan tuju selipar merupakan salah satu permainan tradisional rakyat yang terkenal sejak zaman dulu lagi. Permainan ini juga turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti tuju kasut, baling selipar dan tikam selipar. Bagi boling kelapa pula sukan ini diinovasikan dari sukan boling sebenar dengan menggantikannya dengan botol-botol air atau buluh-buluh sebagai pin dan menggunakan kelapa sebagai bola boling. Justeru, permainan tradsional Boling Kelapa telah dikembangkan dan permainan ini menarik dan kos permainannya murah serta bahan-bahannya mudah didapati.

20170927 163616
Perlawanan Boling Kelapa Sedang Berlangsung

Kedua-dua sukan ini berlangsung serentak dimana perlawanan Tuju Selipar dimulakan dengan Pasukan Bendahara menentang Pasukan Pendekar. Sejurus selepas itu, perlawanan kedua diantara Pasukan Laksamana menentang Pasukan Satria. Kesemua pasukan berusaha untuk menjatuhkan selipar yang telah disusun manakala pihak musuh pula gigih mematikan lawannya dengan membuat balingan selipar dan disasarkan pada pihak lawan. Sukan Tuju Selipar ini telah dimenangi oleh Pasukan Satria manakala Naib Johan adalah Pasukan Bendahara.

20170927 163927
Sesi Penyampaian Hadiah Kepada Para Pemenang Disempurnakan
Oleh Pegawai Laksana KDSG

Manakala bagi perlawanan bowling kelapa, perlawanan pertama telah dimulakan oleh Pasukan Laksamana menentang Pasukan Satria. seterusnya, perlawanan kedua diantara Pasukan Pendekar menentang Pasukan Bendahara. Kesemua pasukan menunjukkan semangat yang tinggi dan bertungkus-lumus menggunakan buah kelapa untuk menjatuhkan botol-botol air untuk memenangi perlawanan ini. Akhirnya, Pasukan Satria berjaya menumpaskan Pasukan Bendahara dengan bilangan botol air yang jatuh sebanyak 17 botol dan seterusnya menjuarai sukan ini.
Sepanjang perlawanan berlangsung, suasana riuh rendah dapat dirasai disamping gelak ketawa warga The Navy People berinteraksi sesama mereka. Inilah tujuan kejohanan ini diadakan bagi merapatkan ukhwah dan silaturahim selain mengekalkan Dasar 3K iaitu Kesegakan, Kecergasan dan Kesihatan. Pada jam 1700 dapat disaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh Pegawai Laksana KDSG. Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Acara perlawanan seterusnya adalah Bola Tampar yang dirancang diadakan pada 4 Okt 17. Adalah menjadi harapan agar perlawanan yang akan datang dapat diadakan dengan meriah dan jayanya.

Rujukan: 270917/02
Sumber: KD SRI GOMBAK

Artikel: Lt Dya Abdul Basit bin Kamarudin TLDM
Jurufoto: KD SRI GOMBAK

Read 1284 times Last modified on Rabu, 27 September 2017 13:30

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 107

Semalam 474

Bulan ini 2796

Keseluruhan 700595

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM