Jul 20

41 TAHUN BERKHIDMAT, KD MUTIARA KINI DILUCUT TAULIAH

Lumut, 20 Julai – Tambatan Pangkalan Lumut menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran majlis penuh bersejarah dan tradisi bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Majlis Pelucutan Tauliah Kapal Diraja (KD) MUTIARA. Majlis ini telah disaksikan serta disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan warga Navy People.

Gambar 1
KD MUTIARA tersergam indah. 41 tahun berkhidmat, kini ia ‘direhatkan’

Gambar 2
PTL menandatangani Commemorative Chart Pelucutan Tauliah

Majlis penuh bersejarah ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran veteran TLDM serta mantan-mantan Pegawai Memerintah yang pernah berkhidmat bersama KD MUTIARA. KD MUTIARA telah ditauliahkan dan diterima masuk ke perkhidmatan mulai 18 Dis 77 dan merupakan inventori dalam Skuadron Hidrografi ke-36. Setelah menabur bakti hampir 41 tahun bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD MUTIARA kini bakal mengakhiri perkhidmatannya pada 20 Jul 18. Pelucutan tauliah kapal ini adalah menyokong kepada Transformasi TLDM melalui Program 15 to 5 yang diperkenalkan Panglima Tentera Laut. Melalui inisiatif bagi penyusunan semula armada agar kapal-kapal dapat beroperasi dengan lebih efektif berasaskan sokongan rutin selenggaraan dan pengurusan aset TLDM dengan lebih efisien. Transformasi ini membolehkan TLDM memiliki armada yang kuat dan berkeupayaan dalam menangani cabaran semasa pada masa hadapan.

Gambar 3
Penyerahan cenderahati kepada Pegawai Memerintah Pertama dan
Terakhir KD MUTIARA, Kept (B) Goh Siew Chong TLDM
dan Kdr Khairul Anuar b. Abdul Aziz TLDM

Majlis dimulakan dengan pembacaan sejarah kapal KD MUTIARA oleh Pegawai Memerintah Kapal iaitu Komander Khairul Anuar bin Abdul Aziz TLDM. Setelah pembacaan selesai, ketukan loceng sebanyak 41 kali simbolik tahun perkhidmatan KD MUTIARA dibunyikan. Lagu ‘Last Post’ turut dimainkan mengiringi panji-panji dan Pennant Tauliah kapal semasa diturunkan. Kapal-kapal yang berada di Tambatan Pangkalan Lumut juga turut sama mengibarkan bendera penuh serentak Gada-gada Lucut Tauliah diturunkan sebagai tanda penghormatan. Usai tiupan tetuang, Navy People turut menyaksikan penurunan Insignia Pemerintah Pegawai Memerintah oleh Panglima Tentera Laut.

Gambar 4
Acara penurunan Gada-gada Tauliah terlaksana
dengan penuh istiadat tentera laut

Gambar 5
Kenangan indah. Mantan Pegawai Memerintah
bersama PTL, TPTL dan PA Barat

Panglima Tentera Laut dalam ucapan beliau berkata KD MUTIARA telah banyak berjasa untuk Negara. Banyak pencapaian, kecemerlangan dan pengalaman yang diperolehi oleh ribuan warga kapal yang menyertainya sepanjang 41 tahun berkhidmat. Kepada Veteran, Kru dan Mantan Pegawai Memerintah, TLDM mengucapkan terima kasih atas khidmat dan pengorbanan. Kenangan manis tetap akan dikenang sampai ke akhir hayat.

Rujukan : 200718/04
Artikel : Pejabat Perhubungan Awam MPAB
Sumber : Pejabat Perhubungan Awam MPAB
Jurufoto : Pejabat Perhubungan Awam MPAB

Last modified on Jumaat, 20 Julai 2018 08:26

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 313

Semalam 879

Bulan ini 19777

Keseluruhan 1250206

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM