Nov 12

KD SRI JOHOR MENERUSKAN INSIATIF TRILATERAL MARITIME PATROL (TMP) BERSAMA KAPAL TENTERA LAUT FILIPINA

SANDAKAN, 12 November 2018 –Kapal Diraja SRI JOHOR (KD SRI JOHOR) hari ini sekali lagi telah melaksanakan program Trilateral Maritime Patrol (TMP) bagi Siri Ke-18 dalam tahun 2018. Inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan kerjasama 3 buah negara Malaysia, Indonesia dan Filipina kali ini melihatkan KD SRI JOHOR telah melaksanakan pertemuan bersama kapal Tentera Laut Filipina (TLP) BRP DIOSCORO PAPA (PS 381) di sekitar garis sempadan maritim di antara kedua-dua buah negara iaitu 6.7 Batu Naunika Timur Laut Pulau Mataking Kecil, Malaysia. Kedua-dua buah kapal tersebut sedang melaksanakan rondaan di kawasan perairan negara masing-masing dan telah membuat pertemuan untuk Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM).

1
KD SRI JOHOR dan BRP DIOSCORO PAPA
memulakan pertemuan di laut

2
Sesi perbincangan dan pertukaran maklumat operasi
oleh Tim Pemerintah kedua-dua kapal

Program kali ini telah bermula dengan KD SRI JOHOR yang diperintah oleh Lt Kdr Mohd Faizul bin Yaacob TLDM bertemu dengan BRP DIOSCORO PAPA yang diperintah oleh Lt Rey Remigo PN. Kedua-dua kapal telah mengadakan perbincangan operasi di mana perkongsian maklumat dilakukan dan seterusnya perancangan latihan dilaksanakan oleh tim pemerintah KD SRI JOHOR dan BRP DIOSCORO PAPA. Selain daripada itu, kedua-dua kru kapal mengadakan aktiviti crossdeck yang melibatkan lawatan ke tempat kerja masing-masing bagi mengenali tatacara dan prosedur yang diguna pakai oleh TLDM dan TLP. Usaha ini akan memantapkan lagi persefahaman di antara anggota TLDM dan TLP serta memberi peluang kepada mereka mengenali rakan sejawat yang akan beroperasi bersama.

3
Sesi Bergambar KD SRI JOHOR dan BRP DIOSCORO PAPA
sebelum memulakan latihan

Pertemuan ini juga merupakan kali pertama bagi KD SRI JOHOR di bawah pemerintahan Lt Kdr Faizul yang baharu menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah mulai 5 November 2018 di bawah program TMP. Inisiatif TMP dilihat telah menghasilkan impak yang memberansangkan di mana sejak tahun 2017 dan berjaya menghindarkan peningkatan jenayah rentas sempadan. Inisiatif rondaan TMP sebegini diharap dapat meningkatkan keyakinan masyarakat setempat dan antarabangsa ke atas keupayaan negara Malaysia dan Filipina bersama Indonesia dalam mengurus isu keselamatan maritim terutamanya di Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Sejurus selesai sesi perkongsian maklumat dan interaksi melibatkan kru kedua-dua buah kapal, KD SRI JOHOR dan BRP DIOSCORO PAPA meneruskan latihan bersama di laut. Antara latihan yang dilaksanakan adalah Replenishment at Sea Approach (RASAP), Kibaran Bendera (Semaphore) dan Latihan Manuvra Taktis (MANTAK). Kesemua latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan interoperabiliti di antara kedua-dua tentera laut.

4
Latihan Semaphore dan PXP

5
Latihan MANTAK di antara kedua-dua kapal

Rondaan bersama dan pertemuan ini akan diteruskan untuk memudahcara pertukaran maklumat berkaitan ancaman semasa di kawasan persempadanan perairan kedua-dua buah negara. Di samping dapat menurunkan kadar jenayah rentas sempadan dan mengekalkan kestabilan keselamatan maritim, inisiatif rondaan bersama TMP ini juga menjadi salah satu medium bagi kedua-dua angkatan laut yang mewakili negara masing-masing untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala serta memperoleh manfaat daripada perkongsian ilmu dan latihan bersama yang dijalankan. Selesai pertemuan, kedua-dua kapal tersebut kembali meneruskan rondaan di perairan negara masing-masing.

Rujukan : 121118/03
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel : Lt Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Jurufoto : KD SRI JOHOR

Last modified on Isnin, 12 November 2018 09:54

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 718

Semalam 801

Bulan ini 8589

Keseluruhan 802249

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM