Nov 16

PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI. WARGA NAVY PEOPLE HARGAI JASA KEPIMPINAN TERDAHULU DAN BERI SOKONGAN PADA KEPIMPINAN BAHARU

Lumut, 15 Okt – Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) telah melaksanakan majlis pemakaian pangkat bagi dua orang Jawatankuasa Laksamana, dua orang Pegawai Kanan TLDM dan seorang Kehormat PSSTLDM. Turut terlaksana adalah majlis ini adalah majlis Serah Terima Tugas bagi beberapa jawatan tertinggi dalam pengurusan TLDM dimulai Serah Terima Tugas Komander Pangkalan Lumut (KOMPAL), Panglima Pendidikan dan Latihan (PPL) dan yang tertinggi iaitu Panglima Armada Barat (PA Barat). Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin di Auditorium Venus, Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan (MPPL).

1
Simbolik Serah Tugas Panglima Armada Barat

Warga Navy People di Pangkalan TLDM hadir memberi sokongan kepada kepimpinan baru dan memenuhi ruang dewan bermula mulai jam 8.30 pagi. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Samudera Raya dengan penuh semangat oleh kesemua warga Navy People yang hadir. Seterusnya majlis diteruskan dengan acara pemakaian pangkat oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Haji Ahmad Badaruddin diiringi Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib bin Abdul Samad, Mantan Panglima Armada Barat.

Seramai dua orang Jawatankuasa Laksamana, dua orang pegawai kanan TLDM telah dinaikkan pangkat. Turut terlaksana adalah penganugerahan Kepten Kehormat PSSTLDM kepada Pengarah Transformasi Pendidikan MARA Corporation. Senarai pemakai pangkat seperti berikut:

a. Laksamana Muda ke Laksamana Madya
1) Laksamana Muda Dato’ Haji Rusli bin Ramli

b. Laksamana Pertama kepada Laksamana Muda
1) Laksamana Pertama Dato’ Sabri bin Zali

c. Kepten TLDM kepada Laksamana Pertama
1) Kepten Mohd Fadzli Kamal bin Mohd Mohaldin TLDM
2) Kepten Khir Junaidi bin Idris TLDM

d. Dikurniakan Kepten (Kehormat) PSSTLDM
1) Prof. Dr. Sakina Sofia binti Baharom – MARA

2
PTL bergambar bersama JLAKS dan
Kehormat PSSTLDM yang dinaikkan pangkat

Meneruskan acara, Panglima Tentera Laut telah menyempurnakan sesi tandatangan Sijil Serah Terima Tugas bagi beberapa jawatan penting di Armada Barat. Majlis Serah Terima Tugas ini dimulai dengan jawatan Komander Pangkalan Lumut di antara Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Alias bin Baharuddin dan Laksamana Pertama Roslan bin Mohd Yunus. Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Alias akan bercuti dan seterusnya meneruskan persaraan setelah berkhidmat hampir 42 tahun bersama TLDM. Laksamana Pertama Roslan yang bakal menggantikan beliau sebelum ini telah berkhidmat sebagai Panglima Udara. Seterusnya, Majlis Serah Terima Tugas diteruskan dengan jawatan Panglima Pendidikan dan Latihan (PPL) di antara Laksamana Madya Dato’ Haji Rusli bin Ramli dan Laksamana Muda Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah. Selama 1 tahun 9 bulan memacu MPPL, beliau sentiasa memastikan warga The Navy People sentiasa di landasan latihan yang betul. Antara inisiatif beliau adalah mewujudkan Blueprint Pendidikan dan Latihan dan Pelan POLARIS. Laksamana Muda Dato’ Aris Adi Tan yang menggantikan beliau pernah menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Bahagian Komunikasi dan Elektronik Pertahanan di Markas Angkatan Tentera Malaysia (MATM).

3
PTL bersama mantan dan juga KOMPAL, PPL dan PA Barat baru

Majlis di MPPL berakhir dengan majlis menandatangi Sijil Serah Terima Tugas Panglima Armada Barat di antara Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib bin Abdul Samad dan Laksamana Madya Dato’ Haji Rusli bin Ramli. Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib bakal bersara daripada perkhidmatan setelah berkhidmat hampir 41 tahun bersama TLDM. Sepanjang berkhidmat, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib sentiasa mementingkan kebajikan warga, pengoperasian kapal dan aktiviti keagamaan. Beliau telah menjadi perintis bagi program lawatan kebajikan ‘Ziarah Kasih’ dan sentiasa memantau operasi dan perkembangan pembaikan kapal-kapal di bawah naungan MPAB.

Gambar 4
Street Lining Persaraan Mantan PA Barat

Dalam ucapan beliau, Panglima Tentera Laut telah menzahirkan rasa kesyukuran atas segala kerjasama dan bantuan Mantan KOMPAL dan Mantan Panglima Armada Barat sepanjang mereka berkhidmat. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa TLDM sentiasa memberi ruang yang sama dan menggalakkan warga Navy People untuk berjaya dalam kerjaya mereka. Panglima Tentera Laut turut menyarankan agar kesemua warga berganding bahu dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan baharu agar modal insan kita diperkukuh seterusnya mendokong kepada Transformasi 15to5.

Gambar 5
TPA Barat menyerahkan cenderahati daripada MPAB kepada
Laksdya Dato’ Pahlawan Hj Mohamad Adib sebagai tanda kenang-kenangan

6
Semoga Allah S.W.T sentiasa memberkati kedua ikon ini

Usai majlis di MPPL, warga Navy People di Armada Barat telah melaksanakan majlis ‘send off’ atau ‘street lining’ bagi mengiringi Mantan Panglima Armada Barat keluar pangkalan simbolik penyerahan tampuk pemerintahan secara rasmi. Tradisi ini adalah bagi menghargai setiap pemimpin tertinggi TLDM atas jasa dan pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat bersama TLDM. ‘Street lining’ telah disertai oleh hampir 200 Pegawai dan anggota Lain-lain Pangkat yang berkhidmat di Markas Pemerintahan Armada Barat dan unit bawah naungan. Fair Winds and Following Seas, Dato!

Artikel : 161118/04
Artikel : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Kelulusan : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Jurufoto : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB

Last modified on Jumaat, 16 November 2018 09:17

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 691

Semalam 801

Bulan ini 8562

Keseluruhan 802222

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM