Nov 27

FAIR WINDS AND FOLLOWING SEAS PANGLIMA TENTERA LAUT

Lumut, 25 Nov – Fleet Review Penghargaan Panglima Tentera Laut telah dilaksanakan di sekitar Perairan Pulau Pangkor oleh 12 buah kapal TLDM, 2 buah FENNEC dan 2 buah SUPER LYNX. Senarai kapal TLDM yang terlibat adalah seperti, KD JEBAT, KD SRI INDERASAKTI, KD MAHAWANGSA, KD LEKIU,, KD KASTURI, KD GAGAH SAMUDERA, KD TEGUH SAMUDERA, KD JERAI, KD KINABALU, KD MAHAMIRU dan KLD TUNAS SAMUDERA. Fleet Review ini merupakan satu tradisi TLDM yang dilaksanakan hanya dalam beberapa acara penting di dalam TLDM, seperti acara pagi ini yang bertujuan bagi menghargai dan memberikan penghormatan terakhir kepada Yang Berbahagia, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Haji Ahmad Badaruddin yang bakal bersara pada 31 Mac 2019.

1
Lagenda. Ikon yang banyak menyumbang kepada Transformasi TLDM

2
11 kapal bersedia melakukan lintas hormat kepada Panglima Tentera Laut

KD JEBAT telah dipilih bagi menjadi platform bagi membawa Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Haji Ahmad Badaruddin dan isteri bagi menerima tabik hormat dan lintas hormat daripada keseluruhan 11 kapal dan helikopter TLDM. Setiap kapal yang melintasi KD JEBAT telah memberikan salut terakhir mereka dan turut melaungkan ’Gempur Wira’ dengan penuh semangat. Kekuatan keseluruhan yang telah menyertai lintas hormat kapal ini adalah seramai hampir 250 Pegawai dan 520 Anggota Lain-lain Pangkat.

3
Lintas Hormat oleh FENNEC dan SUPERLYNX

4
Lambaian dari Panglima Tentera Laut kepada warga kapal

Mengimbas kembali, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman telah dilahirkan pada tanggal 31 Mac 1959. Beliau telah dilantik sebagai pemerintah tertinggi bagi TLDM iaitu Panglima Tentera Laut ke-16 pada tanggal 18 November 2015. Sepanjang perkhidmatan beliau selama 41 tahun, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting dalam TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia termasuk Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Panglima Angkatan Bersama, Panglima Armada, Panglima Wilayah Laut 2, dan Asisten Ketua Staf (Rancang dan Operasi) di Markas Tentera Laut.

5
Penghormatan terakhir

Dibawah kepimpinannya, TLDM dan The Navy People bergerak dengan lebih profesional seiring permodenan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia. Beliau telah memperkenalkan Program Transformasi 15to5 yang menjadi fokus TLDM untuk mengatasi isu keusangan aset serta memacu usaha dalam pemodenan TLDM. Beliau sering diundang menjadi penceramah dan memberi ucap tama dalam seminar atau persidangan di dalam dan luar Negara. Antaranya, ASEAN Navy Chief’s Meeting, International Seapower Symposium, International Maritime Defence Exhibition and Conference Asia dan Ditchly Foundation Conference.

Gambar 6
Warga Navy People iringi Panglima Tentera Laut bersama doa dan ingatan

7
Pemeriksaan kawalan suku terakhir

Berdasarkan sumbangan dan sikap dedikasi beliau, pelbagai anugerah dan pengiktirafan tempatan dan asing telah diberikan kepada beliau. Antaranya, Pingat Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri' dan Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) oleh Yang Mulia Raja Malaysia, Perintah Raja Abdulaziz (Gred Cemerlang) dari Kerajaan Kerajaan Arab Saudi dan Nishan-e-Imtiaz (Tentera) dari Presiden Republik Islam Pakistan. Fleet Review yang berakhir jam 1245 tengah hari telah menyaksikan warga Navy People berbaris di sepanjang jeti Tambatan Pangkalan Lumut sehingga ke Pintu Gerbang Armada bagi menyambut Panglima Tentera Laut dan isteri. Beliau dan isteri kemudiannya menaiki kenderaan istiadat dan turut terharu menerima lambaian terakhir dari warga yang hadir. Acara ini merupakan acara yang terakhir yang memberi peluang kepada warga Navy People untuk memberi penghormatan terakhir di samping mengiringi Panglima Tentera Laut keluar pangkalan simbolik peninggalan dan persaraan beliau. Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman sentiasa menjadi seorang pemimipin yang akan sentiasa diingati. Beliau akan kekal menjadi lagenda yang akan terpatri dalam sejarah TLDM dan kenangan.

Rujukan : 271118/04
Artikel : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Kelulusan : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Jurufoto : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB

Last modified on Selasa, 27 November 2018 09:35

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 359

Semalam 508

Bulan ini 8981

Keseluruhan 489820

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM