Dis 29

RONDAAN BERSAMA KD SRI GAYA – BRP ANASTACIO CACAROYIN LENGKAPKAN SIRI KE-20 PROGRAM TRILATERAL MARITIME PATROL (TMP) TAHUN 2018

SANDAKAN, 27 Disember 2018 – Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kapal Diraja SRI GAYA (KD SRI GAYA) hari ini sekali lagi telah melaksanakan program Trilateral Maritime Patrol (TMP) bagi Siri Ke-20 dalam tahun 2018 yang juga merupakan siri TMP yang terakhir bagi tahun ini. Inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan kerjasama 3 buah negara Malaysia, Indonesia dan Filipina kali ini melihatkan KD SRI GAYA telah melaksanakan pertemuan bersama kapal Tentera Laut Filipina (TLF) BRP ANASTACIO CACAROYIN (PC 387) di sekitar garis sempadan maritim di antara kedua-dua buah negara. Kedua-dua buah kapal tersebut sedang melaksanakan rondaan di kawasan perairan negara masing-masing dan telah membuat pertemuan untuk Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM).

Program kali ini telah bermula dengan KD SRI GAYA yang diperintah oleh Lt Kdr Mohd Nor Fazli bin Mat Hassan TLDM bertemu dengan BRP ANASTACIO CACAROYIN yang diperintah oleh Lt Cdr Ignacio M Umali PN. Kedua-dua tim pemerintah kapal telah mengadakan perbincangan operasi di mana perkongsian maklumat dilakukan khususnya dalam mengenal pasti kawasan tumpuan (hot spot) serta perancangan latihan dilaksanakan. Selain daripada itu, kedua-dua kru kapal mengadakan aktiviti crossdeck yang melibatkan lawatan ke tempat kerja masing-masing bagi mengenali tatacara dan prosedur yang diguna pakai oleh TLDM dan TLF. Usaha ini akan memantapkan lagi persefahaman di antara anggota TLDM dan TLP serta memberi peluang kepada mereka mengenali rakan sejawat yang akan beroperasi bersama.

GAMBAR 1KD SRI GAYA dan BRP ANASTACIO CACAROYIN memulakan pertemuan di laut
GAMBAR 2
Ketibaan PM BRP ANASTACIO CACAROYIN Disambut Oleh PM KD SRI GAYA

Di bawah program TMP, pertemuan ini juga merupakan kali pertama bagi kedua-dua buah kapal. Inisiatif TMP melalui program TCA yang telah dilancarkan pada Jun 2017 ini telah menghasilkan impak yang memberansangkan khususnya dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan. Inisiatif rondaan TMP sebegini dilihat dapat meningkatkan keyakinan masyarakat setempat dan antarabangsa ke atas keupayaan negara Malaysia dan Filipina bersama Indonesia dalam mengurus isu keselamatan maritim terutamanya di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Sejurus selesai sesi perkongsian maklumat dan interaksi melibatkan kru kedua-dua buah kapal, latihan bersama di laut telah dimulakan. Antara latihan yang dilaksanakan adalah Manuvra Taktis (MANTAK), Pemindahan Tali Balingan, Latihan Menggeledah serta Rescue and Assistance Fire Fighting apabila KD SRI GAYA disimulasi mengalami kejadian kebakaran dan telah diberikan bantuan oleh BRP ANASTACIO CACAROYIN. Kesemua latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan kemahiran warga kapal serta interoperabiliti di antara kedua-dua tentera laut.

GAMBAR 3Latihan MANTAK Di Antara KD SRI GAYA dan BRP ANASTACIO CACAROYIN
GAMBAR 4
Latihan Pemindahan Tali Balingan

Rondaan bersama dan pertemuan ini akan diteruskan untuk memudahcara pertukaran maklumat berkaitan ancaman semasa di kawasan persempadanan perairan kedua-dua buah negara berdasarkan beberapa insiden penculikan dan cubaan rompakan yang berlaku di perairan Pantai Timur Sabah baru-baru ini. Di samping dapat menurunkan kadar jenayah rentas sempadan dan mengekalkan kestabilan keselamatan maritim, inisiatif rondaan bersama TMP ini juga menjadi salah satu medium bagi kedua-dua angkatan laut yang mewakili negara masing-masing untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala serta memperoleh manfaat daripada perkongsian ilmu dan latihan bersama yang dijalankan. Sepanjang tahun 2018, sebanyak 20 siri pertemuan di laut telah dilaksanakan oleh TLDM dan TLP dan diharap program seperti ini dapat diterus serta dipertingkatkan lagi pada masa akan datang. Selesai pertemuan, kedua-dua kapal tersebut kembali meneruskan rondaan di perairan negara masing-masing.

Sumber: Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel: Lt Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto: LK I JTP Mohd Qaiyum bin Zainalallam

Last modified on Sabtu, 29 Disember 2018 09:08

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 374

Semalam 362

Bulan ini 7691

Keseluruhan 641907

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM