Mei 02

MARKAS WILAYAH LAUT 2 LAKSANAKAN LATIHAN PERANG BORNEO 1/19

PANGWILLA 2PANGWILLA 2 memberikan ulasan berdasarkan pemerhatian
semasa latihan dilaksanakan

SANDAKAN, 30 Apr – Latihan Perang Borneo (PB) 1/19 yang melibatkan aset-aset armada Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) telah dilaksanakan dengan jayanya hari ini. PB 1/19 ini juga merupakan salah satu aktiviti sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-85 yang disambut 27 April 2019 yang lalu telah dilaksanakan di perairan Laut Sulu.

Latihan PB 1/19 yang dilaksanakan kali ini merupakan proses penilaian kesiapsiagaan dan keupayaan tempur armada di bawah naungan MAWILLA 2. Melalui latihan-latihan yang dilaksanakan ini, Panglima Wilayah Laut 2 (PANGWILLA 2) dapat mengukur tahap kesiapsiagaan, kecekapan, dan profesionalisme warga dan aset-aset di bawah pemerintahannya. Simulasi situasi pelbagai ancaman telah diwujudkan bagi menguji keupayaan semua unit dan aset menangani setiap satu ancaman sama ada atas atau bawah permukaan air. Latihan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan interoperabiliti armada MAWILLA 2 dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan menguji prosedur tetap yang sedia ada.

Elemen Tugas (Task Element) di dalam Latihan PB 1/19 terdiri daripada 8 buah kapal iaitu KA TUN AZIZAN, KD KASTURI, KD PAUS, KD TODAK, KD BAUNG, KD SRI GAYA, KD SRI TIGA, dan KD SRI JOHOR. PANGWILLA 2 turut menyertai pelayaran ini bagi menilai sendiri kemampuan dan kecekapan warga kapal melaksanakan evolusi latihan di samping menilai kesiapsiagaan aset-aset yang menyertai latihan ini.

Elemen Tugas telah belayar keluar ke kawasan latihan dalam keadaan bertindak pada 7.30 pagi dan meneruskan siri latihan yang telah diaturkan sehingga merapat semula di Tambatan Pangkalan Sandakan (TPS) pada sebelah petangnya. Kapal-kapal yang terlibat telah diuji dengan beberapa siri latihan seperti melalui kawasan periuk api, ilmu kelautan, persenjataan, komunikasi dan taktik peperangan maritim. Latihan yang dilaksanakan ini adalah bertujuan bagi menguji tahap kewaspadaan dan kesiapsiagaan kru bagi menghadapi sebarang situasi ancaman dan kecemasan ketika di lapangan.

Pelayaran Latihan PB 1/19 kali ini juga juga disertai oleh Panglima Wilayah Laut 1 (PANGWILLA 1), serta beberapa wakil jabatan kerajaan sekitar Sandakan antaranya daripada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Kesemua tetamu jemputan berada di KD KASTURI yang didatangkan khas ke MAWILLA 2 sempena Hari Terbuka Armada (HTA) Pangkalan TLDM Sandakan.

Kejayaan pelaksanaan Latihan PB 1/19 ini membuktikan bahawa kemampuan aset-aset armada TLDM khususnya di MAWILLA 2 untuk memenuhi sebarang keperluan operasi di Kawasan Operasi Maritim (KOM) Eastern Sabah Security Zone (ESSZone) yang terdedah kepada ancaman seperti jenayah rentas sempadan. Secara tidak langsung, pelaksanaan latihan ini juga akan memberikan impak yang sangat positif kepada komuniti maritim di Pantai Timur Sabah khususnya keyakinan mereka terhadap kemampuan dan komitmen ATM amnya dan TLDM khasnya dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan perairan setempat dengan kehadiran kapal-kapal TLDM di perairan Laut Sulu.

Sumber   : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel     : Lt Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto        : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2

Last modified on Khamis, 02 Mei 2019 00:42

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 53

Semalam 350

Bulan ini 8053

Keseluruhan 549973

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM