Mei 05

SEMAI SEMANGAT PATRIOTIK MELALUI KERJAYA TLDM

MAWILLA 2Perserta Program Lawatan Sambil Belajar bergambar di hadapan markas

SANDAKAN, 4 Mei – Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) telah menerima lawatan daripada pelajar-pelajar sekolah dari sekitar Sandakan hari ini. Program lawatan sambil belajar yang dilaksanakan ini adalah merupakan salah satu aktiviti yang direncana sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-85 Pangkalan TLDM Sandakan dan melibatkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan St Mary Sandakan, PASTI Saidina Uthman bin Affan serta APC Al-Baghdadi Indah Jaya dan Taman Mawar.

Antara aktiviti yang dilaksanakan sempena program lawatan sambil belajar ini termasuklah ceramah kerjaya TLDM, lawatan ke Pasukan Selam MAWILLA 2 dan lawatan ke kapal yang bertambat di Tambatan Pangkalan Sandakan (TPS) serta aktiviti boat ride bersama CB 90HEX. Ternyata para pelajar yang mengikuti program ini begitu teruja apabila berpeluang merasai pengalaman menaiki Bot Tempur CB 90H dan belayar di sekitar perairan Sandakan.

Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada para pelajar untuk mengenali TLDM bukan hanya sebagai pasukan keselamatan malahan menjadikan TLDM sebagai kerjaya pilihan mereka. Melalui ceramah yang disampaikan, pelajar-pelajar khususnya pelajar sekolah menengah diberikan pendedahan terhadap saluran kemasukan ke dalam TLDM serta kelebihan yang bakal diperolehi sebagai seorang anggota TLDM. Dengan ceramah yang disampaikan juga, para pelajar akan lebih mendalami dan mengetahui perkara-perkara berkenaan TLDM dan meyakinkan mereka untuk menjadikan TLDM sebagai profesion utama cita-cita mereka. Di samping itu juga, para pelajar didedahkan dengan tugas dan peranan TLDM di dalam aspek melindungi keselamatan maritim dan kedaulatan perairan negara.

Para pelajar, ibu bapa dan guru telah dibawa melawat ke sekitar Pangkalan TLDM Sandakan khasnya di kebuk mampatan selam atau diving chamber Pasukan Selam MAWILLA 2. Mereka turut dibawa melawat ke kapal-kapal yang berada di TPS. Keceriaan jelas terpampang di wajah para pelajar apabila telah diberi kesempatan untuk merasai pengalami memasuki kebuk mampatan Pasukan Selam serta melaksanakan lawatan ke kapal.

Kesemua para pelajar kelihatan begitu gembira dan seronok dengan lawatan ini memandangkan rata-rata mereka baru pertama kali menjejakkan kaki ke dalam kapal dan aset TLDM. Sesungguhnya lawatan seperti ini merupakan salah satu inisiatif untuk mempromosikan kerjaya sebagai seorang anggota TLDM dan memupuk minat belia-belia dan bakal pemimpin masa hadapan untuk turut serta menyertai Angkatan Tentera Malaysia dan berbakti kepada negara yang tercinta ini. Semoga ada antara mereka yang berminat untuk menyarung seragam TLDM pada masa hadapan.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2

Last modified on Ahad, 05 Mei 2019 00:50

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 368

Semalam 501

Bulan ini 8692

Keseluruhan 574938

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM