Mei 29

EKSESAIS PERANG TIOMAN MEMPERKASAKAN KESIAGAAN ARMADA TLDM DEMI MEMELIHARA KESELAMATAN DAN KEDAULATAN PERAIRAN MALAYSIA

PERANG TIOMANBergambar kenang-kenangan bersama YB Menteri Pertahanan

TANJUNG GELANG, 28 Mei - TLDM telah melaksanakan satu siri latihan peperangan maritim pada 26 dan 27 Mei 2019 di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Siri latihan yang dinamakan Eksesais Perang Tioman 3/19 ini dikendalikankan oleh Markas Wilayah Laut 1 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan. Eksesais Perang Tioman kali ini melibatkan aset armada TLDM dari Markas Pemerintahan Armada Barat, Markas Wilayah Laut 1 dan Pangkalan Udara Kuantan dengan kekuatan seramai 800 orang anggota. Sebanyak 9 buah kapal perang serta sebuah pesawat udara TLDM telah diaturgerakkan. Aset-aset tersebut adalah KD MAHAWANGSA, KD PAHANG, KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH, KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN, KD LAKSAMANA HANG NADIM, KD HANDALAN, KD PENDEKAR, KD PERDANA dan sebuah helikopter Fennec TLDM dari Skuadron 502. Sebuah helikopter EC725 TUDM turut terlibat dalam eksesais ini.

Kolaborasi ini telah dirancang dengan teliti melibatkan pelaksanaan beberapa siri latihan peperangan, keselamatan maritim, ilmu kelautan, navigasi dan mengawal kerosakan. Objektif utama penganjuran eksesais ini adalah memperkasakan kesiagaan aset TLDM bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan perairan negara. Pelaksanaan eksesais ini dinilai oleh Tim Penilai dari Bahagian Siaga Markas Wilayah Laut 1 berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dan pelbagai rujukan serta pengarahan operasi semasa. Penilaian kesiagaan ini dilaksanakan sendiri oleh Panglima Wilayah Laut 1 YBhg Laksamana Muda Abu Bakar bin Mohd Ajis yang belayar bersama-sama kapal-kapal tersebut.

Eksesais Perang Tioman ini juga bertujuan untuk menambahkan keyakinan komuniti maritim di Pantai Timur terhadap keselamatan perairan negara. Justeru, laluan pelayaran eksesais ini telah dirancang untuk melalui kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan aktiviti pencerobohan oleh bot-bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam. Sambil melaksanakan latihan, Armada TLDM ini telah memperagakan kehadiran serta menguatkuasakan undang-undang dan menjulang kedaulatan negara di kawasan tersebut. Hasilnya, sebuah bot nelayan Vietnam telah berjaya ditahan pada petang 26 Mei oleh KD HANDALAN. Bot nelayan ini dikesan sedang menarik pukat di dalam perairan negara. Hasil pemeriksaan oleh Tim Geledah Kapal, dianggarkan sebanyak 1 tan hasil laut ditemui di atas bot tersebut. Bot telah ditahan kerana menceroboh perairan negara dan menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran. Bot telah diserahkan kepada APMM untuk tindakan lanjut. Tiada bot nelayan asing dikesan selepas penahanan bot di atas.

Eksesais Perang Tioman 3/19 ini juga turut disertai oleh ketua-ketua jabatan kerajaan di negeri Pahang. Ianya bertujuan untuk mempertingkatkan serta meninjau ruang kerjasama demi keselamatan negara. Eksesais kali ini turut dirakam oleh rakan media dari Jabatan Penerangan Negeri Pahang, Sinar Harian, News Straits Times, Utusan, Berita Harian dan BERNAMA. Yang Berhormat Menteri Pertahanan turut meluangkan masa bagi menyaksikan kesiagaan Armada TLDM ini di penghujung eksesais.

Secara kesuruhannya, eksesais ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai setiap objektif yang ditetapkan. Profesionalisme dan komitmen yang dipamerkan oleh warga Markas Wilayah Laut 1 membuktikan bahawa TLDM sentiasa bersedia untuk mempertahankan kedaulatan tanah air tanpa mengira masa.
Armada Siaga TLDM Perkasa, Keselamatan dan Kedaulatan Perairan Negara Terpelihara!

Sumber : Komunikasi Strategik MAWILLA 1
Artikel   : Lt Kdr Muhamad Fadhil bin Samsuddin TLDM
Foto      : LK PBS Nizam
            : LK PAP Saiful

Last modified on Rabu, 29 Mei 2019 08:32

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 333

Semalam 508

Bulan ini 10780

Keseluruhan 564330

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM