Print this page
Feb 09

KD TODAK TERIMA PEGAWAI MEMERINTAH BAHARU

13PANGWILLA 2 menyaksikan upacara menandatangani Nota Serah Terima Tugas
di antara Mantan dan Pegawai Memerintah KD TODAK baharu

SANDAKAN, 07 Feb - Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Memerintah KD TODAK telah dilaksanakan dengan jayanya pada pagi ini. Leftenan Komander Ahmad Zaki bin Ismail TLDM dengan rasminya telah menyerahkan tampuk pemerintahan KD TODAK kepada Leftenan Komander Mohd Rozaimi bin Mahmod TLDM.

Majlis telah dimulakan dengan upacara menandatangani Sijil Nota Serah Terima Tugas di antara Mantan Pegawai Memerintah kepada Pegawai Memerintah baharu sambil disaksikan oleh Panglima Wilayah Laut 2 (PANGWILLA 2), Laksamana Muda Dato’ Sabri bin Zali. Seterusnya PANGWILLA 2 telah menyempurnakan upacara penurunan Insignia Pemerintahan daripada Mantan Pegawai Memerintah dan Pemakaian Insignia Pemerintahan kepada Pegawai Memerintah yang baharu. Sebagai simbolik peralihan tampuk pemerintahan, Mantan Pegawai Memerintah telah menyerahkan teropong kepada Pegawai Memerintah yang baharu.

Dalam ucapan PANGWILLA 2 berkata perlantikan Lt Kdr Mohd Rozaimi TLDM sebagai Pegawai Memerintah KD TODAK yang baharu merupakan manifestasi keyakinan dan kepercayaan pucuk pimpinan TLDM terhadap kewibawaan Navy People untuk menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya. PANGWILLA 2 percaya, Pegawai Memerintah KD TODAK yang baharu akan dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Beliau juga menekankan bahawa kompetensi dan kemahiran warga kapal juga perlu dititikberatkan di samping memastikan kesiagaan kapal sentiasa berada di tahap tertinggi. Justeru, beliau turut menyeru kepada seluruh warga KD TODAK agar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberi dengan penuh dedikasi terutamanya dalam aspek senggaraan kapal.

Di dalam ucapannya juga, PANGWILLA 2 turut menzahirkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada mantan Pegawai Memerintah, Lt Kdr Ahmad Zaki TLDM yang telah menerajui kapal tersebut selama hampir dua tahun dan jangkamasa itu bukanlah mudah untuk dicapai tanpa komitmen dan kesungguhan yang diberikan sepanjang memegang tampuk pemerintahan di kapal.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : LK l TLR Ahmad Shukri bin Samad

Klik ke galeri

Last modified on Ahad, 09 Februari 2020 01:29