Sep 09

PENGKISAHAN SEJARAH KD SRI PERAK

KD SRI PERAKImbau kembali. Sesi pengkisahan sejarah KD SRI PERAK

KUALA LUMPUR, 7 Sep - Majlis Pengkisahan Sejarah KD SRI PERAK anjuran PUSMAS TLDM telah berlangsung di Wisma Perwira ATM. Objektif utama program yang turut melibatkan kerjasama teknikal dari Arkib Negara Malaysia (ANM) adalah untuk mendokumenkan episod-episod penting dan bersejarah bagi TLDM. 

Ahli panel terdiri daripada bekas kru dan pelatih KD SRI PERAK semasa kejadian iaitu; Laksdya Dato’ Abdul Rahman bin Hj Ayob Timbalan Panglima Tentera Laut; Laksma Maritim Zainin bin Abdul Majid (Bersara); Laksma Sazalee bin Shoib, Panglima Udara; Laksma Maritim Robert Teh Geok Chuan, Pengarah APMM Sarawak; Kepten Ahmad Lahmi bin Abdullah TLDM, Pengarah Pengurusan Kontrak Bahagian Materiel dan Encik Ismail bin Abdul Aziz. Turut hadir ialah Ketua Seksyen Penerbitan dan Dokumentasi ANM, Encik Hj Nasir bin Hj Ismail sebagai penasihat bersama dengan tim teknikal dari ANM.

Moderator program, Kdr Sugenderan a/l Nagalan TLDM, berperanan sebagai pendorong ahli panel untuk kembali ke tahun 1984, mengimbau detik-detik penting dalam insiden KD SRI PERAK. Bermula dengan persediaan sebelum pelayaran dari Lumut, persinggahan ulangbekal di Malaysian Base Jetty, Woodlands Singapura dan pelayaran merempuh laut bergelora menuju ke Labuan sehinggalah peristiwa kapal karam berhampiran Pulau Midai di Laut China Selatan.

Para ahli panel turut berkongsi pengalaman mereka berlindung (survival) selama 72 jam di atas rakit keselamatan yang hanyut di tengah lautan, hampir-hampir putus harapan untuk diselamatkan. Justeru, tidaklah menghairankan apabila sukar untuk mereka menggambarkan perasaan masing-masing tatkala melihat pesawat P-3C Orion, milik Tentera Udara Diraja Australia terbang rendah menghampiri rakit dan melepaskan isyarat lampu suar.

Program pengkisahan ini akan diteruskan lagi bagi mendapatkan gambaran menyeluruh dari pelbagai sudut. Kisah ini juga akan diolah ke dalam bentuk yang sesuai untuk dihayati oleh warga navy people serta masyarakat.

Artikel      : Lt Dya Nurhidayah binti Mazlan PSSTLDM
Kelulusan : Bahagian Komunikasi Strategik MkTL
Foto         : LK PNK Mohamad Fairuz bin Mohamad Azman

Klik ke galeri

Last modified on Rabu, 09 September 2020 04:59

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 526

Semalam 750

Bulan ini 526

Keseluruhan 838380

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM