Sep 22

SAMBUTAN HARI ATM KE-88

ATM88Sambutan 88 tahun ATM di Kem Segenting, Port Dickson

PORT DICKSON, 22 Sep - Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menjayakan sambutan Hari ATM ke-88 yang diadakan di Kem Segenting buat julung kalinya.

Bertemakan 'Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama', sambutan disempurnakan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM.  Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjadi keutamaan bagi memastikan acara dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengawal sebarang kebarangkalian penularan wabak COVID-19.

Sambutan hari ini dijayakan 2,500 orang warga ATM yang terlibat dengan Latihan Kesiagaan Aset dan Kompetensi serta Perbarisan Statik Tempur.

Latihan Kesiagaan yang dilaksanakan mempamerkan keupayaan aset dan warga ketiga-tiga cabang perkhidmatan - Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Demonstrasi ini menjadi bukti kesiapsiagaan ATM dalam menggalas tanggungjawab mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Warga Navy People berbangga dapat menjayakan Latihan Kesiagaan ini sebagai elemen maritim yang melibatkan aset KD MAHAWANGSA, KD LEKIU, KD JEBAT dan KD LEKIR, selain anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL).

Selesai demonstrasi Kolonel Mohd Rosli bin Abu Bakar mengetuai lapan detasmen untuk Perbarisan Statik Tempur daripada TDM, TLDM, TUDM, Malaysian Battalion (MALBATT) Gerup Gerak Khas (GGK), PASKAL, Pasukan Khas Udara (PASKAU) dan Pasukan Aturgerak Cepat (PARA).

Pesawat Super Lynx dan Fennec dari Cawangan Udara pula terlibat dengan lintas hormat pesawat.

Turut diadakan penyampaian Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera yang merupakan anugerah tertinggi di dalam ATM. Tahniah diucapkan kepada Komander Asri bin Dasman TLDM, Pegawai Memerintah KD LEKIR yang menerima anugerah tersebut.

Tahun ini merupakan tahun kedua ATM berhadapan dengan cabaran dalam menggalas tugas sekunder membantu negara mengekang penularan wabak COVID-19. Namun, ATM sebagai benteng utama pertahanan Malaysia terus komited untuk mendokong misi dan wawasan negara bagi menentukan keamanan dan kedaulatannya sentiasa terpelihara.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut
Artikel   : Lt Norzuhaira binti Ruhanie PSSTLDM
Foto      : LK PWP Muhamad Zul Akmal bin Ahmad

Last modified on Rabu, 22 September 2021 04:27

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 353

Semalam 879

Bulan ini 19817

Keseluruhan 1250246

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM