Okt 05

UPACARA PENAMAAN DAN PENTAULIAHAN KD PANGLIMA GARANG

PANGLIMA GARANG

LUMUT, 1 Okt - Panglima Tentera Laut dan warga Navy People berbesar hati kerana Kepten Yang Dipertua TLDM, DYMM Sultan Selangor berkenan menyempurnakan upacara penamaan dan pentauliahan KD PANGLIMA GARANG di Pangkalan TLDM Lumut.

Ketibaan Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj disambut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato' Abdul Rahman bin Ayob bersama Panglima Pasukan Khas Laut, Laksamana Pertama Hj Mohd Redzuan bin Hj Talib.

Tarikh 1 Oktober 2021 ini diambil bersempena dengan tarikh hari ulang tahun penubuhan Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang ke-39.

Di dalam sejarah Kesultanan Negeri Selangor, nama Panglima Garang merupakan gelaran yang dianugerahkan kepada Pahlawan Melayu yang mempunyai sifat keberanian dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tengku Panglima Besar Raja Abdul Samad yang kemudian ditabalkan sebagai Sultan Selangor ke-4. Panglima Garang merupakan seorang pendekar yang sangat handal di dalam permainan senjata dan memiliki ilmu peperangan yang tinggi serta amat digeruni musuh.

KD PANGLIMA GARANG adalah Pusat Latihan PASKAL yang mempunyai fasilitas pelantar minyak, satu-satunya fasilitas di Malaysia yang dibina dengan tujuan untuk memudahkan tim PASKAL melaksanakan latihan melawan keganasan maritim dengan lebih efisien, selain daripada menempatkan mereka di pelantar minyak sebenar pada satu-satu masa.

Selain itu, fasilitas lain yang terdapat di KD PANGLIMA GARANG termasuk dataran latihan fizikal, tiga jenis lapang sasar, rumah tempur dan kolam selam.

Sejak penubuhan PASKAL pada tahun 1982, unit pasukan khas TLDM ini telah melatih 1,103 pegawai dan anggota unit pasukan khas dalam dan luar negara melalui pelbagai kursus yang ditawarkan.

Turut hadir ke upacara hari ini Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Malaysia, Tuan Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut
Artikel   : Lt Norzuhaira binti Ruhanie PSSTLDM

Foto      : LK TNL Mohd Badrul Hisham bin Che Hussin

Last modified on Selasa, 05 Oktober 2021 02:22

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 368

Semalam 879

Bulan ini 19832

Keseluruhan 1250261

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM