MALBATT 850Timbalan Menteri Pertahanan menyerahkan Jalur Gemilang
kepada Komander MALBATT 850-8

SUBANG, 1 Okt - Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Battalion (MALBATT) 850-8 telah disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Warga MALBATT 850-8 akan menggantikan MALBATT 850-7 yang akan menamatkan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) setelah berkhidmat selama 12 bulan.

Kontinjen MALBATT 850-8 melibatkan seramai 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat, termasuk 3 pegawai dan 27 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang pegawai awam Kementerian Pertahanan dan akan diaturgerakkan secara berperingkat.

Penghantaran kumpulan pertama hari ini melibatkan seramai 215 orang dan diketuai oleh Komander MALBATT 850-8, Kol Azudin bin Hassan. Buat pertama kalinya, majlis penghantaran Kontijen MALBATT tidak dihadiri oleh ahli keluarga bagi mematuhi SOP kesihatan yang telah ditetapkan.

Dato’ Sri Ikmal telah memakaikan beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada Kol Azudin, wakil ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), wakil ABDB, wakil anggota wanita dan anggota ATM.

Penglibatan ATM dalam misi UNIFIL bermula sejak tahun 2007 bagi membantu menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB. Timbalan Menteri Pertahanan turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Kol Azudin sebagai simbolik mewakili negara dalam misi pasukan pengaman tersebut.

Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM, Panglima ketiga-tiga perkhidmatan termasuk Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany antara pucuk pimpinan ATM dan Kementerian yang hadir.

Sumber : Markas Angkatan Bersama
Artikel   : Lt Norzuhaira binti Ruhanie PSSTLDM
Foto      : LK TNL Mohamad Idris bin Suradi

Klik ke galeri

PUSPAHANAS UTAMAMantap. Barisan Ahli Lembaga Gabenor Maktab Ketahanan Nasional

PUTRAJAYA, 30 Sep - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM mewakili Menteri Pertahanan telah menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Ketahanan Nasional 2020 dan Serah Terima Tugas Presiden PUSPAHANAS bertempat di Auditorium Utama PUSPAHANAS.

Kursus yang bermula dari 3 sep 2019 ini merupakan siri pertama yang diadakan sejak penubuhan Maktab Ketahanan Nasional pada 31 Julai 2019 yang dihadiri oleh Pegawai Kanan ATM berpangkat Brigadier Jeneral dan Kolonel atau setaraf.

Seramai 12 Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia serta 4 orang Pegawai Kanan dari Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia telah menghadiri kursus selama 52 minggu itu.

Pada masa yang sama, Panglima Angkatan Tentera turut melancarkan buku bertajuk 'Nation Call', naskah ilmiah yang telah dihasilkan oleh peserta kursus bersama Brig Jen Dato' Dr Mohd Radzi bin Abdul Hamid.

Turut berlangsung pada pagi ini ialah Majlis Serah Terima Tugas Presiden PUSPAHANAS antara Laksdya Dato' Ganesh Navaratnam dengan Leftenan Jeneral Dato' Hj Md Yusof bin Aziz.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany antara yang hadir bersama ahli Lembaga Gabenor MKN yang terdiri dari Panglima-Panglima Perkhidmatan serta para jemputan domestik dan perwakilan asing.

Sumber : BHEA-J7, Markas Angkatan Tentera Malaysia
Artikel   : LK PRL Mohd Faisa bin Mamat
Foto      : LK TNL Mohammad Idris bin Suradi


WhatsApp Image 2020 09 29 at 20.02.34

KUALA LUMPUR, 29 Sep - Majlis Request Pleasure of Your Company (RPC) bersama ahli-ahli kelab bintara Markas Tentera Laut telah berjaya dilaksanakan bertempat di Dewan tertutup KD Sri Gombak.

Ia merupakan upacara yang diadakan julung-julung kalinya bagi memperkenalkan barisan AJK sesi 20/21. Tahniah diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Kelab Bintara Markas Tentera Laut Sesi 20/21 yang telah dilantik. Semoga barisan AJK sesi 20/21 dapat memberi komitmen dengan semangat kerjasama diantara satu sama lain. Sentiasa berpandangan positif dalam melaksanakan amanah serta berkepimpinan yang berwibawa.

Rujukan : 300920/01
Sumber : Kelab Bintara Markas Tentera Laut
Artikel   : BM TLR Adik Muhammad Fikri bin Mohd Noh

JUTRATeknisyen Skim DTK Siri 221 melapor diri di KD SULTAN ISMAIL

TANJUNG PENGELIH, 24 Sep - Hari ini berlangsung pengambilan dan ucapan Selamat Datang kepada 108 Teknisyen TLDM Skim Diploma Tugas Khusus (DTK) bagi Pengambilan Perajurit Muda Siri 221. Inisiatif ini adalah usaha TLDM sejak tahun 2019 untuk mengambil Teknisyen yang berkelulusan Diploma Kejuruteraan.

Pihak TLDM mendapati Skim DTK adalah pendekatan terbaik buat masa ini bagi mendapatkan Teknisyen yang kompeten, berbanding pendekatan sebelum ini iaitu membangunkan Teknisyen melalui beberapa skim khusus. Selain itu, Skim DTK ini terdapat ruang dan peluang untuk calon graduan Diploma Kejuruteraan untuk terus maju dalam karier. Diantara ruang dan peluang yang dikenal pasti adalah seperti berikut:

1. Certified Technician (Tc.). Pihak TLDM akan menguruskan proses sewajarnya agar Teknisyen yang layak dan memenuhi syarat sebagai Tc. oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

2. Jurutera Profesional (Ir.). Teknisyen yang memenuhi syarat dan berkelayakan boleh berpeluang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (First Degree) atas tajaan TLDM. Jika lulus, layak dan memenuhi syarat, anggota bakal menjadi seorang Jurutera Profesional (Ir.) yang diiktiraf oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).

Warga Navy People mengucapkan Selamat Berkhidmat kepada Teknisyen Pengambilan Siri 221 dengan pesanan – Sedia Berkorban.

Sumber : Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksda Datuk Ir. Mohd Shaiful Adli Chung

WhatsApp Image 2020 09 22 at 3.33.06 PM 2 Panglima Tentera Laut menerima Buku Pelan Antirasuah
daripada Panglima Angkatan Tentera

KUALA LUMPUR 22 Sep – Perbarisan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-87 telah berlangsung dengan jayanya di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi. 

Acara disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM dan dihadiri warga ATM termasuk Panglima-Panglima Perkhidmatan.

Perbarisan kali ini melibatkan 51 orang pegawai dan 901 orang anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga perkhidmatan dengan konsep perbarisan tempur statik. Acara turut menyaksikan terbang lintas hormat pesawat helikopter membawa bendera ATM, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Panglima Angkatan Tentera juga menyempurnakan penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara dan penyampaian Sijil Kepujian Panglima Angkatan Tentera kepada wakil petugas barisan hadapan ATM yang terlibat dalam Op Penawar dan Op Benteng. Beliau turut menyampaikan Buku Pelan Anti Rasuah kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan sempena Pelancaran Pelan Antirasuah ATM.

Sumber : BHEA-J7
Artikel   : Lt Norzuhaira binti Ruhanie PSSTLDM
Foto      : LK TNL Mohamad Idris bin Suradi / LK PWP Muhamad Zul Akmal bin Ahmad 

Klik ke galeri


Kursus X bandSelesai. Kursus Pengoperasian dan Pengendalian Sistem Komunikasi Satelit X-BAND

KOTA KINABALU, 11 Sep – Sistem Satelit merupakan sebuah infrastruktur yang mandatori dalam merangkaikan sistem komunikasi sesbuah negara dan ini membuatkannya amat penting untuk digunakan dalam sistem komunikasi ketenteraan. Satu ketumbukan tentera yang dijaringkan dengan sistem komunikasi satelit akan membolehkan pemerintahnya memiliki keupayaan untuk mengumpul, memproses dan menyebarkan maklumat kritikal yang seterusnya akan meningkatkan secara dramatik kesedaran situasi dan memberikan gambaran yang lebih jelas di medan pertempuran. Sistem Komunikasi Satelit X-Band adalah salah satu rangkaian komunikasi terkini yang digunakan oleh ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM sebagai perhubungan komunikasi yang lebih efektif.v

Bahagian Komunikasi Peperangan dan Sistem Informasi (KPSI) Markas Tentera Laut telah mengkoordinasikan Kursus Pengoperasian dan Pengendalian Sistem Komunikasi Satelit X-Band bagi SKN 601 dalam membantu unit tersebut bagi mengintegrasikan peralatan Sistem Komunikasi Satelit X-Band bersama sistem analisis Unmanned Aerial System (UAS).

Kursus selama 5 hari ini telah dilaksanakan dengan kerjasama penceramah jemputan dari Pusat Komunikasi Satelit ATM. Majlis penutup kursus dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Lt Kdr Abdul Hamid Bin Abu Bakar TLDM Asisten Ketua Staf Komunikasi dan Sistem Informasi Markas Pemerintahan Armada Timur.

Khidmat tenaga mahir berkaitan Sistem Komunikasi Satelit X-Band daripada PKS ATM sebagai penceramah dan fasilitator kursus telah memberikan banyak pengajaran dalam aspek know-how, sebelum sistem tersebut dioperasikan.

Seramai 40 orang peserta telah mengikuti kursus ini, terdiri daripada krew SKN 601, anggota SKTLDM Kota Kinabalu dan Depot Senggaraan Armada Timur. Hasil daripada kursus ini, semua peserta dilihat dapat mengoperasikan semua jenis terminal X-Band yang telah diajar iaitu Command On The Pause (COTP), Flyaway kit dan Manpack.

Berdasarkan inisiatif kursus ini, warga Navy People terutama dari cawangan komunikasi disaran agar terus berinovasi serta memajukan inisiatif baharu untuk membolehkan TLDM terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Artikel   : PW I KOM (I) Rozzainie bin Ishak
Sumber : Bahagian Komunikasi Peperangan dan Sistem Informasi, Markas Tentera Laut
Foto      : SKN 601

FIA 0403Selesai. Peserta Kursus dan Sekretariat bergambar bersama
SUB Bahagian Pembangunan, KEMENTAH

KUALA LUMPUR, 9 Sep - TLDM adalah agensi pertama di bawah naungan Kementerian Pertahanan Malaysia yang berhasrat untuk melaksanakan Facility Management (FM) terhadap selenggaraan dan pengoperasian fasilitas kapal selam secara Performance-based Contract (PBC).

Selain itu, Kementerian Pertahanan juga merupakan kementerian pertama yang diberi kelulusan khas untuk melaksanakan FM tanpa melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR), iaitu pihak berkuasa terhadap FM di Malaysia. JKR merupakan peneraju pelaksanaan FM bagi aset Kerajaan, yang telah dilaksanakan di beberapa kementerian lain.

Bagi mencapai objektif inisiatif baharu ini, satu bengkel 3-hari untuk membangunkan dokumen FM telah dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Kementerian Pertahanan dengan kerjasama tenaga pakar dari pihak JKR. Penutup bengkel hari ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dr Hj Al-Azmi bin Bakar, Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Pertahanan.

FM adalah kaedah di mana sesuatu aset dioperasikan oleh firma swasta untuk kegunaan TLDM berdasarkan prestasi (performance) yang ditetapkan bagi menyokong pengoperasian kapal selam. Justeru, keperluan selenggaraan, pembaikan, pengurusan selengggaraan serta upkeep aset infrastruktur kapal selam perlu dilaksanakan oleh Pemegang Kontrak. Pada masa ini, pelaksanaan FM kapal selam adalah menggunakan kontrak In-Service Support (ISS).

Khidmat tenaga pakar berkaitan FM daripada JKR sebagai fasilitator bengkel telah memberikan banyak pengajaran dalam aspek know-how, sebelum FM ditender secara Tender Terbuka.

Seramai 35 orang peserta telah mengikuti bengkel ini, terdiri daripada 5 warga Navy People, seorang pegawai Bahagian Perolehan dan 29 orang peserta daripada Bahagian Pembangunan kementerian. Hasil daripada bengkel, beberapa pelan tindak telah ditetapkan agar kontrak FM dapat direalisasikan pada tahun 2023.

Berdasarkan inisiatif ini, warga Navy People disaran agar terus berinovasi serta memajukan inisiatif baharu untuk membolehkan TLDM terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Mohd Shaiful Adli Chung
Sumber : Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Foto      : Bahagian Pembangunan, Kementerian Pertahanan

KD SRI PERAKImbau kembali. Sesi pengkisahan sejarah KD SRI PERAK

KUALA LUMPUR, 7 Sep - Majlis Pengkisahan Sejarah KD SRI PERAK anjuran PUSMAS TLDM telah berlangsung di Wisma Perwira ATM. Objektif utama program yang turut melibatkan kerjasama teknikal dari Arkib Negara Malaysia (ANM) adalah untuk mendokumenkan episod-episod penting dan bersejarah bagi TLDM. 

Ahli panel terdiri daripada bekas kru dan pelatih KD SRI PERAK semasa kejadian iaitu; Laksdya Dato’ Abdul Rahman bin Hj Ayob Timbalan Panglima Tentera Laut; Laksma Maritim Zainin bin Abdul Majid (Bersara); Laksma Sazalee bin Shoib, Panglima Udara; Laksma Maritim Robert Teh Geok Chuan, Pengarah APMM Sarawak; Kepten Ahmad Lahmi bin Abdullah TLDM, Pengarah Pengurusan Kontrak Bahagian Materiel dan Encik Ismail bin Abdul Aziz. Turut hadir ialah Ketua Seksyen Penerbitan dan Dokumentasi ANM, Encik Hj Nasir bin Hj Ismail sebagai penasihat bersama dengan tim teknikal dari ANM.

Moderator program, Kdr Sugenderan a/l Nagalan TLDM, berperanan sebagai pendorong ahli panel untuk kembali ke tahun 1984, mengimbau detik-detik penting dalam insiden KD SRI PERAK. Bermula dengan persediaan sebelum pelayaran dari Lumut, persinggahan ulangbekal di Malaysian Base Jetty, Woodlands Singapura dan pelayaran merempuh laut bergelora menuju ke Labuan sehinggalah peristiwa kapal karam berhampiran Pulau Midai di Laut China Selatan.

Para ahli panel turut berkongsi pengalaman mereka berlindung (survival) selama 72 jam di atas rakit keselamatan yang hanyut di tengah lautan, hampir-hampir putus harapan untuk diselamatkan. Justeru, tidaklah menghairankan apabila sukar untuk mereka menggambarkan perasaan masing-masing tatkala melihat pesawat P-3C Orion, milik Tentera Udara Diraja Australia terbang rendah menghampiri rakit dan melepaskan isyarat lampu suar.

Program pengkisahan ini akan diteruskan lagi bagi mendapatkan gambaran menyeluruh dari pelbagai sudut. Kisah ini juga akan diolah ke dalam bentuk yang sesuai untuk dihayati oleh warga navy people serta masyarakat.

Artikel      : Lt Dya Nurhidayah binti Mazlan PSSTLDM
Kelulusan : Bahagian Komunikasi Strategik MkTL
Foto         : LK PNK Mohamad Fairuz bin Mohamad Azman

Klik ke galeri

KDSM MERDEKAMerdeka 63. Warga KDSM mengibar Jalur Gemilang di puncak Bukit Tengkorak

SEMPORNA, 1 Sep – Dengan bertemakan Malaysia Prihatin, warga KD SRI SEMPORNA (KDSM) tidak terlepas dari menzahirkan rasa kecintaan kepada negara dengan melaksanakan beberapa aktiviti bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 yang disambut pada 31 Ogos saban tahun. Sepanjang bulan Ogos 2020, warga KDSM telah melibatkan diri di dalam beberapa program bersempena dengan bulan kemerdekaan.

Antara program dan aktiviti yang telah dilaksanakan warga KDSM dalam menyemarakkan semangat cintakan negara ini adalah seperti:

a. Program Merdeka @ Komuniti Daerah Semporna.

b. Pop Kuiz Merdeka.

c. Pendakian Bukit Tengkorak.

d. Kempen Derma Darah.

Secara kesimpulannya, kesemua program telah berlangsung dengan jayanya dan dilihat memberi impak positif di dalam menyemarakkan semangat patriotisma dan cintakan negara. Diharapkan program-program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“SELAMAT HARI KEMERDEKAAN KE-63, MALAYSIA PRIHATIN”

Sumber : Pejabat Perhubungan Raya – KD SRI SEMPORNA
Artikel   : Lt Dya Dhiya’ Wathiq binti Johari TLDM
Foto      : LK TLR Ahmad Zaki bin Rail

HRMIS MPPSSelesai. Peserta Kursus HRMIS ATM Siri 3/2020 bergambar bersama 

MASAI, 28 Ogos – Kursus Human Resource Management Information System (HRMIS) ATM Siri 3/2020 telah diadakan bermula 24 hingga 28 Ogos yang lalu bertempat di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM (MPPS TLDM). Kursus yang melibatkan 22 orang peserta terdiri daripada pegawai dan anggota dari ketiga-tiga perkhidmatan Darat, Laut dan Udara bagi pasukan-pasukan atau unit-unit yang berada di Zon Selatan yang mana menjawat jawatan sebagai Pegawai Tadbir/Rekod atau Ketua Kerani/Kerani Rekod. Kursus telah dijalankan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Antara objektif Kursus HRMIS Siri 3/2020 ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta berkenaan konsep, proses serta fungsi-fungsi yang terlibat bagi modul-modul HRMIS ATM mengikut peranan masing-masing. Seterusnya membimbing peserta akan penggunaan modul yang terdapat dalam sistem ini terutama proses-proses pengurusan sumber manusia.

Majlis Penutup dan penyampaian sijil kursus ini telah disempurnakan oleh Lt Kol Erman Shah bin Mohd Khafe, Pegawai Staf 1 Sistem Informasi. Ketua Staf MPPS TLDM, Kept Ismail bin Othman TLDM turut berkesempatan melakukan lawatan ramah mesra.

Sumber : Seksyen BPR & HRMIS
Artikel   : Lt Kdr Mahazean binti Mat Lawi TLDM
Foto      : BK PBK Hazarul Affendiy bin Ismail

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 530

Semalam 750

Bulan ini 530

Keseluruhan 838384

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM