GAMBAR 3Petugas anjungan KD JEBAT memerhatikan kedudukan KD GEMPITA

LUMUT, 7 Jan - Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) meneruskan kesinambungan latihan kesiagaan yang dilaksanakan secara berkala menerusi Latihan Perang Pangkor siri 1/22 yang telah direalisasikan di sekitar perairan Selat Melaka. Latihan ini merupakan inisiatif yang dilaksanakan bertujuan untuk menguji serta menilai tahap kesiagaan dan keupayaan armada serta warganya dalam melaksanakan tugasan teras di lapangan.

Latihan Perang Pangkor siri 1/22 pada kali ini telah disertai dan dijayakan oleh beberapa aset TLDM iaitu KD JEBAT dan KD GEMPITA serta disokong oleh Fast Combat Boat TLDM. Pelbagai siri latihan telah berjaya diterjemahkan sepanjang latihan berlangsung meliputi aspek latihan Navigasi, Komunikasi, llmu Kelautan dan Peperangan. Sebagai nilai tambah, latihan Mengawal Kebanjiran dan Melawan Api (MKMA) juga turut dilaksanakan bagi menguji tahap ketersediaan warga kapal dalam menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka dalam situasi sebenar di lapangan.

Latihan kesiagaan ini adalah merupakan pendekatan efektif bagi mengekalkan tahap profesionalisme warga agar sentiasa berada pada tahap yang tertinggi dalam mendepani sebarang situasi konflik atau peperangan sebenar. Latihan berkala secara berterusan akan terus dilaksanakan bagi memastikan armada TLDM sentiasa berada ditahap kesiagaan yang tertinggi serta mampu menangani sebarang ancaman yang mendatang pada sebilang masa.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

PAKS 05
KOTA KINABALU, 3 Jan – Majlis bacaan Yassin dan Tahlil telah diadakan di Auditorium Markas Pemerintahan Kapal Selam (MPKS) sempena Hari Ulang Tahun AKAS ke - 13. Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Yang Berbahagia Laksamana Pertama Mohd Razib bin Tahir Panglima Angkatan Kapal Selam (PAKS) seterusnya bacaan Yassin dan Tahlil bersama warga AKAS TLDM dan secara atas talian melalui aplikasi Google Meet bersesuaian dengan SOP Covid -19. Majlis tersebut dipimpin oleh Pegawai Agama Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Mejar Mad Zakuan bin Burhan.

Majlis ini dilaksanakan bagi mensyukuri nikmat serta memohon keberkatan dan kesejahteraan seluruh warga AKAS TLDM yang berkhidmat dibawah naungan MPKS daripada ALLAH S.W.T.

Sempena majlis ini juga PAKS turut melancarkan kempen “Jom Solat Berjemaah” bagi memupuk budaya mengimarahkan masjid di kalangan warga AKAS TLDM. Warga AKAS TLDM digalakan untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid atau pun surau di kariah masing-masing sekurang kurangnya sekali sehari. Kempen seumpama ini diharapkan dapat meningkatkan lagi aspek Spritual Combat Power di kalangan warga AKAS TLDM.

Sumber : Pejabat Pejabat Perhubungan Awam (N7) MPKS

RPEL

LUMUT, 23 Dis - Konvokesyen Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) Siri 2/20 dan 3/21 telah disempurnakan oleh Laksda Dato’ Anuar bin Mohamed, Panglima Pendidikan dan Latihan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak. Konvokesyen ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Zakariah bin Haji Md Sam, Ketua Pengarah Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Encik Ts. Kamaruzaman bin Md Ali, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia. Secara keseluruhannya, seramai 451 anggota telah berjaya menamatkan program ini.


Objektif utama Program RPEL adalah memastikan setiap warga TLDM mempunyai sekurang-kurangnya satu kemahiran yang diiktiraf oleh JPK bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka setelah bersara atau menamatkan perkhidmatan. Program ini merupakan kolaborasi di antara PERHEBAT dan Kementerian Sumber Manusia. Anggota TLDM yang lulus Program RPEL ini bakal dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia oleh JPK. TLDM merupakan perkhidmatan pertama di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melaksanakan Program RPEL.

Pelaksanaan Program RPEL mengambil tempoh selama 4 bulan dalam Kursus Penyelia dan Penyelia Kanan di KD PELANDOK. Program ini terdiri daripada 4 fasa iaitu Taklimat Pengenalan Program, Proses Bimbingan oleh Pegawai Pembimbing, Pra Penilaian oleh pihak PERHEBAT dan yang terakhir iaitu Penilaian oleh Pegawai Pengesahan Luaran yang dilantik oleh JPK. Pegawai Pembimbing yang dilantik dipertanggungjawabkan untuk membimbing calon dalam membangunkan Laporan Pengalaman Keterampilan Terdahulu (LPKT) dan persediaan Ujian Amali. Pegawai Pembimbing terdiri daripada pegawai dan jurulatih KD PELANDOK yang telah menghadiri Kursus Pegawai Pembimbing dikendalikan oleh Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM bersama PERHEBAT.

Program RPEL akan diteruskan pada masa akan datang untuk melahirkan sejumlah 400 hingga 500 warga TLDM setiap tahun bagi mecapai objektif yang telah digariskan.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MPPL TLDM

PAKS 231221

KOTA KINABALU, 21 Dis - Markas Pemerintahan Kapal Selam (MPKS) telah menerima kunjungan hormat oleh wakil Embassy Of The United State of America, Captain Muhammad Muzzafar Feroze Khan merangkap Defence Attache Office (USDAO)

dan delegasi hari ini. Ketibaan beliau telah disambut oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Mohd Razib bin Tahir (PAKS) serta pegawai-pegawai kanan MPKS di Markas Pemerintahan Kapal Selam (MPKS).

Lawatan meliputi sesi kunjungan hormat ke atas PAKS dan perbincangan isu dua hala yang melibatkan hal-hal berkaitan kapal selam.

Sumber : Pejabat Perhubungan Awam (N7) MPKS

KD PERANTAUGambar 3D batimetri Kapal Layar PHOCEA dan KM REEF EXPLORER

LANGKAWI, 20 Dis – KD PERANTAU melaksanakan penyiasatan terhadap dua buah karaman yang terletak di sekitar perairan Pulau Langkawi, Kedah semasa menjalankan Arahan Hidrografi 8/21 mulai 26 Nov hingga 21 Dis 21. Kapal Layar Phocea yang terlibat dalam kebakaran pada 18 Feb 21 yang lalu dijumpai di posisi 06° 14’ 15.29U 099° 45’ 35.10T (0.8 batu nautika Barat Pulau Dayang Bunting) semasa pengukuran dilaksanakan. Kerosakan daripada kebakaran tersebut menyebabkan kapal ini tidak mampu untuk berapung dan tenggelam sepenuhnya pada 19 Feb 2021 jam 5.00 pagi. Karaman ini ditemui pada kedalaman 12 meter dan 3 layar utama masih dapat dilihat dari atas permukaan air.

Manakala KM Reef Explorer merupakan sebuah Kapal Malaysia (KM) yang didaftarkan di bawah Pelabuhan Klang. Karaman ini dijumpai di posisi 06° 13’ 40.27U 099° 52’ 52.28T (1.15 batu nautika Timur Pulau Tuba) pada kedalaman 7.5 meter dengan keadaan tiang Mast utama yang masih tegak berdiri. Karaman ini dipercayai tenggelam pada 31 Mac 2021 jam 1.57 petang. Dimaklumkan semasa kejadian, kesemua kru kapal telah turun ke darat untuk membeli barangan keperluan harian dan tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan. Bot Ukur PLUTO milik KD PERANTAU digunakan sebagai platform utama sepanjang pengukuran dilaksanakan dengan menggunakan sistem ukur Pemerum Gema Berbilang Aur (PGBA) Norbit iWBMS. Data mentah yang diperoleh sepanjang pengukuran seterusnya disunting dengan menggunakan perisian Caris HIPS and SIPS 11.3.19.

Penyiasatan karaman merupakan salah satu keperluan mandatori bagi setiap pengukuran hidrografi selain daripada pengumpulan data batimetri, cerapan pasang surut dan pengemaskinian carta pelayaran bertujuan untuk penyaluran maklumat kepada komuniti maritim dalam menjamin keselamatan pelayaran.

Sumber : KD PERANTAU
Artikel   : Lt Muhammad Fitri bin Abdul Patah TLDM
Foto      : Lt Muhamad Solihin bin Azahar TLDM

MPAKS 181221TYT Negeri Pulau Pinang dan delegasi mendengar taklimat di KD TUN RAZAK

KOTA KINABALU, 18 Dis – Markas Pemerintahan Kapal Selam (MPKS) telah menerima kunjungan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua (TYT) Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Noor serta delegasi. Lawatan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu ini merupakan julung kalinya diadakan selepas beliau dilantik sebagai TYT Negeri Pulau Pinang kelapan pada 30 April 2021 yang lalu.

Ketibaan beliau telah disambut oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Mohd Razib bin Tahir serta pegawai-pegawai kanan MPKS di perkarangan bangunan utama MPKS.

Lawatan dimulakan dengan sesi bergambar diikuti sesi taklimat ringkas serta tayangan video korporat berkenaan fungsi dan peranan Angkatan Kapal Selam TLDM. Selesai taklimat, TYT Negeri Pulau Pinang seterusnya menandatangani buku pelawat sebelum memulakan lawatan ke KD TUN RAZAK. Lawatan TYT Negeri Pulau Pinang kelapan ini amat bermakna kepada KD TUN RAZAK kerana TYT Negeri Pulau Pinang ketujuh, Tun Dato’ Seri Utama Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas turut pernah melawat kapal selam yang sama pada tahun 2011 semasa pameran Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA).

Selesai lawatan, TYT Negeri Pulau Pinang dan delegasi kemudiannya dibawa ke Wisma Kejora bagi majlis minum petang bersama pegawai-pegawai Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Ketibaan beliau disana telah disambut oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Sabri bin Zali. Program lawatan TYT Negeri Pulau Pinang diakhiri dengan sesi pertukaran cendera hati di antara kedua pihak.

TYT Negeri Pulau Pinang amat berbesar hati dan telah menyuarakan kegembiraan beliau kerana hasrat untuk mengadakan lawatan ke kapal selam TLDM selama ini telah tercapai. Beliau amat berbangga dengan keupayaan TLDM dalam mengoperasikan aset strategik ini dan turut menunjukkan minat beliau yang mendalam kepada teknologi kapal selam di sepanjang program lawatan. Pihak MPKS turut berbesar hati menerima kehadiran julung kali TYT Negeri Pulau Pinang ke MPKS dan kapal selam. Secara tidak langsung ianya merupakan satu penghormatan tertinggi kepimpinan negeri Pulau Pinang diberikan kepada TLDM amnya dan MPKS khasnya.

Turut hadir dalam program lawatan tersebut mengiringi TYT Negeri Pulau Pinang ialah Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Ketua Polis Negeri Pulau Pinang dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Sumber : Pejabat Perhubungan Awam (N7) MPKS

PAKS1Penyerahan Simbolik Pemerintahan KD TUNKU ABDUL RAHMAN

KOTA KINABALU, 17 Dis – Panglima Angkatan Kapal Selam menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Asisten Ketua Staf Operasi & Peperangan, Pegawai Memerintah KD Tunku Abdul Rahman dan Pegawai Kanan Skuadron Kapal Selam Pertama serta penyampaian Sijil Program Jati Diri dan meraikan warga MPKS bertempat di Auditorium Markas Pemerintahan Kapal Selam.

Majlis dimulakan dengan majlis menandatangani Sijil Serah Terima Tugas AKS Operasi & Peperangan diantara Kdr Abdul Rahim bin Baba TLDM dan Kdr Noor Hazri bin Mohd Dzohir TLDM, menandatangani Sijil Serah Terima Tugas Pegawai Memerintah KD TUNKU ABDUL RAHMAN, menurunkan dan menaikkan Insignia Pegawai Memerintah diantara Kdr Dzul Khairi bin Mat Saad TLDM dan Kdr Abdul Rahim bin Baba TLDM serta penyerahan Simbolik Pemerintahan KD TUNKU ABDUL RAHMAN. Selain menerima jawatan Pegawai Memerintah, Kdr Abdul Rahim bin Baba TLDM turut menyandang peranan sebagai Pegawai Kanan Skuadron Kapal Selam yang pertama.

Majlis ini diserikan lagi dengan upacara penyampaian Sijil Jati Diri yang melibatkan seramai 42 anggota angkatan kapal selam (AKAS) yang berjaya mendaki Gunung Kinabalu pada 22 dan 23 Nov 2021 yang lepas serta meraikan anggota yang bertukar keluar, kelahiran anak pertama dan sambutan hari lahir warga AKAS mulai bulan April hingga Disember 2021. Penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, Yang Berbahagia Laksamana Pertama Mohd Razib Bin Tahir.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh YBhg Panglima dan diakhiri dengan bacaan doa. Majlis ini dilaksanakan dengan ringkas dan cepat serta mengikuti Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan.

Sumber : Pejabat Perhubungan Awam (N7) MPKS

Pic 2Pertemuan kedua-dua pemimpin angkatan laut ini
menjadi pemangkin untuk mendalami hubungan antara TLDM dan TNI-AL

KUALA LUMPUR, 15 Dis - Laksamana TNI Yudo Margono, Kepala Staf Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TNI-AL) yang dalam rangka lawatan kerja ke Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany di Markas Tentera Laut.

Ketibaan beliau di Wisma Pertahanan disambut Tan Sri Mohd Reza dan dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama.

Seterusnya, beliau mengadakan perjumpaan dengan Tan Sri Mohd Reza dan mendengar taklimat mengenai perkembangan semasa TLDM.

Kedua-dua pemimpin angkatan laut itu berkesempatan berbincang dan mendalami hubungan yang sudah terjalin sekian lama antara TLDM dan TNI-AL.

Artikel dan Foto: Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut

Klik Ke Galeri

JUTRA141221

Tahukah Anda apa itu Timbang Tara? dan Sejarah Timbang Tara dalam TLDM?

Dipercayai ramai warga Navy People pernah mendengar pertikaian yang melibatkan timbang tara, namun secara umum sahaja.

Timbang Tara

Timbang Tara adalah kaedah menggunakan arbitrator untuk mendapatkan penyelesaian atau kata putus terhadap sesuatu pertikaian, di mana pertikaian tidak dibawa ke Mahkamah. Pendekatan penyelesaian tanpa menggunakan mahkamah adalah berdasarkan Akta Timbang Tara 2005.

Sejarah Timbang Tara dalam TLDM

Timbang Tara pertama di dalam TLDM adalah pada tahun 2006. Timbang Tara tersebut berkaitan 4 pertikaian di antara firma tempatan dengan Kerajaan Malaysia, melibatkan KEMENTAH. Pertikaian adalah bersangkutan dengan beberapa kontrak peralatan di Aset TLDM. Kesemua pertikaian tersebut telah dibawa ke Kuala Lumpur Regional Centre for Arbitration (KLRCA) yang kini dikenali sebagai The Asian International Arbitration (AIAC) (Malaysia).

Tim KEMENTAH bagi proses timbang tara diwakili oleh Bahagian Undang-Undang KEMENTAH dan wakil TLDM yang terdiri daripada Legal Counselors Mrs Lim Kui Lee dan Lt Kdr Mohd Shaiful Adli Chung TLDM dalam aspek teknikal. Sungguh pun pihak Kerajaan telah berjaya menolak tuntutan kesemua 4 pertikaian, perkara tersebut telah dijadikan pengajaran. Selain daripada itu, kontrak-kontrak di KEMENTAH telah diperkasakan dengan klausa-klausa tertentu bagi melindungi kepentingan Kerajaan. Sejak tahun 2006 sehingga kini, belum terdapat pertikaian yang melibatkan KEMENTAH seperti yang telah berlaku sebelum ini.

Berdasarkan kisah yang dikongsi, wajar ianya dijadikan pengajaran oleh warga Navy People agar ianya tidak berulang.

Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : https://www.aiac.world/About-AIAC-

IMG 20211206 175309

6 Dis, KUALA LUMPUR – Ketua Jurutera TLDM hari ini menyempurnakan pemakaian lencana Ir. (Jurutera Profesional) secara fizikal kepada 3 Pegawai Kejuruteraan TLDM dan Ucap Tahniah secara dalam talian kepada 15 pegawai yang lain. Lapan belas (18) pegawai tersebut adalah mereka yang telah berjaya mendapat pengiktirafan dari Lembaga Jurutera Malaysia (Malaysia Board of Engineers - MBOE) pada tahun 2020 dan 2021. Disebabkan pandemik Covid-19, majlis yang dirancang pada tahun tersebut telah ditunda dan dilaksanakan hari ini.

Sejak lencana ini diperkenalkan pada tahun 2006, hampir 100 Pegawai TLDM telah menerima pengiktirafan ini. Warga the Navy People wajar berbangga dengan jumlah pegawai TLDM yang berjaya diiktiraf sebagai Jurutera Profesional, iaitu 2% daripada lebih kurang 20,000 Jurutera Profesional berdaftar di Malaysia. Maklumat tambahan adalah seperti di pautan berikut:

https://www.facebook.com/RoyalMalaysianNavy/posts/217044213885832

Tahniah kepada kesemua 18 pegawai yang terlibat, semoga menjadi sumber inspirasi kepada pegawai TLDM yang lain untuk berusaha mendapatkan pengiktirafan dari MBOE.

Sumber: RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Oleh: Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto: LK PWP Hasnan bin Amat senin

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 759

Semalam 853

Bulan ini 15751

Keseluruhan 1327519

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM