5 Nov OP RampaiSolat Jenazah dilaksanakan di Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu
sebagai penghormatan terakhir buat Allahyarham

KOTA KINABALU, 5 Nov – Hujan lebat mengiringi keberangkatan pulang jenazah Allahyarham Kdr Mohamad Nizam bin Mohamad Said TLDM yang telah disahkan meninggal dunia pada 2 November yang lalu. Allahyarham yang mesra dengan nama panggilan ‘Bear’ dalam kalangan keluarga Penerbangan TLDM merupakan Pegawai Memerintah Unit Skuadron 601 yang berpangkalan di Kota Kinabalu telah meninggalkan seorang balu bersama empat orang anak.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato Pahlawan Syed Zahrul Putra bin Syed Abdullah bersama Pegawai-pegawai Kanan TLDM yang berkhidmat di Kota Kinabalu turut melaksanakan penghormatan terakhir kepada Allahyarham dengan melaksanakan Solat Jenazah dan Bacaan Yasin bersama sebelum jenazah dibawa pulang ke kampung halaman beliau di Melaka dengan menaiki pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

Sebelum berangkat, Panglima Armada Timur dan isteri, Datin Maria binti Hj Kamarulzaman berkesempatan bertanya khabar balu dan anak-anaknya sebelum menyerahkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang dipikul. Kepulangan jenazah di Melaka telah disambut oleh warga Navy People di Semenanjung dan Allahyarham telah selamat dikebumikan dengan penuh hormat dalam tradisi tentera laut.

Timbalan Panglima Tentera Laut mewakili barisan kepimpinan tertinggi TLDM turut menyaksikan upacara pengebumian dan menyerahkan Jalur Gemilang kepada balu simbolik penghargaan dan simpati daripada seluruh warga Navy People yang merasakan kehilangan sebutir lagi Permata TLDM.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang yang beriman manakala keluarga yang ditinggalkan tabah serta berada dalam perlindungan Allah SWT.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPA Timur

 

DSAT INOVASIPemenang Hari Inovasi Bersama Pengurusan Unit

KOTA KINABALU, 5 Nov – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuatkuasa sedikit sebanyak telah memberi impak kepada keseluruhan aktiviti dan pengoperasian sesuatu unit. Mengambil kira situasi dan demi menjaga moral warganya, Pegawai Memerintah Kdr Azmin Zar bin Abd Rashid TLDM telah mencetuskan idea untuk melaksanakan Hari Inovasi peringkat DSA Timur bagi mengekalkan semangat serta kesihatan fizikal dan minda warga supaya sentiasa positif dan berfikiran inovatif.

Bulan Oktober 2020 yang lalu telah diisytiharkan sebagai Bulan Inovasi DSA Timur dan sepanjang bulan tersebut, pelbagai pertandingan seperti Zon Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (KKP), Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan penulisan esei peringkat DSA Timur telah dilaksanakan.

Program ini nyata membuka peluang kepada warga untuk menunjukkan bakat terpendam di samping mencapai objektif utamanya iaitu menyediakan warga DSAT yang berinovasi. Bengkel Srimala cemerlang apabila berjaya membolot 2 kategori utama iaitu Zon KKP Terbaik dan Projek KIK Terbaik manakala LK TMK Muhammad Hasnul Syahidad bin Saidun dari Bahagian Pentadbiran telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori penulisan esei terbaik.

Sumber : Bahagian Komunikasi Strategik MPA Timur
Artikel   : Lt Kdr Chin a/l In TLDM
Foto      : LK I TMK Mohd Hafizul Fahmi bin Khazali

ANCM 1ANCM tahun ini diadakan secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 Nov - Mesyuarat ASEAN Navy Chiefs’ Meeting (ANCM) ke-14 telah berlangsung hari ini yang dianjurkan oleh Tentera Laut Rakyat Vietnam (Vietnam People’s Navy-VPN) secara video teleconference. Panglima Tentera Laut VPN telah mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany dan rakan sejawat beliau dari Brunei, Cambodia, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand manakala Laos diwakili oleh Timbalan Panglima Angkatan Tentera.

Bertemakan “Naval Cooperation for Cohesive and Responsive ASEAN”, mesyuarat kali ini diadakan menggunakan platform dalam talian akibat penularan Covid-19 di seluruh dunia. Antara perkara utama yang dibincangkan adalah inisiatif ASEAN Naval Training Experience Exchange Program yang diusulkan oleh tuan rumah Vietnam dan cadangan Tentera Laut Filipina untuk mewujudkan Networked Maritime Centres dan ASEAN Maritime Task Force.

Dalam ucapan beliau, Tan Sri Mohd Reza menyatakan sokongan TLDM untuk mengeratkan kerjasama yang sedia ada di kalangan negara ahli. Beliau juga merasakan bahawa ANCM adalah platform terbaik untuk angkatan laut ASEAN merangka dasar dan strategi yang boleh menyumbang kepada keselamatan maritim serantau. ANCM merupakan mesyuarat tahunan bagi pucuk pimpinan tentera laut negara-negara ASEAN. Tentera Laut Cambodia telah menjadi tuan rumah mesyuarat kali ke-13 dan Tentera Laut Diraja Brunei akan menganjurkan ANCM ke-15 pada tahun hadapan.

Sumber : Bahagian Operasi dan Strategi, Markas Tentera Laut
Artikel   : Lt Norzuhaira binti Ruhanie PSSTLDM
Foto      : LK TNL Mohamad Idris bin Suradi

JUTRA Kdr Ng

Pelaksanaan Condition Based Monitoring and Assessment (CBMA) di dalam TLDM bukan perkara yang baharu, malah pendekatan ini telah bermula sejak tahun 1997 di KD JEBAT menggunakan kaedah Condition Based Monitoring (CBM).

Namun, kelangsungan CBM tidak dapat diteruskan kerana metodologinya yang diadaptasi secara terus daripada industri lebih bersifat lab result dan data analysis. Berdasarkan kelemahan yang dikenal pasti, TLDM kini melaksanakan CBMA, di mana penilaian (assessment) diperlukan untuk mengetahui sebab (root cause) sesuatu anomali hasil kajian makmal.

Pelaksanaan CBMA adalah kesinambungan terhadap pendekatan CBM sebelum ini. Inisiatif ini penting bagi memastikan pelaksanaan strategi selenggaraan yang berkesan dan efektif dapat dicapai, berbanding pematuhan kepada Planned Maintenance (PM) dan Corrective Maintenance (CM) secara konvensional semata-mata.

Tim CBMA telah ditubuhkan di Cawangan Penguasa Kejuruteraan Armada (CPKA), selaras dengan inisiatif menjadikan CPKA sebagai Centre of Excellent for Naval Engineering (CoENE). Pelbagai peralatan yang sedia ada dalam perkhidmatan telah dikumpul dan dioptimumkan penggunaannya bagi menjayakan inisiatif tersebut.

Semenjak diwujudkan pada awal tahun 2019, tim CBMA telah berjaya mengesan tanda-tanda awal kerosakan sebelum ianya berlaku. Selain itu, CBMA telah berjaya membangunkan pangkalan data pengoperasian peralatan kapal untuk menjadi rujukan masa hadapan.

Sumber : Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Kdr Ir. Ts. Ng Keng Lip TLDM

Quarter 4x100m USCGA 1993 1994Kept Ir. Hj Ahmad Fahmi (kiri) semasa di USCGA

1. Kept Ir. Hj Ahmad Fahmi bin Jahaya TLDM adalah seorang Licensed Aircraft Engineer dan sejak tahun 2018, beliau merupakan Jurutera Udara Terkanan (Senior Air Engineer) di dalam TLDM. Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja ini memulakan kerjaya sebagai pegawai TLDM pada tahun 1995 setelah menamatkan latihan kadet di United States Coast Guard Academy (USCGA).

2. Komitmen tinggi beliau ketika bertugas di Skuadron 501 telah menyumbang kepada kejayaan helikopter Super Lynx TLDM mencapai flying hours tertinggi di dunia iaitu 10,000 jam dalam tempoh 15 tahun tanpa sebarang insiden tidak diingini. Pencapaian ini mendapat pengiktirafan Leonardo, syarikat pengeluar helikopter tersebut, di LIMA ’19.

3. Kept Ir. Hj Ahmad Fahmi adalah seorang Pegawai Kejuruteraan TLDM yang berkelayakan Professional Engineer berdaftar dengan Board of Engineers (BEM) Malaysia. Selain kepakaran dalam senggaraan helikopter, beliau juga pernah berkhidmat di kapal TLDM. Pengalaman dan know-how beliau yang luas telah membuahkan idea untuk membangunkan konsep Standard Exchange dalam senggaraan berjadual kapal. Konsep ini telah dikembangkan oleh Ketua Jurutera TLDM menjadi metodologi SMART Refit yang boleh memendekkan masa senggaraan sesebuah kapal.

4. Di luar kerjaya beliau, Kept Ir. Hj Ahmad Fahmi aktif dalam sukan olahraga, khususnya dalam acara larian pecut. Kept Ir. Hj Ahmad Fahmi TLDM pernah memecahkan rekod acara 55 meter pecut dalam masa 6.61 saat ketika di USCGA. Rekod beliau telah bertahan selama 16 tahun, dan sehingga kini beliau masih lagi memegang rekod sebagai pelari kedua terpantas dalam acara tersebut. Dalam acara 200 meter pula, beliau adalah dalam kelompok 10 pelari terpantas USCGA.

5. Bagi meningkatkan kerjaya beliau, Pegawai telah melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2015. Kept Ir. Hj Ahmad Fahmi telah menerima Anugerah Dekan dengan GPA 4.0 bagi semester kedua beliau. Pegawai juga merupakan peserta kursus Maktab Turus Angkatan Tentera dan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera. Lebih membanggakan, research paper beliau di kedua-dua institusi tersebut telah diterbitkan di majalah rasmi masing-masing pada tahun 2008 pada tahun 2016.

Sumber : RMN Chief Engineer Office , Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksda Datuk Ir. Mohd Shaiful Adli Chung bin Abdullah

LUMUT, 28 Okt – Sesi temuduga Certificate of Competency (CoC) bagi tiga Pegawai Jurutera Udara (PJU) TLDM telah dilaksanakan pada 27 dan 28 Oktober di Markas Udara TLDM. Kept Ir. Hj Ahmad Fahmi bin Jahaya TLDM selaku Senior Air Engineer (SAE) TLDM telah mempengerusikan panel temuduga CoC dan disertai oleh Kdr Nik Afizul bin Nik Alias TLDM, Kdr Mohammad Khairul bin Khamis TLDM dan Kdr Ir. Mohd Zirwandy bin Zainuddin TLDM. PJU yang terlibat dalam temuduga ini adalah Lt Chan Jun Kwan TLDM, Lt Dya Lugman bin Pirmang TLDM, dan Lt Dya Muhammad Zamir bin Mustapa TLDM.

AEOs
Ahli panel temuduga CoC dan PJU yang terlibat

Temuduga CoC ini merupakan kaedah yang diamalkan oleh Tentera Laut Diraja Britain dan Tentera Laut Diraja Australia yang bertujuan untuk menilai tahap kompetensi PJU dalam aspek tugas dan tanggungjawab, sistem pesawat, pengurusan dokumentasi pesawat serta pengurusan technical airworthiness yang telah diadaptasi ke dalam laluan kerjaya PJU. Pegawai yang lulus temuduga ini akan menjawat perjawatan pertama di skuadron penerbangan kelak. Sehingga kini, Cawangan Udara TLDM telah melahirkan seramai 32 orang PJU.

KPKJEKKetiga-tiga Pegawai Ketika Tamat Kursus
Pegawai Kejuruteraan Jentera & Elektronik Kapal Terbang

Lt Chan
Sesi Temuduga Lt Chan TLDM

Sebelum ini, ketiga-tiga pegawai tersebut telah menghadiri Kursus Pegawai Kejuruteraan Jentera dan Elektronik Kapal Terbang bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai latihan asas kejuruteraan udara. Dalam tempoh tersebut, mereka turut didedahkan kepada pengurusan selenggaraan di skuadron penerbangan TUDM yang mengoperasikan pesawat A400M, EC725 dan C130H.

Lt Zamir
Sesi Temuduga Lt Dya Muhammad Zamir TLDM

Sejak penubuhan unit udara TLDM 30 tahun yang lalu, Cawangan Udara TLDM telah mengoperasikan beberapa jenis pesawat seperti WASP, Super Lynx dan Fennec. Aspek kompetensi amat dititikberatkan di seluruh peringkat Cawangan Udara TLDM supaya pesawat yg diterbangkan mencapai tahap airworthiness yang ditetapkan di samping mengekalkan rekod kemalangan sifar dalam operasi penerbangan.

Sumber : Markas Udara TLDM
Artikel   : Lt Chan Jun Kwan TLDM
Foto      : Lt Chan Jun Shen TLDM

JUTRA LG

KUALA LUMPUR, 28 Okt - TLDM amat berbangga dengan kesungguhan 38 Pegawai yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Separuh Masa di Institusi Pengajian Tinggi Tempatan. Bilangan ini adalah jumlah paling ramai setakat ini yang patut diteruskan, tidak termasuk pengajian Secara Penuh Masa. Rekod ini wajar diperbaiki di masa akan datang atas usaha meningkatkan taraf kelayakan akademik serta human capital warga Navy People tanpa bergantung kepada tajaan perkhidmatan semata-mata.

Komitmen tinggi 18 orang Pegawai Kejuruteraan, 17 Pegawai Eksekutif dan 3 Pegawai Bekalan wajar dicontohi oleh warga Navy People yang lain. Warga Navy People perlu berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, selain sentiasa berfikiran positif untuk TLDM dan warganya terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sumber : The Blue Black Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Open Source

JUTRA MAN MALAYSIAPerbincangan antara Ketua Jurutera TLDM dan pihak MAN Malaysia Sdn. Bhd.

KUALA LUMPUR, 28 Okt - Ketua Jurutera TLDM hari ini melaksanakan lawatan kerja khas ke Syarikat MAN Malaysia Sdn Bhd, iaitu pembuat enjin kapal, kenderaan darat dan electrical power generation.

Tujuan utama lawatan kerja khas adalah untuk bertukar pandangan berkenaan tahap sokongan dan keupayaan pembaikan yang tidak mantap bagi senggaraan enjin MAN berkapasiti melebihi 3000kW. MAN Malaysia buat masa ini amat bergantung kepada bantuan dari luar negara bagi memberi perkhidmatan senggaraan enjin berkapasiti tinggi.

Sepanjang pertemuan ini, beberapa inisiatif dan strategi serta perancangan telah dibincang bagi memastikan sokongan terhadap Aset TLDM bertambah baik, selaras dengan aspirasi self-reliance di Kertas Putih Pertahanan (Defence White Paper) yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia pada bulan Disember 2019 yang lalu.

Pihak MAN Malaysia Sdn Bhd memaklumkan diskusi ini adalah bersifat positif bagi memastikan keperluan pengguna MAN mendapat perkhidmatan after-sale yang terbaik. Di akhir sesi lawatan kerja khas, pihak MAN berjanji akan berusaha mengatasi isu dan cabaran yang dibangkitkan sebelum tahun 2022.

Sumber : The Blue Black Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Lt Kdr Muhammad Faliq Anwar bin Muhammad Fauzi TLDM

WhatsApp Image 2018 04 05 at 10.40.17

SAC adalah inisiatif melibatkan penubuhan tim khas oleh Cawangan Kejuruteraan bagi mengenal pasti permasalahan serta mitigasi yang perlu dilakukan terhadap kapal di Skuadron Kapal Ronda Ke-17.

Ahli tim SAC melibatkan pegawai kejuruteraan TLDM, Boustead Naval Shipyard (BNSSB) dan yang terkini beberapa universiti tempatan. Pendekatan kajian dan mitigasi banyak menggunakan teknologi serta aplikasi kejuruteraan sains yang terkini.

Hasil kerja SAC ini telah menampakkan keberkesanan dimana beberapa isu kerosakan telah berjaya diselesaikan setelah root cause dikenal pasti. Inisiatif ini, secara in-house diyakini mampu menghasilkan pegawai kejuruteraan TLDM yang mempunyai human capital bernilai tinggi di dalam industri. Selain itu, ianya juga akan membuka lebih banyak lagi peluang dan ruang kepada warga Navy People untuk terus menyumbang bakti secara berkesan kepada Armada TLDM.

Sumber : Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Kdr Ir. Ts. Ng Keng Lip TLDM

RNO1Pemakaian Pangkat pegawai PSSTLDM

KUCHING, 24 Okt – Pegawai Wakil Tentera Laut Kuching, Lt Mohd Ismail Bin Yakub TLDM menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai PSSTLDM hari ini. Majlis ringkas penuh bermakna ini turut diserikan dengan kehadiran kedua ibu bapa pegawai yang dirai, Penguasa Kastam Ismail Bin Roslan sebagai wakil majikan pegawai yang dirai dan disaksikan oleh seluruh warga Navy People PWTL Kuching.

Majlis seumpama merupakan salah satu pengiktirafan kepada warga terhadap perkhidmatan yang disumbangkan. Pegawai yang menerima kenaikan pangkat adalah seperti berikut:

Pegawai Kadet Kanan ke Leftenan Muda PSSTLDM
1. Lt M Syful Mirza Bin Alluwie PSSTLDM - Cawangan Bekalan

Majlis dilaksanakan secara berasingan dengan majlis sebelum ini kerana pegawai baru sahaja selesai menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Dalam ucapan ringkas, PWTL Kuching mengucapkan syabas dan tahniah kepada pegawai yang telah dinaikkan pangkat serta menzahirkan keterujaan beliau di mana selain berkhidmat sebagai Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia, pegawai yang dirai juga bertugas dalam badan beruniform awam di Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Perkara yang jarang berlaku sebegini menunjukkan minat yang dipertonjolkan oleh pegawai sangat mendalam di samping ingin mencuba sesuatu kelainan.

Beliau turut menyeru warga agar terus berusaha dan bersama mengembeleng tenaga agar hasrat dan matlamat TLDM dapat dicapai dengan optimum. Tanpa komitmen dan kesungguhan yang padu ianya bukanlah satu perkara yang mudah.

Sebelum mengakhiri ucapan, PWTL Kuching merakamkan setinggi penghargaan kepada tetamu jemputan, Penguasa Kastam Ismail bin Roslan dan kedua ibu bapa pegawai yang dirai kerana sudi hadir untuk memeriahkan majlis.

Perjalanan majlis telah diadakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard seperti yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara sepenuhnya bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Sumber : PR PWTL KUCHING
Artikel   : LT M Syful Mirza bin Alluwie PSSTLDM
Foto      : LK PNK Ajariah binti Umar

Klik ke galeri

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 802

Semalam 978

Bulan ini 6928

Keseluruhan 1290377

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM