TAHUKAH ANDA?

Ramai warga Navy People mengetahui bahawa tulisan rasmi persuratan di dalam TLDM adalah menggunakan huruf Arial, berbeza sedikit dengan perkhidmatan lain serta sebahagian besar Agensi kerajaan. Namun dipercayai sebahagian besar pembaca tidak mengetahui rasional huruf Arial ini dipilih dan sejak bila digunakan di dalam TLDM.

Huruf Arial mula diperkenalkan di dalam TLDM pada tahun 1998 dimana dicetuskan oleh Laksamana Tan Sri Ramli Abu Bakar sewaktu beliau adalah Panglima Armada TLDM. Pada tahun 2002, ianya dikuatkuasa dengan dinyatakan di Buku Rujukan Laut (BRL) 70 (Manual Pengurusan Fail dan Persuratan TLDM).

Tulisan Arial dipilih memandangkan ianya lebih mudah dibaca dan jelas, disebabkan pada saiz yang setara dengan huruf lain, huruf Arial adalah agak besar sedikit dan lebih tebal. Setelah digunakan hampir 19 tahun, konsep menggunakan huruf Arial atau seumpama dengan sifatnya telah mula diguna pakai oleh Agensi kerajaan yang lain dan menjadi norma kebiasaaan di dalam persuratan.

Diharap maklumat yang dikongsi ini memberi inspirasi serta motivasi kepada warga Navy People agar terus menghasilkan inisiatif lain yang lebih berimpak tinggi demi kecemerlangan TLDM.


Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artike    : Laksamada Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung

SEACAT1Seminar 'Maritime Domain Awareness' yang diadakan secara atas talian

LUMUT,16 Ogos – Eksesais South East Asia Cooperation and Training (SEACAT) 21 merupakan eksesais melibatkan pihak Tentera Laut Amerika Syarikat melalui aset kapal USS TULSA (LCS-16) dan Kapal SILVER HANA (Tanker minyak/kimia) bersama pihak Information Fusion Centre (IFC), Singapura telah berlangsung mulai 10 hingga 15 Ogos 21 di sekitar Perairan Selat Melaka.

Eksesais pada kali ini telah dilaksanakan secara dua fasa. Pelaksanaan fasa pertama mulai 10 hingga 13 Ogos 21 telah dilaksanakan melalui ‘Seminar Maritime Domain Awareness’. Seminar ini dilaksanakan secara atas talian di dua lokasi iaitu Auditorium Zain, PUSTAKMAR dan Auditorium Dato’ Abdul Ghani, Markas Selam dan Peperangan Periuk Api.

Seminar ini melibatkan penglibatan tiga buah aset TLDM iaitu KD TERENGGANU, KD KASTURI, KD SRI INDERA SAKTI serta tiga unit naungan Markas Pemerintahan Armada Barat iaitu Markas Udara, KD PANGLIMA HITAM (PASKAL) dan KD DUYONG.

Latihan fasa kedua yang merupakan fasa laut telah dimulakan pada 14 hingga 20 Ogos 21 di mana KD LAKSAMANA TAN PUSMAH sebagai wakil TLDM bagi siri pelaksanaan latihan menggeledah.

Beberapa siri latihan lain juga telah dilaksanakan oleh KD LAKSAMANA TAN PUSMAH bersama Tentera Laut Amerika Syarikat meliputi operasi membanteras lanun, penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Senario latihan tersebut telah disimulasikan melalui penyaluran maklumat oleh IFC Singapura kepada KD LAKSAMANA TAN PUSMAH yang berada dilapangan dengan memaklumkan bahawa kapal SILVER HANA telah terputus hubungan komunikasi dan dipercayai telah ditawan oleh anasir lanun. Bertindak atas penerimaan maklumat, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH telah berjaya mengesan kedudukan kapal tersebut berpandukan Automatic Identification System (AIS).

Hasil pemerhatian mendapati kapal dinyatakan berada di sekitar Perairan Selat Melaka dan sedang menuju ke Laut China Selatan. Lantas KD LAKSAMANA TAN PUSMAH melaksanakan latihan Querry and Challenge dan seterusnya melancarkan bot bersama tim mengeledah serta seterusnya merapat ke kapal SILVER HANA untuk melaksanakan operasi menyelamat krew. Hasil siasatan dan penggeledahan telah berjaya membawa kepada penahanan 8 orang lanun beserta empat laras senjata api jenis raifal AK 47, dua pucuk pistol dan senjata tajam jenis parang berjumlah dua bilah.

Eksesais pada kali ini telah mensasarkan fokus terhadap aspek perkongsian maklumat antara Pusat Operasi (PUSOP) dengan menggunakan medium IFC Portal yang mana Pihak IFC di Singapura bertindak sebagai pengantara utama. Secara tidak langsung, eksesais ini telah berjaya mencapai objektif utama yang digariskan iaitu bagi memperkasakan kelancaran proses perkongsian maklumat dalam konteks keselamatan maritim di rantau ini khasnya.

Eksesais seperti ini diperamati telah secara langsung meningkatkan tahap interoperability antara negara dan agensi yang terlibat disamping mengukuhkan jalinan hubungan diplomatik bersama negara-negara sahabat. Kesiagaan aset pertahanan negara juga dapat diuji dan dalam masa yang sama tahap kemampuan aset pertahanan negara dalam ketersediaan mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta telah dibuktikan.

Eksesais sebegini ternyata mampu mempromosikan keselamatan maritim serantau serta dapat dijadikan medium untuk mempersiapkan wira-wira negara dalam mempertahankan perairan negara pada sebilang masa.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

JUTRA SMART

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Sesi perkongsian ilmu oleh Ketua Jurutera TLDM dengan warga Navy People yang masih berkhidmat telah dilaksanakan hari ini secara atas talian (webinar). Sesi ini telah mendedahkan warga TLDM terhadap metodologi serta pendekatan terkini rutin selenggaraan berjadual kapal di limbungan, yakni dikenali sebagai refit. Aktiviti perkongsian ilmu ini penting dan akan diteruskan kerana didapati hanya sebahagian kecil warga TLDM yang mengetahui sepenuhnya S.M.A.R.T Refit. Ini disebabkan metodologi serta pendekatan S.M.A.R.T Refit adalah hampir 180 darjah berbeza dengan conventional refit yang telah diamalkan oleh TLDM sejak lebih 30 tahun.

Webinar perkongsian ilmu ini adalah secara tertutup, hanya dibuka untuk warga TLDM sahaja di mana lebih 300 warga TLDM telah menyertai sesi ini.

S.M.A.R.T Refit adalah inisiatif terkini TLDM dalam usaha memendekkan lagi tempoh refit kapal TLDM di limbungan tempatan. Sungguh pun inisiatif Inovasi Refit Baharu yang dilaksanakan sejak tahun 2017 telah membuahkan hasil atau success story, namun usaha penambahbaikan berterusan (KAIZEN) telah membolehkan S.M.A.R.T Refit direalisasikan mulai pertengahan tahun 2021. Dalam tempoh terdekat, S.M.A.R.T Refit Plus pula akan dilaksana bagi memastikan program ini lebih dinamik, berdaya saing dan lebih singkat pada kos yang kompetitif, dimana tidak menggunakan lagi sepenuhnya pendekatan konventional yang telah jumud (outdated, tedious with red-tapes, not able to mitigate current scenario and challenges).

Selain pendedahan terhadap S.M.A.R.T Refit, sesi perkongsian ilmu juga memberi peluang kepada warga TLDM mendapatkan perkembangan terkini dasar serta inisiatif hasil berfikir di luar kotak yang sedang dilaksanakan di dalam TLDM, selain cabaran serta langkah berbentuk gigantic-steps termasuk timeline yang sedang dirangka.

Bagi memastikan S.M.A.R.T Refit ini turut difahami oleh stakeholder terlibat dan diselaras dengan limbungan berkaitan secara holistik dan berkesan, sesi “townhall” akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. “Townhall” bertujuan memperincikan metodologi ini dengan lebih jelas dalam perspektif Project Management Body of Knowledge (PMBOK) serta aspek komersial.

Hasil webinar ini diharap memberi inspirasi serta motivasi kepada warga Navy People agar terus menghasilkan inisiatif lain yang lebih berimpak tinggi demi kepentingan TLDM.

Sumber : Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Oleh      : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Hj Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Lt Kdr Jeffery Daneil Ng TLDM

EKS TAMING SARI 1

KUANTAN, 12 Ogos - Eksesais Taming Sari siri 20/21 telah sampai ke kemuncaknya hari ini dengan kejayaan penembakan peluru berpandu EXOCET MM40 dan EXOCET SM39.

Kejayaan penembakan kesemua peluru berpandu ini mengenai sasaran jelas membuktikan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga TLDM dalam mengendalikan aset pertahanan negara.

YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan menjadi saksi kepada kejayaan penembakan tersebut bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan, ATM dan TLDM.

Eksesais kali ini membabitkan 1,080 warga TLDM, TUDM dan APMM. Ketumbukan EKSESAIS TAMING SARI 20/21 terdiri daripada 9 buah kapal, 5 buah Fast Combat Boat (FCB), sebuah (1) kapal selam, 2 Super Lynx TLDM, 4 pesawat TUDM dan 2 aset APMM.

Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Pertahanan turut dimaklumkan bahawa demi memastikan kelancaran dan kawasan operasi sentiasa terjamin, aset-aset yang terlibat bersedia lebih awal dan telah lama berada dilaut.

Beliau turut mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada TLDM dan wira-wira negara di atas segala pengorbanan yang sanggup berjauhan dengan keluarga demi memelihara kedaulatan dan keamanan negara.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut

KD PERKASA

KEMAMAN, 11 Ogos - Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman bin Ayob bersama Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Mohd Ajis dan delegasi TLDM telah melaksanakan lawatan kerja ke projek Obsolescence Programme (OP) di limbungan Geliga Shipyard Sdn Bhd. Projek yang unik ini melibatkan KD PERKASA yang sepatutnya siap pada penghujung bulan Ogos ini tetapi dijangka akan mengalami kelewatan disebabkan situasi pandemik COVID-19 yang dialami sekarang.

Projek OP KD PERKASA adalah inisiatif terkini hasil cetusan idea warga Navy People di mana kapal dilaksanakan re-hull yang in-lieu kepada refit, termasuk penukaran sepenuhnya sistem kuasagerak, kuasa elektrik serta “hotel services”, selain turut merangkumi sistem bersangkutan.

Sepanjang lawatan kerja, delegasi teruja dengan perkembangan dan hasil terkini projek. Ini disebabkan putik-putik keberhasilan sudah kelihatan dan dalam perancangan untuk diuji dalam masa terdekat. Hasil dari projek yang unik ini, warga Navy People disaran agar terus berinovasi serta kreatif menghasilkan penambahbaikan berterusan. Elemen yang ditekankan untuk penambahbaikan adalah terhadap elemen 3M (Man, Machine and Method) atau 3P (People, Platform and Process).

Sumber : Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Hj Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : PR MAWILLA 1

perantau 1

PORT DICKSON, 30 Jul – Di samping melaksanakan penugasan pengukuran hidrografi di Perairan Tanjung Tuan, Port Dickson, KD PERANTAU telah mengambil peluang dan ruang untuk melunaskan tanggungjawab kepada masyarakat dan alam sekitar dengan menganjurkan gotong royong pembersihan pesisir pantai sebagai salah satu aktiviti Program Jiwa Murni. Pelaksanaan program ini tertumpu kepada pembersihan kawasan pantai yang dipenuhi dengan sampah hanyut (marine debris) yang di bawa oleh arus pasang surut laut.

Sejak Pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara mulai awal tahun 2020 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini mengakibatkan sektor pelancongan negara terjejas dan tidak dibenarkan beroperasi telah memberi kesan kepada pengurusan pusat peranginan sekitar untuk mengekalkan kebersihan pantai kerana kekangan pekerja. Justeru, seramai 17 warga kapal telah berganding bahu membanting tulang mengutip sisa seperti botol minuman, pakaian, pinggan plastik dan bahan-bahan bukan organik di pesisir pantai sepanjang 650 meter bermula dari jam 9 pagi sehingga jam 11 pagi. Program yang dilaksanakan berjalan dengan lancar kerana ketiadaan orang awam akibat PKP memberi ruang kepada warga kapal melaksanakan aktiviti tersebut dengan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) norma baharu.

Penganjuran aktiviti seperti ini penting bagi memupuk kesedaran dalam kepentingan penjagaan alam sekitar dan kesan pembuangan sampah di pantai terhadap habitat akuatik di samping mewujudkan persekitaran pantai yang bersih, ceria dan selamat untuk dikunjungi.

Sumber : KD PERANTAU
Artikel   : Lt Kdr Wan Shahrul Ai’man bin Wan Mohd Hussin TLDM
Foto      : LK PNK Mohamad Syukri bin Azazan

JUTRA 29 JULSesi perkongsian ilmu bersama Ketua Jurutera TLDM diadakan secara maya

KUALA LUMPUR, 29 Jul - Ketua Jurutera TLDM, Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Hj Mohd Shaiful Adli Chung hari ini berkongsi ilmu dengan Tim Rangka Tindak Kapasiti Pertahanan (RTKP), Kementerian Pertahanan (MINDEF). Perkongsian ilmu adalah berkaitan Modal Insan Pegawai dan Anggota Kejuruteraan di dalam TLDM.

Ketua Jurutera TLDM telah membentangkan status, pembangunan, cabaran dan hala tuju, selain inisiatif serta Grand Strategy terkini bagi memastikan kemajuan warga kejuruteraan agar progresif, dinamik, profesional serta menghasilkan success story.

Sesi perkongsian ilmu ini turut disertai hampir 200 warga kejuruteraan secara atas talian, di mana buat pertama kalinya dijelaskan secara bersasar mekanisme pengurusan modal insan cawangan kejuruteraan TLDM. Tim RTKP, MINDEF amat teruja dengan ilmu yang dikongsi, termasuk model yang dilaksanakan, di mana mereka amat berminat untuk menerokai dengan lebih mendalam.

Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Mk TL
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Hj Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : PR Tentera Darat


PPU 2Anggota TLDM membantu PDRM di Sekatan Jalan Raya

KOTA KINABALU, 22 Jul – Penugasan Op PENAWAR yang melibatkan 60 anggota Pangkalan TLDM Kota Kinabalu telah dilaksanakan bermula 2 Jun 21 yang lalu. Anggota TLDM telah ditugaskan bersama Pasukan RELA bagi membantu PDRM melaksanakan Sekatan Jalan Raya (SJR) di 4 lokasi sekitar daerah Kota Kinabalu. Tindakan ini adalah bagi mengawal penularan COVID-19 yang kini melanda seluruh negara.

Anggota yang terlibat akan membantu dalam pemeriksaan SJR bagi memastikan rakyat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang telah digariskan oleh Kerajaan Malaysia. Sepanjang tempoh penugasan, anggota dilarang sama sekali menggunakan kekerasan. Tindakan yang diambil hendaklah berpandukan kepada undang-undang dan peraturan sedia ada.

Anggota diberikan taklimat berkaitan keselamatan sebelum memulakan penugasan. Selesai penugasan anggota akan menjalani proses disinfeksi bagi memastikan keselamatan dan kesihatan anggota sebelum pulang ke kediaman masing-masing.

Sumber : Pasukan Pertahanan Udara TLDM
Artikel   : Lt Suhana binti Mohd Tahir TLDM
Foto      : Pasukan Pertahanan Udara TLDM

pustakmarLaksamana Pertama Farizal Myeor bersama wakil penduduk

LUMUT, 19 Jul – Satu Program Khidmat Masyarakat menerusi Program Jiwa Murni anjuran PUSTAKMAR telah dilaksanakan pada 19 Julai 2021 bersamaan 9 Zulhijjah 1442H. Penyerahan sumbangan berupa keperluan asas telah disempurnakan oleh Laksamana Pertama Farizal Myeor, Pegawai Memerintah PUSTAKMAR kepada wakil penduduk 3 buah kampung iaitu Kampung Serdang, Kampung Teluk Batik dan Kampung Permatang.

Program ini dipilih sebagai Program Jiwa Murni PUSTAKMAR bagi tahun 2021 sejajar dengan isu Pandemik COVID-19 yang sedang melanda dan menjejaskan pendapatan seluruh rakyat Malaysia. Justeru, sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban dan membantu persiapan penerima sumbangan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Hebahan telah dibuat mulai 13 Julai 2021 mengenai pengumpulan barang sumbangan melalui kawat dan media sosial. Sehubungan  dengan itu, PUSTAKMAR telah berjaya mengumpul sebanyak 90 bungkusan berisi barang keperluan harian hasil sumbangan dari Markas-markas, Kapal-kapal TLDM dan Unit-unit yang berada di Pangkalan TLDM Lumut, Perak. Terdapat juga sumbangan oleh Non-Government Organisation (NGO) setempat.

Di sebalik tugas hakiki menjaga kedaulatan dan kestabilan negara, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak melupakan tanggungjawab untuk menabur bakti kepada komuniti setempat. Semoga usaha yang dilaksanakan ini dapat mengeratkan lagi hubungan warga Navy People dengan masyarakat.

Sumber : PUSTAKMAR, Pangkalan Lumut TLDM

Audit BOS

KUALA LUMPUR, 16 Jul - “You Get What You Inspect Not What You Expect”. Audit Dalaman (AD) Bahagian Operasi dan Strategi (BOS) yang telah dilaksanakan mulai 12 hingga 16 Jul 21 telah melabuhkan tirainya. AD ini melibatkan seramai 19 orang juruaudit dari Bahagian IJ, RISLA dan KPSI. Sepanjang pelaksanaannya, pematuhan SOP yang ketat telah dipraktikkan berpandukan pengarahan semasa Majlis Keselamatan Negara.

AD ini diakhiri dengan Taklimat Penutup yang dipengerusikan oleh Inspektor Jeneral (IJ) MkTL, Laksda Chan Peng Cheong dan delegasi. Manakala BOS diwakili oleh Pengarah Kanan, Kept Muhamad Shakir bin Salleh TLDM dan beberapa orang pegawai telah mengambil maklum akan kesemua penemuan dan teguran daripada Tim Audit.

AD kali ini melibatkan Pemeriksaan dokumentasi dan bahan bukti bagi kesemua komponen N-Series selain turut melaksanakan Kajian Kepuasan Warga melalui Aplikasi Google Form. Secara keseluruhannya, tadbir urus BOS dari segi People, Process & Platform dinilai baik selaras dengan hala tuju semasa TLDM.

Di akhir taklimat, Inspektor Jeneral turut mengambil kesempatan menerangkan Audit Conceptual Framework yang telah digunakan sepanjang AD berlangsung kepada semua hadirin.

Sumber : Bahagian Operasi dan Strategi, Markas Tentera Laut
Artikel   : Lt Kdr Norzaity binti Mohd Salli TLDM
Foto      : LK II PNK Muhamad Hafizulhakim bin Zamri

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 839

Semalam 978

Bulan ini 6965

Keseluruhan 1290414

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM