IMG 20210628 155113Ship Crest yang dihasilkan oleh KD PELANDOK

KUALA LUMPUR, 29 Jun - KD PELANDOK, sebuah unit latihan TLDM baru-baru ini telah menghasilkan Ship Crest berciri klasik, di mana sebelum ini pernah dihasilkan oleh kapal besar TLDM atau unit yang mempunyai bengkel Srimala. Ciri klasik yang dimaksudkan ialah pembuatan pelaka menggunakan resin atau komposit, diwarnakan sewajarnya mengikut logo sesebuah unit. Produk sedemikian sebelum ini kebiasaannya sinonim dengan Royal Navy. Pada masa ini sebahagian besar Ship Crest yang digunakan oleh TLDM adalah buatan kilang di mana kepingan logam yang difabrikasi, dilapik dengan kepingan kayu.

Penghasilan Ship Crest bercirikan klasik ini telah lama tidak dihasilkan di dalam TLDM. Ini disebabkan kemahiran ini luntur setelah tred Srimala dimansuhkan. Namun, dengan diwujudkan semula tred Srimala secara bersasar, maka kemampuan melaksanakan senggaraan serta pembaikan melibatkan logam, kayu dan sebagainya secara in-house atau Do It Yourself (D.I.Y) telah ditingkatkan secara berperingkat.

Pembuatan Ship Crest jenis ini adalah cetusan idea Ketua Jurutera TLDM, diusahakan oleh jurulatih dan pelatih Srimala di bengkel Srimala, Fakulti Kejuruteraan, KD PELANDOK. Ship Crest bercirikan klasik ini akan diperluaskan pengeluarannya oleh Bengkel Srimala bagi kegunaan di upacara rasmi TLDM, agar mengembalikan identiti khas yang unik serta menarik ini. Warga Navy People dijangka boleh mendapatkan koleksi Ship Crest ini di masa akan datang setelah pengeluarannya ditingkatkan.

Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Kdr Ir. Ts. Ng Keng Lip TLDM

Pix 2Panglima Tentera Laut memakaikan Insignia Pegawai Waran TLDM kepada PW I Mohamad Noorfazli

KUALA LUMPUR, 29 Jun - Hari ini Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatat sejarah tersendiri apabila Pegawai Waran (PW) I TLS (AQM) Mohamad Noorfazli bin Ariffin dari Cawangan Udara TLDM dipilih sebagai Pegawai Waran TLDM Ketujuh.

PW I Mohamad Noorfazli mula menyertai TLDM pada 1999 dan telah berkhidmat selama 22 tahun dalam TLDM. Sepanjang perkhidmatan, beliau telah diperjawatkan di Kapal Diraja (KD) SRI INDERA SAKTI sebelum diserapkan ke KD RAJAWALI sebagai teknisyen udara. Setamat kursus di KD RAJAWALI, beliau diserapkan ke Skuadron 501 yang mengoperasikan pesawat Super Lynx. Seterusnya beliau telah dipilih untuk mengikuti kursus Air Quartermaster di PULATIBANG 2, Alor Setar Kedah. Beliau telah menjalani latihan penerbangan di No.3 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggunakan pesawat NURI selama hampir 2 tahun. Setamat kursus, beliau kembali ke Skuadron 501 sebagai Air Quartermaster operasi di skuadron tersebut. Bukan itu sahaja, beliau juga seorang jurulatih Air Quartermaster Skuadron 501.

Antara siri latihan dan operasi penting yang beliau sertai sepanjang perkhidmatan termasuk Bersama LIMA, Kerismas, Taming Sari, Carilamat MH 370 dan Operasi Fajar Siri 19. Beliau juga menjadi kru SUPER LYNX yang menyertai pelayaran KD LEKIU ke Jepun, China dan Korea pada 2019. Pada tahun 2020, PW I Mohamad Noorfazli telah dilantik sebagai Pegawai Waran Markas Udara yang memberi cabaran baharu buat beliau apabila beralih daripada tugasan operasi kepada pentadbiran.

Pengalaman sebagai Pegawai Waran Markas Udara semestinya akan digunakan untuk mengorak langkah sebagai Pegawai Waran TLDM yang merupakan jawatan tertinggi disandang seorang anggota lain-lain pangkat (LLP). Pegawai Waran TLDM atau lebih dikenali sebagai Warrant Officer of the Navy (WOON) memainkan peranan penting dalam perkhidmatan, iaitu sebagai penghubung di antara kumpulan pegawai dengan anggota LLP TLDM dalam memastikan setiap mesej dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan tertinggi TLDM sampai kepada semua peringkat akar umbi. Beliau dianggap nadi dan contoh tebaik kepada warga LLP dalam memastikan tahap kesiagaan setiap anggota LLP TLDM sentiasa terbaik merangkumi kerjaya, disiplin dan kebajikan. Pegawai Waran TLDM adalah penasihat kepada PTL dalam hal berkaitan LLP dan beliau perlu sentiasa peka dengan situasi yang dihadapi anggota yang terdiri daripada pelbagai kepakaran serta harus fleksibel dalam melaksanakan tanggungjawab beliau mempromosi kebajikan mereka.

Tahap kemahiran insani atau soft skill yang diperlukan semestinya tinggi terutama apabila menyampaikan mesej daripada pihak pengurusan mahupun daripada warga. Beliau juga perlu sensitif dengan maklumat yang disampaikan agar jelas dan difahami lantas mencapai objektif yang ditetapkan. Sementara itu, TLDM mengambil kesempatan mengucapkan jutaan penghargaan kepada mantan WOON iaitu PW I TMK Muhamad Eizad bin Ramli di atas sumbangan yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan beliau khususnya ketika menjadi WOON keenam. Jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan beliau sentiasa dikenang.

Serah terima tugas Pegawai Waran TLDM di antara PW I TMK Muhamad Eizad bin Ramli dan PW I TLS (AQM) Mohamad Noorfazli telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany pada hari ini. Panglima Tentera Laut telah memakaikan insignia dan menyerahkan tongkat simbol pemerintahan Pegawai Waran TLDM.

Sumber : Markas Tentera Laut
Artikel   : Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut
Foto      : LK TNL Mohd Badrul Hisham bin Che Hussin
              LK PNK Khairul Najmi bin Ab Jabar

Team Captain Bola Tampar di USNA

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Hari ini melakar sejarah di mana Lt Ts. Chan Jun Kwan TLDM dianugerahkan Chevening Scholarship oleh Kerajaan United Kingdom. Biasiswa penuh yang amat berprestij ini adalah bagi pengajian tahun 2021/2022. Beliau merupakan pegawai TLDM yang ke-8 berjaya menerima tawaran sedemikian setakat ini. Justeru TLDM masih melakar sejarah buat masa ini sebagai agensi Kerajaan yang mempunyai bilangan kakitangan paling ramai mendapat tajaan biasiswa berprestij luar negara. Maklumat tambahan adalah seperti di pautan berikut:

https://www.facebook.com/RoyalMalaysianNavy/posts/3555310174526965

Lt Ts. Chan Jun Kwan TLDM adalah mantan putera Maktab Tentera Diraja (MTD). Selesai pengajian di MTD, beliau telah terpilih menjalani latihan kadet di United States Naval Academy (USNA), Annapolis pada tahun 2012. Beliau telah menamatkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa dengan kepujian. Seterusnya pada tahun 2016, beliau memasuki perkhidmatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Kecemerlangan Lt Ts. Chan Jun Kwan TLDM bukan setakat bidang akademik. Dalam aspek sukan, beliau bergiat aktif dalam Bola Tampar, Marathon dan Triathlon. Semasa pengajian di Annapolis, beliau mewakili USNA dalam sukan Bola Tampar di mana diberi mandat sebagai Team Captain. Sepanjang perkhidmatan, beliau mewakili TLDM dan ATM dalam pertandingan bola tampar terbuka di pelbagai peringkat, di mana pada tahun 2017 dianugerahkan Best Libero di kejohanan Inter-Service Games (ISG).

Selaras dengan inisiatif memperkasa dan menghasilkan modal insan yang terbaik (crème de la crème), warga Navy People wajar merebut peluang tawaran lebih kurang 30 jenis biasiswa berprestij yang ditawarkan oleh Kerajaan luar negara kepada warga Malaysia. Diharap usaha ini membolehkan TLDM dan warganya terus gemilang, cemerlang dan terbilang.

Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Bahagian Sumber Manusia, Mk TL

PASSEX

LUMUT, 3 Jun – KD LEKIR, kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengadakan latihan Passage Exercise (PASSEX) bersama Tentera Laut Perancis di sekitar utara Selat Melaka.

FS SURCOUF merupakan kapal perang dari negara Perancis dalam program pelayaran “Mission Jeanne D’Arc 2021” dari Perancis menuju ke Jepun. FS SURCOUF singgah berlabuh di jeti Awana Porto Malai, Langkawi pada 29 Mei hingga 1 Jun 21 bagi mengisi keperluan logistik sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.

PASSEX merupakan salah satu inisiatif pihak TLDM dan Tentera Laut Perancis bagi mengeratkan hubungan diplomatik bagi kedua buah negara serta meningkatkan kebolehupayaan bersama. Latihan ini juga bertujuan untuk menguji dan memastikan kedua-dua kapal mampu berkomunikasi dan bekerjasama dengan baik di laut. Kejayaan latihan tersebut hasil daripada komitmen di antara kedua-dua buah pihak iaitu KD LEKIR dan FS SURCOUF dalam mewujudkan hubungan dua hala yang strategik.

Bagi memenuhi objektif latihan tersebut, beberapa jenis latihan telah dilaksanakan iaitu Penembakan Sasaran Permukaan - Tactical Firing dalam Formasi Oscar dengan kedua-dua buah kapal menembak 10 butir peluru pada jarak 4 batu nautika dan sasaran Killer Tomato telah musnah dan tenggelam.

Selain itu, latihan RAS Approach merupakan evolusi yang dilaksanakan secara bergilir bagi memberi peluang kepada kedua-buah kapal menghampiri (approach) dengan jarak terhampir semasa merapat iaitu dengan jarak 40 meter.
Latihan Boat Operation turut dilaksanakan di mana Bot Marlin 1 milik KD LEKIR telah diturunkan bagi melaksanakan pertukaran cenderahati. Tidak lengkap sekiranya latihan OOW Manoeuvre tidak dilaksanakan dan latihan pada kali ini 7 formasi taktikal telah berjaya dilaksanakan.

Latihan Sail Pass and Breakaway di mana FS SURCOUF telah melaksanakan Sail Pass di lambung sebelah kanan KD LEKIR sebelum latihan PASSEX tersebut selesai. Penggambaran dilakukan dari udara melalui pesawat FENNEC milik TLDM.

Secara keseluruhan, semua latihan yang dirancang telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan selamat. Latihan pada kali ini telah berjaya mencapai objektifnya serta dapat menguji kemampuan aset TLDM dalam beroperasi bersama aset-aset dari negara lain. Ini membuktikan, bahawa visi TLDM untuk menjadi Tentera Laut bertaraf dunia adalah tidak mustahil untuk dikecapi berdasarkan kemampuan dan kebolehan sedia ada sekarang. Bravo Zulu!

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

PERTUKARAN CENDERAHATI ANTARA KJ TLDM DAN PTD

KUALA LUMPUR, 2 Jun - Ketua Jurutera TLDM, Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Hj Mohd Shaiful Adli Chung hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain. Ketua Jurutera TDM, Mejar Jeneral Dato' Pahlawan Ir. Hj Chapiti bin Hj Redzwan turut hadir sesi kunjungan hormat ini.

Sesi ini bertujuan untuk menyampaikan hasrat mewujudkan forum tiga penjuru melibatkan ketiga-tiga Ketua Jurutera perkhidmatan iaitu TDM, TLDM dan TUDM. Jika direalisasikan, inisiatif ini akan melakar sejarah sebagai platform rasmi pertama di Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi berkongsi dan merangka best engineering practices untuk diimplementasikan, sekiranya sesuai bagi mana-mana perkhidmatan berkaitan.

Yang Berbahagia PTD amat positif dan secara prinsip tiada halangan terhadap hasrat tersebut termasuk inisiatif yang hendak dilaksanakan. Justeru, kunjungan hormat ini adalah kick-off bagi membuka lembaran baharu dalam pengurusan kejuruteraan di ATM agar lebih bersepadu.

Klik pautan dibawah untuk bacaan penuh:
https://www.facebook.com/505270132843470/posts/4102619426441838/

Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Mk TL

Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Hj Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : PR Pejabat Panglima Tentera Darat

KEPTEN Ir. Hj AHMAD FAHMI BIN JAHAYA TLDM

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Hari ini merupakan hari terakhir Kepten Ir. Hj Ahmad Fahmi bin Jahaya TLDM bertugas, dimana beliau telah menyerahkan jawatan sebagai Pengarah Pengurusan Kejuruteraan, Bahagian Kejuruteraan Markas Tentera Laut kepada Kepten Ts. Mohd Faesac bin Talla TLDM. Ini kerana Kepten Ir. Hj Fahmi akan bersara awal dari perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia untuk menceburi kerjaya baharu. Sepanjang 30 tahun perkhidmatan, Kepten Ir. Hj Fahmi telah berkhidmat dengan cemerlang.

Lebih membanggakan, beliau telah menyumbang beberapa inisiatif berimpak tinggi, diantaranya:
1. Sebagai pemacu sehingga Markas Udara TLDM berjaya menjadi agensi kerajaaan pertama mendapat pensijilan Authorised Engineering Organisation (AEO) daripada Directorate General Technical Airworthiness (DGTA).
2. Pencetus pelaksanaan kaedah “Standard Exchange” untuk kontrak perkhidmatan selenggaraan aset TLDM.
3. Brainchild memperkenalkan Skim Pemarkahan bagi keperluan mandatory Spesifikasi Teknikal untuk diselaraskan di sistem e-Perolehan dalam proses Tender Terbuka.
4. Pencadang untuk pelaksanaan Tier Mark-Up bagi kontrak perkhidmatan selenggaraan peralatan dimana telah diimplementasi dengan jayanya.
5. Seorang Senior Air Engineer (SAE) yang berusaha gigih sehingga pesawat TLDM mencapai flying hours yang tinggi dengan zero-incident.

Sesungguhnya jasa Kepten Ir. Hj Fahmi amat dihargai dan warga Navy People mengucapkan Fair Winds and Following Seas, semoga beliau terus maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Maklumat tambahan Kepten Ir. Hj Fahmi adalah seperti di pautan berikut; https://www.facebook.com/355294844528530/posts/3582282045163111/ dan https://www.facebook.com/355294844528530/posts/4069063936484917/?d=n .

Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Mk Tentera Laut
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Bahagian Sumber Manusia, Mk TL

LT KDR B MOHAMAD NIZAM BIN WAN CHIK TLDM

KUALA LUMPUR, 29 Mei - Lt Kdr Mohamad Nizam bin Wan Chik TLDM (Bersara), seorang Penyelam Ranjau (Clearance Diver) ketika berkhidmat dalam TLDM, pernah menyelamatkan nyawa seorang kenamaan negara daripada lemas. Kejadian berlaku pada tahun 2009 di sebuah pulau peranginan terkenal di Malaysia.

Semasa kejadian, Lt Kdr Mohamad Nizam sedang menyelam di kedalaman lebih kurang 20 meter. Beliau melihat seorang penyelam lain di lokasi yang lebih dalam dan berasa curiga melihat penyelam tersebut.

Tanpa berfikir panjang, beliau telah mengejar penyelam tersebut dan menghampirinya di kedalaman 40 meter yang agak merbahaya kepada penyelam amatur. Lt Kdr Mohamad Nizam berjaya mencegah penyelam tersebut daripada terus jatuh dan secara perlahan-lahan membawa beliau naik ke permukaan mengikut SOP selaman. Risiko decompression sickness atau dekompresi adalah tinggi jika seseorang penyelam tidak mengikut tatacara selaman yang betul, walaupun untuk menyelamatkan penyelam lain.

Dalam temubual eksklusif bersama Lt Kdr ( B ) Mohamad Nizam di pejabat Ketua Jurutera TLDM baru-baru ini, beliau memaklumkan bahawa beliau terpaksa bertindak pantas tanpa berfikir panjang kerana penyelam tersebut berisiko tinggi untuk lemas. Ini kerana beliau dapati ada yang tidak kena semasa aktiviti selam tersebut, iaitu:
1. Penyelam SCUBA tersebut telah berada di kedalaman 20 meter tetapi menggunakan satu balang sahaja (single tank).
2. Tiada dive-buddy yang menemani beliau.
3. Penyelam tersebut di awal selaman diyakini telah mengalami negative buoyancy dan terus “jatuh”, mungkin dalam keadaan panik.
4. Lokasi kedalaman menyelam melebihi 100 meter, di mana jika berada di kedalaman melebihi 50 meter, penyelam boleh hilang orientasi (disorientation).

Tindakan serta merta Lt Kdr ( B ) Mohamad Nizam menyelamatkan nyawa seseorang dan keberanian beliau diiktiraf apabila menerima Pujian Panglima Tentera Laut pada tahun 2013.

Pengajaran (lesson learnt) dari insiden ini khususnya kepada penyelam SCUBA amatur ialah kepentingan mengetahui status diri penyelam serta set selaman yang digunakan, samada dalam keadaan neutral, negative buoyancy atau positive buoyancy sebelum memulakan aktiviti selaman. Tindakan pantas serta keberanian Lt Kdr ( B ) Mohamad Nizam ini wajar dijadikan motivasi serta inspirasi kepada warga Navy People

Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Mk Tentera Laut
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Bahagian Sumber Manusia, Mk TL

SJR MPABAnggota TLDM kolaborasi dengan PDRM serta RELA melaksanakan SJR

LUMUT, 24 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia sentiasa komited dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di daerah Manjung, Perak. Kerjasama antara TLDM, agensi penguatkuasa lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PRDM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR) bagi membantu melandaikan lengkungan jangkitan COVID-19 melalui Operasi PENAWAR.

Markas Pemerintahan Armada Barat menjadi unit yang bertanggungjawab untuk mengatur gerak warga Navy People dari Pangkalan TLDM Lumut bagi menjayakan Operasi PENAWAR tersebut di empat buah lokasi SJR yang telah dikenalpasti sebagai kawasan sempadan daerah Manjung.

Empat lokasi SJR adalah di KM 73 Beruas, KM 20 Sitiawan-Ipoh, KM 7 Pantai Remis-Taiping dan KM 23.5 Sitiawan-Kayan bagi memastikan kepatuhan orang awam terhadap pelaksanaan PKP 3.0 dalam usaha kerajaan Malaysia untuk menangani penularan wabak COVID-19 apabila pola keberjangkitan menunjukkan peningkatan yang semakin serius.

Dengan pelaksanaan SJR di kawasan yang strategik ini dapat mengurangkan pergerakan orang awam untuk merentas daerah mahupun merentas negeri bagi memutuskan rangkaian COVID-19 di Malaysia. Oleh yang demikian, kami selaku salah satu organisasi petugas barisan hadapan menyeru agar rakyat Malaysia terus mematuhi arahan sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP. Sila amalkan norma hidup baharu dengan Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk sama-sama membanteras penularan COVID-19.  

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

 

PANGKOR WAR 1Latihan Perang Pangkor Siri 1/2021

LUMUT, 10 Mei – Walaupun negara masih berada dalam keadaan aman, TLDM sentiasa mengambil berat dalam kesiapsiagaan bagi mempertahankan kedaulatan perairan negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlakunya ancaman musuh luar atau dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

Latihan Perang Pangkor atau sebelum ini dikenali sebagai eksesais ‘Pangkor War’ sering di adakan untuk menguji tahap pengoperasian kapal, sistem dan persenjataan disamping meningkatkan kemahiran serta kecekapan anggota kapal dari masa ke semasa. Perang Pangkor siri 1/21 pada kali ini telah melibatkan 5 buah kapal iaitu KD LEKIR, KD GAGAH SAMUDERA, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH, KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL dan KD LAKSAMANA HANG NADIM. Seawal jam 6.00 pagi kapal pertama telah memulakan pelayaran setelah mendapat amaran ancaman musuh di pulau berhampiran.

Pelbagai siri latihan telah dilaksanakan sepanjang latihan ini, antaranya adalah latihan Pandu Arah Gelap, Pandu Arah Terang, Melalui Latihan Bebas Periuk Api, Anti Air Warfare Exercise dan Manuvera Taktis. Di samping itu, latihan Special Ship Boarding turut dilaksanakan di KD LEKIR dengan penglibatan tim menggeledah daripada pihak PASKAL. Dalam masa yang sama, latihan kebakaran dan kebanjiran iaitu MKMA terus diberi perhatian serius bagi menentukan warga kapal sentiasa siap siaga dalam menentukan keselamatan kapal dan warganya semasa pelayaran di laut.

Semangat ‘esprit the corps’ yang diterapkan dalam setiap warga kapal turut dapat dilihat dan ianya boleh dibanggakan apabila latihan kali ini telah memperlihatkan penglibatan penuh setiap peringkat tidak kira dari pegawai kanan sehingga ke peringkat bawah bagi mencapai objektif yang digariskan.

Secara keseluruhan, Latihan Perang Pangkor 1/21 ini telah berjaya dilaksanakan dan telah mencapai objektif yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, latihan yang berterusan perlu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kompetensi dan kesiagaan warga Armada Barat pada sebilang masa. Usaha ini tidak akan terhenti disini dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

CREW KA BM5 DAN TIM PROJEKKrew KA BM5 dan Tim Projek

PASIR GUDANG, 9 Mei – Tahniah kepada krew KA BUNGA MAS 5 (BM 5) dan Tim Projek Slipping di atas kejayaan menyiapkan slipping dalam tempoh ditetapkan iaitu lebih kurang sebulan pada hari ini. KA BM 5 adalah kapal besar pertama menjalani Slipping, dimana Slipping tidak dijadikan sebagai rutin selenggaraan berjadual sejak 25 tahun yang lalu. Selain itu, rutin Slipping sebelum ini hanya melibatkan kapal kecil sahaja.

KA BM 5 selesai menjalani rutin Slipping berkonsepkan “SMART”, melibatkan kerja-kerja pembaikan plating dan underwater di Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd, Pasir Gudang, Johor.

Inisiatif dikembalikan rutin Slipping merupakan hala tuju terkini yang menggabungkan Inovasi Baharu Refit (refit rebranding) dan “SMART” Refit. Bagi penambahbaikan berterusan (Kaizen), tempoh Slipping kapal akan ditambah baik dalam tempoh terdekat, dimana disingkatkan ke 2 minggu bagi kapal besar, 1 minggu bagi kapal kecil.

Inisiatif ini adalah cetusan idea warga Navy People yang telah direalisasikan. Justeru, warga Navy People wajar berbangga dengan inisiatif ini dan disaran terus berinovasi untuk meningkatkan keupayaan operasi Armada TLDM, khususnya dalam aspek Man, Machine and Method (Process).

Sumber : Bahagian Kejuruteraan, Mk TL
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Lt Mohammad Khairul Akmal bin Ramli TLDM

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 834

Semalam 978

Bulan ini 6960

Keseluruhan 1290409

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM