87 270421Suasana Perbarisan di Padang Kawad KD PELANDOK

LUMUT, 27 Apr – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany telah menyempurnakan Perbarisan Hari TLDM ke-87 di Padang Kawad KD PELANDOK. Sambutan pada tahun ini bertemakan “TLDM Siaga, Kedaulatan Terpelihara”.

Dalam ucapan beliau, Laksamana Tan Sri Mohd Reza berkata perkataan ‘Siaga’ bermaksud bersiap sedia dari segala aspek dalam menghadapi sesuatu ancaman. Ucapan PTL secara tidak langsung menyuntik semangat warga Pangkalan Lumut dalam menghadapi situasi semasa dengan wabak COVID-19 dan juga penugasan di lautan sepanjang bulan Ramadan. Turut dilaksanakan penyampaian anugerah bagi beberapa kategori kecemerlangan antaranya Anugerah Markas Terbaik, Piala Agong, Piala Gonzales, Piala Panglima Tentera Laut, Bintara dan Laskar Terbaik TLDM serta Esei Maritim.

Kejayaan dan sejarah Armada Barat juga tercipta dengan penerimaan enam buah Fast Interceptor Craft (FIC) daripada pihak Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd. Satu demonstrasi keupayaan bot tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan pada 26 April. Kehadiran bot FIC dalam inventori aset TLDM akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan Markas Pemerintahan Armada Barat. Bot FIC ini diletakkan dalam Skuadron Fast Combat Boat yang menjadi elemen sokongan pertahanan maritim negara, terutama kepada kapal-kapal TLDM dalam penugasan Operasi Benteng.

Panglima Tentera Laut juga mengingati warga Navy People agar sentiasa bersedia dan siaga dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang. Setelah selesai perbarisan, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bergambar bersama warga TLDM yang terlibat dalam perbarisan dalam formasi angka “87” sebagai simbolik sambutan Hari TLDM Ke-87 tahun ini.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

 

KDGS

KUALA LUMPUR, 27 Apr - Perbarisan Ulang Tahun TLDM ke-87 peringkat Markas Tentera Laut telah dilaksanakan dengan jayanya di KD SRI GOMBAK. Upacara disempurnakan Pengarah Kanan Perancangan dan Pembangunan, Laksma Fadhil bin Abdul Rahman.

Perbarisan melibatkan 142 orang warga TLDM yang terdiri daripada 6 pegawai dan 136 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Komander Khairul Nizam bin Abdul Khalek TLDM serta dibantu oleh Pegawai Waran I TLR Nor Shahrizan bin Mansor selaku Pegawai Waran perbarisan. Perbarisan berkonsep statik ini menekankan aspek keselamatan dan Tatacara Operasi Standard dalam memastikan setiap warga yang terlibat terhindar dari ancaman virus Covid-19.

Kesemua warga TLDM yang terlibat dalam perbarisan ini adalah daripada pelbagai bahagian dan unit di sekitar Lembah Klang. Perbarisan kali ini turut dijayakan oleh pancaragam 96 Rejimen Semboyan Diraja. Foto kenangan yang dirakam dengan formasi menjadi kemuncak acara buat semua yang terlibat dalam perbarisan.

Artikel / Foto : Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut

Klik ke galeri

AKS JUTRA 270421Kebanggaan. Ketua Jurutera TLDM pertama menerima
anugerah Pujian Panglima Tentera Laut

LUMUT, 27 Apr - Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Hj Mohd Shaiful Adli Chung melakar sejarah sebagai Ketua Jurutera TLDM (RMN Chief Engineer) pertama menerima anugerah Pujian Panglima Tentera Laut (Pujian PTL), sejak ia diperkenalkan pada tahun 2007. Upacara penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut semasa Istiadat Perbarisan dan Sambutan Hari TLDM Ke-87 hari ini.

Pengiktirafan TLDM kepada Laksda Datuk Adli Chung ini adalah bertepatan dengan sumbangan besar berimpak tinggi Laksamana yang berjaya meningkatkan secara signifikan tahap kesiagaan operasi Armada TLDM menerusi beberapa inisiatif baharu. Selain itu telah menaikkan imej TLDM di dalam beberapa misi khas, serta menghasilkan inovasi “luar jangka” dimana telah menyumbang penjimatan dana kerajaan berjumlah RM45 juta dalam tempoh 13 tahun. Sebahagian inisiatif serta inovasi cetusan Laksamana kini juga sedang diteliti oleh pihak kerajaan untuk dipanjangkan ke agensi yang bersesuaian, disamping turut ditinjau potensinya oleh beberapa firma swasta.

Seperkara lagi yang tidak diketahui ramai ialah sumbangan secara berterusan Laksamana sejak berkhidmat yang belum pernah diperkata atau diuarkan. Maklumat ringkas adalah seperti snapshot kepada Curriculum Vitae (CV) ringkas Laksamana di Artikel ini.

Penganugerahan Pujian PTL terhadap pencapaian berimpak tinggi Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Hj Adli Chung ini amat membanggakan TLDM, dimana ianya wajar dijadikan motivasi serta inspirasi kepada warga generasi baharu Navy People. Laksana benih yang baik, jika dibuang ke laut menjadi pulau, ditebar ke langit menjadi bintang dan dicampak ke hutan menjadi gunung.

Sumber : Markas Tentera Laut, Sekretariat
Artikel   : Kepten Ts. Mohd Faesac bin Talla TLDM
Foto      : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Hj Mohd Shaiful Adli Chung

Klik ke galeri

RNO Kuching 270421Pengagihan Bubur Lambuk

KUCHING, 26 Apr – Bersempena bulan Ramadan 1442H yang penuh dengan keberkatan ini, warga Navy People Kuching meneruskan tradisi secara bergotong-royong memasak serta mengagihkan bubur lambuk untuk berbuka puasa serta moreh kepada qariah dua buah masjid berbeza iaitu Masjid Darul Hana Kuching serta Masjid Kampung Gersik. Turut serta dalam program ini warga PWTL Kuching, PSTL Kuching serta Lt Mohd Ismail bin Yakub TLDM selaku Pegawai Wakil Tentera Laut Kuching.

Program tahunan Ihya' Ramadan ini juga adalah inisiatif unit bersempena sambutan Hari TLDM yang ke-87 pada tahun ini dan lebih istimewa ia berlangsung dalam bulan Ramadan. Secara tidak langsung dapat memupuk semangat Ihya' Ramadan yang membawa maksud memeriahkan atau menghidupkan bulan Ramadan dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang berfaedah demi mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT. Sesungguhnya memberi makan orang yang berbuka besar ganjarannya seperti hadith Rasullullah SAW.

Selain itu, program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan TLDM di mata penduduk sekitar Bandaraya Kuching. Talian sillaturahim dan semangat ukhwah dapat disemai melalui program ibadah seperti ini seterusnya membangkitkan semangat ingin tahu tentang kerjaya dan kehidupan dalam TLDM khasnya.

Selamat menyambut Hari TLDM yang ke-87. TLDM SIAGA, KEDAULATAN TERPELIHARA.

Sumber : PR PWTL KUCHING
Artikel   : LK I TLS Muhamad Nurzharif bin Mat Saad
Foto      : LK TNL Henry Sawan Anak Galong

Tabung KSSKA PWTLPenyampaian Sumbangan Oleh Pegawai Wakil Tentera Laut Kuching

KUCHING, 23 Apr – Majlis penyampaian Bantuan Persekolahan Tabung KSSKA TLDM Pegawai Wakil Tentera Laut (PWTL) Kuching telah berlangsung di ruang legar Pejabat PWTL Kuching dengan jayanya. Majlis telah disempurnakan oleh Lt Mohd Ismail Bin Yakub TLDM selaku Pegawai Wakil Tentera Laut Kuching.

Anggota yang telah menerima sumbangan tersebut adalah LK I PAP Abg Mohd Nazjib Bin Salihin. Untuk makluman, anggota kini sedang menjalani kursus Kerahan Tenaga Sepenuh Masa di KD Pelandok. Isteri anggota iaitu Famila binti Zulkifli telah hadir sebagai wakil anggota tersebut untuk menerima sumbangan.

Majlis ini berlangsung sederhana dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah digariskan oleh Pihak Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak. Adalah diharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban anggota serta keluarga dalam menghadapi cabaran kehidupan yang mendatang.

Sumber : PR PWTL KUCHING
Artikel   : LK I TLS Muhamad Nurzharif bin Mat Saad
Foto      : LK TNL Henry Sawan Anak Galong

 

MAJLIS PENUTUP KPPK 240421Sesi bergambar bersama Peserta KPPK 2 (WE - C&S 1) Siri 3/21

LUMUT, 23 Apr – Dalam peperangan moden hari ini, Sistem Persenjataan melibatkan Command, Control and Surveillance di sesebuah kapal perang adalah kritikal bagi kejayaan sesuatu misi. Justeru bagi memastikan sistem ini berfungsi sepenuhnya, selenggaraan yang berkesan dan keupayaan mengoperasikannya secara optimum adalah penting. Bagi mencapai matlamat ini, Kursus Pertengahan Pegawai Kejuruteraan 2 (WE – Command and Surveillance 1) Siri 3/21 selama tiga minggu telah dilaksanakan di KD SULTAN IDRIS I. Bak kata pepatah “Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya”. Dengan yang demikian, seramai 12 pegawai berpangkat Leftenan Madya TLDM telah menjalani latihan ini.

Melalui latihan ini, Pegawai Muda kejuruteraan Elektrik dan Senjata dilatih dalam aspek Command and Control System, Surveillance System (Surface and Air), Surveillance System (Underwater) dan Fire Control System (FCS). Ilmu ini adalah sebagai bekalan (persiapan) dijawatkan di kapal TLDM. Sebahagian Pegawai akan dikenal pasti untuk dijadikan Subject Matter Expert (SME).

Selain ilmu Command, Control and Surveilance, sedikit pendedahan kepada Sistem Selenggaraan Kapal (SSK) bagi memahami pelaksanaan metodologi selenggaraan di kapal turut dilaksanakan. Maklumat tambahan berkaitan SSK ini boleh dilayari di pautan berikut:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3964468033611175&id=355294844528530

Tujuan utama latihan ini adalah sebagai persiapan awal dalam aspek Human Capital memandangkan pihak TLDM dalam tempoh terdekat merancang MENGGEMBALIKAN SEMULA keupayaan tempur asal beberapa kapal agar memiliki Command and Control System, atau sekurang-kurangnya Fire Control System (FCS). Diyakini, warga Navy People turut bangga dengan inisiatif ini memandangkan kapal dijangka akan mempunyai “taring”.

Sumber : Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : KD SULTAN IDRIS I

 

PHN 4658Peserta bengkel bersama Inspektor Jeneral, KP Hidrografi dan pensyarah jemputan

PULAU INDAH, 19 Apr – Bahagian Inspektorat Jeneral, Markas Tentera Laut telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Pelaporan Direktif Strategik Panglima Tentera Laut (DS PTL) mulai 19 hingga 21 Apr 21 bertempat di Pusat Hidrografi Nasional. Objektif utama bengkel adalah untuk membentuk pemahaman yang sekata kepada setiap peserta bengkel berhubung format pelaporan DS PTL dengan menggunakan perisian Microsoft Project.

Bengkel selama 3 hari ini melibatkan kehadiran peserta-peserta yang terdiri daripada wakil Pengurusan Strategik dari Markas Pemerintahan dalam TLDM. Kdr Ir. Dr. Arman bin Ariffin TLDM, Pegawai Memerintah UPS Labuan telah dijemput untuk memberikan taklimat penggunaan perisian Microsoft Project dan pada masa yang sama bertindak sebagai fasilitator sepanjang bengkel dilaksanakan bagi membimbing peserta dalam mencapai objektif yang telah digariskan.

Keberhasilan bengkel yang dihasratkan adalah bagi menghasilkan format pelaporan DS PTL yang komprehensif dan seragam dengan menggunakan perisian Microsoft Project. Ini bagi memudahkan proses pemantauan serta menghasilkan Dashboard pelaporan DS PTL untuk pemantauan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan Strategik TLDM dengan menggunakan perisian Arc Geographic Information System (ArcGIS).

Sumber : Bahagian Inspektorat Jeneral, Markas Tentera Laut
Artikel   : Lt Kdr Cheng Liang Tsai TLDM (PS 1 Prestasi)
Foto      : LK I HDI Baihaqi bin Mustapa

KDLTAJ 1904Aktiviti pemeriksaan keatas BNT oleh anggota TLDM

LUMUT, 19 Apr – KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL dalam operasi melaksanakan rondaan Pengawasan Selat Melaka (MSSP) dan Op PEJARAK telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan tempatan (BNT) di sekitar perairan Pulau Perak pada jam 11.36 pagi.

Semasa pemeriksaan ke atas BNT jenis PKFB 1532 yang didaftarkan di Bagan Panchor, Pantai Remis, Perak diperamati seramai 20 orang awak-awak termasuk tekong dikenal pasti warganegara Thailand. Pemeriksaan dibuat dengan lebih mendalam termasuk pengenalan diri, kesimpulannya kesemua awak-awak dan tekong kapal didapati mempunyai dokumen dan pengenalan diri yang sah.

Hasil pemeriksaan tiada barang terlarang dan berbahaya ditemui. BNT telah memberikan kerjasama kepada anggota KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL dalam operasi yang dijalankan. BNT ini menjalankan aktiviti perikanan dengan menggunakan Pukat Jerut. Tekong juga memaklumkan sepanjang menjalankan aktiviti perikanan di kawasan tersebut tiada sebarang aktiviti penyeludupan PATI atau bot-bot yang mencurigakan di perairan negara.

Berdasarkan kerjasama yang diberikan oleh BNT tersebut dilihat komuniti maritim bersedia untuk membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan. Selesai pemeriksaan, bot dilepaskan dan kapal meneruskan rondaan.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

 

KOMPAL UTAMATahniah. KOMPAL menyampaikan sijil penghargaan kepada
Bintara Berkualiti bagi Suku Pertama 2021

LUMUT, 12 Apr – Bertempat di serambi Markas Pangkalan Lumut, telah berlangsung majlis pemakaian pangkat bagi warga Markas Pangkalan Lumut dan Unit Bawah Naungan. Majlis penuh bermakna ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan oleh kepimpinan tertinggi terhadap warga Navy People. Majlis ini telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan Lumut (KOMPAL) Laksamana Pertama Dato Anuar Bin Hj Alias(PGB)

Majlis dimulakan dengan Pemakaian pangkat kepada 20 x anggota lain-lain pangkat (LLP). Di ikuti dengan penyampaian sijil Penghargaan kepada Bintara, Laskar dan Staf Awam Berkualiti Suku Tahun Pertama 2021:
Bintara Berkualiti   - BK TNL Jamalul Nasir bin Mohamed Isa
Laskar Kualiti        - LK TNL Yusri bin Yusoff
Staf Awam Kualiti  - Puan Siti Barakah binti Mohamad

Dalam ucapan KOMPAL, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada anggota yang telah dinaikkan pangkat dan berharap dengan kenaikan pangkat tersebut dapat dijadikan pemangkin semangat untuk terus berusaha dan menabur bakti kepada perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Majlis selesai dengan bacaan doa oleh PW II Mohamad Hisam Bin Mohd Noor.
Tahniah diucapkan!

Sumber : Pejabat IT Markas Pangkalan Lumut

kd jerongKD JERONG

SANDAKAN, 11 Apr - KD JERONG yang merupakan salah satu kapal di Skuadron Fast Attack Craft (FAC) kelas Meriam merupakan kapal kelima selesai menjalani repowering melibatkan sistem kuasagerak (propulsion system) secara total. Repowering ini adalah projek penggantian kesemua jentera utama, kotak gear, shafting, propeller dan set janakuasa dimana ianya sebahagian skop rutin refit KD JERONG di Limbungan Weldan Marine Services Sdn Bhd.

Hasil inisiatif repowering ini telah membolehkan sebahagian aset di Armada TLDM diberi nafas baharu dengan peningkatan keupayaan beroperasi, jangka hayat lebih panjang, supportability yang lebih baik dan memberi ROI yang tinggi kepada TLDM/Kerajaan. Di antara ROI yang dimaksudkan adalah seperti penggunaan minyak yang jimat kerana menggunakan teknologi moden, MTBO (Mean Time between Overhaul) yang lama, kadar pelepasan karbon yang rendah, kos alat ganti akan datang yang kompetitif dan sebagainya.

Inisiatif repowering terhadap FAC telah bermula sejak penghujung tahun 2017 setelah ianya diluluskan oleh Pengurusan Tertinggi TLDM. Inisiatif tersebut adalah cetusan idea warga Navy People di mana sebelum ini, pendekatan sedemikian boleh dianggap MUSTAHIL untuk direalisasikan. Justeru, warga Navy People wajar berbangga dengan inisiatif ini dan disaran terus berinovasi untuk meningkatkan keupayaan operasi Armada TLDM, khususnya dalam aspek Man, Machine and Method (Process).

Sumber : Bahagian Kejuruteraan, Mk TL
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Lt Dya Fatin Atikah binti Anizam TLDM

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 854

Semalam 978

Bulan ini 6980

Keseluruhan 1290429

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM