JUTRA TLDM TUDM

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Ketua Jurutera TUDM yang baharu, Mejar Jeneral Ir. Mohamad Razip bin A. Samad TUDM hari ini melaksanakan pertemuan dan perbincangan dengan Ketua Jurutera TLDM, Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung bin Abdullah.

Sepanjang sesi tersebut, subjek adalah berkisar mengenai inovasi dan kreativiti berimpak tinggi bagi memastikan senggaraan aset pertahanan berada dalam tahap kesiagaan operasi yang tinggi. Selain itu, kedua-dua Ketua Jurutera bertukar pandangan mengenai metodologi senggaraan teknologi semasa yang perlu ditambah baik secara berterusan, selain jalinan kerjasama yang boleh dikongsi diantara TLDM dan TUDM bagi kepentingan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pertemuan ini adalah julung kali diadakan dan perancangan seterusnya adalah untuk pertemuan 3 penjuru melibatkan Ketua Jurutera Tentera Darat.

Diyakini pertemuan sedemikian adalah salah satu platform percambahan fikiran dan putik penghasilan inisiatif bagi mencapai kesiagaan operasi Aset ATM yang tinggi.

Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung bin Abdullah
Foto      : Lt Dya Muhamad Shafie bin Mohd Jusoh TLDM

qqq

1. Kepten (B) Ir. Azhar Jumaat TLDM adalah Jurutera Profesional pertama dari rantau Asia yang dilantik sebagai ahli Bureau Veritas Naval Ship Committee (BV NSC) yang beribu pejabat di Paris, Perancis pada tahun 2015. Sehubungan itu, pelantikan beliau adalah satu kebanggaan kepada Malaysia dan TLDM.


2. Kepten (B) Ir. Azhar adalah mantan putera Maktab Tentera Diraja (MTD). Selesai pengajian di MTD, Kepten (B) Ir. Azhar telah terpilih menjalani latihan kadet di United States Coast Guard Academy (USCGA) pada tahun 1990. Seterusnya pada tahun 1994, beliau memasuki perkhidmatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

3. Berdasarkan kecemerlangan bertugas di KD LEKIR, pada tahun 1997 Kepten (B) Ir. Azhar telah dipilih khas sebagai ahli Pasukan Projek perolehan kapal Korvet di Itali. Kepten (B) Ir. Azhar pada ketika itu hanya berpangkat Leftenan TLDM. Justeru, beliau melakar sejarah sebagai pegawai termuda di dalam sejarah TLDM dilantik sebagai ahli Pasukan Projek perolehan kapal baharu.

4. Kepten (B) Ir. Azhar amat menekankan peningkatan pengetahuan dan tahap profesionalisme di dalam perkhidmatan. Pada tahun 2002, Kepten (B) Ir. Azhar berjaya memperolehi biasiswa berprestij Chevening Scholarship dari Kerajaan United Kingdom untuk pengajian Sarjana Maintenance Engineering & Asset Management di University of Manchester. Seterusnya pada tahun 2011, Kepten (B) Ir. Azhar telah berjaya menamatkan pengajian di Centre for Defense and Strategic Studies (CDSS), Australia dan memperolehi Sarjana di dalam bidang Strategic Studies dari Deakin University. Di atas kejayaan ini, Kepten (B) Ir. Azhar sekali lagi menempa sejarah sebagai pegawai jurutera TLDM yang pertama menamatkan pengajian di peringkat strategik di CDSS Australia, dimana amnya ia dikhususkan kepada bakal Laksamana di dalam TLDM.

5. Pada tahun 2016, Kepten (B) Ir. Azhar telah memohon untuk bersara awal dari perkhidmatan TLDM. Terkini, beliau telah mengambilalih tugas sebagai Pengarah Projek Littoral Combat Ship (LCS) TLDM.

6. Kejayaan, pencapaian dan sumbangan Kepten (B) Ir. Azhar Jumaat TLDM adalah amat membanggakan TLDM dan telah mengharumkan nama Malaysia. Ianya wajar dijadikan contoh serta inspirasi kepada warga Navy People.

Sumber : RMN Chief Engineer Office, Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Kepten (B) Ir. Azhar Jumaat TLDM

KOMPAL 210121Penyerahan Tali Kapal Oleh KOMPAL Kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung

LUMUT, 20 Jan - ‘Let’s Nurture the Nature, So that We Can Have A Better Future’. YBhg Laksma Dato' Anuar bin Hj Alias, Komander Pangkalan Lumut telah menyerahkan sumbangan tali kapal terpakai sebanyak 6 coil (1200 meter) kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Tuan Syamsul Hazeman bin MD Salleh. Tali tersebut akan digunakan bagi kerja-kerja senggaraan dan menaik taraf Taman Paya Bakau Lumut seterusnya menyokong eko-pelancongan semulajadi ekosistem hutan paya bakau. Sumbangan ini memperkukuhkan lagi hubungan yang telah lama terjalin antara TLDM dan MPM.

Taman Paya Bakau ini terletak di antara laluan Ipoh - Lumut dan lebih kurang 10 minit perjalanan dari Bandar Lumut. Taman ini mula dibina pada bulan Mei 1994 dan telah dibuka kepada umum pada bulan Januari 1995. Pada tahun 2005, taman ini telah diselenggara dan ubahsuai. Ia mempunyai laluan sepanjang 366 meter dan selebar 6 kaki yang merentasi hutan paya bakau. Di hujungnya didirikan 2 buah pondok untuk pengunjung beristirehat atau memancing. Di sepanjang laluan ini pengunjung dapat menghayati keindahan alam semulajadi hutan paya bakau dan melihat sendiri hidupan yang ada di paya bakau berkenaan.

Sumber : Pejabat IT Mk PL



PWTL 1Warga PWTL dan PSTL Kuching yang terlibat dengan Program Jiwa Murni

KUCHING, 17 JAN – Hujan lebat tanpa henti disertai dengan fenomena air pasang besar telah mengakibatkan hampir keseluruhan kawasan di Kuching mengalami bencana banjir.

PWTL & PSTL Kuching mengambil inisiatif untuk turun padang membantu dan meringankan beban kepada mangsa banjir. Program Jiwa Murni kali ini bertempat di sekitar kawasan Surau Wastu An Nahri, Kampung Tengah Sungai, Batu Kawa, Kuching. Kerja-kerja pembersihan terutama di kawasan surau bermula seawal 0730H. Turut serta membantu dalam program ini ialah Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Cawangan Petra Jaya, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Amal Malaysia.

Lokasi program merupakan kawasan kediaman salah seorang anggota PSSTLDM; Pt. M Sahrul Azzahar Bin Monir. Surau tersebut mengalami kerosakan selain laluan utama ke kampung terputus akibat ditenggelami air selama tiga hari berturut-turut.

Program dilaksanakan serta merta dengan objektif utama untuk memberi bantuan yang sewajarnya di samping dapat mengeratkan tali silaturahim antara pelbagai pihak. Selain itu, program tersebut juga membuktikan Navy People sentiasa peka terhadap situasi semasa dan musibah yang sedang melanda.

Pihak kampung amat berbesar hati dan menzahirkan rasa bersyukur atas bantuan yang telah diterima. Mereka berharap, kerjasama yang terjalin tidak terhenti setakat ini dan berharap program sedemikian akan diteruskan pada masa akan datang.

Program telah dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard seperti yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara sepenuhnya bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Sumber : PR PWTL KUCHING
Artikel   : Lt. M Syful Mirza bin Alluwie PSSTLDM
Foto      : PK Shirley Helda Anak Chuat / Pt M Maricha Vicky Anak Ballian

klik ke galeri
              

MKSPS MPOMKSPS DAN MPO PERINGKAT ARMADA BARAT

LUMUT, 15 Jan –Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan Strategik (MKSPS) Markas Pemerintahan Armada Barat dan Mesyuarat Panglima Operasi (MPO) Armada Barat Tahun 2020 telah berlangsung selama dua hari mulai 14 hingga 15 Jan 2021 bertempat di Markas Pemerintahan Armada Barat.

Objektif utama mesyuarat tersebut dilaksanakan bagi membincangkan pencapaian pelaksanaan aktiviti MPA Barat dan Markas Formasi sepanjang tahun 2020 serta menambahbaik perancangan aktiviti tahun 2021 bagi memastikan organisasi dan pengoperasian dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Panglima Armada Barat ,YBhg Laksamana Madya Dato’ Muhamad Ridzwan bin Abdul Rahman dilaksanakan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan sesuai dengan tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

 

MPAB 130121Penyerahan Sijil Serah Terima Tugas Timbalan Panglima Armada Barat

LUMUT, 13 Jan – Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Panglima Armada Barat yang telah berlangsung di serambi Markas Pemerintahan Armada Barat. Majlis yang hanya di hadiri oleh segelintir warga sesuai dengan tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengikut Standard Operating Procedure (SOP).

Panglima Armada Barat, YBhg Laksamana Madya Dato’ Muhamad Ridzwan bin Abdul Rahman berbesar hati menyempurnakan upacara serah terima tugas Timbalan Panglima Armada Barat di antara Kepten Mohd Norizal bin Fahrudin TLDM dan Laksamana Pertama Ee (Yee) Tai Peng hari ini. Kepten Norizal telah mengambil alih sebagai Pemangku Timbalan Panglima Armada Barat pada 24 Dis 2020 menggantiakan Laksamana Pertama Yusne bin Mokhtar yang bertukar keluar untuk mengikuti Kursus Ketahanan Nasioanl Siri 2/2021

Panglima Armada Barat menginggatkan agar semua warga sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membedung penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

 

JUTRA 120121Perbincangan strategik diantara TLDM dan MQA dipengerusikan oleh 
P/Kept Ts. Mohd Faesac bin Talla TLDM

Kuala Lumpur, 12 Jan – Perbincangan strategik diantara Pengurusan Tertinggi Malaysian Qualification Agency (MQA) dari Kementerian Pengajian Tinggi bersama Bahagian Kejuruteraan Markas Tentera Laut telah dilaksanakan hari ini.

Perbincangan adalah selaras dengan pendekatan TLDM iaitu memperkasakan pengiktirafan terhadap Teknisyen TLDM yang memasuki perkhidmatan. Diantara strategi jangka panjang adalah:

a) Mengemaskini status kelayakan bakal Teknisyen TLDM yang diiktiraf MQA.
b) Kerjasama dengan MQA bagi penambahbaikan terhadap pengiktirafan kelayakan akademik Teknisyen di masa hadapan.

Wakil dari MQA yang hadir adalah Encik Muhammad Amran Zainal Abidin (Pengarah Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti), Encik Abdul Saman Taip (Pengarah Bahagian Akreditasi Sains Perubatan) dan Puan Azliana Ahmad (Penolong Pengarah Bahagian Jaminan Kualiti). Selain perbincangan strategik, tim MQA telah bertukar pandangan dengan Ketua Jurutera TLDM bagi mengukuhkan hubungan kerjasama di antara organisasi.

Perbincangan strategik ini adalah inisiatif baharu Bahagian Kejuruteraan Markas Tentera Laut bagi memperkasakan kelayakan akademik anggota yang bakal menyertai TLDM. Hasil kerjasama strategik ini akan digunakan sebagai penambahbaikan berterusan (kaizen) dan melestarikan pengurusan sumber manusia di Cawangan Kejuruteraan.

Sumber : Cawangan Pembangunan Sumber, Bahagian Kejuruteraan
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung bin Abdullah
Foto      : Cawangan Pembangunan Sumber, Bahagian Kejuruteraan

PANGWILLA2 UtamaLaksdya Dato' Sabri bin Zali menyerahkan Sijil Serah Terima Tugas
kepada PANGWILLA 2 yang baharu

SANDAKAN, 11 Dis – Peralihan tampuk kepimpinan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) telah disempurnakan secara rasmi hari ini. Detik bersejarah bagi warga MAWILLA 2 menyaksikan YBhg Laksamana Madya Dato’ Sabri bin Zali secara rasminya menyerahkan jawatan Panglima Wilayah Laut 2 (PANGWILLA 2) kepada YBhg Laksamana Muda Rusli bin Ahmad. Majlis ini telah disempurnakan di Dewan Azim, RKTLDM Taman Samudera.

Setelah hampir 2 tahun menerajui tampuk pemerintahan MAWILLA 2, YBhg Laksdya Dato’ Sabri bin Zali menyerahkan kepimpinan MAWILLA 2 kepada pengganti baharu. PANGWILLA 2 yang baharu, YBhg Laksda Rusli bin Ahmad sebelum ini diperjawatkan sebagai Timbalan Panglima Armada Timur, di Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Dalam ucapan, YBhg Laksdya Dato’ Sabri menyifatkan menggalas tanggungjawab sebagai PANGWILLA 2 adalah antara tugas yang paling mencabar. Beliau merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih atas khidmat bakti dan kerjasama padu semua warga MAWILLA 2 yang diberikan sepanjang menerajui MAWILLA 2. Usaha dan keringat yang didedikasikan berjaya merialisasikan kecemerlangan yang telah dicapai oleh Markas ini serta unit-unit bawah naungan.

YBhg Laksdya Dato’ Sabri yakin dengan sentuhan kepimpinan daripada PANGWILLA 2 yang baharu bersama warga MAWILLA 2, Markas ini akan menempa lebih banyak kejayaan yang akan mengharumkan nama TLDM khasnya dan ATM amnya. Beliau percaya pengalaman luas yang dimiliki YBhg Laksda Rusli pastinya akan membantu dalam aspek membuat keputusan (decision making process) kelak. YBhg Laksdya Dato’ Sabri turut menyeru kepada semua warga supaya memberikan kerjasama penuh terhadap kepimpinan yang baharu ini.

YBhg Laksdya Dato’ Sabri mengakhiri ucapan beliau dengan menyampaikan harapan agar warga MAWILLA 2 sentiasa bekerjasama antara satu sama lain dalam memastikan pentadbiran dan pengoperasian Markas ini dapat dilaksanakan dengan lancar. Beliau turut memperingatkan agar semua warga sentiasa mematuhi pengarahan semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya aspek penjarakan fizikal dan amalan kesihatan kendiri bagi membendung penularan COVID-19 yang masih belum menampakkan tanda positif terhadap kesembuhan kes sehingga kini terutamanya di negeri Sabah.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2

RHIB UTAMAMemperkasakan Op Benteng. Penyerahan RHIB disaksikan Panglima Tentera Laut
dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan

LUMUT, 7 Dis - Penyerahan fizikal 11 unit Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diperolehi melalui Projek Perolehan Operasi Benteng (Op Benteng) telah dilaksanakan dengan jayanya di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada hari ini. Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh Tuan Hj Aminudin bin Mat Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan MSET Holdings Sdn. Bhd. dan Laksamana Pertama Hj Mohd Redzuan bin Hj Talib, Panglima Pasukan Khas Laut dengan disaksikan bersama YBhg Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, Panglima Tentera Laut dan YBhg Datuk Hj Ruji bin Hj Ubi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan.

Projek perolehan yang dimeterai dengan syarikat MSET Inflatable Composite Corporation Sdn Bhd (MSET) ini telah menyaksikan kesemua bot dibina sepenuhnya di limbungan MSET di Kuala Terengganu, Terengganu dan berjaya disempurnakan dalam tempoh 8 minggu.

Perolehan RHIB ini sedikit sebanyak akan meningkatkan lagi keupayaan pelaksanaan Op Benteng yang turut digembleng bersama Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah National Task Force (NTF) yang diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 12 Mei 2020 yang lalu bagi mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan merangkumi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pelanunan, pemerdagangan manusia, penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing yang dikhuatiri semakin meningkat akibat daripada pandemik COVID-19.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut
Foto      : LK PNK Khairul Najmi bin Abd Jabar

CN Utama"Fleet First" menjadi matlamat utama pengurusan tertinggi TLDM

KUALA LUMPUR, 30 Nov - Hari ini genap dua tahun Panglima Tentera Laut menerajui TLDM. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai lembaran sejarah baharu telah dilakar dan penambahbaikan serta realignment of focus telah dilaksanakan seiring dengan cabaran dan kekangan yang dihadapi kini. Artikel ini hanya mencoretkan elemen “Machine”, tidak merangkumi elemen “Man” dan “Method”, sesuai dengan jumlah perkataan yang terhad di ruangan ini.

Matlamat utama pengurusan tertinggi TLDM ialah “Fleet First” - armada perlu berada dalam keadaan ever-ready dalam aspek “To Float”, “To Move” dan “To Fight”.

Justeru, bagi mencapai matlamat tersebut, beberapa inisiatif berimpak tinggi telah dilaksanakan, memandangkan aset Littoral Combat Ship (LCS) TLDM yang sepatutnya kapal pertama diterima pada April 2019 tidak dicapai. Antara inisiatif tersebut adalah:
- Pelaksanaan repowering terhadap empat kapal jenis Fast Attack Craft (FAC) iaitu penggantian baharu enjin kapal termasuk kotak gear dan propeller serta electrical power generation yang baharu. Pada ketika ini, tiga kapal sedang giat menjalani program yang sama, dan akan selesai repowering dalam tempoh 2 tahun lagi secara berperingkat. Inisiatif ini telah membolehkan keupayaan kapal “To Move” adalah lebih berkesan dan efektif dari segi kos.
- Obsolescence Programme (OP) iaitu program menggantikan keseluruhan hull atau badan kapal serta sistem di dalamnya secara total untuk menghasilkan kapal “baharu”. Hasil program ini hanya akan diketahui pada penghujung 2021, namun inisiatif ini adalah satu langkah ke arah mencapai matlamat “To Float” dan “To Move”.
- Memperkasakan keupayaan “To Fight”, di mana Sistem Kombat akan dipasang di dalam kapal TLDM yang tiada sistem tersebut secara berperingkat. Keupayaan ini dijangka diperolehi pada awal tahun 2022. Inisiatif ini lewat dilaksanakan disebabkan pandemik Covid-19, namun seiring dengan kata-kata Benjamin Franklin, salah seorang founding fathers Amerika Syarikat, “By failing to prepare, you are preparing to fail”.
- Perolehan Helikopter Operasi Maritim untuk keupayaan “To Fight" Armada TLDM. Perolehan ini melibatkan tiga helikopter baharu yang mampu meningkatkan keupayaan tempur dimensi udara TLDM.

Selain kejayaan dan perancangan yang telah dilaksanakan, keutamaan “Fleet First” juga akan terus dipergiatkan dalam tempoh terdekat, memberi “taring” untuk TLDM terus mampan dan berkeupayaan. Sehubungan itu, warga Navy People disaran agar terus berganding bahu membawa TLDM ke tahap yang lebih cemerlang.

Sumber : Bahagian Kejuruteraan, Markas Tentera Laut
Artikel   : Laksamana Muda Datuk Ir Mohd Shaiful Adli Chung bin Abdullah
Foto      : Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 851

Semalam 978

Bulan ini 6977

Keseluruhan 1290426

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM