PTBekalan1Ahli Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Bekalan dan Urus Setia 2019
bergambar bersama Pengerusi sebelum mesyuarat bermula

PULAU PINANG, 6 Ogos – Menyedari keperluan memperkasakan Cawangan Bekalan dan Urus Setia (CB&U) agar mendukung keperluan logistik semasa TLDM, satu Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Bekalan dan Urus Setia 2019 telah dilaksanakan di Pejabat Wakil Tentera Laut Pulau Pinang. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 13 orang Pegawai Kanan berpangkat Kept TLDM ke atas dan juga Pegawai Memerintah Depot utama yang dipengerusikan oleh Laksamana Muda Datuk Hj Mohd Ridzuan bin Hamzah, AKS Materiel.

PTBekalan2

PTBekalan3Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Bekalan yang
dipengerusikan oleh AKS Materiel

Antara intipati yang dibincangkan dalam mesyuarat ini merangkumi pembangunan modal insan yang memfokuskan ke arah peningkatan kerjaya, meluaskan skop dan kepakaran CB&U, melengkapkan perjawatan CB&U di markas dan unit TLDM serta membincangkan ruang dan peluang untuk CB&U melaksanakan hubungan kerjasama strategik dengan agensi tempatan serta antarabangsa.

Pengerusi juga mengambil kesempatan mesyuarat ini untuk berkongsi maklumat dan perancangan beliau dalam memastikan Cawangan Bekalan dan Urus Setia sentiasa mampu berdaya saing, mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi, berintegriti tanpa memikirkan kepentingan peribadi. Sepanjang mesyuarat berlangsung, ahli mesyuarat dilihat berpeluang untuk berinteraksi serta mengutarakan pandangan dan cadangan semasa sesi soal jawab agar setiap resolusi mencapai aspirasi Cawangan Bekalan dan Urus Setia khasnya dan TLDM amnya.


Sumber: Bahagian Materiel, Markas Tentera Laut

Sekalung ucapan tahniah kepada 15 Pegawai Bekalan dan Urus Setia (CB&U) berpangkat Lt Kdr TLDM dan seorang Pegawai Bekalan dari Tentera Laut Diraja Brunei kerana telah berjaya mengikuti Kursus Lanjutan Pegawai Bekalan Siri 4 2019 (KLPB 4/19) yang telah dilaksanakan di KD SULTAN IDRIS I (KDSI I). Kursus ini telah berlansung selama sebulan mulai 1 Jul 19 dan berakhir pada 2 Ogos 19. Majlis Penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan Materiel, Laksamana Pertama Affenddy bin Suhaimi.

1
Bergambar Bersama Peserta Kursus Lanjutan Pegawai Bekalan Siri 4/2019 

Sepanjang pengajian, sebanyak 14 Modul telah berjaya pelajari dan peserta perlu menyiapkan kertas kerja untuk pengiktirafan Chartered Institute Of Logistics And Transport (CILT). Pensijilan CILT telah diperakui oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta pelaksana logistik dan pengangkutan pada peringkat dalam dan luar negara. Sebagai ahli CILT, Pegawai CB&U juga berpeluang menyertai sebarang simposium, kursus serta bengkel logistik dan pengangkutan yang dikendalikan oleh CILT samada di dalam dan luar negara. Selain peserta KLPB 4/19, seramai 11 Pegawai Kanan Bekalan juga turut serta menyiapkan dan membentangkan kerta kerja bagi pengiktiran CILT. Kesemua peserta telah berjaya menyiapkan dan persembahkan kertas kerja masing-masing di hadapan 4 panel dari CILT yang diketuai oleh Presiden CILT Malaysia.

2

Dalam melaksanakan KLPB, KDSI I telah melantik tenaga pengajar yang terdiri daripada Pegawai Kanan dari CB&U dan Malaysia Institute of Transport (MITRANS) - UITM untuk menyampaikan syarahan, berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengikut bidang serta kepakaran masing-masing. Asisten Ketua Staf Materiel juga telah dijemput dan berbesar hati menerima undangan semasa sesi Executive Talk bersama para peserta yang sudah pasti memberi semangat dan aspirasi kepada peserta. Lt Mohamad Hasmin bin Haji Hashim TLDB daripada Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) merupakan peserta kursus antarabangsa yang pertama di jemput untuk mengikuti kursus ini. Buat julung kalinya kursus ini telah ditawarkan kepada peserta dari TLDB memandangkan KLPB mempunyai skop modul yang lebih meluas dalam bidang logistik yang sewajarnya dikongsi bersama negara luar.

Sumber : Lt Kdr Husnein Aras bin Abdul Azim TLDM

PHN 2195YB Senator Liew Chin Tong memukul gong sebagai simbolik
perasmian Mesyuarat SCUFN ke-32

05 Ogos - Majlis Pembukaan Mesyuarat Sub-Committee On Undersea Feature Names (SCUFN) Ke-32 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Senator Liew Chin Tong bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 5 Ogos 2019. Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar bin Yahya, Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Muda Hanafiah bin Hassan dan Pengurus Besar Kanan, Jabatan Urus Tadbir & Pengurusan Strategik PETRONAS, Puan Zuhaida binti Zulkifli.

SCUFN merupakan jawatankuasa yang dibentuk di bawah Jawatankuasa Pemandu kepada Guiding Committee for General Bathymetric Chart of the Oceans (GEBCO). Jawatankuasa ini dianggotai oleh pakar-pakar bidang hidrografi dan geologi marin daripada dua pertubuhan antarabangsa iaitu International Hydrographic Organisation (IHO) dan Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC). IHO merupakan pertubuhan yang menjurus kepada pengurusan pengukuran laut serta pencartaan bagi tujuan keselamatan pelayaran manakala IOC merupakan suruhanjaya yang menyelaraskan keperluan penyelidikan saintifik lautan dan pesisiran pantai di peringkat antarabangsa. Kedua-dua pertubuhan ini berkait rapat dengan tadbir urus data-data fitur dasar laut (underwater features) dan penyeragaman nama geografi bagi fitur dasar laut tersebut yang dimajukan oleh negara berpantai.

Seramai 35 perwakilan antarabangsa yang merangkumi 12 orang Ahli Tetap Jawatankuasa daripada 12 buah negara yang terdiri daripada Republik Korea Selatan, Jepun, Argentina, Chile, Malaysia, Amerika Syarikat, Mexico, Republik Rakyat China, New Zealand, Kenya, Russia dan Monaco.  Manakala seramai 23 orang Pemerhati (observer) daripada negara Belgium, Brazil, Republik Rakyat China, Perancis, India, Jepun, Palau, Philippines, Russia, dan Vietnam turut hadir pada mesyuarat kali ini. Penyertaan 35 delegasi antarabangsa merupakan penyertaan paling ramai dalam sejarah SCUFN setakat ini. Agenda utama mesyuarat SCUFN Ke-32 ini adalah untuk membincangkan permohonan penamaan 187 fitur dasar laut yang diterima daripada negara-negara berpantai di seluruh dunia.

Mesyuarat SCUFN Ke-32 ini merupakan yang julung kalinya dianjurkan di Malaysia dan juga di rantau Asia Tenggara. Malah, Malaysia merupakan negara Asia ke-4 yang diberi penghormatan untuk menganjurkan mesyuarat ini selepas Jepun, Republik Rakyat China dan Republik Korea. Penghormatan ini adalah sejajar dengan pelantikan Laksamana Pertama Dr. Najhan bin Md Said, Pengarah Kanan Hidrografi sebagai Ahli Jawatankuasa SCUFN yang baharu pada 18 April 2018 lalu. Beliau telah dipilih sebagai salah seorang wakil bermandat mewakili IHO di dalam SCUFN untuk tempoh 5 tahun bagi penggal 2018 hingga 2023.

Semasa menyampaikan ucapan pembukaannya, Timbalan Menteri Pertahanan telah menyampaikan penghargaan beliau terhadap SCUFN di atas usaha yang dilaksanakan bagi menyeragamkan penamaan fitur dasar laut di seluruh dunia. Beliau juga turut menggesa setiap negara yang terlibat untuk mempunyai matlamat yang sama dan membuka lebih ruang untuk bekerjasama berbanding hanya memikirkan hak ekslusif dan kepentingan negara tertentu semata-mata. Ini kerana kejayaan untuk setiap usaha atau inisiatif yang dilaksanakan tidak akan tercapai tanpa sokongan dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat. Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada TLDM, PHN dan PETRONAS yang telah bekerjasama di dalam menjayakan penganjuran Mesyuarat SCUFN yang ke-32.

 

Sumber : Bahagian Komunikasi Strategik PHN

Klik ke galeri

MQOS9434Atlet dan Tim Pengurusan Persatuan Olahraga TLDM bergambar
bersama piala dan medal yang dimenangi

LUMUT, 2 Ogos - Kejohanan Olahraga Lelaki dan Wanita Sukan Antara Perkhidmatan (ISG) ATM 2019 anjuran Persatuan Olahraga ATM telah berlangsung pada 31 Jul - 2 Ogos 19 di Pangkalan TLDM Lumut. Keputusan penuh kejohanan adalah seperti berikut:

a) Lelaki

Johan: TLDM

N/Johan: TDM

Ketiga: TUDM

b) Wanita

Johan: TLDM

N/Johan: TDM

Ketiga: TUDM

Pasukan TLDM telah mempertahankan kejuaraan Olahraga Lelaki dan Wanita dalam ISG 2019 kali ini. Semua atlet telah mempamerkan prestasi yang cemerlang dan 8 rekod baru telah dicipta oleh atlet TLDM pada kejohanan kali ini.

Pihak Lembaga Kawalan Sukan TLDM (LEKAS TLDM) telah memberikan wang insentif kepada pasukan yang mendapat johan untuk menaikkan lagi semangat juang dan moral atlet agar sentiasa mengekalkan prestasi dan mengharumkan nama TLDM.

Upacara penutup telah disempurnakan oleh Leftenan Jeneral Dato’ Kamalruzaman bin Mohd Othman TUDM, Ketua Staf Markas ATM.

Tahniah kepada pengurusan dan atlet TLDM atas kemenangan ini. Terima kasih kepada semua pihak terutama Pegawai Memerintah unit yang telah memberi pelepasan kepada atlet-atlet TLDM.

"Talent wins games, but teamwork and intelligence wins championships.” -Michael Jordan

Bersama kita berusaha mencapai misi kejuaraan kali ke-12 berturut-turut dalam ISG 2019 ini.

Majulah Sukan untuk TLDM.

Sumber :  Lembaga Kawalan Sukan TLDM
Artikel   : Lt Kdr Mohd Firdaus bin Abdul Rahim TLDM

Klik ke galeri

ISG 2019Timbalan Panglima Tentera Laut selaku Pengerusi LEKAS TLDM
bergambar bersama Pemain pasukan Hoki Dewan TLDM

SUNGAI BULOH, 1 Ogos - Kejohanan Hoki Dewan Lelaki dan Wanita Sukan Antara Perkhidmatan (ISG) ATM 2019 anjuran Persatuan Hoki ATM telah berlangsung pada 30 Jul – 1 Ogos 19 di Kem Sungai Buloh. Keputusan penuh kejohanan adalah seperti berikut:

a) Lelaki

Johan: TLDM

N/Johan: TDM

Ketiga: TUDM

b) Wanita

Johan: TDM

N/Johan: TLDM

Ketiga: TUDM

Untuk Kejohanan pada kali ini, TLDM telah menjadi Johan dalam Kategori Lelaki manakala mendapat Naib Johan dalam Kategori Wanita.

Pihak Lembaga Kawalan Sukan TLDM (LEKAS TLDM) telah memberikan wang insentif kepada pasukan yang mendapat johan untuk menaikkan lagi semangat juang dan moral atlet agar sentiasa mengekalkan prestasi dan mengharumkan nama TLDM.

Upacara penutup telah disempurnakan oleh Laksdya Datuk Khairul Anuar bin Yahya selaku Pengerusi Lembaga Kawalan Sukan (LEKAS) TLDM

Tahniah kepada pengurusan dan atlet TLDM atas kemenangan ini. Terima kasih kepada semua pihak terutama Pegawai Memerintah unit yang telah memberi pelepasan kepada atlet-atlet TLDM.

"Talent wins games, but teamwork and intelligence wins championships.” -Michael Jordan

Bersama kita berusaha mencapai misi kejuaraan kali ke-12 berturut-turut dalam ISG 2019 ini.

Majulah Sukan untuk TLDM.

Sumber : Lembaga Kawalan Sukan TLDM
Artikel   : Lt Kdr Mohd Firdaus bin Abdul Rahim TLDM



PMTLDMKita Juara! Pegawai dan atlet PMTLDM bergambar kenangan

SUBANG, 28 Jul - Kejohanan Menembak Antara Perkhidmatan ATM Tahun 2019 telah melabuhkan tirai hari ini dengan pencapaian membanggakan bagi Persatuan Menembak TLDM (PMTLDM). Menurut pengerusinya, Kept Roslee bin Mohd Isa TLDM, seramai 42 orang penembak termasuk tim pengurusan telah telah terlibat dengan kejohanan yang dianjurkan di Lapang Sasar Subang.

Sebanyak 28 pingat emas telah dipertandingkan bagi acara Pistol dan Rifle kategori individu dan berpasukan. Kategori lelaki mempertaruhkan 18 pingat emas manakala selebihnya adalah kategori wanita. Jumlah keseluruhan pingat yang ditawarkan pada kejohonan kali ini adalah sebanyak 70 pingat.

PMTLDM telah dinobatkan johan keseluruhan untuk kali ke-21 berturut-turut dengan kutipan pingat bagi kategori lelaki sebanyak lapan pingat emas, 10 perak dan lima gangsa.

Bagi kategori wanita pula, PMTLDM berjaya membawa pulang piala kejohanan dengan kutipan pingat sebanyak 10 pingat emas, lima perak dan dua gangsa sekaligus mengekalkan rekod kemenangan selama 11 tahun berturut-turut.

Diharapkan dengan kejayaan yang dicapai selama 21 tahun berturut-turut ini dijadikan inspirasi kepada semua atlet dan tim pengurusan.

Syabas buat semua atlet PMTLDM dan warga Navy People yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang kejohanan diadakan.

#Kebanggaan
#NavyNews
#NavyPride

Sumber : Persatuan Menembak Tentera Laut Diraja Malaysia (PMTLDM)

Klik ke galeri

Sesi bergambar selesai latihan menembakAnggota yang terlibat bergambar kenangan selesai latihan menembak

KUCHING, 26 Jul – Unit telah melaksanakan latihan kemahiran menembak tahunan bersepadu bagi tahun 2019 bertempat di Lapang Sasar Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 Jul. Pada hari pertama latihan kemahiran menembak telah dihadiri oleh anggota tetap PWTL Kuching, Tim Nukleus MWL 4, PKBM (L) serta jemputan seramai 6 orang yang terdiri daripada anggota veteran ATM. Latihan kemahiran menembak pada hari pertama melibatkan dua kategori iaitu Pistol Glock 17 (jarak sasaran 25m) dan Rifle M4 Carbine (jarak sasaran 100m). Manakala untuk hari kedua pula telah diadakan Ujian Kemahiran Menembak kategori Rifle M4 Carbine (jarak sasaran 100m) bagi warga PSTL Kuching melibatkan PSSTLDM, PLASTLDM serta majikan. Warga PSTL Kuching turut diuji dengan penembakan piring sasaran pada jarak 100m bagi kategori Rifle M4 Carbine.

Antara objektif latihan ini dilaksanakan adalah untuk melatih kemahiran dari aspek keselamatan dalam pengendalian senjata kecil disamping menguji keupayaan serta kemahiran menembak dengan menggunakan senjata kecil. Manalala Ujian Kemahiran Menembak bagi warga PSTL Kuching bertujuan menguji keupayaan dan kemahiran anggota dalam pengendalian senjata kecil semasa penembakan serta mengukuhkan keyakinan dan disiplin anggota tersebut. Dengan adanya aktiviti sedemikian, semangat kerjasama dan disiplin yang tinggi dapat disemai serta dipupuk dalam diri warga Navy People selain dapat berinteraksi dengan warga veteran dan majikan yang turut serta dalam aktiviti tersebut.

Aktiviti latihan menembak diakhiri dengan upacara angkat sumpah bacaan doa dan sesi fotografi beramai-ramai.

Sumber : PR PWTL Kuching
Artikel   : BK TLR Mohd Samsul Ridzuan bin Omon / PKK Syful Mirza bin Alluwie
Foto      : LK TLS Amir anak Sangalang

Klik ke galeri

MTAQ MPABWajah ceria pemenang MTAQ 2019 jelas terpancar

LUMUT, 25 Jul – Majlis Tilawah Al-Quran yang merupakan aktiviti yang saban tahun dilaksanakan bertujuan memberi ransangan dan galakan terhadap amalan membaca kitab suci ini. Ia turut bertujuan menanam minat warga Navy People dalam menguasai bahasa dan ilmu Al-Quran. Ia turut bertujuan mencungkil bakat-bakat baru yang akan mewakili TLDM bagi ke peringkat seterusnya. Penganjuran ini juga dilihat sebagai medium bagi meningkatkan dakwah dan syiar Islam dalam kalangan Muslimin Muslimat Navy People. Pada tahun ini, Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) telah terpilih bagi menganjurkan Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat TLDM 2019M/1440H.

Pada peringkat saringan akhir yang telah terlaksana pada sebelah pagi, sebanyak 12 penyertaan daripada 4 Markas yang bertanding iaitu Markas Tentera Laut, Markas Pemerintahan Armada Barat, Markas Pendidikan dan Latihan dan Markas Pemerintahan Armada Timur telah diterima. Kategori-kategori yang dipertandingkan adalah kategori Pegawai, Qari dan Qariah dan Saudara Muslim. Dalam aspek pemarkahan, para jemaah hakim memfokuskan kepada empat aspek yang penting iaitu Tajwid (40 markah), Lagu (25 markah), Fasohah (20 markah) dan Suara (15 markah).

Majlis penyampaian hadiah bagi kesemua pemenang telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut serta Panglima Armada Barat yang juga Pengerusi Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat TLDM 2019.

Senarai pemenang bagi setiap kategori adalah seperti berikut:
1. Pegawai Terbaik – Lt Mohd Arif bin Soef TLDM (Markas Pemerintahan Armada Timur)
2. Qari Terbaik – PW I TLR Mohd Hafizan bin Mohamad (Markas Pemerintahan Armada Barat)
3. Qariah Terbaik – Puan Rohaizan binti Razali (Markas Tentera Laut)
4. Keseluruhan Terbaik – Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan.

Syabas dan tahniah buat kesemua pemenang dan peserta yang telah mempamerkan yang terbaik dalam Majlis Tilawah Al-Quran 2019!

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

 

Majlis Pemakaian Pangkat PWTLSesi Bergambar Bersama Pegawai Wakil Tentera laut dan Pegawai Laksana

KUCHING, 24 Jul– Majlis Pemakaian Pangkat bagi dua anggota PWTL Kuching telah disempurnakan oleh Kdr Jeffrey anak Nerat TLDM, Pegawai Wakil Tentera Laut Kuching di PWTL Kuching tengahari tadi.

Majlis tersebut melibatkan acara pemakaian pangkat bagi kedua-dua anggota PWTL Kuching iaitu LK PAP Robinson Ak Jegod dan LK PRL Mohd Azizan Bin Hj Chok yang dinaikkan ke pangkat P/BM mulai 1 Jul 19. P/BM PAP Robinson Ak Jegod turut ditemani oleh ayah, manakala P/BM PAP Mohd Azizan Bin Hj Chok ditemani oleh isteri semasa upacara pemakaian pangkat dilaksanakan.

Majlis seterusnya diberkati dengan bacaan doa oleh P/BM PAP Mohd Azizan Bin Hj Chok dan disempurnakan dengan ucapan serta kata-kata amanat dari Pegawai Wakil Tentera Laut Kuching. Semoga dengan kenaikan pangkat ini anggota lebih komited dan memberi sumbangan yang padu serta kerjasama yang baik dalam mengharumkan nama baik unit PWTL Kuching khasnya dan TLDM amnya. Majlis diakhiri dengan sesi jamuan ringan dan sesi bergambar.

Sumber : PWTL Kuching
Artikel   : BK TLR Mohd Samsul Ridzuan bin Omon
Foto      : LK TLS Amir Ak Sengalang

Serah Terima Tugas PKA dan PM KapalPanglima Armada Barat menurunkan tandatangan sebagai saksi dalam
upacara serah terima tugas kesemua Pegawai Memerintah hari ini

LUMUT, 23 Jul – Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Kanan Armada (PKA) dan Pegawai Memerintah (PM) serta Upacara Pemakaian Pangkat Pegawai Muda telah dilaksanakan di Geladak Penerbangan KD LEKIU. Majlis ini telah disempurnakan oleh Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah, Panglima Armada Barat selain turut dihadiri oleh warga Navy People yang bernaung di bawah Armada Barat.

Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Memerintah ini menyaksikan pertukaran tampuk pemerintahan KD LEKIR, KD LEKIU, KD JERAI, KD MAHAMIRU serta SKTLDM Sitiawan. Warga turut menyaksikan upacara serah tugas Pegawai Kanan Armada di antara Kepten Abdullah Sani bin Ismail TLDM kepada Kepten Shaiful Nizam bin Abdul Manan TLDM yang juga Pegawai Memerintah KD LEKIU yang baru.

20 orang pegawai berpangkat Leftenan Muda turut menerima kenaikan pangkat ke Leftenan Madya hari ini. Upacara pemakaian pangkat ini juga turut disempurnakan oleh Panglima Armada Barat bersama Pegawai Memerintah dari unit masing-masing.

Dalam ucapan oleh YBhg Panglima Armada Barat, beliau menasihati warga Armada menitikberatkan aspek kompetensi dan main business selaras dengan kehendak beliau sebagai Panglima Armada Barat. Selain itu, beliau turut menegaskan agar kesiagaan kapal tidak dikompromi dan warga seharusnya sentiasa memastikan kapal TLDM sentiasa berada di tahap yang terbaik bagi menjamin pengoperasian yang efektif.

Artikel : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 712

Semalam 801

Bulan ini 8583

Keseluruhan 802243

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM