KD SRI JOHORRondaan bersama bagi mencegah ancaman jenayah rentas sempadan

SANDAKAN, 4 Mac – KD SRI JOHOR hari ini telah meneruskan Trilateral Maritime Patrol (TMP) yang dianjurkan di bawah inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) bersama kapal Tentera Laut Filipina (TLF) BRP MIGUEL MALVAR (PS 19) bagi siri yang ke-5 dalam tahun 2020.

BRP MIGUEL MALVAR antara kapal TLF yang tidak asing di dalam program TMP telah melaksanakan pertemuan bersama KD SRI JOHOR di sempadan perairan kedua-dua negara. Walaupun kedua-dua kapal tidak dapat merapat di antara satu sama lain berikutan keadaan laut yang bergelora, ianya tidak menjadi penghalang untuk menjayakan rondaan maritim bersama di samping melaksanakan beberapa siri latihan di laut.

Pertemuan di laut rondaan bersama dan ini adalah bertujuan bagi perkongsian maklumat berkaitan ancaman semasa di kawasan persempadanan perairan kedua-dua buah negara termasuklah isu aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penculikan yang dilihat menjadi ancaman utama di perairan Laut Sulu yang mana meliputi sempadan perairan Malaysia – Filipina.

Semasa menjayakan rondaan maritim bersama, kedua-dua kapal turut berkesempatan melaksanakan beberapa siri latihan seperti Manuvra Taktis (MANTAK), Replenishment at Sea Approach (RASAP) dan Kibaran Bendera (Semaphore). Kesemua latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan kemahiran warga kapal serta interoperability di antara kedua-dua tentera laut.

Inisiatif rondaan TMP ini wajar diteruskan kerana ianya telah terbukti memberi manfaat yang baik dan impak yang sangat positif kepada komuniti maritim di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) ini. Dengan pelaksanakan siri rondaan bersama ini juga secara tidak langsung menggambarkan komitmen tinggi yang diberikan oleh kedua-dua buah negara dalam memastikan keselamatan perairan di rantau ini sentiasa terpelihara. Ia juga dilihat mampu untuk meningkatkan keyakinan masyarakat setempat dan antarabangsa ke atas keupayaan negara Malaysia dan Filipina dalam mengurus isu keselamatan maritim terutamanya di Laut Sulu.

Selesai rondaan bersama dan siri latihan yang dilaksanakan, kedua-dua buah kapal telah kembali meneruskan rondaan di perairan negara masing-masing.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : KD SRI JOHOR

KDSM UtamaPM KDSM melaksanakan Lawatan kepada Balu Arwah BK PAP (GI) (PKL) Mohd Nazari

SEMANGGOL, 21 Feb 20 – Bertempat di kediaman balu kepada 826738 BK PAP (GI) (PKL) Mohd Nazari bin Hamzah di Semanggol Perak, Pegawai Memerintah KD SRI SEMPORNA, Kept Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM sera beberapa wakil daripada Mk PASKAL telah melaksanakan kunjungan ke atas Pn Noor Liza binti Hj Abu Bakar. Kunjungan ini bertujuan melaksanakan penyerahan cek tuntutan kematian yang telah dikeluarkan oleh Koperasi Tentera Cawangan Tawau.

Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir pada 5 Ogos 19 disebabkan oleh serangan jantung. Arwah telah meninggalkan seorang balu dan 3 orang cahayamata perempuan. Semasa bertugas di pasukan, arwah telah diperjawatkan sebagai Bintara Sel Persenjataan. Arwah merupakan seorang bintara yang disenangi oleh semua.

Di dalam majlis ini juga, Kepten Nazree juga telah menyerahkan pampasan kematian arwah kepada ibu dan bapa arwah yang menetap di kampung yang sama. Wakil pasukan turut melihat kepada sebarang kekurangan dan bentuk sumbangan yang boleh dihulurkan kepada keluarga pada masa akan datang.

Sumber : Pejabat Perhubungan Raya – KD SRI SEMPORNA
Artikel   : Lt Muhammad Haziq bin Sharifuddin TLDM
Foto      : LK I TLR Mohd Asnawi bin Aminuddin

11Panglima MPPS TLDM, Kept Ismail bin Othman TLDM bergambar kenangan
bersama warga PSTL Kuching

KUCHING, 29 Feb – Audit Kesiapsiagaan Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Kuching telah dilaksanakan pada 27 hingga 29 Feb 20 oleh Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM yang diketuai oleh Ketua Staf merangkap Panglima Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM, Kepten Ismail Bin Othman TLDM dan delegasi audit MPPS TLDM.

PSTL Kuching berjaya memperoleh markah keseluruhan sebanyak 77.7% sekaligus mendapat 3 bintang pada audit yang telah dilaksanakan. Persediaan rapi telah membuahkan hasil kepada seluruh warga PSTL Kuching dan menunjukkan kesepaduan serta kerjasama erat dalam kalangan warga dalam menjayakan audit tersebut.

Pelaksanaan audit adalah berdasarkan Sistem Pentadbiran N-Series yang merangkumi Bahagian Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan, Bahagian Perisikan Laut, Bahagian
Operasi dan Eksesais, Bahagian Material, Bahagian Kejuruteraan, Bahagian Komunikasi Strategik dan Informasi, Bahagian Pasukan Simpanan dan Bahagian Inspektorat Jeneral,
menggunakan Protokol Audit Sistem Star Rating.

Objektif Audit Kesiapsiagaan tersebut adalah untuk menilai tahap kemampuan dan prestasi unit di dalam aspek pengurusan dan perkhidmatan teras. Acara dimulakan dengan Pemeriksaan Perbarisan, yang telah disempurnakan oleh Panglima Simpanan TLDM di mana, ketibaan beliau telah disambut oleh Pegawai Staf PSTL Kuching, Lt Kdr Ryandal Adrian anak Andreas TLDM. Perbarisan melibatkan seramai 14 orang Pegawai dan 95 orang anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh pegawai perbarisan, Lt Kdr
Kenny Wong Toh Wee PSSTLDM dan dibantu oleh Pegawai Waren Perbarisan, PW I PRL Zaini Bin Haji Tanggek.

Selesai perbarisan, Kepten Ismail Bin Othman TLDM meluangkan masa untuk beramah mesra bersama warga PSTL Kuching. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar.

Sumber : PR PWTL KUCHING
Artikel : PKK Syful Mirza Bin Alluwie
Foto : LK PNK Ajariah Bt. Umar / LK I TLR Strikalai Mannan a/l Istriram

Klik ke galeri

UTAMA MW2Segak! PANGWILLA 2 mengabadikan kenangan bersama warga MAWILLA 2

SANDAKAN, 28 Feb – Bertempat di padang kawad Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Sandakan, Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) telah melaksanakan Perbarisan Tahunan Panglima Wilayah Laut 2 (PANGWILLA 2) pada hari ini. Perbarisan yang julung kalinya dilaksanakan bagi tahun ini menyaksikan penglibatan lebih daripada 320 orang warga MAWILLA 2 dari Pangkalan TLDM Sandakan serta unit-unit bawah naungan dari Semporna dan Tawau.

Perbarisan yang terdiri daripada 10 buah platun ini telah diketuai oleh Leftenan Komander Mohd Izzat bin Dato’ Mohd Noh TLDM. Kesemua warga MAWILLA 2 segak berpakaian istiadat No.1 telah mempamerkan persembahan yang bersemangat sebagai tanda penghargaan mereka kepada PANGWILLA 2. Perbarisan ini juga bersempena meraikan genap setahun Yang Berbahagia Laksamana Muda Dato’ Sabri bin Zali mengambil alih tampuk pemerintahan MAWILLA 2 sejak Januari 2019.

Perbarisan ini telah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Samudera Raya dengan penuh bersemangat oleh warga MAWILLA 2 serta disusuli pemeriksaan perbarisan oleh PANGWILLA 2. Secara keseluruhannya, PANGWILLA 2 amat berpuas hati dengan mutu perbarisan yang ditonjolkan dan berharap agar segala aspek kesegakan dan kekemasan warga MAWILLA 2 berterusan pada masa-masa yang akan datang. Mutu kawad yang baik dapat memberikan gambaran yang jelas kepada masyarakat setempat khasnya warga Sandakan terhadap aspek disiplin yang tinggi pegawai dan anggota TLDM. Hal ini secara tidak langsung memberi keyakinan kepada rakyat akan keupayaan warga TLDM bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara khasnya di perairan pantai timur Sabah ini.

Di dalam perbarisan ini juga, 2 orang warga MAWILLA 2 telah diberikan penghargaan di atas sumbangan dan prestasi kerja yang membanggakan yang telah dipamerkan sepanjang tahun 2019. Bintara Kanan PAP (PKL) Paisal bin Mohamad dari unit KD SRI SEMPORNA telah dipilih sebagai Bintara Terbaik MAWILLA 2 bagi tahun 2019 manakala LK BDI Zulkifli bin Hassan dari unit Pangkalan Laut TUN SHARIFAH RODZIAH telah dinobatkan sebagai Laskar Terbaik. Sesungguhnya penganugerahan ini merupakan penghargaan pucuk pimpinan MAWILLA 2 terhadap warganya yang telah mempamerkan prestasi yang membanggakan dalam pelbagai aspek sama ada dalam pelaksanaan tugas, keperibadian, dan disiplin. Adalah diharap penganugerahan seperti ini dapat dijadikan contoh kepada warga MAWILLA 2 yang lain dan mereka berusaha untuk turut sama mencapai seperti apa yang telah dilihat.

Selesai perbarisan, seluruh warga MAWILLA 2 telah berkumpul di Dewan Abdul Azim bagi menghayati perutusan yang disampaikan oleh PANGWILLA 2. “We exist because of the fleet” merupakan ungapan yang ditekankan oleh PANGWILLA 2 kepada seluruh warga yang hadir. Sepanjang tahun 2019, sebanyak 193 siri operasi yang telah dilaksanakan oleh kapal-kapal di armada MAWILLA 2 dalam memastikan keselamatan perairan dan kedaulatan maritim negara khususnya di timur Sabah sentiasa terpelihara. PANGWILLA 2 merakamkan ucapan terima kasih kepada warga yang berkhidmat di kapal-kapal kerana telah memberikan perkhidmatan dan pengorbanan yang cukup bermakna serta tidak ternilai demi kesejahteraan serta keamaan negara. PANGWILLA 2 turut mengucapkan syabas kepada warga MAWILLA 2 yang bertugas di unit-unit pangkalan kerana telah dapat memastikan segala keperluan dan perkhidmatan demi menyokong pengoperasian serta kesiagaan kapal-kapal di armada MAWILLA 2 dalam memenuhi keperluan operasi semasa. Tanpa kesungguhan dan kerjasama semua pihak, sudah pasti ianya tidak akan dapat merealisasikan misi markas ini dalam melindungi kepentingan maritim Sabah dari sebarang ancaman.

Dalam perutusan yang dibacakan juga, PANGWILLA turut berpesan kepada Pegawai-Pegawai Memerintah agar dapat memastikan kompetensi dan kemahiran warga sentiasa dipertingkatkan dan berada di tahap tertinggi. Selain itu, PANGWILLA 2 turut berpesan agar setiap Pegawai Memerintah memastikan disiplin warga di unit masing-masing dipelihara serta memberi perhatian di dalam aspek kebajikan warga. Di samping perutusan oleh PAGNWILLA 2, majlis turut menyaksikan upacara serah terima tugas Pegawai Memerintah KD SRI GAYA. Dalam majlis tersebut, Leftenan Komander Mohd Fazli bin Mat Hassan TLDM telah menyerahkan tampuk pemerintahan KD SRI GAYA kepada Leftenan Komander Harulizam bin Harun TLDM.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : LK PAP Haryanto bin Made

Klik ke galeri

Saudara BaruAnggota saudara baru mengucap kalimah syahadah di hadapan ustaz

SEMPORNA, 19 Feb – Satu majlis bagi meraikan saudara baru telah diadakan di Surau Uthman Ibnu Affan, KD Sri Semporna pada jam 1300H. Majlis ini telah dipimpin oleh staf agama KAGAT, SSjn Azizi bin Othman yang dimulai dengan kata-kata aluan seterusnya pengucapan lafaz dua kalimah syahadah oleh saudara baru. Seramai 50 termasuk pegawai, anggota dan warga KDSM yang beragama islam telah menghadiri majlis bersejarah ini.

Majlis ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Pegawai Memerintah KD Sri Semporna, Kepten Ahmad Nazree Bin Abu Hassan TLDM.

Majlis ini diadakan adalah bertujuan bagi meraikan saudara baru kita yang telah kembali kepada agama Islam khususnya, disamping mengeratkan lagi silaturahim antara warga KDSM. Tambahan itu, majlis ini juga dapat mengekspresikan seluruh rasa kesyukuran kita sebagai hamba kepada pencipta yang Maha Agung, Allah SWT yang telah mengurniakan hidayah kepada hamba-Nya yang terpilih.

Majlis ini turut mendoakan kesejahteraan warga KDSM seluruhnya semoga dapat membimbing saudara baru kita sebaiknya seterusnya meneruskan perjuangan dalam perkhidmatan ini berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah dengan sebaik mungkin demi menjaga nama baik agama, bangsa dan negara.

Sumber : Pejabat Perhubungan Raya – KD SRI SEMPORNA
Artikel   : PBT Nur Hidayah binti Mat Zapin
Foto      : LK PAP (PKL) Burhan bin Samsu

BAKAT4Barisan ahli jawatankuasa BAKAT (L) KD SRI SEMPORNA 2020

SEMPORNA, 18 Feb – Saban tahun BAKAT KD SRI SEMPORNA akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Bakat (L) untuk mengupas isu – isu BAKAT (L) KD SRI SEMPORNA. Kehadiran ahli BAKAT (L) KD SRI SEMPORNA pada tahun ini seramai 62 orang termasuk Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan ahli – ahli BAKAT (L) KD SRI SEMPORNA.

Beberapa agenda telah dibincangkan sepanjang mesyuarat ini berlangsung. Mesyuarat yang bermula pada jam 1430H ini tamat pada jam 1700H. Antara agenda yang telah dilaksanakan adalah pembentangan laporan aktiviti tahun 2019, perlantikkan AJK BAKAT (L) 2020 , perancangan aktiviti BAKAT (L) KD SRI SEMPORNA 2020 dan sesi soal jawab. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan ringan.

Sumber : Pejabat Perhubungan Raya – KD SRI SEMPORNA
Artikel   : LK I PRL Siti Fairus binti Abdul Rahman
Foto      : LK II PRL Muhamad Zharif Bin Zainuddin

SREX1Pelaksanaan latihan yang kerap dapat melahirkan warga TLDM yang lebih
kompeten dan berilmu dalam menjalankan tugas

SANDAKAN, 14 Feb – Pelayaran Sandakan Readiness Exercise (SREX) yang melibatkan kapal-kapal di Tambatan Pangkalan Sandakan (TPS) diteruskan lagi pada minggu ini sebagai usaha Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) dalam menilai dan seterusnya meningkatkan tahap kompetensi warga armadanya.

SREX yang disasarkan dilaksanakan sekurangnya sekali dalam setiap minggu ini merupakan salah satu medan bukan sahaja kepada Tim Penilai untuk mengetahui sejauh mana pengetahuan dan kemahiran warga kapal, ianya juga dijadikan peluang kepada pegawai-pegawai muda yang diperjawatkan di kapal dalam menggilap kemahiran mereka terutamanya dalam aspek navigasi dan pengendalian kapal.

Di dalam pelayaran SREX kali ini, evolusi dan latihan yang dirangka lebih menjurus kepada menguji kompetensi Tim Anjungan sejajar dengan penekanan yang diberikan oleh pucuk pimpinan TLDM di mana aspek navigasi antara perkara yang perlu dititikberatkan. Kesibukan dalam melaksanakan operasi-operasi di bawah tanggungjawab MAWILLA 2 tidak menghalang kepada seluruh warga armada MAWILLA 2 yang terlibat untuk memberikan kesungguhan yang tinggi dalam memastikan setiap evolusi dan latihan yang dijalankan mencapai sasaran yang dikehendaki.

Adalah diharap dengan pelaksanaan latihan sebegini dengan lebih kerap, ianya dapat melahirkan warga TLDM yang kompeten dan berilmu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab di kapal sama ada ketika waktu aman atau pun sebaliknya. Kesiapsiagaan armada tidaklah hanya diukur kepada kemampuan pengoperasian aset-aset malah ianya juga merangkumi aspek sumber manusia iaitu kemampuan, pengetahuan, dan kompetensi warganya semasa bertugas di kapal.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : LK l TLR Ahmad Shukri bin Samad

Klik ke galeri

FIZ 9698Pancing botol. Antara acara sukaneka melibatkan anak-anak
warga KD SRI SEMPORNA

SEMPORNA, 8 Feb – Bertempat di Mini Stadium KD SRI SEMPORNA, sambutan hari keluarga pasukan telah diadakan dengan sedikit kelainan kerana dilaksanakan pada waktu malam.

Dengan bertemakan 'Colour Block', sambutan dilihat meriah dengan warga KD SRI SEMPORNA memakai pakaian yang berwarna menyerlah dan berbeza di antara baju dan seluar. Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan seperti acara sukaneka bagi anak – anak warga dan pasangan suami isteri. Cabutan bertuah turut dilaksanakan sebagai salah satu acara utama ketika sambutan.

Kemuncak sambutan adalah pada gimik perasmian sambutan hari keluarga yang disempurnakan oleh Kept Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM, Pegawai Memerintah KD SRI SEMPORNA. Diharap sambutan ini akan diteruskan lagi bagi mengeratkan silaturahim di antara warga KD SRI SEMPORNA.

Sumber : Pejabat Perhubungan Raya – KD SRI SEMPORNA
Artikel   : LK II PRL Muhamad Zharif bin Zainuddin
Foto      : LK PAP (PKL) Burhan bin Samsu

KD YU 2Kibaran Bendera (Semaphore). Antara latihan bersama yang dilaksanakan antara
KD YU dan BRP EMILIO JACINTO (PS 35)

SANDAKAN, 10 Feb – KD YU telah melaksanakan pertemuan bersama kapal Tentera Laut Filipina (TLF) BRP EMILIO JACINTO (PS 35) untuk menjayakan program Trilateral Maritime Patrol (TMP) Siri 3/20 yang dianjurkan di bawah inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan kerjasama 3 buah negara Malaysia, Indonesia dan Filipina. Pertemuan kali ini telah dilaksanakan di sekitar garis sempadan maritim di antara Malaysia - Filipina. Kedua-dua buah kapal tersebut sedang melaksanakan rondaan di kawasan perairan negara masing-masing dan telah membuat pertemuan untuk Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM).

Program kali ini telah bermula dengan KD YU yang diperintah Lt Kdr Hasanal Azwad bin Rusli TLDM bertemu dengan BRP EMILIO JACINTO yang diperintah oleh Kdr Aldrin A Gacusan PN. Kedua-dua Tim Pemerintah kapal telah mengadakan perbincangan operasi di mana perkongsian maklumat dilakukan khususnya dalam mengenal pasti kawasan tumpuan (hot spot) serta perancangan latihan dilaksanakan.

Sejurus selesai sesi perkongsian maklumat dan interaksi melibatkan kru kedua-dua buah kapal, latihan bersama di laut telah dimulakan. Antara latihan yang dilaksanakan adalah Manuvra Taktis (MANTAK), Kibaran Bendera (Semaphore), Publication Exercise (PUBEX) dan Replenishment at Sea Approach (RASAP). Kesemua latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan kemahiran warga kapal serta interoperabiliti di antara kedua-dua tentera laut.

Rondaan bersama dan pertemuan ini akan diteruskan untuk memudahcara pertukaran maklumat berkaitan ancaman semasa di kawasan persempadanan perairan kedua-dua buah negara berdasarkan insiden penculikan yang berlaku di perairan Pantai Timur Sabah baru-baru ini. Di samping dapat mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan, inisiatif rondaan TMP sebegini dilihat dapat meningkatkan keyakinan masyarakat setempat dan antarabangsa ke atas keupayaan negara Malaysia dan Filipina bersama Indonesia dalam mengurus isu keselamatan maritim terutamanya di Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Selesai pertemuan, kedua-dua kapal tersebut kembali meneruskan rondaan di perairan negara masing-masing.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : KD YU

13PANGWILLA 2 menyaksikan upacara menandatangani Nota Serah Terima Tugas
di antara Mantan dan Pegawai Memerintah KD TODAK baharu

SANDAKAN, 07 Feb - Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Memerintah KD TODAK telah dilaksanakan dengan jayanya pada pagi ini. Leftenan Komander Ahmad Zaki bin Ismail TLDM dengan rasminya telah menyerahkan tampuk pemerintahan KD TODAK kepada Leftenan Komander Mohd Rozaimi bin Mahmod TLDM.

Majlis telah dimulakan dengan upacara menandatangani Sijil Nota Serah Terima Tugas di antara Mantan Pegawai Memerintah kepada Pegawai Memerintah baharu sambil disaksikan oleh Panglima Wilayah Laut 2 (PANGWILLA 2), Laksamana Muda Dato’ Sabri bin Zali. Seterusnya PANGWILLA 2 telah menyempurnakan upacara penurunan Insignia Pemerintahan daripada Mantan Pegawai Memerintah dan Pemakaian Insignia Pemerintahan kepada Pegawai Memerintah yang baharu. Sebagai simbolik peralihan tampuk pemerintahan, Mantan Pegawai Memerintah telah menyerahkan teropong kepada Pegawai Memerintah yang baharu.

Dalam ucapan PANGWILLA 2 berkata perlantikan Lt Kdr Mohd Rozaimi TLDM sebagai Pegawai Memerintah KD TODAK yang baharu merupakan manifestasi keyakinan dan kepercayaan pucuk pimpinan TLDM terhadap kewibawaan Navy People untuk menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya. PANGWILLA 2 percaya, Pegawai Memerintah KD TODAK yang baharu akan dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Beliau juga menekankan bahawa kompetensi dan kemahiran warga kapal juga perlu dititikberatkan di samping memastikan kesiagaan kapal sentiasa berada di tahap tertinggi. Justeru, beliau turut menyeru kepada seluruh warga KD TODAK agar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberi dengan penuh dedikasi terutamanya dalam aspek senggaraan kapal.

Di dalam ucapannya juga, PANGWILLA 2 turut menzahirkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada mantan Pegawai Memerintah, Lt Kdr Ahmad Zaki TLDM yang telah menerajui kapal tersebut selama hampir dua tahun dan jangkamasa itu bukanlah mudah untuk dicapai tanpa komitmen dan kesungguhan yang diberikan sepanjang memegang tampuk pemerintahan di kapal.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : LK l TLR Ahmad Shukri bin Samad

Klik ke galeri

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 695

Semalam 801

Bulan ini 8566

Keseluruhan 802226

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM