Ceramah AgamaWarga Navy People khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan

SANDAKAN, 30 Jan – Dalam kesibukan melaksanakan tugas seharian di pejabat mahu pun di kapal ianya bukan menjadi alasan untuk warga Navy People Sandakan yang beragama Islam memperbanyakkan ibadah melalui aktiviti keagamaan. Bertempat di Surau Al-Anbar, RKTLDM Taman Samudera, ceramah agama yang bertajuk ‘Sayang Anak Tangan-Tangankan’ telah dilaksanakan sebagai aktiviti bulanan di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2).

Ceramah kali ini telah disampaikan oleh Penceramah Jemputan iaitu Ustaz Mohd Ajwadi bin Ahmad yang merupakan seorang Penceramah Bebas dan seorang Guru Agama di Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, Sandakan . Majlis telah dimulakan dengan warga Navy People Sandakan menunaikan Solat Maghrib berjemaah di Surau Al-Anbar dan seterusnya ceramah agama dimulakan.

Majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Panglima Wilayah Laut 2, Kepten Azeman bin Yusoff TLDM. Mengakhiri ceramah itu juga, Kepten Azeman TLDM turut berkenan untuk menyampaikan cenderahati kepada Penceramah Jemputan sebagai tanda kenangan. Usai majlis, warga Navy People Sandakan yang hadir telah disajikan dengan jamuan ringan yang disediakan.

Kesejahteraan keluarga termasuklah dalam aspek mendidik anak-anak terutamanya di zaman sekarang dilihat menjadi salah satu cabaran besar kepada ibu bapa. Ini berikutan terdapatnya pelbagai pengaruh dan aktiviti tidak sihat dari luar yang mudah meresapi ke dalam jiwa anak-anak muda. Ceramah yang dilaksanakan pada kali ini juga memberi fokus kepada penglibatan seluruh warga Navy People Sandakan termasuk keluarga khususnya dalam usaha mewujudkan dan meningkatkan kesejahteraan serta keharmonian berkeluarga dalam kehidupan seharian mereka.

Sesungguhnya akviti keagamaan seperti ini merupakan salah satu inisiatif MAWILLA 2 dalam memastikan pembangunan modal insan dari aspek keagamaan tidak dilupakan sejajar dengan fokus memperkasakan kompetensi dan kemahiran warga dalam pelaksanaan tugas seharian.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : LK l TLR Ahmad Shukri bin Samad

DSC 8227Tahniah! Pegawai MAWILLA 2 dan KD JEBAT bergambar selesai perlawanan

SANDAKAN, 30 Jan – Bersempena KD JEBAT merapat ke Tambatan Pangkalan Sandakan (TPS), pelbagai aktiviti khususnya yang melibatkan interaksi antara warga Navy People Sandakan dan Kru KD JEBAT telah dilaksanakan. Aktiviti kesukanan merupakan salah satu medium yang digunakan sebagai sesi interaksi antara kedua-dua warga.

Bertempat di gelanggang futsal IJM Land, Batu 6 Sandakan, Wisma Pegawai Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Wisma Anchor Point (WAP) telah menganjurkan perlawatan futsal persahabatan menentang Wisma Pegawai KD JEBAT. Perlawanan yang dilaksanakan terdiri daripada 6 orang pemain setiap pasukan ini telah dijalankan selama 60 minit.

Para pemain dari kedua-dua Wisma telah mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi apabila memberikan komitmen dan kesungguhan dalam memastikan pasukan masing-masing memperoleh kemenangan. Perlawanan yang berlangsung sengit ini akhirnya telah dimenangi oleh WAP dengan keputusan 7 – 4.

Mencari pemenang di dalam perlawanan futsal ini bukanlah tujuan utama aktiviti sukan ini dianjurkan, sebaliknya ianya merupakan salah satu inisiatif pihak WAP dalam meraikan kedatangan para pegawai KD JEBAT ke Pangkalan TLDM Sandakan. Di samping melaksanakan aktiviti yang menyihatkan badan, para pegawai yang terlibat turut berpeluang untuk mengenali antara satu sama lain serta saling berkongsi ilmu, pendapat dan pengalaman terutamanya di kalangan pegawai muda. Kedua-dua Wisma turut bertukar pelaka sebagai tanda penghargaan.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : LK l TLR Ahmad Shukri bin Samad

Klik ke galeri

Lawatan PATimurPanglima Armada Timur bersama warga Navy People MAWILLA 2

SANDAKAN, 29 Jan – Panglima Armada Timur (PA Timur), Yang Berbahagia Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Syed Zahrul Putra bin Syed Abdullah telah melaksanakan Lawatan Ulung ke Markas Wilayah Laut 2 dari 27 Jan hingga 29 Jan 20. Lawatan ini adalah bertujuan bagi memberikan maklumat dan gambaran yang lebih jelas terhadap perkara berkaitan pentadbiran, operasi dan struktur MAWILLA 2 dan unit-unit di bawah naungan.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan Armada Timur mulai 15 Oktober 2019 yang lalu, ini merupakan lawatan rasmi yang pertama YBhg Laksdya Dato’ Pahlawan Syed Zahrul Putra ke MAWILLA 2 serta unit-unit naungan yang terdapat di Pantai Timur Sabah. Dalam rangka kerja lawatan ini, YBhg PA Timur telah mengambil peluang untuk melawat ke sekitar Pangkalan TLDM Sandakan, RKTLDM Taman Samudera serta beberapa bangunan fasiliti yang terdapat di sini. Di samping dapat melihat sendiri keadaan dan suasana di Pangkalan TLDM Sandakan, lawatan yang dilaksanakan ini turut menjadi medan bagi pihak MAWILLA 2 untuk membentangkan rencana pembangunan yang sedang dijalankan serta yang masih di dalam perancangan.

MAWILLA 2 telah beroperasi secara rasmi di Pangkalan TLDM Sandakan pada 30 Ogos 2017, dan sejak itu telah banyak pembaharuan dan penambahbaikan yang dilaksanakan dari aspek keupayaan operasi, pentadbiran, Rumah Keluarga (RK), serta beberapa kemudahan asas yang lain bagi menampung keperluan semasa yang juga sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah Markas yang lebih besar daripada sebuah unit sokongan sahaja.

Dalam rangka lawatan 3 hari ini, YBhg PA Timur turut mengambil peluang untuk menghadiri sesi ramah mesra bersama warga Navy People Sandakan. Di samping sebagai medium mendekati dan mengenali warga Navy People di MAWILLA 2 dan unit naungan, sesi ramah mesra ini juga turut digunakan untuk YBhg PA Timur menyampaikan amanat dan pesanannya kepada seluruh warga Navy People Sandakan untuk terus memberikan komitmen yang tinggi dalam pelaksanaan tugas seharian. Di samping menyentuh perkara berkaitan operasi dan kesejahteraan di MAWILLA 2, YBhg PA Timur juga turut menasihati hadirin untuk menjauhi sebarang kelakukan yang menyalahi undang-undang perkhidmatan seperti kejadian buli atau manhandling. Beliau turut menegaskan tidak akan bertoleransi kepada sesiapa sahaja warga Markas Armada Timur dan unit-unit di bawah naungan yang didapati bersalah terlibat dengan kesalahan terbabit.

Usai program di MAWILLA 2, YBhg Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Syed Zahrul Putra telah meneruskan rangka lawatan beliau ke KD SRI TAWAU.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel   : Lt Kdr Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Foto      : LK TLR Ahmad Shukri bin Samad

Klik ke galeri

Kdr Ir. Dr Arman Ariffin TLDM di Konvension Antarabangsa Smart Ship Technology, London pada tahun 2016
Kdr Ir. Dr Arman Ariffin TLDM di Konvension Antarabangsa
Smart Ship Technology, London pada tahun 2016

Kdr Ir. Dr Arman Ariffin TLDM adalah seorang Pegawai Kejuruteraan TLDM yang pertama dianugerah Sarjana Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan.  Beliau memperoleh PhD secara kajian  (by research) dari École Nationale Supérieure de Techniques Avancées (ENSTA) Bretagne, Université de Bretagne Occidentale, Perancis pada tahun 2017, pengkhususan dalam Mechanics, Fluid Mechanics and Energy. Lebih membanggakan, beliau telah berjaya menamatkan pengajian PhD dalam tempoh 3 tahun sahaja. 

Perkongsian ilmu Kdr Ir. Dr Arman dengan pakar kejuruteraan seluruh dunia telah mengharumkan nama TLDM dan Malaysia. Beliau telah menghasilkan dan membentangkan beberapa kertas kerja kejuruteraan di konvension antarabangsa di merata dunia termasuk Perancis, United Kingdom, Jerman, Belanda, Sweden, Portugal dan Jepun sejak tahun 2014.  Kepakaran beliau yang bernilai tinggi menyaksikan Kdr Ir. Dr Arman dilantik sebagai Ahli Tetap kepada International Maritime Organisation (IMO) yang beribu pejabat di London bagi Sub-committee Ship Design and Construction (SDC). 

Selain sumbangan kepada komuniti jurutera profesional antarabangsa, Kdr Ir. Dr Arman juga merupakan ahli Special Action Committee (SAC) TLDM untuk mengkaji dan menyelesaikan beberapa permasalahan kejuruteraan kapal TLDM, dimana sebahagian isu tersebut telah berjaya diselesaikan.

Di luar kerjaya sebagai pegawai TLDM, Kdr Ir. Dr Arman turut aktif dalam sukan lasak triathlon.  Beliau merupakan seorang daripada segelintir rakyat Malaysia yang lulus pra-kelayakan (pre-qualification) pertandingan Ironman Distance Triathlon (3.8km Swim, 180km Bike and 42km Marathon) pada tahun 2005 di Langkawi, iaitu salah satu race course yang paling mencabar di dunia.  Beliau menduduki tempat kedua (first runner-up) dalam tempoh masa yang ditetapkan dan telah diberi satu slot untuk menyertai World IRONMAN Championship Race di Kona, Hawaii pada tahun tersebut yang turut disertai atlet triathlon profesional seluruh dunia.  Namun begitu, beliau tidak dapat menyertai pertandingan tersebut atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pencapaian, sumbangan dan keberhasilan Kdr Ir. Dr Arman ini amat membanggakan TLDM, selain telah mengharumkan nama Malaysia. Ianya boleh dijadikan contoh serta inspirasi kepada warga Navy People.  

Sumber : Markas Tentera Laut Bahagian Kejuruteraan

Artikel   :    Laksda Datuk Ir. Mohd Shaiful Adli Chung

pangkatrnoAnggota yang dinaikkan pangkat bersama Pegawai Memerintah RNO Kuching

KUCHING, 24 Jan – Pegawai Memerintah, Leftenan Komander Nurul Azmin Bin Kamaruddin TLDM telah menyempurnakan upacara pemakaian pangkat dari Laskar Kanan ke Bintara Muda bagi tiga orang anggota hari ini. Majlis telah dilaksanakan secara berasingan setelah Perbarisan Pegawai Memerintah berlangsung.

Senarai anggota yang telah menerima kenaikan pangkat adalah seperti berikut:
1. Bintara Muda PNK Marlina Binti Bolki
2. Bintara Muda PNK Amran Khan Bin Bohari Khan
3. Bintara Muda PAP Mohd. Zaimi Bin Bohari

Dalam majlis tersebut, Pegawai Memerintah turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada warga yang telah dinaikkan pangkat. Beliau turut menyeru warga agar terus berusaha dan bersama mengembleng tenaga agar Hasrat dan matlamat kepimpinan TLDM dapat dicapai.

Pegawai Memerintah juga turut mengimbas kembali segala pencapaian dan kejayaan yang telah dikecapi sepanjang tahun 2019 dan berharap semua warga terus komited untuk memberikan yang terbaik bagi segala program yang telah dirancang sepanjang tahun 2020.

Sumber : PR PWTL KUCHING
Artikel   : PKK Syful Mirza bin Alluwie
Foto      : LK I TLR Strikalai Mannan a/l Sitriram

RamahMesraWarga Navy People MAWILLA 1 bergambar bersama Menteri Besar Pahang

KUANTAN, 21 Jan – Warga Navy People hari ini berbesar hati menerima kehadiran Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail yang julung-julung kalinya menjejakkan kaki ke Kompleks Perumahan TLDM Balok Perdana setelah mengambil alih tugas secara rasmi sebagai Menteri Besar Pahang bermula 15 Mei 2018.

Ketibaan beliau telah disambut oleh Panglima Wilayah Laut 1(PANGWILLA 1), Laksamana Muda Abu Bakar bin Mohd Ajis bersama pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai memerintah yang berkhidmat di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang.

Beliau dibawa masuk ke Auditorium Tun Abdul Razak (TAR) untuk berjumpa dan beramah mesra bersama warga MAWILLA 1. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh PANGWILLA 1 dan seterusnya ucapan oleh YAB Menteri Besar Pahang.

Sumber : Komunikasi Strategik MAWILLA 1 
Foto      : LK PBS Shahfulnizam bin Abu Kasim /  LK PAP Saiful Bin Ahmad Nasir
             

rnoPegawai dan Anggota PWTL/PSTL Kuching

KUCHING, 24 Januari – Menjadi tanggungjawab untuk seorang Pegawai Memerintah menentukan kesiapsiagaan unit di bawah pemerintahannya sentiasa berada dalam keadaan terbaik menerusi pembentukan modal insan yang unggul. Justeru, telah

berlangsung hari ini, Perbarisan Ulung Pegawai Wakil Tentera Laut (PWTL) Kuching sebagai tanda serta membuktikan kesiagaan warga unit berada di landasan yang membanggakan.

Perbarisan bermula sejurus ketibaan Pegawai Wakil Tentera Laut Kuching, Leftenan Komander Nurul Azmin Bin Kamaruddin TLDM tepat pada jam 0800 sambil diiringi oleh Pegawai Laksana, Leftenan Komander Ryandal Adrian anak Andreas TLDM. Perbarisan yang melibatkan 4 platun terdiri daripada 20 orang pegawai dan 86 anggota yang diketuai oleh Leftenan Komander Kenny Wong Toh Wee PSSTLDM selaku Pegawai Laksana PSTL Kuching. Ketumbukan 4 platun adalah merangkumi warga PWTL dan PSTL Kuching, Tim Nukleus MAWILLA 4, Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dan Pasukan Latihan Anggota Simpanan TLDM (PLASTLDM).

Menerusi ucapan, Pegawai Wakil Tentera Laut Kuching menzahirkan ucapan terima kasih dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan perbarisan pada hari ini. Beliau juga turut mengingatkan agar semua memantapkan kerjasama
antara semua pihak agar PWTL Kuching tetap kekal relevan sehingga masa hadapan. Justeru itu, setiap warga mempunyai peranan dan tugas masing-masing yang perlu dilaksanakan bagi memastikan pelan strategik yang disasarkan dapat dicapai serta
memastikan prestasi organisasi sentiasa berada pada tahap yang terbaik. Menerusi aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan, sekaligus dapat membentuk serta melahirkan warga yang kompetan seiring dengan dasar Pelan Strategik TLDM 2013-2020.

Perbarisan selesai jam 0930H dengan sesi fotografi bersama warga serta jamuan ringan.

Sumber : PR PWTL KUCHING
Artikel   : PKK SYFUL MIRZA BIN ALLUWIE / BK TLR MOHD SAMSUL RIDZUAN BIN OMON
Foto      : LK I TLR STRIKALAI MANNAN a/l ISTRIRAM

WhatsApp Image 2020 01 10 at 12.03.37 PMLaksamana Tan Sri Mohd Reza menyampaikan Perutusan Tahun Baru 2020 

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany telah berkongsi aspirasi perkhidmatan bagi tahun 2020 dalam perutusan tahun baru beliau di Auditorium Wisma Pertahanan.

Dalam perutusan yang disampaikan, Tan Sri Mohd Reza menyatakan bahawa Aspirasi 2020 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menjadi panduan kepada semua warga Navy People bagi sama-sama merelisasikan matlamat yang ditetapkan.

Beliau memberitahu bahawa pada perbentangan Bajet 2020 yang lalu, peruntukan sebanyak RM2.1 bilion telah diluluskan bagi program Pertahanan Maritim dan pada masa yang sama permohonan peruntukan tambahan telah dimajukan untuk menampung keperluan yang menjurus kepada inisiatif mengembalikan keupayaan kapal-kapal TLDM.

Jumlah peruntukan yang diterima dilihat berupaya untuk melaksanakan segala perancangan tahun 2020 dengan memfokuskan kepada peningkatan kesiagaan armada, pembangunan pemerkasaan modal insan serta peningkatan kesejahteraan dan kebajikan warga Navy People bersesuaian dengan Direktif Strategik PTL yang dikeluarkan pada 24 Sep 2019.

Tahun 2020 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran dalam usaha meningkatkan kesiagaan armada. Justeru itu, beliau menyeru agar warga Navy People bersama-sama berdoa kepada yang Maha Esa agar tahun 2020 memberi sinar baharu dan menjadi permulaan penuh keberkatan didunia dan akhirat.

Akhir kata, beliau mengingatkan agar semua mengambil iktibar terhadap kejadian-kejadian lepas dan tidak terlalu bangga dengan pencapaian tahun 2019 sehingga leka dengan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut

1Sekitar Pelaksanaan Program Derma Darah

TANJUNG GELANG, 14 Jan – Bertempat di Auditorium Al-Haimi Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan, Program Derma Darah Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) anjuran bersama Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) telah berlangsung dengan jayanya.

TLDM mengambil langkah proaktif terhadap penganjuran program derma darah berikutan permintaan yang tinggi terhadap bekalan darah dan membantu tabung darah HTAA yang sangat kritikal dan memerlukan bantuan darah di samping memupuk kesedaran tanggungjawab masyarakat untuk sama-sama menyumbang dalam membekalkan darah yang selamat dan mencukupi bagi kegunaan pesakit yang amat memerlukan.

Program ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 129 orang. Dari 129 yang mendaftar, hanya 112 anggota telah layak menderma dan 17 anggota tidak layak menderma atas sebab faktor kesihatan. Secara keseluruhannya program ini telah berjaya membantu pihak HTAA dan mencapai sasaran yang dikehendaki.

Sumber : Komunikasi Strategik MAWILLA 1
Artikel   : Mej (Dr) Zareeni binti Mohamed Zahari
Foto      : LK PAP Saiful bin Ahmad Nasir

Klik ke galeri


pulau perakLt Kol Zaiham dan Kdr Khairun Zakaria TLDM menandatangani
nota serah terima Pulau Perak

LUMUT, 9 Jan – Pulau Perak yang terletak di dalam wilayah negeri Kedah merupakan kawasan perlindungan marin dan dipertanggungjawabkan kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tujuan keselamatan dan kedaulatan Negara. Pentadbiran dan pemerintahan Pulau ini turut menjadi salah satu sektor rondaan bagi perintah operasi OP PEJARAK yang dilaksanakan TLDM.

Pada 3 Julai 2019, Mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin telah memutuskan penempatan TDM dalam OP PEJARAK bagi kedua-dua pulau iaitu Pulau Jarak dan Pulau Perak diserahkan sepenuhnya kepada TLDM berkuatkuasa 1 Januari 2020 dan mendapat persetujuan oleh kedua-dua perkhidmatan.

Terdahulu, Pulau Jarak telah diambil alih secara rasmi oleh TLDM pada 27 Dis 2019 setelah upacara serah terima pulau telah dilaksanakan di antara Ketua Penempatan terdahulu, Lt Fakrur Radzi bin Zulkifli, 2 RRD kepada Pegawai Memerintah baharu, Lt Mohamad Taufik bin Arbak TLDM. Pulau ini turut dinamakan dengan Stesen Jarak TLDM dan mempunyai kru keseluruhan seramai 41 orang termasuk dua Pegawai.

Bagi penyerahan Pulau Perak secara rasmi kepada TLDM, Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Yusne bin Mokhtar bersama Panglima Briged Keenam Infantri, Brigedier Jeneral Dato’ Haji Mohd Halim bin Khalid telah menyaksikan upacara serah terima di antara Pegawai Memerintah 6 RAMD, Lt Kol Zaiham bin Ab Halim dan Ketua Pegawai Staf Operasi MPA Barat, Kdr Mehamad Khairun bin Zakaria di Markas Keenam Briged Infrantri di Kem Sungai Layar, Kedah.

Majlis berakhir dengan sesi pertukaran pelaka antara Panglima kedua-dua perkhidmatan. Seluruh warga yang hadir turut mengabdikan kenangan dalam sesi bergambar sebelum bersurai.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 704

Semalam 801

Bulan ini 8575

Keseluruhan 802235

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM