Lumut, 8 Sep 13 - Majlis Sambutan Aidilfitri Wisma Samudera telah berlangsung di Dewan Cakerawala Wisma Samudera sekitar jam 1200. Majlis telah dihadiri oleh YBhg Panglima Armada Dato’ Abd Hadi bin A. Rashid ,Panglima Sistem Armada Dato’ Hj Khairuddin bin Khalid dan Panglima Bantuan Laksma Abd Aziz bin Md Sani.

 

 

Ketibaan YBhg Panglima Armada Panglima Armada beramah mesra dengan hadirin yang hadir

 

Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan BAKES TLDM. Juadah yang telah disediakan oleh Wisma Samudera amat menyelerakan dan pegawai-pegawai yang hadir amat terhibur dengan persembahan yang disediakan. Ia telah menunjukkan betapa komitednya Wisma Samudera dalam menganjurkan sesuatu acara. 

 

 

Pemberian duit raya kepada kanak-kanak.Persembahan BAKES TLDM Suasana Wisma Samudera

 

Pada penghujung majlis Panglima Armada Dato’ Abd Hadi bin A.Rashid diiringi isteri beliau Datin Fatimah bte Ishak, Panglima Sistem Armada Dato’ Hj Khairuddin bin Khalid bersama isteri Datin Radzi bte Abd Manap dan Panglima Bantuan Laksma Abd Aziz bin Md Sani bersama isteri Puan Zahara binti Ahmad telah menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang menghadiri majlis ini.

 

 

 

 

 

Hadirin mengambil juadah

 

Secara keseluruhan majlis ini telah memberi impak yang amat besar kepada penghuni-penghuni Wisma Samudera dimana suasana Syawal tetap dirasai meskipun telah sampai kepenghujungnya.

 

 

 

 

 

Rujukan: 100913/03
Sumber: Perhubungan Awam Markas Bantuan dan Markas Armada
Artikel: Lt Dya Azanshah bin Kamaldin TLDM
Jurufoto: LK KOM Nazri bin Afrizal, LK TLR Rosni bin Ab. Aziz

 

 

 


 

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Pergerakan Wanita UMNO hari ini menganjurkan Majlis Jalinan Ramadhan Bersama Anggota Berunifom yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Aras 4 PWTC.

 


 

Majlis yang disempurnakan oleh YBHG Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil (Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia) ini diadakan bagi mengenang jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas sempena hari raya yang bakal menjelang tidak lama lagi. Turut menerima sumbangan ialah keluarga yang kehilangan orang tersayang semasa OPS Daulat di Lahad Datu.

 

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera (PAT) serta isteri, Ketua Polis Negara (KPN), Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. Hadir sama pengurusan tertinggi dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM bersama isteri masing-masing yang mewakili BAKAT. Sumbangan tersebut diserahkan kepada PAT sebagai simbolik mewakili perkhidmatan ATM.

 



 


 


 

Majlis disaksikan oleh pegawai dan anggota dari kesemua badan berunifom yang diraikan serta ahli-ahli pergerakan wanita UMNO Malaysia. Di akhir majlis, cenderahati turut diberikan kepada tetamu-tetamu VIP sebagai tanda kenangan.

 

 

 

Rujukan : 060813/01
Sumber : Perhubungan Awam Markas Tentera Laut
Artikel dan Jurufoto : LK I TNL Idris Suradi

 

 

Okt 30

 

 

 KUALA LUMPUR, 9 Ogos 13 – 1 Syawal disambut dengan meriah oleh semua umat Islam bersama kaum keluarga dan sanak saudara.  Majoriti rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan Aidil Fitri.

 

Namun demikian, tidak semua yang berpeluang untuk merayakan Aidil Fitri bersama sanak saudara di kampung halaman.  Demi tugas dan tanggungjawab terdapat segelintir individu yang terpaksa mengorbankan kebahagiaan mereka demi menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.  Bagi Pasukan Badan Beruniform, bertugas di Aidil Fitri adalah satu kebiasaan bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin.

 

 



Markas Pendidikan dan Latihan (MPL) TLDM juga tidak terlepas melaksanakan tanggungjawab tersebut. Sepanjang cuti Aidil Fitri ini akan sentiasa ada awasan yang bertugas dalam usaha memastikan keselamatan Markas dan peralatan terjamin setiap masa.

Bagi mengurangkan rasa kesedihan berjauhan dari keluarga, Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Laksda Dato’ Pahlawan Syed Zahiruddin Putra bin Syed Osman dan keluarga yang prihatin telah mengambil peluang melawat pegawai dan anggota yang bertugas pada hari ini. Beliau yang hadir ke Markas pada jam 1000H telah meluangkan masa bersama awasan bertugas disamping menjamu selera bersama.

 

 

Sempena lawatan tersebut itu juga, Panglima telah menyampaikan sumbangan dari Angkatan Tentera Malaysia khas kepada anggota yang bertugas di Hari Raya pertama. Turut hadir di lawatan tersebut ialah Ketua Staf MPL TLDM, Kept Syed Ahmad Hilmi bin Syed Abdullah bersama keluarga.

 

 

Rujukan: 080813/02
Sumber : Sekyen Perhubungan Awam MPL TLDM
Artikel : Lt Kdr Rahimah binti Taib TLDM
Jurufoto : LK PRL Mohd Khairi bin Che Ani

 


Lumut, 8 Ogos - Dalam kemeriahan pagi 1 syawal ketika umat islam meraikan Hari Raya Aidilfitri, warga Armada turut berkongsi kegembiraan ini di kalangan awasan bertugas dan keluarga di KD MAHAWANGSA. Majlis ini diadakan bagi meraikan hari yang mulia ini bersama Awasan Bertugas yang tidak dapat pulang ke kampung halaman. Inisiatif ini diambil oleh pihak pengurusan Armada bagi mengeratkan silaturrahim di kalangan warganya sebagai sebuah keluarga yang utuh.

 

 

Antara tetamu yang hadir memeriahkan majlis

 Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berbahagia Panglima Armada, Laksmana Madya Dato’ Abd Hadi bin A. Rashid bersama isteri selepas solat sunat hari raya di Masjid An’nur. Panglima Armada menyampaikan ucapan beliau sebagai pemula majlis. Beliau begitu teruja dengan kehadiran hampir 200 warga Armada yang hadir bersama keluarga. Beliau juga menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada awasan bertugas di hari raya pertama dan kedua di atas pengorbanan dan tanggungjawab yang dipikul bagi memastikan Armada sentiasa dalam keadaan siap siaga dan selamat tatkala rakan-rakan yang lain berhari raya di kampung halaman masing-masing.

 

 

Panglima Armada, Laksmana Madya Dato’ Abd Hadi bin A. Rashid  
menyampaikan ucapan beliau sebagai pemula majlis
Menikmati Juadah hari raya

 

 Majlis diteruskan dengan jamuan yang amat menyelerakan disediakan oleh bendari bertugas. Juadah hari raya tidak lengkap tanpa ketupat palas, lemang, rendang dan lodeh yang amat sinonim di pagi raya. Begitu juga di sini, ditambah dengan keenakan sate dan kuih muih. Jelas terpancar di raut wajah hadirin keceriaan seperti berhari raya di kampung halaman sendiri.


Pemberian duit raya kepada kanak-kanak

 Bagi meraikan kanak-kanak yang hadir, Panglima Armada bersama isteri dengan berbesar hati menghulurkan duit raya. Sesi bergambar beramai-ramai menjadi acara penutup Majlis Sambutan Hari Raya 2013 Peringkat Armada. Senyuman para hadirin yang hadir dirakamkan sebagai tatapan dan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

 

 


Bergambar kenangan

 

Diharapkan majlis sebegini dapat diteruskan lagi sebagai satu pengisian di bulan syawal dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk mengukuhkan lagi silaturrahim dan ukhwah di kalangan warga Armada khasnya dan Navy People amnya.

 

 

 

Sumber: Perhubungan Awam Markas Armada
Artikel: Lt Mohd Hasrat bin Sabiran TLDM
Jurufoto:LK I TNL Mohd Badrul Hisham bin Che Hussin

 

 

 


KUANTAN, 21 Ogos 13 - Panglima Angkatan Tentera (PAT) Singapura, Lt. Jen. Ng Chee Meng telah mengadakan lawatan ke Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1).

 

Kunjungan hormat Ketua Rombongan ke atas 
Panglima Wilayah Laut 1
Lt Gen Ng Chee Ming Menandatangani Buku Pelawat

 

 Ketibaan PAT Singapura bersama delegasi pada jam 0900 telah disambut oleh Panglima Wilayah Laut 1 (PANGWILLA 1), Laksamana Muda Dato’ Mohamad Roslan bin  Mohamad Ramli dan semua Pegawai Memerintah dan Ketua-Ketua Jabatan MAWILLA 1. 

Rombongan di bawa melawat ke Galeri MAWILLA 1 Pegawai MAWILLA 1 dan Wakil Delegasi bergambar kenangan

Aturcara dimulakan dengan PAT Singapura memeriksa kawalan kehormatan di padang kawad MAWILLA 1 dan seterusnya melakukan kunjungan ke atas PANGWILLA 1 di Pejabat Panglima. Kunjungan PAT Singapura ini adalah merupakan julung kalinya diadakan ke atas MAWILLA 1. Taklimat am mengenai fungsi dan peranan MAWILLA 1 turut disampaikan oleh Pegawai Staf Operasi, Lt kdr Fadzli bin Hassim TLDM. Kesempatan ini juga digunakan untuk interaksi dan berkongsi maklumat di antara kedua belah pihak.  

 


Bergambar kenangan di Hadapan Bangunan Markas

 Lawatan ringkas sekitar pangkalan juga turut diadakan dan PAT Singapura telah melahirkan rasa kagum dan memuji  kemajuan yang dicapai MAWILLA 1 dari segi infrastruktur dan tahap kesiagaan aset secara keseluruhannya. Pertukaran cenderahati turut dilakukan sebagai tanda kenang-kenangan bagi kedua pihak. Lawatan ringkas PAT Singapura ini pastinya dapat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara dua negara yang telah terjalin sekian lama. Lawatan diakhiri dengan memeriksa kawalan kehormatan dan seterusnya berangkat pulang. Lawatan berakhir pada jam 1030. 

 

 

 

Rujukan: 220813/01
Sumber: Sel Perhubungan Raya MAWILLA 1
Artikel: Lt Kdr Che Mohd Fakhrul Azizi TLDM
Jurufoto: LK PRL Amiruddin bin Dout




 


Lumut, 19 Ogos 2013- Bertempat di Padang Kawad Pangkalan pertandingan akhir Kawad Kecekapan Peringkat Kebangsaan tahun 2013 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah diadakan bermula jam 0900. Sebanyak 16 Kontijen telah mengambil bahagian dan kesemuanya telah mempamerkan mutu kawad yang amat membanggakan.

 

 

Kawad kaki Pasukan berjalan keluar

Pertandingan kawad kaki ini telah dikoordinasikan oleh YS PKPJB Hj. Yahaya bin Hj. Madis Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pegawai Bomba KD MALAYA Lt Kdr Mohd Tawil bin Tajudin TLDM. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah memilih pangkalan TLDM Lumut sebagai pusat bagi melaksanakan pertandingan ini memandangkan kelengkapan fasiliti serta infrastuktur yang terdapat didalam pangkalan TLDM Lumut.

 

 

Penyampaian Hadiah kepada pemenang

Pertandingan ini telah berakhir pada jam 1700 dan acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penolong Ketua Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat YS TKPJB Dato’ Soiman bin Jahid. Turut hadir dalam penyampaian ini ialah Ketua Pegawai Staf Teknikal, Kdr Rosli bin Mokri TLDM. Kerjasama erat ini merupakan pencapaian TLDM di dalam mencapai inisiatif National Blue Ocean Strategy (NBOS) sekaligus memberi impak positif kepada pasukan Bomba KD MALAYA bagi berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan dalam menjalani tugas-tugas harian mereka.

 

 

Penyampaian Cenderahati kepada TLDM Penyampaian Cenderahati kepada Pengarah Bomba Negeri Perak

Kerjasama ini juga telah menunjukkan keprihatinan pasukan TLDM dalam membantu badan-badan kerajaan melaksanakan program-program seumpama ini seiring dengan visi TLDM iaitu menjadi Tentera Laut Bertaraf Dunia. Program ini juga telah menunjukkan kepercayaan pihak Bomba kepada TLDM bagi mengkoordinasikan program yang besar seumpama ini.


Rujukan: 200813/02
Sumber: Perhubungan Awam Markas Bantuan dan Markas Pendidikan Latihan
Artikel: Lt Dya Azanshah bin Kamaldin TLDM
Jurufoto: Perhubungan Awam Markas Bantuan dan Markas Pendidikan Latihan


 

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Hampir 30 anggota bergotong-royong menyediakan bahan-bahan masakan besempena sambutan Majlis Rumah Terbuka TLDM yang akan diadakan esok di pekarangan KD SRI GOMBAK.

Kemeriahan rewang bermula jam 10 pagi lagi selepas seekor lembu ditumbangkan di mana semua anggota mula melakukan tugas mengupas bawang, kentang serta memotong sayur untuk dijadikan juadah pada majlis tersebut. 

 


Anggota tekun memotong bahan masakan

 

Suasana kekeluargaan dan kemesraan antara anggota dapat dilihat ketika mereka bersama-sama melakukan tugas di galley. Apa yang menariknya, Pegawai Memerintah KD SRI GOMBAK, Kdr Mohd Zolkefpeli bin Abd Rahman TLDM turut sama membantu melakukan kerja-kerja menyediakan bahan-bahan untuk dimasak. 

 


Antara menu istimewa yang mula dimasak pada malam ini adalah nasi daging, gulai kawah, sup tulang, dalca, jelatah, rendang daging dan rendang ayam.

 



Rujukan: 230813/01
Sumber: Cawangan Perhubungan Awam MKTL
Artikel: PK Siti Fatimah binti Muhammad Ali
Jurufoto: LK KOM Abdullah, LK TNL Nizam & LKI TNL Hafefzul


KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pentas utama telah menghangatkan lagi suasana sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri TLDM dengan pelbagai acara yang telah diatur. Semua tetamu tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing kerana setia menanti persembahan yang sangat menghiburkan.

 

Kumpulan Quintet TLDM menghiburkan para pengunjung di Majlis 

Rumah Terbuka Aidilfitri TLDM

Persembahan dari kumpulan Quintet TLDM yang mendendangkan lagu-lagu raya menyemarakkan lagi mood raya para pengunjung. Kepetahan pengerusi majlis menyerikan lagi sambutan rumah terbuka dengan celotehnya yang sangat mencuit hati.

Pelbagai acara telah diatur antaranya pertandingan kuiz yang menawarkan hadiah berupa duit raya yang sangat menyeronokkan membuatkan para pengunjung tidak senang duduk untuk menjawab soalan-soalan dari pengerusi majlis.

Pertunjukkan silap mata mendapat sambutan yang luar biasa

Pertunjukkan silap mata daripada Lt Muhammad Fathullah bin Idris TLDM  menggamitkan lagi suasana majlis. Kanak-kanak khususnya, sangat terhibur dan tidak puas sehinggakan ada yang mengekorinya sehingga ke belakang pentas.


Suasana sambutan rumah terbuka hari ini sangat harmoni, semua pengunjung saling berjabat tangan mengucapkan selamat hari raya dan mengambil kesempatan untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain. Ukwah yang terjalin sungguh murni dan kegembiraan terpancar di wajah masing-masing.


Rujukan: 250813/01
Sumber: Cawangan Perhubungan Awam MKTL
Artikel:  PK Siti Fatimah binti Muhammad Ali
Jurufoto: Cawangan Perhubungan Awam MKTL

 


Lumut, 6 Sep 13 – Markas Bantuan dengan kerjasama Markas Sistem Armada dan Markas Armada telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pangkalan bertempat di Dewan Sidek Shahbudin pada jam 1500.

 

Ketibaan YBhg Panglima Armada Ketibaan YB Dato’ Seri Kong Cho Ha

Majlis ini telah dihadiri oleh YBhg Panglima Armada Dato’ Abd Hadi bin A. Rashid, Mantan Menteri Pengangkutan Malaysia YB Dato’ Seri Kong Cho Ha, Panglima Sistem Armada Dato’ Hj Khairuddin bin Khalid,  Panglima Bantuan Laksma Abd Aziz bin Mohd Sani, Ketua Staf Kept Zukarani bin Talib TLDM, Pegawai Memerintah unit bawah naungan, pegawai-pegawai kanan dan warga Pangkalan TLDM Lumut. 

 

Pengacara Majlis memulakan aturcara Persembahan BAKES TLDM

 

Majlis ini telah berlansung sehingga jam 1700. Majlis ini telah diserikan lagi dengan persembahan dari Kombo Gelombang Biru selain itu hidangan yang telah disediakan oleh pihak penganjur amat menyelerakan dan ia mencerminkan suasana beraya seperti di kampung halaman.

 

Persiapan Majlis dengan membakar lemang oleh anggota PASKAL Warga Pangkalan mengambil juadah

Diakhir majlis Panglima Armada turut beramah mesra dengan tetamu-tetamu yang hadir dan ini secara tidak langsung menambahkan keceriaan dalam majlis ini.  Secara keseluruhan majlis ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dikalangan warga pangkalan.


Rujukan: 090913/01
Sumber: Perhubungan Awam Markas Bantuan dan Markas Armada
Artikel: Lt Dya Azanshah bin Kamaldin TLDM 
Jurufoto: LK KOM Nazri bin Afrizal, LK TNL Adi Akram bin Abdul Rahman, LK PBS Zulhelmi bin Abu Bakar

 

Presiden Benigno Aquino III bersama Panglima Tentera Laut negara ASEAN

 

YBhg Tan Sri Panglima Tentera Laut telah menghadiri ASEAN Navy Chief Meeting (ANCM) ke 7 yang diadakan di Manila. Persidangan yang diadakan secara tahunan ini berlansung selama tiga hari bermula dari 9-11 Sep telah dihadiri oleh kesemua Panglima Tentera Laut dari negara ASEAN.

 

 

YBhg Tan Sri bersama delegasi Malaysia. L-R (Col Hamzah, Tan Sri dan Dato' Pahlawan Rosland) 

 

Persidangan pada kali ini adalah bertemakan 'Partnership for Peace and Prosperity'. Ia merupakan medium bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan kerjasama serantau, keselamatan maritim dan jalinan usahasama yang lebih erat di rantau Asia Tenggara. Persidangan ini telah dirasmikan oleh Presiden Benigno Aquino III, dan di dalam ucapannya, beliau melahirkan kepercayaan dan penghargaan kepada Tentera Laut negara ASEAN yang sentiasa berusaha untuk memastikan rantau ini selamat dan aman.


Tan Sri Bersama Setiausaha Pertahanan Filipina dan Panglima-Panglima Tentera Laut negara ASEAN

 

TLDM juga sentiasa memainkan peranan yang penting di fora antarabangsa seperti ini secara aktif dengan mengemukakan beberapa idea dan inisiatif penting untuk diadaptasi. Ia turut terbukti bila mana YBhg Panglima Tentera Laut telah diberi penghormatan untuk menyampaikan kertas cadangan yang bertajuk ANCM Plus Arrangement.


Rujukan: 100913/01
Sumber: Cawangan Rancang dan Operasi, Markas Tentera Laut

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 719

Semalam 801

Bulan ini 8590

Keseluruhan 802250

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM