PAT20Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Ts. Haji Zulkifli memeriksa perbarisan

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Ke-20, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Ts. Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin telah diadakan di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana, Sungai Besi. Perbarisan ini melibatkan seramai 17 pegawai dan 462 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Perbarisan ini diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-4 Rejimen Askar Melayu Diraja, Lt Kol Khairul Azman bin Kormin.

Perbarisan Penghargaan ini merupakan satu tanda penghormatan tertinggi kepada beliau atas jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan selama 4 dekad sebelum menamatkan perkhidmatan di dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Perbarisan ini berkonsepkan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat dengan penglibatan 4 detasmen daripada ketumbukan ATM terdiri daripada dua detasmen Tentera Darat Malaysia (TDM) serta masing-masing satu daripada detasmen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan detasmen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Perbarisan ini diiringi Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Mej (Dom) Muhamad Nor Azizan bin Yahya.

Turut hadir ke perbarisan ini ialah Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Haji Ahmad Hasbullah bin Haji Mohd Nawawi, Panglima Tentera Darat; Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, Panglima Tentera Laut; Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Panglima Tentera Udara dan Leftenan Jeneral Datuk Kamalruzaman bin Mohd Othman TUDM, Ketua Staf Markas ATM.

Sumber : Bahagian Hal Ehwal Awam - J7 Markas Angkatan Tentera Malaysia

LMS KERISAktiviti Physical Handover KERIS dilaksanakan pada 31 Dis 19 disempurnakan
oleh YBhg
Dato' Ahmad Husaini Bin Abdul Rahman mewakili Kerajaan

SHANGHAI, 31 Dis - Kapal Littoral Mission Ship (LMS) yang pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diterima secara rasmi pada hari terakhir 2019 di Qidong, China setelah aktiviti pemeriksaan dokumentasi, fizikal dan pelayaran dokumentasi keupayaan kapal berjaya dilaksanakan.

Upacara Penyerahan Fizikal telah berlangsung dengan Dato' Ahmad Husaini bin Abdul Rahman, Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Pertahanan menjadi wakil kerajaan Malaysia. Upacara tersebut telah disaksikan bersama Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Syed Zahrul Putra bin Syed Abdullah, Panglima Armada Timur bagi pihak TLDM serta Encik Ir Ee Teck Chee, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

KERIS telah dilancarkan oleh Puan Hajjah Normah binti Alwi, isteri kepada Yang Berhormat Hj Mohamad bin Sabu, Menteri Pertahanan Malaysia pada 15 April 2019. KERIS telah berjaya melepasi beberapa siri Ujian Penerimaan di Pelabuhan dan Ujian Penerimaan di Laut sebelum diserahkan secara rasmi. Pentauliahan KERIS akan berlangsung pada 6 Januari yang disempurnakan oleh Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, Panglima Tentera Laut. Kapal akan belayar pulang ke tanahair dan dijangka sampai ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 17 Januari.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut

DSC 1151Meriah! Warga Bahagian Sumber Manusia mengabadikan kenangan bersama 

HULU LANGAT, 22 Dis – Sambutan Hari Keluarga Bahagian Sumber Manusia (BSM) berlangsung meriah di Impian Rimba Resort, Hulu Langat, Selangor. Sambutan telah disempurnakan oleh YBhg. Asisten Ketua Staf Sumber Manusia (AKS SM), Laksamana Muda Anuar bin Mohamed dan isteri, Puan Hamidah bte Mat Kasim. Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim serta memupuk semangat berpasukan antara warga BSM disamping dapat beriadah dan merehatkan minda bersama keluarga.

Seramai hampir 400 warga hadir bersama keluarga demi memeriahkan sambutan hari keluarga yang buat pertama kalinya dilaksanakan. Konsep santai dan back to nature dipilih bagi sambutan hari keluarga ini bagi menggalakkan komunikasi serta ramah mesra antara Pengurusan Tertinggi BSM bersama warga dan keluarga.

Acara dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sukaneka yang melibatkan warga BSM, isteri serta anak-anak dan di antara acara yang dijalankan adalah Boling Kelapa, Pancing Botol, Isi Air Dalam Botol, Bawa Bola Ping Pong dan Larian Kasih Sayang. Pasangan suami isteri turut berpeluang bermain aktiviti sukaneka seperti Lari Ikat Kaki Berpasangan di mana acara ini turut disertai oleh YBhg. AKS SM dan Pengarah Dasar dan Perancangan Sumber Manusia. Acara Tarik Tali menjadi acara kemuncak untuk Hari Keluarga BSM sebelum acara cabutan bertuah dilaksanakan.

BSM akan berusaha menjadikan sambutan hari keluarga ini sebagai rutin acara tahunan Bahagian bagi meraikan warga BSM serta keluarga yang sentiasa bertungkus lumus memberikan komitmen bagi memastikan tugas dan tanggungjawab melibatkan perkhidmatan berjalan lancar. Semua yang hadir melahirkan rasa gembira serta turut berharap agar tradisi penganjuran hari keluarga setiap tahun dapat diteruskan.

Sumber : Bahagian Sumber Manusia Markas Tentera Laut
Artikel   : Lt Dya Nur Amirah binti Azahari
Foto      : LK PNK Muhamad Fairuz bin Azman

Klik ke galeri

JM1Bergambar bersama anak-anak Rumah Anak Yatim Anjung Kasih, Langkawi

LANGKAWI, 18 Dis – Satu program jiwa murni bersempena OP PATKOR MALINDO Siri 146/19 telah dilaksanakan bertempat di Rumah Anak Yatim Anjung Kasih, Langkawi melibatkan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL).

Program ini telah berlangsung seawal jam 0830H yang mana telah dirasmikan bersama oleh Ketua Gugusan Tugas TLDM, Kdr Mehamad Khairun bin Zakaria TLDM dan Asisten Logistik KOARMADA I TNI-AL, Kolonel Laut (T) Gatut Setiawan. Sebagai simbolik kepada acara perasmian program ini, aktiviti penanaman pokok telah dilaksanakan di perkarangan rumah anak yatim ini. Di kesemepatan itu juga, warga terlibat telah mengambil peluang untuk beramah mesra bersama anak-anak yatim dalam menerapkan hubungan persaudaraan dan keprihatinan kepada masyarakat.

Aktiviti yang dilakukan secara bersama-sama dan bersifat suka rela di kalangan warga tentera ini telah memberi kesan yang cukup mendalam kepada anak-anak yatim terlibat. Antara aktiviti yang telah dijalankan semasa program ini berlangsung adalah seperti mengecat dinding, memperbaiki lanskap dan pembersihan kawasan persekitaran.

Program ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama anak-anak yatim dan jamuan ringan oleh pihak penganjur pada jam 1100H.

Sumber : Perhubungan Awam MAWILLA 3
Artikel   : BK TLR Mohd Faderullah bin Mohd Ragi
Foto      : LK I TLS Noor Azrul Amirullah bin Mat Zin

Klik ke galeri

PATKOR1Upacara Penutup Op PATKOR MALINDO Siri 146/19 di MAWILLA 3

LANGKAWI, 17 Dis – Upacara Penutup OP PATKOR MALINDO Siri 146/19 telah disempurnakan dengan jayanya oleh Pemangku Panglima Wilayah Laut 3 (PANGWILLA 3), Kept Hj Mohd Redzuan bin Hj Talib TLDM. Ia merupakan rondaan bersama antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL). Kapal- kapal yang terlibat adalah KD LAKSAMANA TAN PUSMAH, KD LAKSAMANA HANG NADIM, KRI SIWAR dan KRI LEPU.

Kapal-kapal ini telah merapat di Tambatan Pangkalan Pulau Langkawi (TPPL) bermula jam 0830H sehingga jam 0930H dan disambut oleh warga MAWILLA 3. Upacara penutup telah berlangsung di Dewan Tun Rahah dengan dihadiri oleh warga TLDM dan warga TNI-AL. Memetik kepada ucapan penutupan oleh PANGWILLA 3, operasi ini adalah merupakan satu rondaan bersama yang sangat penting dalam menentukan keselamatan Selat Melaka bebas daripada ancaman subversif yang akan mengancam aktiviti komuniti Maritim.

Upacara penutup telah selesai sepenuhnya pada 1200H dan warga TLDM serta warga TNI-AL mengambil peluang untuk beramah mesra dan bergambar antara satu sama lain. Aktiviti petang diteruskan dengan acara sukan persahabatan di Kompleks Sukan MAWILLA 3.

Sumber  : Perhubungan Awam MAWILLA 3
Artikel    : BK TLR Mohd Faderullah bin Mohd Ragi
Foto       : LK I TLS Noor Azrul Amirullah bin Mat Zin

Klik ke galeri

FG30FG30 merupakan pelan jangka panjang bagi memperkasakan PSSTLDM

Bersesuaian dengan Dasar Pertahanan Negara yang menetapkan Angkatan Tentera Malaysia perlu mempunyai pasukan tetap dan juga pasukan simpanan, Pasukan Pegawai Simpanan Sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) menyokong tanggungjawab ini dengan memperkenalkan inisiatif baharu yang dikenali Future Generation 2030 (FG30).

FG30 mempunyai empat konsep perlaksanaan iaitu Learning & Information for Naval Reservist (LINar), Onboard Training Program (OTP ), Reservist Support Program (RSP) dan Digital Biometric Attendance System (D-BAS) yang bertujuan menyediakan modal insan terbaik bagi memenuhi keperluan masa hadapan.

Bagi memperkukuhkan lagi inisiatif FG30, PSSTLDM telah melaksanakan konsep latihan P3K-K3P di setiap unit PSSTLDM. Latihan P3K dirangka bagi meningkatkan kebolehan anggota PSSTLDM dalam aspek kecekapan, kerjasama dan kepimpinan. Selari dengan teras keempat yang digariskan di dalam amanat Yang Berbahagia Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany yang menginginkan warga PSSTLDM mampu berdaya saing dalam pelbagai aspek.

Sumber : Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Laut
Artikel   : Lt M Nur Zam Zainiena binti Zamli PSSTLDM
Foto      : Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Laut

 

Serah Terima Tugas MPABPanglima Armada Barat menandatangani siil serah terima tugas
Pegawai Memerintah KD PERANTAU

LUMUT, 2 Dis – Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) hari ini sekali lagi menjadi lokasi bagi Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Memerintah bagi dua buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD PERANTAU dan KLD TUNAS SAMUDERA. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia, Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah, Panglima Armada Barat yang turut menjadi saksi peralihan kuasa pemerintah ini. 

Majlis penuh istiadat ini dimulakan dengan sesi menandatangani sijil serah tugas diikuti upacara penurunan dan pertukaran insignia pemerintah. Seterusnya, warga Navy People turut menyaksikan simbolik penyerahan pemerintah oleh kedua-dua mantan pemerintah kepada pemerintah yang baru. Bagi KD PERANTAU, Kdr Azrul Nezam bin Asri TLDM telah menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Kdr Kamaruddin bin Yusoff TLDM manakala KLD TUNAS SAMUDERA pula menerima kehadiran Kdr Samsudin bin Abdullah TLDM sebagai pemerintah baru menggantikan Kdr Mohamad Nor bin Othman TLDM.

Panglima Armada Barat mengucapkan syabas dan tahniah buat pelantikan baru ini dan didoakan semoga kedua-dua kapal dapat meneruskan prestasi positif yang telah dicipta dan seterusnya mengekalkan nama baik agar TLDM sentiasa dipandang tinggi. Ucapan terima kasih turut diberikan kepada kedua mantan Pegawai Memerintah yang telah berjaya mengekalkan nama baik dan menunjukkan prestasi memberansangkan semasa memimpin kedua buah kapal ini.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB


FOCPanglima Armada Barat mematri kenangan bersama JLAKS Lumut
dan AJK MKSPS & MPOAB 2019

LUMUT, 2 Dis – Menjadi kelainan bagi Mesyuarat Panglima Operasi (MPO) apabila turut dilaksanakan bersama Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan Strategik (MKSPS) Armada Barat yang mengumpulkan keseluruhan Jawatankuasa Laksamana dan Barisan Asisten Ketua Staf yang berada di bawah kepimpinan Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah, Panglima Armada Barat. Mesyuarat ini telah berlangsung selama empat hari bermula 26 sehingga 29 November di Forest City Golf Resort, Gelang Patah, Johor.

MKSPS memfokuskan perbincangan hala tuju selain merancang pelataan dan penjajaran Pelan Strategik Markas dan mengenalpasti inisiatif dan program sokongan yang dapat menyokong yang dapat menambahbaik petunjuk prestasi utama Pelan Strategik Markas. MPO pula dilaksanakan dengan konsep perbincangan berkenaan isu semasa berkaitan kesiagaan dan pengoperasian aset TLDM dalam bidang kuasa Panglima Armada Barat adalah di tahap terbaik. Ia turut membincangkan cabaran dan inisiatif yang mampu ditambahbaik bagi memastikan keseluruhan eksesais dan operasi dapat terlaksana dengan berjaya.

Secara keseluruhannya, mesyuarat ini telah dapat mencapai objektifnya dan Markas Pemerintahan Armada Barat dijangka mampu melaksanakan segala perancangan mencakupi aspek pentadbiran, operasi dan eksesais dengan lebih baik pada tahun 2020.

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB



OTP KD Sri Pinang'Blended training’ memberi ruang kepada pegawai PSSTLDM
dekati lagi rutin dan tugasan di kapal

LUMUT, 24 Nov – Seramai tiga orang pegawai PSSTLDM dari KD Sri Pinang telah ditempatkan di kapal KD MAHAWANGSA melalui program ‘On Board Training Program’ atau lebih dikenali sebagai OTP. Program yang bermula pada 22 hingga 24 Nov 2019 ini merupakan salah satu usaha dan inisiatif daripada Bahagian Pengurusan Simpanan (BPS) TLDM bagi mendedahkan anggota PSSTLDM dengan rutin dan tugasan sebenar di kapal.

Penempatan Lt Ts. Isma Syahril Ismail PSSTLDM, Lt Dr. Sobra Mulisa PSSTLDM dan Lt Khairil Ihsam PSSTLDM di kapal Skuadron MPCSS telah disambut mesra oleh Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA, Kdr Harisundar A/L Rajoo TLDM. Melalui ucapan beliau ketika Majlis Sambutan Deepavali yang disambut bersama-sama anggota kapal di dek kereta kebal KD MAHAWANGSA, Kdr Harisundar mengalu-alukan kedatangan anggota PSSTLDM dan berharap agar mempelajari sebanyak mungkin ilmu semasa berada di kapal KD MAHAWANGSA ini.

Program OTP sedikit sebanyak telah memberi impak yang positif kepada pegawai PSSTLDM dalam mengikuti dan mengenali lebih dalam rutin harian di kapal TLDM di mana ianya agak berbeza dengan yang dipelajari di unit-unit simpanan. Terutamanya, rutin lawatan malam di kapal telah memberikan peluang kepada pegawai-pegawai yang mengikuti program ini mengenali dengan lebih dekat bahagian-bahagian kapal bermula dari dek, bahagian enjin, bahagian simpanan makanan sejuk beku, bahagian simpanan makanan-makanan kering, bahagian anjungan dan juga bahagian simpanan buku-buku berdarjah.

Initiatif yang diwujudkan oleh Pengarah BPS TLDM, Kepten Ismail Othman TLDM ini adalah bertepatan dengan misi BPS TLDM dalam “Reimagining Navy Reserve, Through Blended Training”. Usaha dalam mewujudkan konsep baru ini telah mendapat penerimaan yang amat positif dari anggota PSSTLDM dimana seramai 202 orang anggota dan juga pegawai PSSTLDM telah menyertai siri OTP November 2019, dimana ia melibatkan Markas Pemerintahan Armada Barat, Markas Pemerintahan Armada Timur, Markas Wilayah Laut 1 serta Markas Wilayah Laut 2.

Lt. Ts. Isma Syahril Ismail PSSTLDM yang merupakan Mikrobiologis dan juga Professional Halal Executive di syarikat Ayam Bismi Sdn Bhd berpuas hati kerana program sebegini dapat mewujudkan peluang kepada para professional diluar sana untuk turut serta dalam membantu menjaga keamanan negara. Bukan hanya dengan menyertai peperangan tapi dengan membantu menjaga nama baik TLDM serta menyumbangkan kepakaran dalam bidang berkaitan.

Artikel : Leftenan Ts. Isma Syahril Bin Ismail PSSTLDM
Foto    : Leftenan Khairil Ihsam Psstldm.

musical runMembudayakan amalan gaya hidup sihat mampu tingkatkan
produktiviti kerja individu dan organisasi

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Laut menganjurkan Musical Run bertempat di Bukit Dinding, Setiawangsa dengan penglibatan seramai lebih 144 orang termasuk staf KD SRI KLANG serta Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Laut Universiti Malaya.

Selain mengeratkan hubungan antara rakan sekerja, penganjuran ini juga bertujuan memupuk budaya bersukan dalam kalangan anggota TLDM dan juga PSSTLDM agar mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa kekal aktif meskipun pada hari bekerja.

Menurut pengarah Bahagian Pasukan Simpanan, Kepten Ismail bin Othman TLDM berkata gaya hidup yang sihat sangat penting bagi anggota tentera untuk mengekalkan ketahanan mental dan fizikal dalam menjalankan tugas harian dengan sebaik mungkin dan perlu diterapkan amalan gaya hidup yang sihat dalam diri kerana ia mampu meningkatkan produktiviti kerja.

“Sebagai anggota tentera, kita perlu sentiasa fit dan cergas kerana kita perlu menjadi duta untuk mendidik masyarakat pentingnya amalan gaya hidup sihat untuk kelangsungan hidup kerana apabila bersukan, badan kita akan lebih cergas dan bertenaga”, ujar beliau.

Sumber : Bahagian Pasukan Simpanan
Artikel   : Lt M Maryam Merlisa binti Ibrahim PSSTLDM
Foto      : Bahagian Pasukan Simpanan

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 719

Semalam 801

Bulan ini 8590

Keseluruhan 802250

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM