PORTAL RASMI TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA (TLDM)

Register Login

SISTEM PENGURUSAN STRATEGIK

Pengenalan

Sistem Pengurusan Strategik (SPS) TLDM merupakan sistem yang diguna pakai bagi mengurus pencapaian hala tuju jangka pendek dan panjang TLDM. Sistem ini merangkumi perancangan, pelaksanaan, penilaian dan penambahbaikan terhadap pencapaian hala tuju yang ditetapkan ke arah mencapai misi dan visi TLDM. Perancangan hala tuju TLDM adalah berpandukan kepada Pelan Strategik TLDM yang dibangunkan menggunakan metodologi Balanced Scorecard (BSC). Pelaksanaan SPS TLDM telah bermula sejak tahun 2004 dan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa. Pembangunan SPS TLDM melalui 3 fasa utama iaitu Fasa Pembangunan, Fasa Pelaksanaan dan Fasa Pemantauan dan Penilaian.


Pelan Strategik TLDM 

Pelan Strategik TLDM merupakan  perancangan jangka panjang dan jangka pendek TLDM ke arah mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan. Pelan strategik ini digunakan sebagai alat pengurusan strategik dan prestasi serta digunakan juga sebagai alat komunikasi ke arah mencapai misi dan visi TLDM yang ditetapkan.

Pelan Strategik TLDM dibangunkan oleh Pengurusan Tertinggi TLDM dan diluluskan oleh Lembaga Pengurusan Strategik (LPS) TLDM. Pelan ini akan digunakan bagi tempoh tertentu dan akan dikaji semula secara berkala sekurang-kurang sekali setiap tahun. Kajian semula Pelan Straregik TLDM dilaksanakan melalui Mesyuarat Kajian Semula Pelan Strategik (MKSPS) TLDM yang diadakan sekali setahun atau Mesyuarat LPS TLDM yang diadakan setiap suku tahun. 

TLDM telah melancarkan Pelan Strategik TLDM 2013-2020 (PS1320) pada awal bulan Januari 2013. Pelan yang dikaji semula ini telah dilata dan dijajarkan dengan Pelan Strategik ATM. Beberapa penambahbaikan juga turut dilaksanakan seperti penyusunan semula komponen peta strategi, pelaksanaan analisis risiko KPI dan pengintegrasian dengan KPI Outcome Based Budgeting (OBB).  

Lihat Peta Strategi TLDM 2013 - 2020.  



Lembaga Pengurusan Strategik (LPS) TLDM

Lembaga Pengurusan Strategik TLDM atau ringkasnya dikenali sebagai LPS TLDM merupakan Lembaga yang bertanggungjawab dalam aspek pengurusan strategik merangkumi penilaian prestasi, pengurusan inovasi dan kualiti serta pengurusan keutuhan dan tadbir urus dalam TLDM. LPS TLDM dipengerusikan oleh Panglima Tentera Laut dan ahli terdiri daripada Timbalan PTL, semua Panglima Formasi, Asisten Ketua Staf di Markas Tentera Laut, Ketua Pengarah Hidrografi, Pengarah Undang-undang, Marshal Provos TLDM dan Pegawai Waran TLDM. Lembaga ini akan bersidang setiap 3 bulan. 

 


Tim KPI TLDM

Tim KPI TLDM ditubuhkan bagi mengurus keperluan pembangunan Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) dalam TLDM. Tim ini bertindak sebagai pasukan perunding dalam penetapan KPI Pelan Strategik TLDM. Tugas dan tanggungjawab tim adalah seperti berikut:

a. Mengenal pasti dan membangunkan KPI.

b. Mengkaji dan menambah baik KPI dari semasa ke semasa.

c. Menjadi fasilitator kepada Markas Formasi dalam pembangunan KPI.

d. Membangun dan melaksanakan latihan yang bersesuaian bagi meningkatkan pengetahuan ahli tim.

e. Memajukan maklum balas kepada Pengurusan Atasan tentang hasil yang diperolehi dari semasa ke semasa.

Markas dan unit yang memerlukan bantuan atau kemusykilan dalam pembangunan KPI boleh menghubungi Ahli Tim yang telah dilantik. Lihat senarai Tim KPI TLDM. 


Ketua Pegawai Prestasi (KPP)

Bagi melancarkan pengurusan SPS TLDM, TLDM telah mewujudkan jawatan sebagai KPP di setiap markas dan unit TLDM. KPP bertanggungjawab kepada Panglima, Asisten Ketua Staf atau Pegawai Memerintah yang akan peneraju dalam membudayakan kecemerlangan berterusan di dalam organisasi sejajar dengan Objektif Strategik TLDM dalam Membudayakan Kecemerlangan Yang Berterusan. Peranan utama KPP adalah memimpin, merancang, memantau dan melapor segala program dan aktiviti utama pengurusan strategik, pengurusan prestasi, pengurusan risiko serta pengurusan kualiti dan inovasi kepada pihak pengurusan atasan. Lihat senarai KPP


Pegawai Pengurus Prestasi (PPP) 

PPP merupakan pegawai yang bertanggungjawab dalam memastikan pelaksanaan semua program dan aktiviti utama pengurusan strategik, pengurusan prestasi, pengurusan risiko serta pengurusan kualiti dan inovasi  mengikut perancangan dan keperluan yang ditetapkan. PPP berperanan dalam membantu KPP melaksanakan tugasnya. Lihat senarai PPP


Maklumat lanjut berkenaan SPS TLDM, sila hubungi:

Pengarah
Bahagian Pengurusan Strategik
Markas Tentera Laut
Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur
Tel: 03-20713071 


Paparan terbaik: Google Chrome/Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1600x900.

Top Desktop version