PORTAL RASMI TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA (TLDM)

Register Login

PANGLIMA TENTERA LAUT KE - 10

          LAKSAMANA TAN SRI DATO' SERI ABU BAKAR BIN ABDUL JAMAL
PGAT PSM SSAT SPMJ SPMS SIMP SPTS DPMJ DIMP DPTS PAT JMN SMJ KMN PPA PPM rcds psc

Sambil berehat di KLGCC, saya dapat merenung kembali dengan penuh kepuasan semasa dalam TLDM. Setiap pelaut punyai cita-cita awal dan saya bercita-cita untuk berkhidmat kepada negara dengan penuh maruah serta ingin menjadi Pegawai Memerintah kapal Frigat. Saya amat bersyukur kepada Allah yang maha berkuasa kerana dilahirkan pada masa yang betul dan bukan sahaja dapat dilimpahi RahmatNya malah lebih dari itu, saya dilantik menjadi Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia.

Minat Awal.
Sebagai anak muda yang dibesarkan di Segamat. Johor, minat saya pada Angkatan Tentera mula timbul dengan kehadiran unit Tentera Darat dan kekerapan melihat helikopter yang mengangkut pesakit. Anggota-anggota tentera kelihatan tenang dan yakin pada diri mereka dan secara senyap saya amat meminati kualiti sedemikian. Memasuki Cawangan Putera Markas Tentera Darat memanglah satu yang menggembirakan dan merupakan satu kemajuan yang nyata di samping menjadi asas untuk mendisiplinkan kehidupan saya.


Britannia Royal Naval College, UK.
Saya menyertai BRNC, Dartmouth pada September 1965. Pada asasnya, apa yang banyak kami pelajari semasa di Kolej Tentera Laut ini adalah untuk membuktikan latihan di sini sebagai sesuatu yang amat bernilai. Antara rakan sezaman dengan saya adalah Ng Chin Ping, Ramli Bakar, David Foo Chee Wah, Mohd Hussin Thamby. Mak Siew Wah dan Husaini. Kumpulan kami amat rapat antara satu sama lain dan semangat kekeluargaan ini masih kekal hingga sekarang. Latihan awal memperuntukkan program latihan di pangkalan dan di Skuadron Latihan Dartmouth yang dirancang dengan baik yang meliputi sukatan pelajaran Tentera Laut dan akademik yang luas. Lebih penting lagi ia memberi penekanan kepada tahap disiplin. kelakuan yang baik, pembentukan kerjaya dan etika kerja. Pembentukan Officer and Gentleman dilakukan di sini. Peluang untuk menanam minat pada bidang sukan dan jasmani turut diberi tumpuan sewajarnya.


Kebanggaan Dalam Perkhidmatan.

Kepulangan saya ke TLDM pada akhir tahun 1968 merupakan satu peristiwa yang amat membanggakan dan ditunggu-tunggu untuk berkhidmat dalam Tentera Laut di negara sendiri Pada masa saya mula berkhidmat di Armada, Tentera Laut telah mula ditadbir oleh kerajaan Malaysia. Pegawai atasan saya amat tegas tentang disiplin dan sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada anggota bawahan. Peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mencetus darurat serta kekecohan masyarakat awam adalah satu kenangan mengenai rusuhan kaum dan ketidakstabilan ekonomi yang menyedihkan Pada masa itu, TLDM merupakan sebuah organisasi tertutup yang sentiasa taat setia kepada negaranya. Ada kebanggaan dalam perkhidmatan yang tidak boleh saya lupakan sepanjang hayat. Ketika menjawat jawatan sebagai Panglima Tentera Laut, saya dikehendaki mengimplimentasikan hala tuju baru TLDM. Sepanjang proses pengimplimentasian ini, saya sering mengingati semula keadaan TLDM sebelumnya.

Mengubah Tentera Laut Air Cetek (Brown Water) Kepada Tentera Laut Air Dalam (Blue Water)
Perubahan kita daripada Tentera Laut Air Cetek kepada Tentera Laut Air Dalam berkembang secara semulajadi sejajar dengan pembangunan Armada. Perubahan ini juga agak ketara selepas krisis Pelarian Vietnam dan pengistiharan ZEE. Imej kita sebagai Tentera Laut juga turut berkembang melalui kerjasama serantau dan latihan yang dilaksanakan dengan negara sahabat seperti Britain, Perancis, India, China, Korea, Pakistan, Australia, New Zealand, Jepun dan Amerika Syarikat (AS). AS akan meneruskan kehadirannya di rantau ini melalui hubungan dua hala dengan beberapa buah negara dan atas kepentingan ekonomi globalnya. Adakalanya, negara menghadapi kekeruhan politik dengan mereka secara sementara. Justeru, terpulanglah pada TLDM untuk mengekalkan hubungan baik antara Tentera Laut. Pendekatan ini membolehkan kita mengelakkan salah faham dan rasa bimbang tetapi pada hakikatnya “Kita terpaksa berperang jika perlu.”

Keselamatan Serantau.
Tuntutan bertindih ke atas wilayah timbul apabila kita menuntut hak mutlak ke atas terumbu yang tidak kita duduki. Satu kes yang jelas adalah tuntutan kita ke atas Terumbu PAPA dan SIERRA yang mana Tentera Laut China tidak campur tangan kerana China telah memutuskan untuk membuat semua bantahan melalui saluran politik yang biasa diamalkan. Lain pula halnya dengan Filipina, mereka agak sensitif. Untuk menanganinya, kita wujudkan perjanjian “Lautan Selamat.” Kita juga telah mewujudkan perjanjian yang sama dengan Indonesia. Dengan itu, kita mampu mempertahankan hubungan baik antara perkhidmatan bagi memelihara keamanan di rantau ini di samping melindungi, Saya pernah memerintah sebuah kapal di tengah kekecohan ‘Ops CABUT’ dan saya dapati tidak begitu bermasalah dalam memenuhi arahan kerajaan bagi mengusir pelarian keluar dari perairan kita. Dalam keadaan berkenaan, kita perlu banyak menggunakan kebijaksanaan kerana setiap situasi mempunyai penilaian yang berlainan. Jika kita bersih dan menjauhi rasuah, keputusan yang diambil akan menjadi lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Tentera Laut telah mempamerkan imej yang bersih walaupun pernah beberapa kali disogok dengan rasuah dan kepentingan lain daripada pelarian bagi mendapat kebebasan mendarat di negara kita. Walaupun kita simpati di atas penderitaan mereka, kita tidak mengambil sebarang kesempatan ke atas pelarian. Dalam perkara yang lain pula, pegawai harus mampu menghayati dan menampilkan diri dalam aspek sosial. Jika dibandingkan, interaksi sosial adalah lebih baik jika dibandingkan dengan 15 ke 20 tahun dahulu. Sifat terlalu sensitif terhadap ajaran agama dan terlalu menjaga kepentingan material dianggap antara faktor utama yang menyumbang kepada pemikiran sempit. Tetapi apa yang saya dapati semasa berada di laut, suasana di Mes Pegawai kapal dipenuhi dengan interaksi yang sihat. Persoalan sama ada terdapat atau tidak minuman keras di mes-mes tidak menjadi isu. Saya rasa ia lebih kepada sikap yang menganggap “lebih mulia daripada kamu” yang perlu diketepikan oleh pegawai- pegawai Islam. Pegawai Kanan Islam pula perlu berusaha untuk memberikan tunjuk ajar. Saya sangat berharap untuk melihat semangat setiakawan dikembalikan semula walaupun saya sudah bersara.

Ke Arah Armada Yang Moden
Tentera Laut telah mengharungi proses pemodenan serta perkembangan hasil dari sumbangan semua Panglima Tentera Laut sejak negara merdeka. Saya percaya kerajaan telah mengambil masa yang panjang untuk memutuskan pembelian kapal selam walaupun ia telah diilhamkan oleh Tan Sri Wahab. Saya rasa amat bertuah dapat meyakinkan semula YAB Perdana Menteri pada September 1999. TLDM harus menggesa semua program dengan serius agar mencapai kemampuan Tentera Laut Air Dalam sepenuhnya termasuk semua aspek pembangunan iaitu bantuan udara. pembekalan semula armada, teknologi persenjataan dan lain-lain lagi. Bagi mengendalikan semua aset. kita harus menguruskan Pembangunan Sumber Manusia dengan sempurna meliputi pengetahuan dan pendidikan, kewangan yang sihat, kerjasama dengan tentera laut sahabat serta pengguna teknologi lain dan membuktikan TLDM berguna kepada kerajaan dalam penggubalan polisi antarabangsa. Saya amat bersetuju jika wanita menyertai Perkhidmatan Tetap TLDM. Kita mesti mengambil kira keadaan sebenar sosial masyarakat Malaysia, kemudahan fizikal yang terdapat di kapal dan dalam masa yang sama menggalakkan amalan ajaran Islam. Kita juga patut mempunyai Dasar Angkatan Tentera yang relevan dalam menentukan peranan Armada. Saya amat berharap dengan adanya publisiti yang lebih menonjol tentang teknologi tinggi TLDM, kita pasti akan dapat menarik lebih ramai belia bukan Melayu untuk menyertai TLDM. Peluang untuk mengikuti pengajian tinggi dan etika kerja dalam TLDM amat baik seperti mana yang saya alami dan ia juga amat bermanfaat kepada dunia awam.


 


Paparan terbaik: Google Chrome/Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1600x900.

Top Desktop version