Category: MantanPTL Published Date Uploaded by LK I KOM Abdul Rahman bin Abdullah Hits: 964

LAKSAMANA DATO' SRI MOHD ANWAR BIN HJ MOHD NOR
PSAT PSD SSAP DPMS DPTS PAT JSM JSD PMP KAT KMN BKT PPA MSc EBM (Warwick) jssc psc
Laksamana Dato’ Sri Mohd Anwar bukanlah muka baru dalam TLDM. Semasa remaja dan zaman persekolahan lagi, beliau telah menetap di Pangkalan Tentera Laut British di Sembawang, Singapura. Sejak itu, beliau telah tertarik dengan pakaian seragam putih anggota Tentera Laut dan kehebatan kapal- kapal mereka. Tambahan pula, bapa beliau bekerja sebagai seorang anggota polis di Limbungan Sembawang. Beberapa “orang lama” TLDM masih ingat akan seorang budak sekolah yang kerap bersama mereka bermain hoki di KD MALAYA.
Laksamana Dato’ Sri Mohd Anwar merupakan kumpulan pengambilan pertama yang telah menerima latihan asas memakai seragam rekrut di Pangkalan TLDM Woodlands sebelum dihantar ke BRNC Dartmouth, United Kingdom pada tahun 1968. Dalam kumpulan pengambilan beliau yang terdiri daripada 15 pegawai, hanya beliau dan Laksamana Pertama Dato’ Danyal Balagopal (Penasihat Editorial buku ini) sahaja yang masih berkhidmat dalam TLDM. Laksamana Anwar telah ditauliahkan sebagai Lt Madya pada tahun 1971.
Merupakan seorang yang berbakat tinggi dalam sukan hoki, beliau pernah mewakili Gabungan Sekolah-Sekolah Singapura, pasukan BRNC Dartmouth, pasukan TLDM dan juga peringkat kebangsaan. Semasa dalam TLDM. beliau pernah terperangkap dalam membuat keputusan yang sukar sama ada untuk menyertai pasukan negara dalam pertandingan Piala Dunia ataupun kekal dalam TLDM. Takdir telah menentukan yang pilihan beliau terhadap TLDM telah merugikan pasukannya pada masa itu tetapi kini telah menguntungkan TLDM. Antara pencapaian besarnya dalam sukan hoki ialah ketika beliau mewakili negara dalam Sukan Asia pada tahun 1974.
Laksamana Dato’ Sri Mohd Anwar telah menimba pengalamannya melalui beberapa perjawatan termasuk berkhidmat di KD JERAI (MCM) pada tahun 1970 dan sebagai Pegawai Panduarah Skuadron KD PERDANA (FAC M) pada tahun 1972. Semasa berpangkat Leftenan TLDM, beliau dilantik sebagai Pegawai Memerintah KD PENDEKAR
(FPB), KD KERAMBIT (PC) dan KD KRIS (PC). Beliau telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Komander pada tahun 1978 dan terus diperjawatkan sebagai Pegawai Memerintah KD PENDEKAR (FAC M). Setelah dinaikkan ke pangkat Komander, beliau telah diperjawatkan sebagai Pegawai Memerintah KD HANDALAN merangkap Pegawai Kanan Skuadron FAC (M) ke-2. Memandangkan beliau pernah memegang jawatan Pegawai Latihan Laut di KD HANG TUAH, beliau telah diberi kesinambungan tersebut dengan memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah kapal tersebut dari 1984 hingga tahun 1986 (jawatan Pemerintahan kapal beliau yang terakhir).
Untuk menjadi seorang pegawai TLDM yang baik dan cemerlang, kerjaya seseorang itu perlu seimbang dan turut didedahkan kepada pelbagai jawatan termasuk di pangkalan serta jawatan-jawatan staf. Laksamana Anwar telah berpeluang memegang beberapa jawatan di pangkalan seperti berikut:
1. Pegawai Staf 3 Anggota di Markas Tentera Laut.
2. Pegawai Laksana KD SRI LABUAN.
3. Pegawai Latihan di KD PELANDOK (Kem KHAT1B).
4. Ahli Pasukan Projek ASTT.
5. Komander Latihan di PUSTAKMAR.
6. Pegawai Staf I IJ di Markas Tentera Laut.
7. Pegawai Memerintah KD PELANDOK sebaik sahaja dinaikkan ke pangkat Kepten TLDM.
8. Pegawai Pengiring DYMM Yang Di Pertuan Agong 1992.
9. Pengarah Cawangan Komunikasi dan Peperangan serta Pengarah Perisikan di Markas Tentera Laut.
Setelah dinaikkan ke pangkat Laksamana Pertania pada tahun 1996, Dato’ Sri Mohd Anwar dilantik sebagai Inspektor Jeneral TLDM. Beliau kemudiannya memikul jawatan Pemerintahan di WP Labuan sebagai Panglima Wilayah Laut 2 (Sabah dan Sarawak) mulai tahun 1997 hingga tahun 1999. Selepas itu, beliau memegang jawatan sebagai Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera dan beliau merupakan pegawai TLDM pertama memegang jawatan tersebut. Sebaik sahaja dinaikkan ke pangkat Laksamana Muda pada tahun 2000, beliau sekali lagi diberi penghormatan untuk memegang jawatan Pemerintah dan kali ini sebagai Panglima Armada TLDM. Pada 11 Oktober 2000, beliau telah bertukar ke diperjawatkan sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut.
Sepanjang perkhidmatan beliau dalam TLDM. beliau berpeluang mengikuti beberapa kursus kepakaran dan Kursus- Kursus Staf. Beliau telah menghadiri kursus Navigasi dan Panduarah pada 1971 dan kursus Pegawai Peperangan Utania pada 1978 di HMS DRYAD, United Kingdom. Beliau telah menghadiri Kursus Staf di Staff College Rhode Island, Amerika Syarikat pada tahun 1981 dan kemudiannya menghadiri kursus di Joint Services Staff College (JSSC) di Canberra, Australia pada tahun 1988. Selepas itu, beliau menghadiri kursus Defence Resource Management di Monterrey, Naval Post Graduate School pada tahun 1995. Sebagai Panglima, beliau juga mengikuti kursus Higher Leadership and Management (PRA JUSA) di INTAN, Kuala Lumpur pada tahun 1999. Pada tahun 2003, beliau telah dianugerahkan Masters in Engineering Business Management dari Universiti Warwick, United Kingdom.
Laksamana Dato’ Sri Mohd Anwar telah berkahwin dengan Datin Sri Siti Hapsah bt Hj Omar dan dikurniakan dengan empat orang cahayamata, seorang lelaki dan tiga perempuan. Laksamana Dato’ Sri Mohd Anwar mengambil alih tugas Panglima Tentera Laut pada 13 Ogos 2003. Terkenal dengan pegangannya sebagai "Bapa Kualiti”, beliau mempunyai aspirasi untuk mengembalikan semangat TLDM ke persada dunia. Beliau telah menggariskan beberapa objektif seperti berikut:
1. Mengendalikan TLDM secara profesional.
2. Mengembalikan nilai-nilai kor pegawai.
3. Menjadikan anggota TLDM sebagai angkatan kerja yang berkeupayaan dan berkemahiran.
4. Memimpin pegawai-pegawai dan anggota TLDM ke arah kecemerlangan.
“TLDM akan menjadi angkatan laut bertaraf dunia’’