
Biarpun masa yang terluang hanya 45 minit, YBhg Laksamana Tan Sri Aziz turut diberi penghormatan untuk mengarahkan salah satu babak dalam telemovie ini dan secara simboliknya merasmikan pembikinan telemovie ‘Rentas Samudera’ yang membariskan pelakon terkenal tanahair seperti Fahrin Ahmad, Nur Fathia Abd latif, Julia Ziegler dan Qazeem Noor.
Ternyata peluang yang diberikan oleh TLDM terhadap Maficomm Resources Sdn Bhd selaku penerbit dan Aziz M. Osman sebagai pengarah telemovie ‘Rentas Samudera’ ini disambut baik oleh warga KD PAHANG di mana lokasi penggambaran dilaksanakan.

Keceriaan terpancar di wajah YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz sepanjang berada di set penggambaran dan beliau sempat memberikan kata-kata perangsang kepada tim produksi serta barisan pelakon.
Semoga pembikinan telemovie ini berjalan dengan lancar serta mampu menghasilkan sebuah produk yang berkualiti untuk dipertontonkan oleh rakyat Malaysia sekaligus memartabatkan imej TLDM sebagai sebuah pasukan yang sentiasa menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Sebelum itu, tim penggambaran telemovie ‘Rentas Samudera’ telah memulakan penggambaran mulai 11 Jun lalu dan akan berakhir pada 18 Jun ini.

Rujukan: 150612/5
Sumber: Perhubungan Awam Markas Tentera Laut
Artikel: BK PRL Normahaily Mohd Nor
Gambar: Perhubungan Awam Markas Wilayah Laut 1