PORTAL RASMI TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA (TLDM)

Register Login

KENAIKAN PANGKAT ADALAH AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB- PANGLIMA TENTERA LAUT

KUALA LUMPUR, 18 Jun – ”Kenaikan pangkat datang dengan amanah dan tanggungjawab,” demikian ujar Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Hj Jaafar semasa menyempurnakan majlis Pemakaian Pangkat pegawai-pegawai TLDM di sekitar Lembah Klang bertempat di KD SRI GOMBAK di sini, pagi ini.

 

Tegas beliau, walaupun kenaikan pangkat merupakan pengiktirafan ke atas kemampuan dan prestasi penyandang pangkat, namun ia juga mengingatkan tentang peranan dan tanggungjawab yang harus dipikul dalam pangkat yang lebih tinggi.  Tambahan pula, beliau percaya bahawa pemilihan tersebut adalah bertepatan dan wajar sebagai tauladan dan semangat bukan sahaja kepada pegawai-pegawai TLDM malah kepada warga TLDM yang lain. 

Panglima Tentera Laut juga mengharapkan agar para pegawai yang dinaikkan pangkat akan terus memberikan komitmen dan mencurah khidmat bakti dengan ikhlas demi perkhidmatan yang lebih cemerlang dan bermakna.

Majlis tersebut menyaksikan Komander Mohd Izzudin Ahmad TLDM dan Komander Zaharuddin Hj Mohd Maideen TLDM dinaikkan ke pangkat Pemangku Kepten TLDM mulai 15 Jun 12.  Manakala Leftenan Komander Jalaludin Yusof TLDM dan Leftenan Komander Ahmad Sapuan Fathi Hj Muhammad TLDM dinaikkan ke pangkat Pemangku Komander TLDM mulai 1 Jun 12.

Sementara itu, Leftenan Mohd Khairul Jamal Hamad TLDM dan Leftenan Farah Mohamad Alhabshi TLDM pula dinaikkan ke pangkat Pemangku Leftenan Komander mulai 1 Jun 12.

Walau bagaimanapun, salah seorang daripada pegawai yang dinaikkan ke pangkat Komander TLDM iaitu Leftenan Komander Mohd Adzam Omar TLDM tidak dapat bersama-sama di dalam majlis tersebut kerana sedang mengikuti kursus Defence Resource Management di Amerika Syarikat.

Istimewanya, majlis pada hari ini turut menyaksikan tiga daripada pegawai yang dinaikkan pangkat menyambut ulang tahun kelahiran mereka yang kebetulan jatuh pada bulan Jun. 

Rujukan: 180612/01
Sumber : Perhubungan Awam Markas Tentera Laut
Artikel : BK PRL Normahaily bin Mohd Nor
Jurufoto : LK PNK Mohd Faris Rassuly Matt Nor  

Last modified on Tuesday, 19 June 2012 17:20
Rate this item
(2 votes)

Paparan terbaik: Google Chrome/Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1600x900.

Top Desktop version