PORTAL RASMI TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA (TLDM)

Register Login

KELAB BINTARA MKTL BERAMAL DI MADRASAH TAHFIZ AL-QURAN AL ISLAH

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Meskipun Ramadhan telah hampir sampai ke penghujung, namun aktiviti mengimarahkan bulan yang mulia ini masih rancak diadakan di sana sini.  Kelab Bintara Markas Tentera Laut (MkTL) tidak ketinggalan turut mengadakan aktiviti seperti program amal sebagai salah satu aktiviti kelab itu di bulan yang penuh keberkatan ini.

 

   

Kira-kira jam 11 pagi tadi, seramai 10 orang wakil dari Kelab Bintara MkTL diketuai Yang Dipertuanya, Pegawai Waren II Ahmad Mokhtar Daud telah berkunjung ke Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Islah di Jalan AU 2 di sini untuk menyerahkan beberapa sumbangan bagi menampung keperluan madrasah tersebut.

Madrasah yang telah ditubuhkan sejak 6 tahun lalu dinaungi sepenuhnya oleh YBhg Laksamana Muda Dato’ Engku Zainal Abidin Hj Engku Ngah yang telah bersara sejak 11 tahun lalu.  Madrasah tersebut menempatkan seramai 12 orang pelajar berumur dalam lingkungan 10 hingga 15 tahun, empat daripadanya merupakan anak anggota TLDM.  Menariknya, pelajar tersebut merupakan generasi pertama sejak pengambilan dibuka pada tahun lalu. 

Menurut Dato’ Engku Zainal, beliau amat terharu atas kunjungan julung kali itu.  Menganggap kunjungan itu sebagai satu rahmat di bulan Ramadhan, beliau amat berterima kasih kepada Kelab Bintara MkTL yang prihatin dan sudi menghulurkan sumbangan berupa keperluan dapur untuk kegunaan madrasah tersebut.

Menyentuh tentang masa depan pelajar-pelajar itu, beliau menegaskan setelah menamatkan pengajian selama tiga tahun di madrasah itu, pelajar tersebut berpeluang melanjutkan pelajaran di mana-mana sekolah terutama dalam aliran agama.

Menurut beliau lagi, selain yuran berjumlah RM100 seorang yang digunakan untuk menampung perbelanjaan bulanan berjumlah RM4500, madrasah tersebut turut memperoleh sumber kewangan daripada ahli usrah seramai 23 orang serta sumbangan daripada individu-individu tertentu.


Dalam kunjungan singkat itu, Kelab Bintara MkTL telah menyumbangkan beberapa barangan dapur serta sumbangan duit raya kepada pelajar-pelajar.  Turut hadir, Pegawai Waren TLDM, PW I KOM (I) Norhashim Jantan.


Rujukan : 070812/03

Sumber : Cawangan Perhubungan Awam Markas Tentera Laut

Artikel/Foto:  P/PW II PRL Normahaily Mohd Nor

Last modified on Monday, 03 September 2012 13:17
Rate this item
(0 votes)

Paparan terbaik: Google Chrome/Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1600x900.

Top Desktop version