PENGURUSAN INOVASI TLDM

PENUBUHAN JAWATANKUASA PENGURUSAN INOVASI MARKAS PEMERINTAHAN/FORMASI DAN PEMBUDAYAAN INOVASI

1. PanglimaPemerintahan/Pegawai Memerintah mempunyai peranan yang penting dalam menggalak dan menginstitusikan budaya inovasi di Markas/Bahagian/Cawangan/ Jabatan/Unit masing-masing. Panglima Pemerintahan/Pegawai Memerintah dikehendaki mengambil tindakan-tindakan berikut bagi melaksanakan peranan tersebut.

2. Setiap Markas/Bahagian/Cawangan/Jabatan/Unit hendaklah mengadakan struktur pengurusan inovasi bagi membolehkan pembentukan budaya inovasi secara sistematik. Struktur pengurusan ini akan menerajui program pembudayaan inovasi di peringkat organisasi.

3. Markas Pemerintahan TLDM dikehendaki menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Inovasi bagi merancang dan menginstitusikan budaya inovasi. Jawatankuasa tersebut perlu bersidang setiap 3 bulan. Keanggotaan jawatankuasa dan bidang tugas boleh merujuk kepada BRL 60 - Manual Pengurusan Strategik TLDM.

4. Markas/Bahagian/Cawangan/Jabatan/Unit perlu melaksanakan tindakan berikut bagi memenuhi keperluan pembudayaan inovasi:

a. Pelan Tindakan Inovasi Organisasi. Markas/Bahagian/Cawangan/ Jabatan/Unit perlu menyediakan Pelan Tindakan Inovasi yang mengandungi aktivit-aktiviti pembudayaan inovasi secara terancang seperti penganjuran kursus dan ceramah inovasi. Objektif bagi setiap aktiviti hendaklah ditetapkan secara jelas dengan jadual pelaksanaan yang khusus. Setiap inovasi yang dihasilkan perlu dipantau daripada peringkat perancangan sehingga diaplikasikan. Kajian impak inovasi perlu dilaksanakan untuk memastikan inovasi berkenaan memberi faedah yang dihasratkan. Inovasi yang berjaya perlulah dikongsi di peringkat organisasi.

b. Program Kesedaran/Kursus. Markas/Bahagian/Cawangan/Jabatan/Unit perlu melaksanakan usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang perlunya pendekatan inovasi dalam perkhidmatan. Ia boleh dilakukan melalui kempen, pameran, seminar, ceramah, pertandingan dan sebagainya. Usaha ini penting bagi menambah ilmu inovasi serta meningkatkan daya pemikiran kreatif bagi seluruh warga markas/unit dalam melaksanakan kerja dan tugasan harian. Warga perlu didedahkan dengan ilmu penjanaan inovasi serta penggunaan tools bagi penghasilan projek yang berimpak tinggi serta mampu memberi pulangan positif dan faedah kepada TLDM dan kerajaan. Keadah penjanaan idea menggunakan tools National Blue Ocean Strategy (NBOS) seperti Canvas Strategy dan kaedah Eliminate, Reduce, Raise and Create (ERRC) boleh digunakan untuk penghasilan idea atau projek berimpak tinggi.

c. Cadangan Inovasi dari Warga Organisasi. Markas/Bahagian/Cawangan/ Jabatan/Unit perlu memastikan terdapat mekanisme untuk menggalakkan pengumpulan cadangan daripada warga organisasi yang boleh menghasilkan inovasi atau peningkatan proses kerja yang bernilai tinggi. Warga organisasi adalah melibatkan seluruh warga termasuk pihak pengurusan atasan dan anggota bawahan markas/unit. Maklum balas yang diterima daripada warga hendak direkod dan dipantau supaya tindakan penambahbaikan dapat diambil.

d. Cadangan Inovasi Daripada Pelanggan. Markas/Bahagian/Cawangan/ Jabatan/Unit perlu menyediakan saluran bagi membolehkan pelanggan mengemukakan cadangan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan. Maklum balas dan aduan pelanggan boleh digunakan untuk mencetuskan idea bagi mewujudkan inovasi. Maklum balas yang diterima daripada pelanggan hendak direkod dan dipantau supaya tindakan penambahbaikan dapat diambil.

e. Maklum Balas Pelanggan. Maklum balas pelanggan di semua peringkat iaitu pihak pengurusan atasan, warga markas/unit dan pelanggan sama ada pihak TLDM/Agensi Luar perlu diperolehi bagi mengetahui keberkesanaan perlaksanaan sesuatu projek yang dihasilkan supaya tindakan penambahbaikan dapat diambil bagi mempertingkatkan lagi ciri-ciri dan faedah projek yang dihasilkan. Maklum balas boleh diperolehi melalui mekanisme yang disediakan oleh markas/unit seperti Peti Cadangan, Forum, E-mel dan Media Sosial. Pihak markas/unit perlu memastikan mekanisme disediakan bagi memudahkan warga/pelanggan memberi maklum balas.

f. Kumpulan Inovatif dan Kreatif. Markas/Bahagian/Cawangan/Jabatan/ Unit perlu menubuhkan Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) yang dapat menghalusi cadangan dan idea luaran atau dalaman dan seterusnya menggerakkan pelaksanaan inovasi. Pertandingan KIK di pelbagai peringkat boleh dianjurkan bagi memupuk persaingan sihat dan meningkatkan penglibatan serta minat warga organisasi untuk menghasilkan inovasi.

g. Organisasi Pembelajaran. Organisasi pembelajaran (organizational learning) perlu dijadikan sebagai platform yang berkesan untuk memupuk budaya perkongsian ilmu di Markas/Bahagian/Cawangan/Jabatan/Unit. Budaya perkongsian ilmu akan memudahkan penjanaan idea dan penghasilan inovasi bagi dimanfaatkan oleh warga organisasi.

h. Pengurusan Ilmu. Markas/Bahagian/Cawangan/Jabatan/Unit perlu menyediakan pangkalan data yang sesuai bagi menyimpan dan menguruskan segala idea, ilmu dan inovasi yang dihasilkan. Sekiranya perlu, sesuatu inovasi boleh didaftarkan mengikut saluran tertentu untuk mendapatkan Hakcipta dan Paten bagi melindungi idea di bawah Akta Harta Intelek.

i. Pengiktirafan. Markas/Bahagian/Cawangan/Jabatan/Unit boleh memberi pengiktirafan dalam bentuk insentif yang pelbagai kepada individu atau kumpulan yang berjaya menghasilkan inovasi. Pengiktirafan berbentuk sijil, surat penghargaan, surat sokongan APC, surat tawaran kursus serta penganjuran majlis juga boleh diberikan kepada kumpulan yang berjaya.

j. Promosi. Hasil inovasi yang berjaya dilaksanakan hendak dipromosikan kepada warga organisasi, pelanggan dan stakeholders melalui pelbagai kaedah. Promosi boleh dilakukan melalui pengedaran risalah, buletin The QUEEN, email, Portal Rasmi TLDM dan sebagainya.

k. Kolaborasi. Pendekatan kolaborasi perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kerjasama dalam penjanaan idea, penyelesaian masalah secara bersama dan pengkongsian ilmu. Kolaborasi boleh diwujudkan sama ada dengan Agensi Luar/Agensi Swasta/Agensi Antarabangsa/Pihak Komuniti/Agensi Kerajaan. Kolaborasi penting dalam perlaksanaan inisiatif dan projek inovasi.

l. Inovasi Berteraskan Sosial. Inovasi berteraskan sosial perlu dihasilkan dimana inovasi tersebut bukan sahaja memberi faedah kepada warga TLDM malahan boleh diperluaskan penggunaan kepada rakyat dengan menghasilkan faedah seperti berikut:

(1) Mengatasi cabaran sosial.

(2) Meningkatkan penyampaian perkhidmatan secara berkesan dan meningkatkan kepuasan pelanggan/rakyat.

(3) Meningkatkan keselesaan persekitaran kerja serta memudahkan proses kerja secara berkesan.

m. TMK Sebagai Pemangkin Inovasi. Penghasilan inovasi berteraskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) adalah digalakkan disebabkan inovasi tersebut memberi pulangan faedah seperti penjimatan kos, memudahkan dan mempercepatkan proses kerja serta meningkatkan pengetahuan TMK di kalangan warga markas/unit. Penghasilan inovasi berteraskan TMK menggunakan kepakaran dalaman (in-house) adalah penting bagi mengelakkan penggunaan kepakaran luar (out-source) yang akan melibatkan penggunaan sumber kewangan markas/unit.

n. Penambahbaikan Projek Secara Berterusan. Projek KIK yang dihasilkan perlu dilaksanakan penambahbaikan berterusan supaya projek tersebut dapat memberi impak dan pulangan positif yang tinggi kepada unit serta TLDM. Projek yang dapat memberi faedah kepada rakyat perlu diketengahkan bagi menyokong seruan kerajaan dalam meringankan beban rakyat. Kajian impak boleh dilaksanakan bagi mengetahui keberkesanan penghasilan dan penggunaan projek yang dihasilkan. Kajian boleh dilaksanakan menggunakan borang maklum balas atau menggunakan sistem feedback melalui sistem/peranti ICT.

5. Inovasi yang dihasilkan bukan bertujuan untuk menyertai pertandingan dan mendapatkan pengiktirafan semata-mata sebaliknya inovasi secara berterusan digalakkan bagi meningkatkan budaya inovasi dalam perkhidmatan.

6. Inisiatif/inovasi yang dihasilkan perlu melibatkan proses peringkat perancangan, pembangunan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan supaya faedah dapat dihasilkan secara berteruskan.

PENGANJURAN HARI INOVASI

1. Hari Inovasi TLDM ditetapkan pada 10 Mei setiap tahun atau pada minggu pertama bulan Mei. Hari Inovasi TLDM perlu diraikan pada setiap tahun dengan mengadakan pelbagai program ke arah peningkatan budaya inovasi dalam TLDM.

2. Setiap Markas/Bahagian/Cawangan/Jabatan/Unit perlu menganjurkan cadangan aktiviti berikut semasa Hari Inovasi bagi memenuhi keperluan kriteria Audit SSR:

a. Ucap tama Hari Inovasi oleh Panglima/Pegawai Memerintah atau pakar inovasi yang berpengalaman.

b. Pembentangan projek inovasi oleh individu atau kumpulan kerja inovasi.

c. Seminar inovasi.

d. Ceramah/taklimat oleh pakar-pakar inovasi.

e. Pameran inovasi kepada warga, agensi sektor awam dan orang awam (sekiranya perlu).

f. Penyampaian insentif dan anugerah kepada warga organisasi.

MEKANISME PELAPORAN INOVASI

1. Hasil inovasi TLDM yang memberi impak dan bernilai tinggi akan dilaporkan oleh setiap Markas Formasi kepada Cawangan Pengurusan Inovasi, Bahagian Inspektorat Jeneral, Markas Tentera Laut dan seterusnya dilaporkan kepada Panglima Tentera Laut semasa mesyuarat Lembaga Pengurusan Strategik. Laporan hendaklah dikemukakan pada minggu pertama bulan Januari, April, Julai dan Oktober.

2. Hasil inovasi TLDM yang berimpak tinggi akan diketengahkan untuk menyertai pertandingan peringkat ATM, Kementerian Pertahanan atau Kebangsaan. Semua hasil inovasi ini juga perlu dilaporkan oleh Cawangan Pengurusan Transformasi, Bahagian Inspektorat Jeneral, Markas Tentera Laut kepada Unit Inovasi, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KEMENTAH.

3. Hasil inovasi yang terpilih akan dimuatkan di dalam Buku Cetusan Inovasi TLDM yang diterbitkan secara berkala (setiap tiga tahun).

PEKELILING TRANSFORMASI PENTADBIRAN AWAM BILANGAN 1 TAHUN 2016 (MAMPU)

1. Berpandukan arahan Pekeliling Transformasi Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2016 yang dikeluarkan oleh MAMPU, TLDM telah memperkenalkan 4 kategori pertandingan inovasi baharu bagi menggantikan 8 kategori pertandingan yang lama, bersesuaian dengan kategori pertandingan Horizon Baharu KIK yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertahanan pada Tahun 2017.

2. 4 kategori pertandingan inovasi baharu yang diperkenalkan adalah seperti berikut:

a. Inovasi Sosial Kategori Penciptaan.

b. Inovasi Sosial Kategori Penambahbaikan.

c. Inovasi Penyampaian Perkhidmatan Kategori Penciptaan.

d. Inovasi Penyampaian Perkhidmatan Kategori Penambahbaikan.


PERTANDINGAN HORIZON BAHARU KIK

1. Pertandingan inovasi baharu adalah dikenali sebagai Pertandingan Horizon Baharu KIK terbahagi kepada 4 kategori inovasi seperti berikut:

a. Inovasi Sosial Kategori Penciptaan. Bidang Inovasi Sosial merangkumi kaedah penyelesaian baharu (idea, model dan perkhidmatan) yang mampu memenuhi kepentingan sosial dengan lebih berkesan dan mengutamakan penglibatan rakyat. Fokus pelaksanaan inovasi sosial tidak hanya kepada pencapaian impak sosial semata-mata, malah memberikan penekanan kepada proses penglibatan rakyat dalam membangunkan sesuatu inovasi. Penciptaan bermaksud menghasilkan suatu produk, perkhidmatan atau proses yang baharu dan belum pernah dilaksanakan di TLDM dan Malaysia.

b. Inovasi Sosial Kategori Penambahbaikan. Bidang Inovasi Sosial merangkumi kaedah penyelesaian baharu (idea, model dan perkhidmatan) yang mampu memenuhi kepentingan sosial dengan lebih berkesan dan mengutamakan penglibatan rakyat. Fokus pelaksanaan inovasi sosial tidak hanya kepada pencapaian impak sosial semata-mata, malah memberikan penekanan kepada proses penglibatan rakyat dalam membangunkan sesuatu inovasi. Penambahbaikan bermaksud melaksanakan perubahan ke atas sesuatu produk, perkhidmatan atau proses sedia ada melalui kaedah yang inovatif agar menjadi lebih berkualiti serta berdaya saing.


c. Inovasi Penyampaian Perkhidmatan Kategori Penciptaan. Bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan bermatlamat meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan ke arah penyampaian perkhidmatan yang bersepadu dan lancar serta meningkatkan kepuasan hati pelanggan. Inovasi yang dihasilkan perlu mempunyai nilai tambah serta berupaya menyediakan perkhidmatan yang lebih inovatif, memperluas liputan perkhidmatan dan mudah diakses rakyat. Penciptaan bermaksud menghasilkan suatu produk, perkhidmatan atau proses yang baharu dan belum pernah dilaksanakan di TLDM dan Malaysia.

d. Inovasi Penyampaian Perkhidmatan Kategori Penambahbaikan. Bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan bermatlamat meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan ke arah penyampaian perkhidmatan yang bersepadu dan lancar serta meningkatkan kepuasan hati pelanggan. Inovasi yang dihasilkan perlu mempunyai nilai tambah serta berupaya menyediakan perkhidmatan yang lebih inovatif, memperluas liputan perkhidmatan dan mudah diakses rakyat. Penambahbaikan bermaksud melaksanakan perubahan ke atas sesuatu produk, perkhidmatan atau proses sedia ada melalui kaedah yang inovatif agar menjadi lebih berkualiti serta berdaya saing.

2. Maklumat lanjut berkenaan kriteria penilaian, permarkahan dan pelaporan boleh dirujuk di navy.mil.my/Informasi/Penerbitan/Panduan/Horizon Baharu KIK 2017.

Read 40691 times

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 376

Semalam 412

Bulan ini 6433

Keseluruhan 335918

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM