MAJLIS SAMBUTAN DEEPAVALI WISMA SAMUDERA 2018

Lumut, 13 Nov 18 - Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, bangsa, agama dan perayaan, The Navy People juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menzahirkan sambutan Hari Deepavali. Oleh itu, satu majlis sambutan telah diadakan di Dewan Khatulistiwa, Wisma Samudera pada jam 2030H. Majlis tersebut telah dikoordinasikan oleh para pegawai berbangsa india yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Lumut dengan kerjasama Wisma Samudera.

1
Ketibaan Yang Berbahagia Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Hj Mohamad Adib Bin Abdul Samad,
Panglima Armada Barat Diiringi oleh Penaung Majlis
Yang Berbahagia Laksamana Muda Dato'Ganesh a/l Navaratnam Panglima Wilayah Laut 2

2
Tetamu kehormat diiringi oleh Tarian Burung Merak
yang juga merupakan tarian tradisional india

4
Para Tetamu Menikmati Pelbagai Juadah
Traditional India Yang Telah Disediakan

Sebagai simbolik pembukaan, tarian Baratha Natiyam, tarian klasikal india yang tertua dan berasal daripada india selatan telah dipersembahkan oleh penari dari Sri Agni Dance Group. Majlis juga dimeriahkan lagi dengan persembahan dari Badan Kesenian TLDM (BAKES). Tetamu kehormat iaitu Yang Berbahagia Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Hj Mohamad Adib Bin Abdul Samad Panglima Armada Barat telah hadir bersama isteri bagi memeriahkan lagi majlis sambutan Deepavali Wisma Samudera 2018.

5
Persembahan tarian daripada Badan Kesenian TLDM (BAKES)

6
Perhiasan Kolam yang diperbuat dari
tepung dan beras yang diwarnakan

7
Sesi bergambar Jawatankuasa Penganjur Majlis Sambutan Deepavali Wisma Samudera 2018
bersama Penaung Maljis, Yang Berbahagia Laksamana Muda Dato' Ganesh
a/l Navaratnam Panglima Wilayah Laut 2

Para Hadirin juga dihidangkan dengan makanan tradisional india seperti Briyani, Chappati, Puttu Mayam, Laddhu, Payaasam dan Jilebhi. Kaunter inai juga dibuka untuk hadirin yang berminat mewarnakan tangan mereka. Tetamu kehormat mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya malaksanakan sambutan yang amat meriah dan diharap sambutan perayaan-perayaan sebegini akan diteruskan pada masa akan datang.

Rujukan : 161118/05
Sumber : Perhubungan Strategik Markas Armada Barat
Artikel : Lt Dya Kanthan a/l Jeyaprakash TLDM
Jurufoto : Perhubungan Strategik Markas Armada Barat

PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI. WARGA NAVY PEOPLE HARGAI JASA KEPIMPINAN TERDAHULU DAN BERI SOKONGAN PADA KEPIMPINAN BAHARU

Lumut, 15 Okt – Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) telah melaksanakan majlis pemakaian pangkat bagi dua orang Jawatankuasa Laksamana, dua orang Pegawai Kanan TLDM dan seorang Kehormat PSSTLDM. Turut terlaksana adalah majlis ini adalah majlis Serah Terima Tugas bagi beberapa jawatan tertinggi dalam pengurusan TLDM dimulai Serah Terima Tugas Komander Pangkalan Lumut (KOMPAL), Panglima Pendidikan dan Latihan (PPL) dan yang tertinggi iaitu Panglima Armada Barat (PA Barat). Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin di Auditorium Venus, Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan (MPPL).

1
Simbolik Serah Tugas Panglima Armada Barat

Warga Navy People di Pangkalan TLDM hadir memberi sokongan kepada kepimpinan baru dan memenuhi ruang dewan bermula mulai jam 8.30 pagi. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Samudera Raya dengan penuh semangat oleh kesemua warga Navy People yang hadir. Seterusnya majlis diteruskan dengan acara pemakaian pangkat oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Haji Ahmad Badaruddin diiringi Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib bin Abdul Samad, Mantan Panglima Armada Barat.

Seramai dua orang Jawatankuasa Laksamana, dua orang pegawai kanan TLDM telah dinaikkan pangkat. Turut terlaksana adalah penganugerahan Kepten Kehormat PSSTLDM kepada Pengarah Transformasi Pendidikan MARA Corporation. Senarai pemakai pangkat seperti berikut:

a. Laksamana Muda ke Laksamana Madya
1) Laksamana Muda Dato’ Haji Rusli bin Ramli

b. Laksamana Pertama kepada Laksamana Muda
1) Laksamana Pertama Dato’ Sabri bin Zali

c. Kepten TLDM kepada Laksamana Pertama
1) Kepten Mohd Fadzli Kamal bin Mohd Mohaldin TLDM
2) Kepten Khir Junaidi bin Idris TLDM

d. Dikurniakan Kepten (Kehormat) PSSTLDM
1) Prof. Dr. Sakina Sofia binti Baharom – MARA

2
PTL bergambar bersama JLAKS dan
Kehormat PSSTLDM yang dinaikkan pangkat

Meneruskan acara, Panglima Tentera Laut telah menyempurnakan sesi tandatangan Sijil Serah Terima Tugas bagi beberapa jawatan penting di Armada Barat. Majlis Serah Terima Tugas ini dimulai dengan jawatan Komander Pangkalan Lumut di antara Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Alias bin Baharuddin dan Laksamana Pertama Roslan bin Mohd Yunus. Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Alias akan bercuti dan seterusnya meneruskan persaraan setelah berkhidmat hampir 42 tahun bersama TLDM. Laksamana Pertama Roslan yang bakal menggantikan beliau sebelum ini telah berkhidmat sebagai Panglima Udara. Seterusnya, Majlis Serah Terima Tugas diteruskan dengan jawatan Panglima Pendidikan dan Latihan (PPL) di antara Laksamana Madya Dato’ Haji Rusli bin Ramli dan Laksamana Muda Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah. Selama 1 tahun 9 bulan memacu MPPL, beliau sentiasa memastikan warga The Navy People sentiasa di landasan latihan yang betul. Antara inisiatif beliau adalah mewujudkan Blueprint Pendidikan dan Latihan dan Pelan POLARIS. Laksamana Muda Dato’ Aris Adi Tan yang menggantikan beliau pernah menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Bahagian Komunikasi dan Elektronik Pertahanan di Markas Angkatan Tentera Malaysia (MATM).

3
PTL bersama mantan dan juga KOMPAL, PPL dan PA Barat baru

Majlis di MPPL berakhir dengan majlis menandatangi Sijil Serah Terima Tugas Panglima Armada Barat di antara Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib bin Abdul Samad dan Laksamana Madya Dato’ Haji Rusli bin Ramli. Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib bakal bersara daripada perkhidmatan setelah berkhidmat hampir 41 tahun bersama TLDM. Sepanjang berkhidmat, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib sentiasa mementingkan kebajikan warga, pengoperasian kapal dan aktiviti keagamaan. Beliau telah menjadi perintis bagi program lawatan kebajikan ‘Ziarah Kasih’ dan sentiasa memantau operasi dan perkembangan pembaikan kapal-kapal di bawah naungan MPAB.

Gambar 4
Street Lining Persaraan Mantan PA Barat

Dalam ucapan beliau, Panglima Tentera Laut telah menzahirkan rasa kesyukuran atas segala kerjasama dan bantuan Mantan KOMPAL dan Mantan Panglima Armada Barat sepanjang mereka berkhidmat. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa TLDM sentiasa memberi ruang yang sama dan menggalakkan warga Navy People untuk berjaya dalam kerjaya mereka. Panglima Tentera Laut turut menyarankan agar kesemua warga berganding bahu dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan baharu agar modal insan kita diperkukuh seterusnya mendokong kepada Transformasi 15to5.

Gambar 5
TPA Barat menyerahkan cenderahati daripada MPAB kepada
Laksdya Dato’ Pahlawan Hj Mohamad Adib sebagai tanda kenang-kenangan

6
Semoga Allah S.W.T sentiasa memberkati kedua ikon ini

Usai majlis di MPPL, warga Navy People di Armada Barat telah melaksanakan majlis ‘send off’ atau ‘street lining’ bagi mengiringi Mantan Panglima Armada Barat keluar pangkalan simbolik penyerahan tampuk pemerintahan secara rasmi. Tradisi ini adalah bagi menghargai setiap pemimpin tertinggi TLDM atas jasa dan pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat bersama TLDM. ‘Street lining’ telah disertai oleh hampir 200 Pegawai dan anggota Lain-lain Pangkat yang berkhidmat di Markas Pemerintahan Armada Barat dan unit bawah naungan. Fair Winds and Following Seas, Dato!

Artikel : 161118/04
Artikel : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Kelulusan : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Jurufoto : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB

PANGLIMA ARMADA BARAT SAMPAIKAN AMANAT PENUH BERMAKNA YANG TERAKHIR BUAT WARGA NAVY PEOPLE

Lumut, 15 Okt – Warga Navy People di Pangkalan TLDM Lumut hari ini bersama-sama berkumpul di Auditorium M.Sidek Shabudin hari ini bagi mendengarkan amanat yang disampaikan oleh Panglima Armada Barat. Majlis Amanat dan Ramah Mesra hari ini turut dihadiri oleh warga Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) Laut Lumut.

1
Nyanyian penuh semangat warga Navy People

2
Lontaran ingatan dan nasihat yang terakhir
daripada PA Barat kepada warga

Dianggarkan seramai hampir 1000 warga hadir mulai jam 9 pagi dan memenuhi ruang yang disediakan. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Samudera Raya dengan penuh semangat oleh kesemua warga Navy People yang hadir. Seterusnya majlis diteruskan dengan penyampaian amanat oleh Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib bin Abdul Samad, Panglima Armada Barat. Mengimbau kembali, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib telah menjawat jawatan sejak 10 Julai yang lalu. Sepanjang berkhidmat sebagai Panglima Armada Barat, Laksdya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib sentiasa mementingkan kebajikan warga, pengoperasian kapal dan aktiviti keagamaan. Beliau telah menjadi perintis bagi program lawatan kebajikan ‘Ziarah Kasih’ dan sentiasa memantau operasi dan perkembangan pembaikan kapal-kapal di bawah naungan MPAB.

3
Penuh! Warga Navy People memenuhi ruang di
Auditorium M.Sidek Shabudin

Dalam ucapan beliau, Panglima Armada Barat menyatakan hasrat berbangga dapat berkhidmat dan bertemu warga Navy People. Beliau turut menzahirkan rasa bersyukur dan terima kasih atas hari-hari yang dilalui sepanjang berada dalam perkhidmatan. Beliau menekankan aspek keselamatan dan turut berharap kesemua warga sentiaa menentukan keselamatan dalam melaksanakan tanggungjawab sehari-hari. Soal keselamatan merupakan faktor yang tidak boleh dipandang enteng dan tiada kompromi. Selain itu, beliau turut mengingatkan kepada warga untuk meengamalkan sikap yang positif dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Turut sama diingatkan agar semua warga dapat menjalinkan kerjasama utuh dan sentiasa bersikap terbuka dan fleksibel agar komunikasi dua hala dapat dijalinkan seterusnya melicinkan pentadbiran.

4
Penyerahan sijil penghargaan atas kejayaan
KD LEKIU dalam Eksesais Rim of the Pacific

5
Be the First! Warga Pangkalan TLDM Lumut
bergambar kenangan bersama PA Barat

Dalam majlis yang sama, turut dilaksanakan penyerahan Sijil Penghargaan kepada Kepten Abdul Halim bin Haji Shaari TLDM dan KD LEKIU atas prestasi terbaik dan mencipta pelbagai kejayaan dalam mempertingkat imej Malaysia dalam eksesais maritime terbesar bertaraf dunia itu. Majlis diakhiri dengan bacaan doa dan jamuan ringan Panglima Armada Barat bersama warga di sekitar Auditorium M.Sidek Shabudin.

Rujukan : 141118/01
Artikel : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Kelulusan : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Jurufoto : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB

RAIKAN KELUARGA, HARGAI MEREKA! HARI KELUARGA MARKAS PEMERINTAHAN ARMADA BARAT MERIAH

Lumut, 10 Okt – Sambutan Hari Keluarga Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) berlangsung meriah di Pusat Latihan Kemahiran Air (PLKA) di Pangkalan TLDM Lumut. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib bin Abdul Samad dan isteri, Datin Saadiah binti Haji Ibrahim.

Gambar 1
Laksdya Dato’ Pahlawan Hj Mohamad Adib dan
Datin Saadiah merasmikan Hari Keluarga

Gambar 2.1
Antara gambar aktiviti yang telah terlaksana

Gambar 2.2

Seramai hampir 600 warga hadir bersama keluarga demi memeriahkan sambutan hari keluarga yang saban tahun dilaksanakan ini. Konsep santai dan minimal jadi pilihan tahun ini bagi tujuan menggalakkan komunikasi dan ramah mesra antara pengurusan tertinggi Markas bersama warga Navy People dan keluarga. MPAB berusaha bagi menjadikan Hari Keluarga sebagai rutin tahunan Markas bagi meraikan staf serta keluarga yang sentiasa bertungkus lumus memberi semangat selain turut membantu memastikan setiap aktiviti melibatkan perkhidmatan berjalan lancar melalui sokongan moral yang tidak berbelah bahagi.

Gambar 3.1
Kanak-kanak ceria dan seronok dengan pengisian program

Gambar 3.2
Kanak-kanak ceria dan seronok dengan pengisian program

Majlis yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1 petang menyaksikan majlis bermula dengan pelancaran Hari Keluarga. Pelbagai aktiviti sukaneka berjaya menarik minat warga untuk memberikan sokongan dan melibatkan diri dalam setiap acara, sesuai dengan visi MPAB, Jadilah Yang Pertama. Keseluruhan 19 acara sukaneka telah terlaksana dengan lancar dan menyeronokkan seperti Kerusi Berirama, Lari Dalam Guni, Kutip Gula-gula dan Tiup Belon Sehingga Pecah. Pasangan suami isteri turut berpeluang bermain aktiviti yang mencuit hati seperti Makin Jauh Makin Sayang, Tikar Ajaib dan Lari 3 Kaki.

Gambar 4.1
Pelbagai hadiah menarik menanti mereka yang bertuah

Gambar 4.2

Gambar 5
Patri kenangan. Hari Keluarga MPAB 2018 meriah!

Debaran menanti setiap warga yang hadir apabila cabutan bertuah turut dilaksanakan. Tahniah kepada yang bertuah dan jutaan terima kasih diucapkan kepada Panglima Armada Barat dan Isteri atas kesudian meyampaikan hadiah cabutan bertuah. Setiap yang hadir melahirkan kegembiraan dan keceriaan dan berharap agar tradisi penganjuran hari keluarga setiap tahun dapat diteruskan.

Rujukan : 121118/04
Artikel : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Kelulusan : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Jurufoto : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB

KD SRI JOHOR MENERUSKAN INSIATIF TRILATERAL MARITIME PATROL (TMP) BERSAMA KAPAL TENTERA LAUT FILIPINA

SANDAKAN, 12 November 2018 –Kapal Diraja SRI JOHOR (KD SRI JOHOR) hari ini sekali lagi telah melaksanakan program Trilateral Maritime Patrol (TMP) bagi Siri Ke-18 dalam tahun 2018. Inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan kerjasama 3 buah negara Malaysia, Indonesia dan Filipina kali ini melihatkan KD SRI JOHOR telah melaksanakan pertemuan bersama kapal Tentera Laut Filipina (TLP) BRP DIOSCORO PAPA (PS 381) di sekitar garis sempadan maritim di antara kedua-dua buah negara iaitu 6.7 Batu Naunika Timur Laut Pulau Mataking Kecil, Malaysia. Kedua-dua buah kapal tersebut sedang melaksanakan rondaan di kawasan perairan negara masing-masing dan telah membuat pertemuan untuk Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM).

1
KD SRI JOHOR dan BRP DIOSCORO PAPA
memulakan pertemuan di laut

2
Sesi perbincangan dan pertukaran maklumat operasi
oleh Tim Pemerintah kedua-dua kapal

Program kali ini telah bermula dengan KD SRI JOHOR yang diperintah oleh Lt Kdr Mohd Faizul bin Yaacob TLDM bertemu dengan BRP DIOSCORO PAPA yang diperintah oleh Lt Rey Remigo PN. Kedua-dua kapal telah mengadakan perbincangan operasi di mana perkongsian maklumat dilakukan dan seterusnya perancangan latihan dilaksanakan oleh tim pemerintah KD SRI JOHOR dan BRP DIOSCORO PAPA. Selain daripada itu, kedua-dua kru kapal mengadakan aktiviti crossdeck yang melibatkan lawatan ke tempat kerja masing-masing bagi mengenali tatacara dan prosedur yang diguna pakai oleh TLDM dan TLP. Usaha ini akan memantapkan lagi persefahaman di antara anggota TLDM dan TLP serta memberi peluang kepada mereka mengenali rakan sejawat yang akan beroperasi bersama.

3
Sesi Bergambar KD SRI JOHOR dan BRP DIOSCORO PAPA
sebelum memulakan latihan

Pertemuan ini juga merupakan kali pertama bagi KD SRI JOHOR di bawah pemerintahan Lt Kdr Faizul yang baharu menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah mulai 5 November 2018 di bawah program TMP. Inisiatif TMP dilihat telah menghasilkan impak yang memberansangkan di mana sejak tahun 2017 dan berjaya menghindarkan peningkatan jenayah rentas sempadan. Inisiatif rondaan TMP sebegini diharap dapat meningkatkan keyakinan masyarakat setempat dan antarabangsa ke atas keupayaan negara Malaysia dan Filipina bersama Indonesia dalam mengurus isu keselamatan maritim terutamanya di Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Sejurus selesai sesi perkongsian maklumat dan interaksi melibatkan kru kedua-dua buah kapal, KD SRI JOHOR dan BRP DIOSCORO PAPA meneruskan latihan bersama di laut. Antara latihan yang dilaksanakan adalah Replenishment at Sea Approach (RASAP), Kibaran Bendera (Semaphore) dan Latihan Manuvra Taktis (MANTAK). Kesemua latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan interoperabiliti di antara kedua-dua tentera laut.

4
Latihan Semaphore dan PXP

5
Latihan MANTAK di antara kedua-dua kapal

Rondaan bersama dan pertemuan ini akan diteruskan untuk memudahcara pertukaran maklumat berkaitan ancaman semasa di kawasan persempadanan perairan kedua-dua buah negara. Di samping dapat menurunkan kadar jenayah rentas sempadan dan mengekalkan kestabilan keselamatan maritim, inisiatif rondaan bersama TMP ini juga menjadi salah satu medium bagi kedua-dua angkatan laut yang mewakili negara masing-masing untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala serta memperoleh manfaat daripada perkongsian ilmu dan latihan bersama yang dijalankan. Selesai pertemuan, kedua-dua kapal tersebut kembali meneruskan rondaan di perairan negara masing-masing.

Rujukan : 121118/03
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel : Lt Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Jurufoto : KD SRI JOHOR

LARIAN DAN SENAMAN AEROBIK MAWILLA 3

Langkawi 9 Nov 18 – Markas Wilayah Laut 3 (MAWILLA3) telah mengadakan satu aktiviti larian dan senaman aerobik di Pantai Chenang sebagai sukan pangkalan. Seramai 120 orang anggota tentera termasuk staf awam telah hadir bagi menjayakan aktiviti ini. Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Mohamad Azuwan bin Harun turut hadir memeriahkan acara.

1
Warga MAWILLA 3 melakukan pemanasan

2
Acara larian sejauh 3 KM

Aktiviti ini telah diadakan seawal jam 7 pagi dimulai dengan larian pantai sejauh 3 km dan diikuti dengan senaman aerobic oleh staf Jurulatih Jasmani Markas. Aktiviti seumpama ini dapat mengeratkan silatulrahim dan menjalin persaudaraan serta mengakrabkan antara sesama warga MAWILLA 3. Selesai aktiviti, semua warga membuat gotong royong mengutip sampah sepanjang pantai sebelum beredar pulang.

3
Warga MAWILLA 3 melakukan senam aerobik
yang dikelola oleh Jurulatih Jasmani

4
Warga MAWILLA 3 melaksanakan gotong royong
membersihkan kawasan sekitar pantai

Pihak Pengurusan Tertinggi Markas Wilayah Laut 3 telah mengambil inisiatif untuk menjadikan pengisian semasa hari sukan pangkalan lebih produktif dan berkualiti kepada semua peringkat dalam menjaga tahap kecergasan disamping mengekalkan BMI pada tahap yang ideal. Selain itu, aktiviti ini juga dapat membantu warga untuk melepaskan tekanan selepas bertungkus lumus melaksanakan tugasan seharian.

Rujukan : 121118/02
Sumber : Perhubungan Awam MAWILLA 3
Artikel : LK I TLS Noor Azrul Amirullah bin Mat Zin
Jurufoto : LK I TLS Noor Azrul Amirullah bin Mat Zin

PROGRAM KEMBARA DAKWAH SAMUDERA ANTARA JABATAN AGAMA ISLAM PAHANG (JAIP) DAN TLDM (KD TERENGGANU)

Tanjung Gelang, 31 Oktober 18 - Satu program kerohanian iaitu PROGRAM KEMBARA DAKWAH SAMUDERA telah berjaya dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersama MAWILLA 1 pada hari ini. Seramai 23 orang peserta dari JAIP berpeluang mengikuti pelayaran bersama KD TERENGGANU bagi melaksanakan aktiviti berbentuk kerohanian tersebut disamping melaksanakan pelupusan abu Al-Quran seberat 2 tan semasa pelayaran. Program selama dua hari ini berjalan dengan lancar dimana semua objektif utama program dapat dicapai dengan jayanya. Majlis bermula seawal jam 7.30 pagi dan para peserta mendaftar serta melapor diri di KD TERENGGANU. Seterusnya majlis telah dirasmikan oleh yang YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang sambil disaksikan oleh Ketua Ketua Jabatan Markas dan Pegawai Memerintah yang hadir. Pada jam 10.00 pagi kapal telah keluar belayar dari TPK dan menuju ke perairan Pulau Tioman.

1
Majlis Perasmian Program dan sesi
Memberi Cenderahati

2

3

4

Pelbagai program telah dilaksanakan sepanjang pelayaran seperti solat Zohor dan Asar secara berjemaah dan ceramah agama. Pada jam 3.00 petang, acara pelupusan abu Al-Quran dilakukan secara beramai-ramai dengan melepaskan abu ke dalam laut. Upacara dilakukan penuh tertib bagi menghormati kitab utama umat Islam itu. Para peserta tidak melepaskan peluang merasai sendiri pengalaman membuang abu berkenaan walaupun keadaan laut sedikit bergelora.

5
Upacara pelupusan abu al-Quran dilakukan

6

7

8Solat berjemaah dan Forum Al-Muqarrabin

9

Jam 5.00 petang, kapal telah selamat bersauh di kawasan Teluk Tekek, Pulau Tioman. Pada sebelah malam, setelah selesai solat Maghrib dan Isyak berjemaah, satu Forum Al-Muqarrabin telah dilaksanakan dan dikelolai oleh pihak JAIP. Forum tersebut mengupas tentang isu isu semasa berkaitan umat Islam di negara kita dan permasalahan akidah umat Islam ketika ini. Pada jam 12.30 malam, kapal telah membongkar sauh dan bersedia untuk pulang ke TPK. Pada keesokan harinya para peserta dan anggota kapal menyertai program qiamullail dan gempur Subuh di KD TERENGGANU. Kapal telah selamat sampai ke TPK pada jam 10.00 pagi. Semua peserta bergembira dan berpuas hati di atas pelayaran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini berlangsung.

Rujukan : 311118/05
Artikel : Lt Dya Muhammad Rusydi Bin Rosli TLDM
Jurufoto : Perhubungan Raya MAWILLA 1

DIPLOMASI PERTAHANAN MALAYSIA AUSTRALIA TERUS ERAT

KOTA KINABALU, 21 Oktober - Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) sekali lagi menerima lawatan kapal Tentera Laut Australia HMAS STUART yang tiba pada jam 18 Oktober lalu selesai Eksesais BERSAMA LIMA di Singapura. Kapal kelas Frigat yang membawa seramai 190 orang krew dan dinakhodakan Kdr Chris Leece telah berada di PTKK untuk lawatan operasi selama empat hari sebelum dijangka meneruskan pelayaran ke Vietnam.

1
Gambar sekitar ketibaan HMAS STUART

2

3

Ketibaan kapal ini di PTKK telah disambut meriah oleh delegasi TLDM dan warga kapal ini turut dipersembahkan oleh tarian pelbagai etnik sebagai simbolik keramahan masyarakat berbilang kaum Sabah dalam menerima tetamu. Lawatan seperti ini adalah penting dalam usaha mengeratkan lagi hubungan baik antara dua negara ini yang telah sedia terjalin.

4
Gambar sekitar ketibaan HMAS STUART

5

Kapal seterusnya telah keluar belayar pada 21 Okt untuk melaksanakan latihan PASSEX bersama KD SELANGOR sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.

Rujukan : 221018/02
Sumber : Komunikasi Strategik Armada Timur
Artikel : Lt Dinie Zuhri TLDM
Jurufoto : LK I TLS Zulhakimi
               LK I PNK Sumiah
               LK I PNK Rahman

LATIHAN PENEMBAKAN LATIHAN PENEMBAKAN SENJATA KECIL DI LAUT KD KELANTAN

KOTA KINABALU, 20 Okt – Latihan penembakan senjata kecil adalah salah satu keperluan bagi setiap unit TLDM terutama unit kapal yang beroperasi. Latihan bertujuan untuk memastikan kesiapsiagaan warga kapal dalam mengendalikan senjata kecil serta memastikan kefungsian senjata di tahap tertinggi.

564AF594 27BE 4541 A83C F2FD0F0C80B0
Bacaan doa sebelum memulakan latihan

Di samping itu, latihan ini bagi memenuhi keperluan Fleet Exercise and Practice Guide (FXPG). Pihak kapal telah mengambil peluang melaksanakan latihan ini di geladak penerbangan semasa kapal beroperasi di laut, dalam masa yang sama memberi peluang kepada Leftenan Muda PSSTLDM yang ditumpangkan ke kapal bagi mengikuti latihan fasa laut merasai pengalaman latihan penembakan senjata kecil di kapal. 

02C5F1F7 9178 42D1 9F73 1CCC1B9D4CD6
Pertandingan penembakan senjata kecil

B2F88DC8 DC3E 4DDF 9076 F9EB0A648948
Pegawai PSSTLDM diberi peluang
mengendalikan Pistol Glock 17

Latihan penembakan dilaksanakan berkonsepkan pertandingan. Semua warga kapal serta Pegawai PSSTLDM telah dibahagikan mengikut jabatan masing-masing dalam pertandingan tersebut. Latihan dimulakan dengan taklimat dan tatacara pengendalian senjata kecil oleh Pegawai Peperangan Atas Air dan staf persenjataan kepada warga yang terlibat.

5B6B27CD BD95 4C5C AA88 5E105A233166
Pengiraan mata terkumpul pada sasaran

A3633B94 0754 4022 9613 D690A3BEE413
Bacaan Ikrar selesai latihan

Latihan penembakan telah bermula pada jam 0900H dan berakhir 1130H. Kesemua persiapan dan perlaksanaan latihan telah berjalan lancar hasil kerjasama oleh semua warga kapal. Latihan penembakan diakhiri dengan bacaan ikrar oleh warga kapal.

Rujukan : 221018/01
Sumber : Komunikasi Strategik Armada Timur
Artikel : Lt Dya Faidz TLDM
Jurufoto KD KELANTAN

PENGAMBILAN PERAJURIT MUDA TLDM SIRI 219/18

424ee300 330d 4cb2 a2df a6e35aeda2ec

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 675

Semalam 804

Bulan ini 2315

Keseluruhan 770746

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM