RAIKAN KELUARGA, HARGAI MEREKA! HARI KELUARGA MARKAS PEMERINTAHAN ARMADA BARAT MERIAH

Lumut, 10 Okt – Sambutan Hari Keluarga Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) berlangsung meriah di Pusat Latihan Kemahiran Air (PLKA) di Pangkalan TLDM Lumut. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Mohamad Adib bin Abdul Samad dan isteri, Datin Saadiah binti Haji Ibrahim.

Gambar 1
Laksdya Dato’ Pahlawan Hj Mohamad Adib dan
Datin Saadiah merasmikan Hari Keluarga

Gambar 2.1
Antara gambar aktiviti yang telah terlaksana

Gambar 2.2

Seramai hampir 600 warga hadir bersama keluarga demi memeriahkan sambutan hari keluarga yang saban tahun dilaksanakan ini. Konsep santai dan minimal jadi pilihan tahun ini bagi tujuan menggalakkan komunikasi dan ramah mesra antara pengurusan tertinggi Markas bersama warga Navy People dan keluarga. MPAB berusaha bagi menjadikan Hari Keluarga sebagai rutin tahunan Markas bagi meraikan staf serta keluarga yang sentiasa bertungkus lumus memberi semangat selain turut membantu memastikan setiap aktiviti melibatkan perkhidmatan berjalan lancar melalui sokongan moral yang tidak berbelah bahagi.

Gambar 3.1
Kanak-kanak ceria dan seronok dengan pengisian program

Gambar 3.2
Kanak-kanak ceria dan seronok dengan pengisian program

Majlis yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1 petang menyaksikan majlis bermula dengan pelancaran Hari Keluarga. Pelbagai aktiviti sukaneka berjaya menarik minat warga untuk memberikan sokongan dan melibatkan diri dalam setiap acara, sesuai dengan visi MPAB, Jadilah Yang Pertama. Keseluruhan 19 acara sukaneka telah terlaksana dengan lancar dan menyeronokkan seperti Kerusi Berirama, Lari Dalam Guni, Kutip Gula-gula dan Tiup Belon Sehingga Pecah. Pasangan suami isteri turut berpeluang bermain aktiviti yang mencuit hati seperti Makin Jauh Makin Sayang, Tikar Ajaib dan Lari 3 Kaki.

Gambar 4.1
Pelbagai hadiah menarik menanti mereka yang bertuah

Gambar 4.2

Gambar 5
Patri kenangan. Hari Keluarga MPAB 2018 meriah!

Debaran menanti setiap warga yang hadir apabila cabutan bertuah turut dilaksanakan. Tahniah kepada yang bertuah dan jutaan terima kasih diucapkan kepada Panglima Armada Barat dan Isteri atas kesudian meyampaikan hadiah cabutan bertuah. Setiap yang hadir melahirkan kegembiraan dan keceriaan dan berharap agar tradisi penganjuran hari keluarga setiap tahun dapat diteruskan.

Rujukan : 121118/04
Artikel : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Kelulusan : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Jurufoto : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB

KD SRI JOHOR MENERUSKAN INSIATIF TRILATERAL MARITIME PATROL (TMP) BERSAMA KAPAL TENTERA LAUT FILIPINA

SANDAKAN, 12 November 2018 –Kapal Diraja SRI JOHOR (KD SRI JOHOR) hari ini sekali lagi telah melaksanakan program Trilateral Maritime Patrol (TMP) bagi Siri Ke-18 dalam tahun 2018. Inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan kerjasama 3 buah negara Malaysia, Indonesia dan Filipina kali ini melihatkan KD SRI JOHOR telah melaksanakan pertemuan bersama kapal Tentera Laut Filipina (TLP) BRP DIOSCORO PAPA (PS 381) di sekitar garis sempadan maritim di antara kedua-dua buah negara iaitu 6.7 Batu Naunika Timur Laut Pulau Mataking Kecil, Malaysia. Kedua-dua buah kapal tersebut sedang melaksanakan rondaan di kawasan perairan negara masing-masing dan telah membuat pertemuan untuk Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM).

1
KD SRI JOHOR dan BRP DIOSCORO PAPA
memulakan pertemuan di laut

2
Sesi perbincangan dan pertukaran maklumat operasi
oleh Tim Pemerintah kedua-dua kapal

Program kali ini telah bermula dengan KD SRI JOHOR yang diperintah oleh Lt Kdr Mohd Faizul bin Yaacob TLDM bertemu dengan BRP DIOSCORO PAPA yang diperintah oleh Lt Rey Remigo PN. Kedua-dua kapal telah mengadakan perbincangan operasi di mana perkongsian maklumat dilakukan dan seterusnya perancangan latihan dilaksanakan oleh tim pemerintah KD SRI JOHOR dan BRP DIOSCORO PAPA. Selain daripada itu, kedua-dua kru kapal mengadakan aktiviti crossdeck yang melibatkan lawatan ke tempat kerja masing-masing bagi mengenali tatacara dan prosedur yang diguna pakai oleh TLDM dan TLP. Usaha ini akan memantapkan lagi persefahaman di antara anggota TLDM dan TLP serta memberi peluang kepada mereka mengenali rakan sejawat yang akan beroperasi bersama.

3
Sesi Bergambar KD SRI JOHOR dan BRP DIOSCORO PAPA
sebelum memulakan latihan

Pertemuan ini juga merupakan kali pertama bagi KD SRI JOHOR di bawah pemerintahan Lt Kdr Faizul yang baharu menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah mulai 5 November 2018 di bawah program TMP. Inisiatif TMP dilihat telah menghasilkan impak yang memberansangkan di mana sejak tahun 2017 dan berjaya menghindarkan peningkatan jenayah rentas sempadan. Inisiatif rondaan TMP sebegini diharap dapat meningkatkan keyakinan masyarakat setempat dan antarabangsa ke atas keupayaan negara Malaysia dan Filipina bersama Indonesia dalam mengurus isu keselamatan maritim terutamanya di Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Sejurus selesai sesi perkongsian maklumat dan interaksi melibatkan kru kedua-dua buah kapal, KD SRI JOHOR dan BRP DIOSCORO PAPA meneruskan latihan bersama di laut. Antara latihan yang dilaksanakan adalah Replenishment at Sea Approach (RASAP), Kibaran Bendera (Semaphore) dan Latihan Manuvra Taktis (MANTAK). Kesemua latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan interoperabiliti di antara kedua-dua tentera laut.

4
Latihan Semaphore dan PXP

5
Latihan MANTAK di antara kedua-dua kapal

Rondaan bersama dan pertemuan ini akan diteruskan untuk memudahcara pertukaran maklumat berkaitan ancaman semasa di kawasan persempadanan perairan kedua-dua buah negara. Di samping dapat menurunkan kadar jenayah rentas sempadan dan mengekalkan kestabilan keselamatan maritim, inisiatif rondaan bersama TMP ini juga menjadi salah satu medium bagi kedua-dua angkatan laut yang mewakili negara masing-masing untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala serta memperoleh manfaat daripada perkongsian ilmu dan latihan bersama yang dijalankan. Selesai pertemuan, kedua-dua kapal tersebut kembali meneruskan rondaan di perairan negara masing-masing.

Rujukan : 121118/03
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel : Lt Ahmad Fitri bin Osman TLDM
Jurufoto : KD SRI JOHOR

LARIAN DAN SENAMAN AEROBIK MAWILLA 3

Langkawi 9 Nov 18 – Markas Wilayah Laut 3 (MAWILLA3) telah mengadakan satu aktiviti larian dan senaman aerobik di Pantai Chenang sebagai sukan pangkalan. Seramai 120 orang anggota tentera termasuk staf awam telah hadir bagi menjayakan aktiviti ini. Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Mohamad Azuwan bin Harun turut hadir memeriahkan acara.

1
Warga MAWILLA 3 melakukan pemanasan

2
Acara larian sejauh 3 KM

Aktiviti ini telah diadakan seawal jam 7 pagi dimulai dengan larian pantai sejauh 3 km dan diikuti dengan senaman aerobic oleh staf Jurulatih Jasmani Markas. Aktiviti seumpama ini dapat mengeratkan silatulrahim dan menjalin persaudaraan serta mengakrabkan antara sesama warga MAWILLA 3. Selesai aktiviti, semua warga membuat gotong royong mengutip sampah sepanjang pantai sebelum beredar pulang.

3
Warga MAWILLA 3 melakukan senam aerobik
yang dikelola oleh Jurulatih Jasmani

4
Warga MAWILLA 3 melaksanakan gotong royong
membersihkan kawasan sekitar pantai

Pihak Pengurusan Tertinggi Markas Wilayah Laut 3 telah mengambil inisiatif untuk menjadikan pengisian semasa hari sukan pangkalan lebih produktif dan berkualiti kepada semua peringkat dalam menjaga tahap kecergasan disamping mengekalkan BMI pada tahap yang ideal. Selain itu, aktiviti ini juga dapat membantu warga untuk melepaskan tekanan selepas bertungkus lumus melaksanakan tugasan seharian.

Rujukan : 121118/02
Sumber : Perhubungan Awam MAWILLA 3
Artikel : LK I TLS Noor Azrul Amirullah bin Mat Zin
Jurufoto : LK I TLS Noor Azrul Amirullah bin Mat Zin

PROGRAM KEMBARA DAKWAH SAMUDERA ANTARA JABATAN AGAMA ISLAM PAHANG (JAIP) DAN TLDM (KD TERENGGANU)

Tanjung Gelang, 31 Oktober 18 - Satu program kerohanian iaitu PROGRAM KEMBARA DAKWAH SAMUDERA telah berjaya dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersama MAWILLA 1 pada hari ini. Seramai 23 orang peserta dari JAIP berpeluang mengikuti pelayaran bersama KD TERENGGANU bagi melaksanakan aktiviti berbentuk kerohanian tersebut disamping melaksanakan pelupusan abu Al-Quran seberat 2 tan semasa pelayaran. Program selama dua hari ini berjalan dengan lancar dimana semua objektif utama program dapat dicapai dengan jayanya. Majlis bermula seawal jam 7.30 pagi dan para peserta mendaftar serta melapor diri di KD TERENGGANU. Seterusnya majlis telah dirasmikan oleh yang YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang sambil disaksikan oleh Ketua Ketua Jabatan Markas dan Pegawai Memerintah yang hadir. Pada jam 10.00 pagi kapal telah keluar belayar dari TPK dan menuju ke perairan Pulau Tioman.

1
Majlis Perasmian Program dan sesi
Memberi Cenderahati

2

3

4

Pelbagai program telah dilaksanakan sepanjang pelayaran seperti solat Zohor dan Asar secara berjemaah dan ceramah agama. Pada jam 3.00 petang, acara pelupusan abu Al-Quran dilakukan secara beramai-ramai dengan melepaskan abu ke dalam laut. Upacara dilakukan penuh tertib bagi menghormati kitab utama umat Islam itu. Para peserta tidak melepaskan peluang merasai sendiri pengalaman membuang abu berkenaan walaupun keadaan laut sedikit bergelora.

5
Upacara pelupusan abu al-Quran dilakukan

6

7

8Solat berjemaah dan Forum Al-Muqarrabin

9

Jam 5.00 petang, kapal telah selamat bersauh di kawasan Teluk Tekek, Pulau Tioman. Pada sebelah malam, setelah selesai solat Maghrib dan Isyak berjemaah, satu Forum Al-Muqarrabin telah dilaksanakan dan dikelolai oleh pihak JAIP. Forum tersebut mengupas tentang isu isu semasa berkaitan umat Islam di negara kita dan permasalahan akidah umat Islam ketika ini. Pada jam 12.30 malam, kapal telah membongkar sauh dan bersedia untuk pulang ke TPK. Pada keesokan harinya para peserta dan anggota kapal menyertai program qiamullail dan gempur Subuh di KD TERENGGANU. Kapal telah selamat sampai ke TPK pada jam 10.00 pagi. Semua peserta bergembira dan berpuas hati di atas pelayaran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini berlangsung.

Rujukan : 311118/05
Artikel : Lt Dya Muhammad Rusydi Bin Rosli TLDM
Jurufoto : Perhubungan Raya MAWILLA 1

DIPLOMASI PERTAHANAN MALAYSIA AUSTRALIA TERUS ERAT

KOTA KINABALU, 21 Oktober - Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) sekali lagi menerima lawatan kapal Tentera Laut Australia HMAS STUART yang tiba pada jam 18 Oktober lalu selesai Eksesais BERSAMA LIMA di Singapura. Kapal kelas Frigat yang membawa seramai 190 orang krew dan dinakhodakan Kdr Chris Leece telah berada di PTKK untuk lawatan operasi selama empat hari sebelum dijangka meneruskan pelayaran ke Vietnam.

1
Gambar sekitar ketibaan HMAS STUART

2

3

Ketibaan kapal ini di PTKK telah disambut meriah oleh delegasi TLDM dan warga kapal ini turut dipersembahkan oleh tarian pelbagai etnik sebagai simbolik keramahan masyarakat berbilang kaum Sabah dalam menerima tetamu. Lawatan seperti ini adalah penting dalam usaha mengeratkan lagi hubungan baik antara dua negara ini yang telah sedia terjalin.

4
Gambar sekitar ketibaan HMAS STUART

5

Kapal seterusnya telah keluar belayar pada 21 Okt untuk melaksanakan latihan PASSEX bersama KD SELANGOR sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.

Rujukan : 221018/02
Sumber : Komunikasi Strategik Armada Timur
Artikel : Lt Dinie Zuhri TLDM
Jurufoto : LK I TLS Zulhakimi
               LK I PNK Sumiah
               LK I PNK Rahman

LATIHAN PENEMBAKAN LATIHAN PENEMBAKAN SENJATA KECIL DI LAUT KD KELANTAN

KOTA KINABALU, 20 Okt – Latihan penembakan senjata kecil adalah salah satu keperluan bagi setiap unit TLDM terutama unit kapal yang beroperasi. Latihan bertujuan untuk memastikan kesiapsiagaan warga kapal dalam mengendalikan senjata kecil serta memastikan kefungsian senjata di tahap tertinggi.

564AF594 27BE 4541 A83C F2FD0F0C80B0
Bacaan doa sebelum memulakan latihan

Di samping itu, latihan ini bagi memenuhi keperluan Fleet Exercise and Practice Guide (FXPG). Pihak kapal telah mengambil peluang melaksanakan latihan ini di geladak penerbangan semasa kapal beroperasi di laut, dalam masa yang sama memberi peluang kepada Leftenan Muda PSSTLDM yang ditumpangkan ke kapal bagi mengikuti latihan fasa laut merasai pengalaman latihan penembakan senjata kecil di kapal. 

02C5F1F7 9178 42D1 9F73 1CCC1B9D4CD6
Pertandingan penembakan senjata kecil

B2F88DC8 DC3E 4DDF 9076 F9EB0A648948
Pegawai PSSTLDM diberi peluang
mengendalikan Pistol Glock 17

Latihan penembakan dilaksanakan berkonsepkan pertandingan. Semua warga kapal serta Pegawai PSSTLDM telah dibahagikan mengikut jabatan masing-masing dalam pertandingan tersebut. Latihan dimulakan dengan taklimat dan tatacara pengendalian senjata kecil oleh Pegawai Peperangan Atas Air dan staf persenjataan kepada warga yang terlibat.

5B6B27CD BD95 4C5C AA88 5E105A233166
Pengiraan mata terkumpul pada sasaran

A3633B94 0754 4022 9613 D690A3BEE413
Bacaan Ikrar selesai latihan

Latihan penembakan telah bermula pada jam 0900H dan berakhir 1130H. Kesemua persiapan dan perlaksanaan latihan telah berjalan lancar hasil kerjasama oleh semua warga kapal. Latihan penembakan diakhiri dengan bacaan ikrar oleh warga kapal.

Rujukan : 221018/01
Sumber : Komunikasi Strategik Armada Timur
Artikel : Lt Dya Faidz TLDM
Jurufoto KD KELANTAN

KEJOHANAN KRIKET ANTARA PERKHIDMATAN ATM 2018

SUNGAI BESI 21 Sep 18 - Kejohanan Kriket Antara Perkhidmatan ATM 2018 anjuran Persatuan Kriket ATM telah berlangsung pada 17 hingga 21 Sep 18 di Selangor Turf Club, Sungai Besi, Selangor.Kejohanan ini telah berjalan dengan lancar dan meriah. Keputusan kejohanan adalah seperti berikut:

a) Kategori Lelaki
Johan: TUDM
N/Johan: TLDM
Ketiga: TDM

b) Kategori Wanita
Johan: TLDM
N/Johan: TUDM
Ketiga: TDM

1
Atlet TLDM Meraikan Kemenangan bersama Pengerusi JES TLDM

2
Pasukan Kriket Lelaki Dan Wanita TLDM

3
Pengerusi JES memberi insentif kepada pasukan yang beroleh JOHAN

Untuk kejohanan pada kali ini, TLDM telah mendapat keputusan cemerlang dengan kejuaraan milik TLDM bagi kategori wanita dimana tahun lalu kejuaraan milik TUDM . Dengan kemenangan ini, pihak Lembaga Kawalan Sukan TLDM (LEKAS TLDM) telah memberikan insentif kemenangan kepada pasukan yang beroleh JOHAN, bertujuan menaikkan lagi semangat juang dan moral agar sentiasa mengekalkan prestasi demi menaikkan nama TLDM.

4
Piala Kejohanan diberikan oleh Pengerusi Kriket ATM
Kepada Ketua Pasukan Wanita TLDM

5
Sesi bergambar Atlet Kriket Lelaki Dan Wanita tiga perkhidmatan
bersama Pengerusi Kriket ATM Dan Pengerusi JES

6
Sesi ramah mesra Atlet Kriket TLDM bersama
Pemangku Laksamana Pertama Anuar Bin Mohamed TLDM iaitu Pengerusi JES

Upacara penutup telah dirasmikan oleh Brig Jen Dato’ Hj Muhammad Mudzammir Ong Bin Abdullah TUDM iaitu Pengerusi Persatuan Kriket ATM serta turut hadir Pemangku Laksama Pertama Anuar Bin Mohamed iaitu Pengerusi JES TLDM. Tahniah kepada Pengurusan dan Atlet Persatuan Kriket TLDM atas kemenangan ini. Terima kasih kepada semua pihak terutama Pegawai Memerintah Unit yang memberi pelepasan kepada atlet sukan ini.

“Talents wins games, Teamwork wins championship” – Micheal Jordan

Majulah Sukan untuk TLDM.

Rujukan : 210918/02
Sumber : Lembaga Kawalan Sukan TLDM TLDM
Artikel : Lt Kdr Ahmad Saiful Fadly bin Jaharuddin TLDM
Jurufoto : BM JJM Mohd Ridzuan bin Kamaruddin

BUBUR ASYURA SUBURKAN TRADISI

KD SRI GOMBAK - 21 Sep 18 bersamaan 11 Muharram 1440 - Seluruh warga bekerjasama menjayakan Majlis Memasak Bubur Asyura yang diadakan di perkarangan Gelanggang Futsal KD SRI GOMBAK. Pegawai Memerintah, YBhg Kdr Mohamad Zulkefli bin Hj. Mohamood TLDM turut bersama-sama warga menjayakan majlis tersebut. Program ini dianjurkan sempena menyambut kedatangan Bulan Muharram dan Tahun Baru 1440 Hijrah yang telah pun menjadi budaya baik dalam masyarakat Malaysia. Pada tahun ini KD SRI GOMBAK memilih ‘Bubur Asyura Edisi Pantai Timur’ sebagai menu pilihan.

11
Gotong-royong memasak bubur asyur

22
Pegawai Memerintah bersama warga mengacau bubur asyura

Majlis Memasak Bubur Asyura tersebut berlangsung seawal 0830 pagi dan berakhir jam 1600. Setiap warga melaksanakan tugas bermula dari memarut kelapa, menyediakan bahan-bahan yang diperlukan dan mengacau secara bergotong-royong sehingga majlis selesai. Majlis ini bukan sahaja dapat memupuk semangat muhibah dan muafakat antara warga tetapi merapatkan lagi hubungan silaturahim.

33
Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh warga

44

Namun setiap warga juga diingatkan supaya mengambil peluang dan melipat gandakan usaha dalam beribadat sepertimana Sabda Nabi SAW:
“Puasa yang paling utama setelah Ramadan adalah puasa pada bulan Allah Muharram, dan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah Solat Malam”.

Rujukan : 210918/01
Sumber : KD SRI GOMBAK

PERTANDINGAN KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF HORIZON BAHARU KEMENTERIAN PERTAHANAN 2018

KUALA LUMPUR 20 Sep - Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu Kementerian Pertahanan merupakan acara tahunan Kementerian Pertahanan yang telah diselaraskan berpandukan Panduan Pembudayaan dan Pemerkasaan Inovasi Dalam Sektor Awam Melalui Horizon Baharu KIK yang telah dikeluarkan oleh pihak MAMPU.

1
Tim KIK KD LAKSAMANA HANG NADIM membentangkan
hasil inovasi bertajuk V-TRAP

KIK Gambar 2
DC Floating Bag KD LEKIU yang memenangi pertandingan
inovasi di RIMPAC turut menjadi wakil TLDM

Tujuan penganjuran adalah menyemarakkan budaya inovasi dan kreativiti di kalangan warga Kementerian Pertahanan. Pertandingan ini akan turut disertai oleh tim projek dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM, Markas ATM, Markas Angkatan Bersama dan juga Bahagian Awam. Sebanyak 16 projek dari TLDM dipilih untuk menyertai 2 KIK iaitu KIK Primer dan KIK Hibrid dalam 2 bidang inovasi dan 4 kategori pertandingan. Projek yang terpilih mewakili TLDM ke peringkat ini adalah merupakan pemenang-pemenang AITL Tahun 2018. Hadiah KIK Hibrid adalah bergantung kepada jumlah penyertaan manakala hadiah KIK Primer bagi setiap kategori akan menerima hadiah seperti berikut:

(1) Tempat Pertama. Piala, wang tunai RM5000.00 dan sijil.
(2) Tempat Kedua. Wang tunai RM3000.00 dan sijil.
(3) Tempat Ketiga. Wang tunai RM2000.00 dan sijil.

Proses penilaian Persada Inovasi KIK Horizon Baharu Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2018 akan dilakukan dalam 2 peringkat, di mana pada peringkat pertama, Urus Setia BDPS akan membuat tapisan awal untuk menyenarai pendek laporan-laporan inovasi yang sememangnya menepati kriteria pelaporan untuk diserahkan kepada Panel Penilai Awam yang akan dilantik oleh Urus Setia BDPS. Seterusnya Panel Penilai Awam akan melaksanakan penilaian laporan projek berpandukan kepada format penulisan dan pemarkahan yang telah dikeluarkan oleh pihak MAMPU.

KIK Gambar 3
Panel Penilai Awam meneliti penyampaian setiap kumpulan KIK

KIK Gambar 4
KD TUN RAZAK membentangkan kaedah alternatif kepada
sistem pengeluaran minyak di kapal selam
bertajuk De-Fuelling Efficiency

Pada peringkat kedua, penilaian melalui sesi VIVA telah dilaksanakan di Auditorium Wisma Pertahanan pada 19 sehingga 20 Sep. Tim KIK yang terlibat perlu menyediakan slaid persembahan mengikut aturan kriteria penilaian projek. Persembahan perlu kreatif dan berimej korporat dan menekankan impak dan faedah penghasilan projek. Majlis Sambutan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan Tahun 2018 dijangka akan diadakan pada bulan Oktober.

Rujukan : 200918/04
Sumber : Bahagian Inspektorat Jeneral
Artikel & Foto : Bahagian Inspektorat Jeneral
                       Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut

WARGA MARKAS PEMERINTAHAN ARMADA BARAT RAI TIMBALAN PANGLIMA ARMADA BARAT BAHARU

Lumut, 20 Sept – Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Panglima Armada Barat telah berlangsung di Serambi Markas Pemerintahan Armada Barat hari ini. Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Panglima Udara, Yang Berbahagia Laksamana Pertama Roslan bin Mohd Yunus. Turut hadir, Panglima Pasukan Khas Laut, Laksamana Pertama Anuar bin Hj Alias PGB dan Panglima Logistik Barat, Laksamana Pertama Ir. Franklin Jeyasekhar Joseph dan seluruh warga Markas Pemerintahan Armada Barat.

Gambar 1
Lt Anwar Samsudin TLDM selaku Pegawai Perbarisan
melapor kepada Panglima Udara untuk majlis bermula

Gambar 2
Panglima Udara menyempurnakan majlis
penyerahan tugas Timbalan Panglima Armada Barat

Gambar 3
Simbolik pertukaran kuasa

Upacara Tandatangan Sijil Serah Terima Tugas di antara Kepten Azman bin Rabani TLDM dan Kepten Khir Junaidi bin Idris TLDM telah dilaksanakan penuh tertib dan disaksikan oleh Panglima Udara. Mengimbas kembali, Kept Azman bin Rabani TLDM yang juga Asisten Ketua Staf Operasi telah memangku jawatan Timbalan Panglima Armada Barat sejak Julai yang lalu. Beliau telah dipertanggungjawabkan untuk melicinkan pentadbiran markas di samping memastikan aspek pengoperasian kapal di tahap terbaik. Kept Khir Junaidi bin Idris TLDM telah bekhidmat selama 33 tahun dan mengambil alih tampuk pemerintahan secara rasmi sebagai TImbalan Panglima Armada Barat mulai hari ini. Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Simpanan di Bahagian Simpanan, Markas Tentera Laut.

Gambar 4
Pegawai-pegawai Kanan beramah mesra
bersama Timbalan Panglima Armada Barat

Gambar 5
Sejarah tercipta. Panglima Udara
bergambar bersama yang diraikan

Dalam majlis ini juga, Panglima Udara turut menyaksikan penyerahan nota serah terima tugas simbolik pertukaran kuasa memerintah di antara Kept Azman bin Rabani TLDM dan Kept Khir Junaidi bin Idris TLDM. Majlis serba ringkas ini kemudiaannya diakhiri dengan jamuan ringan bagi kesemua warga Navy People yang hadir.

Rujukan : 200918/02
Artikel : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Kelulusan : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB
Jurufoto : Pejabat Perhubungan Strategik MPAB

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 282

Semalam 879

Bulan ini 19746

Keseluruhan 1250175

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM