SUMPAH PAHLAWAN BERGEMA DI HARI PAHLAWAN 2018

SANDAKAN, 31 Julai 2018 – Pengorbanan Pasukan Keselamatan dalam menjaga dan memelihara keamanan negara ini sentiasa diingati dan disanjung tinggi oleh segenap lapisan rakyat Malaysia. Bagi mengenang jasa para perwira negara terutamanya yang telah gugur, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah mengambil inisiatif menganjurkan Sambutan Hari Pahlawan 2018 Peringkat Sandakan bertempat di Dewan Masyarakat Sandakan. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Panglima Wilayah Laut 2 (PANGWILLA 2), YBhg Laksamana Muda Dato’ Ganesh Navaratnam dan Ketua-Ketua Jabatan sekitar Sandakan.

GAMBAR 1
Upacara mengibarkan Jalur Gemilang

GAMBAR 2
Navy People menurunkan Jalur Gemilang mengenang
pahlawan yang telah gugur mempertahankan ibu pertiwi

GAMBAR 3
PANGWILLA 2 dan tetamu kenamaan memberi
penghormatan ketika Jalur Gemilang diturun dan dinaikkan

Sambutan yang telah berlangsung pada pagi ini telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, YB Tuan George Hiew Vun Zin. Acara dimulai dengan tiupan Paluan Akhir atau The Last Post oleh Batalion ke-22 Rejimen Askar Malayu Diraja (22 RAMD). Serentak dengan alunan tetuang 22 RAMD, Jalur Gemilang diturunkan sebagai simbolik mengenang pahlawan yang telah terkorban dalam mempertahankan negara dari musuh durjana.

GAMBAR 4
Deklamasi sajak Sumpah Pahlawan oleh
Pemangku Ketua PBTM

GAMBAR 5
PANGWILLA 2 bersama ADUN Karamunting (kiri sekali)

Selesai tiupan The Last Post, para hadirin dipersembahkan dengan deklamasi sajak bertajuk Sumpah Pahlawan yang disampaikan oleh Encik Ahmad Naim Abdullah, Pemangku Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sandakan. Alunan sajak yang begitu syahdu telah menggamit emosi dan memori para perwira yang hadir khasnya buat mereka yang telah bersara dari perkhidmatan.

GAMBAR 6
Pelbagai agensi kerajaan hadir memberikan sokongan

GAMBAR 7
Navy People turut hadir memeriahkan acara

Acara diteruskan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ketua Daerah Sandakan, OKK Tuan Haji Awang Damit Haji Abd. Rahim yang juga merupakan Iman Masjid Kampung Sentosa, Sandakan dan diakhiri dengan tiupan Paluan Fajar dengan Jalur Gemilang dinaikkan semula simbolik bagi memberi semangat kepada pahlawan yang masih hidup untuk terus mempertahankan kedaulatan negara hingga titisan darah yang terakhir.

GAMBAR 8
Bertafakur bagi mengenang mereka yang terkorban

GAMBAR 9
Para hadirin mengaminkan bacaan
doa oleh Ketua Daerah Sandakan

GAMBAR 10
PANGWILLA 2 tidak melepaskan peluang bersalaman
dan bermesra bersama Veteran ATM

Tanggal 31 Julai setiap tahun, negara merakam tarikh keramat ini sebagai Hari Pahlawan dengan tamatnya darurat menentang pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) pada bulan Julai 1960. Sambutan Hari Pahlawan ini telah menjadi tradisi dan acara penting sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun negeri-negeri sebagai mengenang jasa pahlawan khasnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ianya merupakan suatu usaha murni Kerajaan untuk menzahirkan keprihatinan bagi mengenang jasa perwira tanah air yang telah terkorban dalam mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi. Majlis berakhir pada jam 9.00 pagi dengan para hadirin menikmati jamuan yang disediakan.

Rujukan : 310718/04
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2
Artikel : LK TLS Nik Amirruddin bin Nik Par
Jurufoto : LK I PAP Muhammad Hazwan Hamimin bin Hamdan

UPACARA FIRST STEEL CUTTING KAPAL LITTORAL MISSION SHIP PERTAMA DI CHINA

WUHAN, 31 Jul - Upacara First Steel Cutting (FSC) bagi kapal TLDM iaitu Littoral Mission Ship (LMS) yang pertama telah dilaksanakan di Wuchang Shipbuilding Industrial Group (WSIG), Shuangliu, China. Upacara ini disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin. Upacara ini turut disaksikan bersama Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB), Tan Sri Ahmad Ramli bin Hj Mohd Nor, pihak China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) dan China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

LMS Gambar 1
Grafik terkini LMS

LMS Gambar 2
Panglima Tentera Laut bersama
jemputan yang hadir di upacara FSC

Upacara FSC ini merupakan simbolik bermulanya fasa pembinaan kapal sejurus selesai fasa reka bentuk. LMS merupakan kelas baharu yang bakal menyertai Armada TLDM di bawah Program Transformasi Armada 15to5. TLDM bakal menerima 4 buah LMS, termasuk latihan komprehensif bagi bakal warga kapal. BNSSB dengan kerjasama CSOC sedang melaksanakan pembinaan 2 buah LMS di Wuchang Shipyard dan diikuti dua buah lagi di Malaysia sebagai sebahagian daripada rancangan pemindahan teknologi serta menyumbang kepada peningkatan keupayaan pembinaan kapal perang tempatan. Kontrak pembinaan kapal TLDM menunjukkan kemajuan kerja yang memberangsangkan di mana setiap kemajuan aktiviti projek mengikut jadual. Kapal pertama dijangka siap untuk diserahkan kepada TLDM pada 31 Dis 2019 dan kapal kedua pada 31 Mac 2020 seperti mana yang dirancang.

LMS Gambar 3
Memotong reben perasmian

LMS Gambar 4
Gimik perasmian tanda bermulanya
fasa pembinaan LMS pertama TLDM

Program pembinaan kapal LMS ini bakal menjadi pemangkin kepada industri pembinaan kapal di dalam negara. Kerjasama dengan Negara China selaku peneraju dalam bidang tersebut mampu meningkatkan keupayaan negara untuk menjadi pengeluar kapal perang yang kompetitif di rantau ini. Perancangan jangka masa panjang perolehan LMS juga akan meningkatkan peluang pekerjaan serta ekonomi negara melalui penglibatan syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa. Selain itu, perolehan ini juga akan mengukuhkan hubungan kerjasama ketenteraan dan diplomasi pertahanan antara Malaysia dengan China serta membuka peluang bagi pembangunan industri maritim yang lain.

Rujukan : 310718/03
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut
Artikel : Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut
Jurufoto : Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut

PERWIRA NEGARA DIINGATI PADA SAMBUTAN HARI PAHLAWAN

PUTRAJAYA, 31 Jul - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XV, Sultan Muhammad V telah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan 2018 hari ini di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

Hari Pahlawan Gambar 1
Warga ATM yang hadir di Putrajaya bagi menyaksikan
Istiadat Perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan

Istiadat Perbarisan pada pagi ini adalah gabungan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada 6 detasmen dengan kekuatan seramai 46 pegawai dan 823 Anggota Lain- lain Pangkat. Sejurus keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, 21 Das Tembakan Meriam Kehormatan telah disempurnakan oleh 41 Bateri lstiadat, Rejimen Artileri Diraja diketuai oleh Mejar Mohd Asri bin Che Wil. Hadirin turut dipersembahkan dengan deklamasi sajak berjudul “Pahlawan” oleh Leftenan Farahanina binti Ismail TUDM dan ASP Rahimi bin Hamzah dari PDRM serta Persembahan Pantomim, “Operasi Iblis 1971” oleh warga Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Hari Pahlawan Gambar 2
Datuk Mohd Reza bersama veteran ATM yang hadir

Hari Pahlawan Gambar 3
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan
mencemar duli menyempurnakan Istiadat Perbarisan


Turut hadir pada acara tersebut adalah Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamed; Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah bin Dr. Wan Ismail; Menteri Pertahanan, YB Tuan Haji Mohamad bin Sabu; Timbalan Menteri Pertahanan, YB Senator Liew Chin Tong; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin dan Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Mohamad Fuzi bin Harun. Timbalan Panglima Tentera Laut, Datuk Mohd Reza bin Mohd Sany mengetuai warga Navy People yang hadir.

Hari Pahlawan Gambar 4
Syabas Navy People yang menjayakan
Istiadat Perbarisan hari ini

Sambutan Hari Pahlawan adalah kalendar tahunan di peringkat Kebangsaan. Ia adalah antara satu usaha dan keperihatinan kerajaan menetapkan satu hari yang khas bagi mengenang jasa-jasa perwira tanah air yang terkorban untuk mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi. Sejak tahun 1968, acara ini telah dianjurkan secara bergilir-gilir antara ATM dan PDRM dan pada tahun ini, ATM menjadi penganjur.

Pautan media sosial:
Facebook : https://www.facebook.com/355294844528530/posts/1879542505437082/

Rujukan : 310718/02
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut
Artikel : Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut
Jurufoto : LK TNL Mohammad Idris bin Suradi

KD SRI TIGA IBM BERSAMA PGA PULAU LIBARAN

PULAU LIBARAN, 29 Julai 2018 - Kapal Diraja SRI TIGA (KD SRI TIGA) telah melaksanakan Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion ke-15 Sandakan di Pos Pulau Libaran. Tujuan IBM dilaksanakan adalah untuk bertukar maklumat operasi yang mungkin dapat membantu kapal dalam pelaksanaan rondaan di sektor tanggungjawab kawasan operasi maritim (KOM) yang telah ditugaskan.

Gambar 1
Sesi bergambar di hadapan Pos PGA Pulau Libaran

Gambar 2
Sesi perbincangan bersama warga Pos PGA Pulau Libaran

Kedatangan wakil kapal seramai 10 orang yang diketuai oleh seorang Pegawai Navigasi KD SRI TIGA, Lt Dya Sivasutan a/l Thanjappan TLDM itu telah disambut mesra oleh pasukan sahabat di Pos PGA Pulau Libaran yang diketuai oleh Koperal Amir bin Sugetso. Anggota Pos PGA Pulau Libaran telah memberi kerjasama yang sangat baik dalam sesi pertukaran maklumat serta amat mengalu-alukan lagi kedatangan wakil TLDM pada masa akan datang.

Gambar 3
Sesi menandatangan Buku Pelawat oleh Pegawai Navigasi KD SRI TIGA

Gambar 4
Pertukaran maklumat semasa kawasan operasi antara
2 agensi keselamatan terus dilaksanakan

Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama warga Pos PGA Pulau Libaran. Seterusnya kapal kembali ke KOM untuk melaksanakan rondaan di perairan pantai timur Sabah.

Rujukan : 300718/04
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2 – KD SRI TIGA
Artikel : Lt Dya Sivasutan a/l Thanjappan TLDM
Jurufoto : LK II TMK Mohammad Sharul Amiy bin Mohamad Rosdi

PSSTLDM SANDAKAN SERTAI AKTIVITI PEMBERSIHAN PANTAI KAMPUNG PUKAT

SANDAKAN, 30 Julai 2018 – Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah menganjurkan aktiviti gotong royong membersihkan pesisir pantai Kampung Pukat, Tanah Merah semalam. Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Sandakan tidak melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti ini sebagai salah satu khidmat komuniti bukan sahaja kepada masyarakat malah kepada alam sekitar. Selain itu, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan serta swasta turut hadir bersama-sama bagi merealisasikan slogan - Zero Waste Volunteer, Trash Hero Volunteer. Tujuan aktiviti seperti ini diadakan adalah untuk memupuk rasa cinta dan tanggungjawab kepada alam sekitar di kalangan para peserta.

Gambar 1
YBhg Lt (K) Datuk Charles O Pang PSSTLDM
turut hadir membantu aktiviti gotong royong ini

Gambar 2
Anggota PSSTLDM bersama-sama
membersihkan sampah sarap

Aktiviti yang julung kalinya diadakan ini melibatkan seramai 29 orang pegawai dan anggota PSSTLDM. Pegawai Kehormat PSSTLDM Sandakan, YBhg Lt Kdr (K) Datuk Charles O Pang PSSTLDM juga turut hadir membantu disamping memberi kata-kata perangsang kepada mereka yang terlibat. Gotong-royong bermula seawal jam 7.00 pagi dan berakhir sekitar jam 11.00 pagi itu dimulai dengan bacaan doa dan taklimat ringkas berkenaan pengagihan tugas dan keselamatan semasa melakukan aktiviti bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini. Pihak MPS turut menyediakan kelengkapan pembersihan seperti sarung tangan getah, plastik sampah, skop, serta topeng muka bersama sebuah bot dan 2 buah trak sampah. Sebanyak lebih kurang 50 beg plastik sampah berjaya dikumpul dalam aktiviti yang dijalankan pada pagi itu. Kesemua peserta berasa teruja melihat perubahan pantai selepas pembersihan berjaya dilakukan.

Gambar 3
Pesisir pantai kelihatan semakin bersih

Gambar 4
Sampah-sampah yang dikumpul dimasukkan
ke lori sampah untuk dilupuskan

Gambar 5
Gambar kenangan bersama sukarelawan yang terlibat

Aktiviti sebegini memerlukan perhatian dan usaha berterusan dari semua kelompok masyarakat khasnya warga Sandakan kerana kebersihan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Aktiviti ini juga wajar diteruskan bagi mengeratkan lagi hubungan di antara agensi kerajaan dan swasta serta NGO terlibat. Masyarakat turut diseru supaya menjaga kebersihan alam sekitar terutama sekitar pantai ke arah menjadikan Sandakan ‘Bandar Sifar Sampah’.

Rujukan : 300718/03
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2 – PSTL Sandakan.
Artikel : PK Muhammad Ridewan bin Zaidi
Jurufoto : LK KOM Siti Noorhadzlinah binti Junait

SERAH TERIMA TUGAS PEGAWAI MEMERINTAH KD PERAK

Kuala Baram, 29 Jul – Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Memerintah KD PERAK di antara Kdr Yusman Bin Darmawan TLDM yang akan bertukar keluar ke KD SULTAN IDRIS I Dan Kdr Ahmad Sani Bin Zakaria TLDM telah berlangsung dengan jayanya. Majlis yang bermula pada jam 8 pagi telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Bin Haji Ayob, Panglima Armada Timur. Majlis turut dihadiri wakil dari Syarikat Kontraktor Omahams dan Pihak Shin Yang Shipyard 2.

ZAK 5522
Upacara menandatangani Sijil Serah Terima Tugas di antara
Kdr Yusman bin Darmawan TLDM
dan Kdr Ahmad Sani bin Zakaria TLDM sambil
disaksikan oleh YBhg Panglima Armada Timur

ZAK 5575
Upacara penyerahan Sijil Serah Terima Tugas Pegawai Memerintah

Majlis yang telah diadakan di Limbungan Shin Yang Shipyard 2, Kuala Baram bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan Samudera Raya sejurus selesai menyambut ketibaan Yang Berbahagia Panglima Armada Timur. Majlis diteruskan dengan upacara menandatangani Sijil Serah Terima Tugas Pegawai Memerintah, pemakaian insignia pemerintahan dan seterusnya upacara penyerahan teropong sebagai simbolik pemerintahan kepada Pegawai Memerintah KD PERAK yang baru, Kdr Ahmad Sani Bin Zakaria TLDM. Pegawai Memerintah juga telah membacakan doa sempena majlis pada pagi tersebut.

ZAK 5969
Lawatan ke sekitar KD PERAK

ZAK 6246
Lawatan oleh Panglima Armada Timur ke
Blok Penginapan Shin Yang Shipyard

ZAK 6263
Sesi Admiral On Deck bersama Panglima Armada Timur

Selesai majlis di limbungan, Yang Berbahagia Panglima Armada Timur telah dibawa melawat bahagian bawah kapal yang kini sedang dalam proses pemasangan shaft dan seterusnya Yang Berbahagia Panglima Armada Timur bergerak ke blok penginapan Shin Yang Shipyard 2 untuk sesi Admiral On Deck. Ketika sesi Admiral On Deck, Yang Berbahagia Panglima Armada Timur telah mengingatkan kepada semua warga kapal supaya berpegang teguh kepada penerapan nilai-nilai murni TLDM Iaitu Kemuliaan, Kesetiaan, Keberanian dan Kebanggaan. Beliau juga berpesan supaya meningkatkan keberkesanan pengawasan maritim dan tidak boleh leka dengan keamanan yang sedang dikecapi. Yang Berbahagia Panglima Armada Timur turut menekankan tentang 4 keutamaan beliau iaitu meningkatkan keberkesanan operasi, memastikan kesiagaan armada berada di tahap tertinggi untuk mendokong Pelan Transformasi 15to5 di samping memantapkan kerohanian. Majlis diakhiri dengan acara Street Lining bagi mengiringi Mantan Pegawai Memerintah meninggalkan majlis.

Rujukan : 300718/01
Sumber : Komunikasi Strategik Armada Timur
Artikel : Lt Dya Faridah bunti Yusof TLDM
Jurufoto : LK I JTP Mohd Nazri bin Maziak

KD TODAK PERLUAS APLIKASI K3M KEPADA PENGUSAHA RESORT

SEMPORNA, 29 Julai 2018 – Aktiviti Inisiatif Bertanya Khabar (IBK) dan Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM) serta Rakan Maritim (RAKAM) dan penerangan Aplikasi Kesedaran Keselamatan Komuniti Maritim (K3M) telah dilaksanakan oleh Tim Mendarat Kapal Diraja TODAK (KD TODAK) yang diketuai oleh Pegawai Peperangan Atas Air, Lt Dya Asrapit bin Ahmad Mohamed TLDM bersama 4 kru yang lain bertempat di Pulau Kapalai.

Gambar 1
Tim Mendarat bersama Pengusaha dan
Pekerja Resort di Pulau Kapalai

Gambar 2
Sesi penerangan Aplikasi K3M oleh Pegawai Peperangan Atas
Air KD TODAK bersama Penyelia Resort

Gambar 3
Perkongsian maklumat bersama
Pasukan Sahabat 7 RAMD

Pulau Kapalai adalah sebuah pulau yang terletak di sebelah pantai timur daerah Semporna yang terkenal dengan keindahan semula jadi ekosistem marin dan juga merupakan salah satu pulau di Sabah yang sering menjadi tumpuan para pelancong dalam dan luar negara. Pulau beriklim tropika ini memiliki terumbu karang yang mempesonakan dan mempunyai pelbagai hidupan laut yang menarik untuk diterokai. Ini menjadikan aktiviti menyelam atau scuba sebagai aktiviti utama pelancong di sini.

Gambar 4
Lawatan di Pos Pengawal oleh
Staf Komunikasi KD TODAK

Gambar 5
Perkongsian maklumat antara dua
pasukan di Pos Peninjau

Gambar 6
Interaksi pengendalian senjata
Tim Mendarat KD TODAK di Pos Peninjau

Pengusaha dan pekerja resort merupakan golongan sasaran untuk aktiviti RAKAM dan penerangan Aplikasi K3M pada kali ini. Sesi interaksi bersama warga Resort Kapalai telah dilaksanakan dan hasil maklum balas diterima, mereka sangat teruja dengan kelebihan aplikasi tersebut yang sedikit sebanyak dapat membantu usaha menjaga keselamatan perairan negara melalui pelaporan secara terus sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. Turut serta dalam aktiviti tersebut adalah pasukan sahabat dari Batalion ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD) yang diketuai oleh Mejar Mohd Khairi bin Abdul Kadir.

Gambar 7
Perlawanan Futsal Persahabatan antara
KD TODAK dan 7 RAMD

Gambar 8
Gambar kenangan sebelum perlawanan dimulakan

Gambar 9
ADAT BERTANDANG…Cenderahati diberikan oleh
Tim Futsal KD TODAK kepada Tim Futsal 7 RAMD

Dikesempatan itu juga, jalinan ukhuwah antara kru KD TODAK dan warga 7 RAMD diadakan melalui perlawanan futsal persahabatan. Sejajar command intent #Keepfit bagi Todak People menentukan warga kapal sentiasa cergas dan sihat. Interaksi sebegini dapat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara TLDM dan juga Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (Mk ATB 2). Selesai interaksi, KD TODAK meneruskan rondaan di sektor kawasan operasi maritim yang diarahkan bagi menjaga kedaulatan dan kepentingan maritim negara.

Rujukan : 300718/01
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2 – KD TODAK.
Artikel : TODAK Skippers
Jurufoto : Lt Dya Aiman Haziq Mohamed TLDM

NAVY EXPOSURE SMK BATU SAPI DAPAT SAMBUTAN HANGAT

SANDAKAN, 27 Julai 2018 – Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Sandakan tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dengan menyertai satu Karnival Pendidikan dan Kerjaya yang bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi, Sandakan. Pameran yang melibatkan lebih daripada 15 agensi awam serta swasta itu telah berlangsung bermula seawall jam 8.00 pagi dan telah dirasmikan oleh Pengetua SMK Batu Sapi, Encik Esmadi Ismail.

Gambar 1
Pelajar lepasan SPM dan STPM tidak melepaskan
peluang bertanya mengenai peluang kerjaya TLDM

Pameran Navy Exposure yang telah dikoordinasikano leh PSTL Sandakan itu telah melancarkan lagi objektif pihak sekolah dalam memupuk dan menanamkan azam kepada murid-murid untuk berusaha gigih bagi mendapatkan keputusan cemerlang terutamanya kepada murid tingkatan 5 yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini. Pihak sekolah turut member peluang kepada pelajar lepasan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta ahli keluarga untuk hadir mendapatkan info lanjut peluang kerjaya yang disediakan.

Gambar 2
Para pelajar berpusu-pusu berkunjung
kepameran kerjaya TLDM

Para pengunjung dan pelajar yang hadir diberi pendedahan berkenaan peranan PSSTLDM dan keistimewaan menyertai pasukanan simpanan ini.Pengunjung yang ramai turut merasa teruja dan menunjukkan minat untuk menyertai PSSTLDM dengan pendaftaran yang direkodkan pada hari tersebut melebihi 50 orang. Data-data yang dikumpul disimpan sebagai rujukan dan akan dijadikan sebagai rekod untuk tujuan hebahan pengambilan di masa akan datang.

Gambar 3
Turut menjadi tumpuan para ibu dan bapa yang berminat
untuk mendaftarkan anak-anak mereka sebagai anggota TLDM

PSTL Sandakan juga membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menyertai TLDM mendaftar secara atas talian dengan melayari laman sesawang www.mafhq.mil.my/jommasuktentera. Permohonan atas talian itu telah pun dibuka bermula 25 Julai sehingga 25 September 2018 ini. Semua data akan disimpan dan direkodkan ke dalam sistem sebagai rujukan bagi memudahkan proses pengambilan anggota baru.

Gambar 4
Gerai pameran kerjaya TLDM dan PSSTLDM
padat dengan pelbagai informasi semasa

Pameran ini merupakan usaha yang positif terutama untuk menanam minat dan memberi gambaran jelas tentang peranan pasukan keselamatan khasnya TLDM kepada masyarakat awam.Acara seperti ini perlu dilakukan dengan lebih kerap bagi mempromosikan TLDM dan jugaPSSTLDM sekaligus mendekatkan lagi hubungan antara TLDM dengan masyarakat setempat.

Rujukan : 290718/01
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2 –PSTL Sandakan.
Artikel : PK Muhammad Ridewan bin Zaidi
Jurufoto : LK KOM Noorhadzlinah binti Junait

KD YU LAKSANA TANGGUNGJAWAB SOSIAL DI PULAU MAIGA

SEMPORNA, 28 Julai 2018 – Kapal Diraja YU (KD YU) telah melaksanakan lawatan ke Pulau Maiga, Semporna bagi tujuan Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM) di samping pelaksanaan Program Jiwa Murni bersama penduduk pulau tersebut. Kapal mengambil kesempatan melaksanakan program ini semasa dalam penugasan operasi. Pulau Maiga adalah sebuah pulau berkeluasan sekitar 20 hektar yang terletak di Taman Marin Tun Sakaran di antara Pulau Sibuan dan Pulau Selakan. Ia merupakan sebuah pulau dengan pantai berpasir, dipenuhi pokok kelapa dan dikelilingi oleh terumbu karang sepanjang 8 kilometer. Pulau ini terletak hanya 35 minit dari bandar Semporna, 25 minit dari Pulau Pom Pom dan 1 jam dari Pulau Boheydulang. Cara perhubungan utama dari pekan Semporna ke Pulau Maiga adalah dengan menggunakan bot laju.

Gambar 1
Warga kapal berganding bahu bersama penduduk kampung

Gambar 2
Melaksanakan IBM bersama Ketua Kampung,
AJK kampung dan Guru Agama Khas

Penduduk Pulau Maiga seramai 350 orang terdiri daripada pelbagai bangsa antaranya Bajau Laut, Bajau dan Suluk yang beragama Islam. Rumah-rumah dibina dari kayu dan terletak di atas air. Hanya terdapat 1 kemudahan di Pulau Maiga iaitu surau yang giat digunakan sebagai tempat pengajaran agama, bermesyuarat dan juga berkumpul sekiranya terdapat aktiviti penduduk. Aktiviti utama mereka adalah perusahaan rumpai laut ungu yang mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan. Aktiviti lain seperti pelancongan atau island-hopping turut dijalankan.

Gambar 3
Kerja-kerja pembersihan di kawasan persekitaran surau

Gambar 4
Warga kapal melaksanakan program dengan
ikhlas tanpa mengharapkan balasan

Program dimulakan dengan perjumpaan bersama Ketua Kampung Pulau Maiga iaitu Encik Amburani bin Burahim dan beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) kampung serta Guru Agama Khas dari Kampung Bangau-Bangau, Semporna. Aktiviti telah dimulai dengan perbincangan mengenai keselamatan dan perkembangan semasa di samping memberi peluang Navy People berinteraksi dengan penduduk setempat di Kawasan Operasi Maritim (KOM). Warga kapal seterusnya melaksanakan Program Jiwa Murni di Surau Pulau Maiga yang turut melibatkan penduduk kampung. Program yang dilaksanakan berkonsepkan Low Cost High Impact di mana warga kapal dan penduduk kampung bersama-sama berganding bahu serta tenaga bagi membersihkan kawasan persekitaran surau dan pantai.

Gambar 5
Sesi bertanya khabar bersama penduduk kampung

Gambar 6
Bergambar kenang-kenangan bersama
Ketua Kampung Pulau Maiga, guru agama serta anak-anak penduduk

Gambar 7
Keindahan Pulau Maiga yang amat mempesonakan
tanpa pencemaran alam sekitar

Hasil pertemuan bersama penduduk tempatan, mereka amat menghargai kehadiran TLDM ke kampung tersebut. Inisiatif sebegini wajar diteruskan bagi memastikan kehadiran TLDM di KOM dirasai (presence felt) dan sentiasa dekat di hati penduduk tempatan sekaligus meningkatkan keyakinan mereka terhadap keselamatan perairan negara. Program diakhiri dengan perlawanan bola tampar persahabatan di antara warga kapal dan penduduk kampung dan seterusnya kapal kembali meneruskan penugasan bagi menjaga kedaulatan dan kepentingan maritim negara khasnya di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah atau ESSZone.

Rujukan : 280718/01
Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik MAWILLA 2 – KD YU
Artikel : Lt Wan Mohd Saiful Adli bin Wan Ahmad TLDM
Jurufoto : LK II PAP Muhamad Nazreen bin Khalid

PANGAKALAN TLDM KOTA KINABALU BERI SUMBANGAN KEPADA MANGSA KEBAKARAN DI LIKAS

Kota Kinabalu, 27 Jul 2018 –Pangkalan TLDM Kota Kinabalu telah menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa kebakaran di Kampung Cenderamata, Likas pada hari ini. Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Pertama Khalid bin Jaafar, kepada Encik Edmund Fung, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang bertanggungjawab menyelaraskan bantuan untuk mangsa kebakaran Kg Cenderamata, Likas.

1Laksamana Pertama Khalid bin jaafar melawat penempatan sementara mangsa kebakaran
Laksamana Pertama Khalid bin Jaafar memberi sumbangan
kepada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Encik Edmund Fung

2Laksamana Pertama Khalid bin jaafar melawat penempatan sementara mangsa kebakaran2
Laksamana Pertama Khalid bin jaafar melawat
penempatan sementara mangsa kebakaran

Laksamana Pertama Khalid bin memberi sumbangan kepada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Encik Edmund Fung

Penyerahan dibuat di Dewan Serbaguna Kg Likas. Turut hadir ialah Komander Pangkalan TLDM Kota Kinabalu iaitu Komander Clarence ak Ruman TLDM, selaku pegawai yang mengkoordinasikan sumbangan dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Laksamana Pertama Khalid bin Jaafar juga mengambil kesempatan melawat penempatan sementara mangsa di Dewan Serbaguna.

Rujukan : 270718/04
Sumber : Komunikasi Strategik Armada Timur
Artikel : Komunikasi Strategik Armada Timur
Jurufoto : Komunikasi Strategik Armada Timur

MEDIA SOSIAL

STATISTIK PENGUNJUNG

Hari ini 488

Semalam 786

Bulan ini 4840

Keseluruhan 773271

Tarikh Akhir Kemaskini:

PENYATAAN

Langgan Berita TLDM

qrcode   Sertai kami dengan berita
   yang menarik dan terkini.
   Jadilah sebahagian daripada
   WARGA TLDM